Pertempuran Austerlitz

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Pertempuran Austerlitz
Sebahagian daripada Perang Pakatan Ketiga
Colored painting showing Napoleon on a white horse and General Rapp galloping towards Napoleon to present the captured Austrian standards.
Napoléon di Pertempuran Austerlitz oleh François Gérard (Galerie des Batailles, Versailles).
Maklumat am
Tarikh 2 Disember 1805
Lokasi Austerlitz, Moravia, Empayar Austria
Hasil *Kemenangan Perancis muktamad,
penamatan Pakatan Ketiga
Pihak yang berperang
Perancis Empayar Perancis Rusia Empayar Rusia
Empayar Austria Empayar Austria
Komander dan pemimpin
Perancis Napoleon I Rusia Alexander I
Empayar Austria Francis II
Kekuatan
72,000[1] 85,000[2]
Kerugian dan kehilangan
1,305 mati,
6,940 tercedera,
573 ditahan,
1 panji-panji terhilang[3]
15,000 mati atau tercedera,
12,000 ditahan,
180 meriam terhilang,
50 panji-panji terhilang[3]
sunting
Lihat pendokumenan templat ini

Pertempuran Austerlitz (juga dikenali sebagai Pertempuran Tiga Maharaja) merupakan antara kemenangan Napoleon Bonaparte yang paling terkenal. Dalam pertempuran ini, Empayar Perancis berjaya mencapai kemangan muktamad atas Pakatan Ketiga. Pada 2 Disember 1805, tentera Perancis di bawah Napoleon mengalahkan tentera Rusia-Austria di bawah Tsar Alexander I, selepas pertempuran selama sembilan jam. Ia berlaku di padang berdekatan pekan Austerlitz di Empayar Austria (kini dikenali sebagai Slavkov u Brna di Republik Czech). Pertempuran ini sering dianggap sebagai contoh utama kepintaran taktikal Napoleon.

Kemenangan Perancis di Austerlitz secara kekalnya menamatkan Pakatan Ketiga. Pada 26 Disember 1805, Perancis dan Austria menandatangani Perjanjian Pressburg, yang mengeluarkan Austria daripada Perang Pakatan Ketiga, menegaskan semula Perjanjian Campo Formio dan Lunéville, memaksa Austria menyerahkan wilayah kepada sekutu-sekutu Jerman Napoleon, serta mengenakan tanggung rugi sebanyak 40 juta franc ke atas Austria. Tentera Rusia dibenarkan pulang ke tanah air.

Akibat Pertempuran Austerlitz, Pergabungan Sungai Rhine, iaitu gabungan beberapa negeri Jerman, ditubuhkan sebagai negara penampan di antara Perancis dan Eropah Tengah. Pada 1806, Empayar Suci Rom dibubarkan apabila Francis II melepaskan gelaran Maharaja Suci Rom tetapi mengekalkan gelarannya sebagai Maharaja Austria. Namun, peristiwa-peristiwa tersebut gagal mengekalkan keamanan di Eropah. Kerisauan Prusia mengenai pengaruh Perancis yang semakin berkembang di Eropah Tengah mencetuskan Perang Pakatan Keempat pada 1806.

Sebelum pertempuran[sunting | sunting sumber]

Pakatan Ketiga[sunting | sunting sumber]

Pakatan Ketiga ditubuhkan pada Disember 1804 dengan satu perjanjian antara United Kingdom dan Sweden. Pada April 1805, Britain dan Rusia menandatangani perjanjian untuk menyertai perikatan.[4] Austria menyertai Perikatan beberapa bulan kemudian.[5]

Pergerakan awal[sunting | sunting sumber]

Colored painting showing Napoleon receiving the surrender of General Mack, with the city of Ulm in the background.
Napoleon menerima serahan diri Jeneral Mack dan tentera Austria di Ulm. Lukisan oleh René Théodore Berthon.

Pada Ogos 1805, Napoleon mula menggerakkan tenteranya dari Boulogne ke Jerman untuk menentang ancaman Austria dan Rusia. Pada 15 September 1805, tentera Perancis seramai 200,000 orang merentasi Sungai Rhine.[6] Jeneral Karl Mack telah menggerakkan majoriti tentera Austria ke Ulm (yang kini terletak di selatan Jerman). Napoleon berjaya mengelilingi tentera Mack dalam Kempen Ulm pada 20 Oktober 1805. Mack dan 23,000 askar Austria terpaksa menyerahkan diri; akibatnya, jumlah askar Austria yang ditahan bertambah menjadi 60,000.[7] Vienna berjaya ditawan oleh Perancis pada November, bersamaan 100,000 musket, 500 meriam, serta jambatan-jambatan menyeberangi Sungai Danube yang tidak dimusnahkan.[8]

Tentera Rusia di bawah Mikhail Kutuzov sepatutnya tiba di Ulm untuk memperkukuhkan tentera Perikatan. Selepas kekalahan Mack, tentera Rusia berundur ke arah timur laut untuk menunggu ketibaan tentera bantuan serta tentera Austria yang masih tinggal. Mereka dikejar oleh tentera Perancis tetapi situasi Perancis menjadi semakin teruk. Ini kerana Prusia mungkin akan menyertai Perikatan, tentera Rusia dan Austria sudah bergabung, dan garisan perhubungan menjadi semakin panjang dan memerlukan semakin ramai pasukan garison untuk mempertahankannya. Napoleon memutuskan bahawa satu-satunya cara untuk menewaskan tentera Perikatan ialah untuk menggoda mereka untuk memulakan pertempuran.[9] Nasib baik untuk dia, Maharaja Rusia semangat untuk berperang.

Pertempuran[sunting | sunting sumber]

Colored painting showing French troops lighting torches for Napoleon.
Napoleon dan askarnya sebelum pertempuran. Lukisan oleh Louis-François, Baron Lejeune.

Napoleon memerintahkan tentera seramai 72,000 orang dan 157 meriam; beliau juga kemudiannya disokong oleh 7,000 tentera di bawah Davout yang berada di selatan medan perang pada permulaannya.[10] Tentera Perikatan mempunyai seramai 85,000 orang, 70 peratusnya dari Rusia, dan 318 meriam.[10]

Medan perang[sunting | sunting sumber]

Pertempuran berlaku kira-kira 6 batu (9.7 km) di tenggara Brno, di antara bandar tersebut dan Austerlitz (bahasa Czech: Slavkov u Brna) yang kini terletak di Republik Czech). Di kawasan utara medan perang terletaknya bukit Santon (ketinggian 700 kaki/210 m) dan bukit Zuran (850 kaki/260 m), kedua-dua bukit menghadap jalan yang menghubungkan Olomouc dan Brno, yang berpenghala paksi timur-barat. Di kawasan barat dua bukit ini terletaknya kampung Bellowitz, dan di tengah Bellowitz dan dua bukit terletak Sungai Bosenitz yang beralir selatan untuk bercantum dengan Sungai Goldbach. Sungai Goldbach pula terletak bersebelahan kampung Kobelnitz, Sokolnitz, dan Telnitz. Tengah seluruh kawasan merupakan Tanah Tinggi Pratzen, sebuah bukit mencerun landai setinggi 35 hingga 40 kaki (11–12 m). Napoleon berkata kepada Marsyal-marsyal: "Tuan-tuan, periksalah tanah ini dengan teliti, ia akan menjadi medan perang; kalian akan melaksanakan peranan masing-masing di atasnya."[11]

Rancangan dan kecenderungan Perikatan[sunting | sunting sumber]

Map showing French troops concentrated to the west of the battlefield and the Allies to the east.
Kedudukan tentera Perikatan (merah) dan Perancis (biru) pada jam 1800, 1 Disember 1805.

Kepimpinan pihak-pihak Perikatan bertemu pada 1 Disember untuk merancang pertempuran. Strategi tentera Perikatan melibatkan dua matlamat asas: menemukan tentera Perancis serta memperoleh kawasan selatan medan perang yang berarah ke Vienna. Tsar Alexander I rombongannya mendesak keras untuk bertempur; namun Maharaja Francis II lebih berwaspada. Pendapat Francis disokong oleh Kutuzov, panglima tentera Rusia.[12] Walau bagaimanapun, tekanan daripada bangsawan Rusia dan pemimpin-pemimpian tentera Austria untuk bertempur terlalu kuat, dan pihak Perikatan akhirnya menerima pakai rancangan Ketua Turus Austria, Franz von Weyrother.[12] Rancangan ini melibatkan pergerakan utama menghadap sayap kanan tentera Perancis, yang dianggap sebagai lemah; disertai dengan serangan ke kiri tentera Perancis untuk mengalih perhatian. Kebanyakan tentera Perikatan digunakan untuk menyerang sayap kanan Perancis. Pengawal Diraja Rusia digunakan sebagai tentera simpanan manakala sekumpulan tentera di bawah Bagration mempertahankan sayap kanan tentera Perikatan.

Rancangan dan kecenderungan Perancis[sunting | sunting sumber]

Beberapa hari sebelum pertempuran bermula, Napoleon telah memberi gambaran bahawa dia berada dalam keadaan lemah kepada tentera Perikatan dan ingin berunding damai.[13] Sebenarnya, dia mahu tentera Perikatan menyerang. Bagi menggoda Perikatan untuk berbuat demikian, Napoleon sengaja melemahkan sayap kanan tenteranya.[14] Pada 28 November, Napoleon bersidang dengan marsyal-marsyal. Mereka menasihatkan berundur, tetapi Napoleon menolak kerisauan mereka.[15] Rancangannya mengandaikan tentera Perikatan akan menumpukan kekuatan mereka terhadap sayap kanannya sehingga bahagian tengah mereka akan dilemahkan dengan teruk. Dia berancang untuk melunjurkan tentera Perancis ke bahagian tengah tentera Perikatan untuk menghancurkan mereka. Sementara itu, Napoleon mengarahkan Kor III Davout untu berarak dari Vienna untuk bergabung dengan tentera di bawah Legrand di sayap kanan untuk mempertahankan daripada serangan tentera Perikatan. Pengawal Diraja (Garde impériale) dan Kor I Bernadotte digunakan sebagai tentera simpanan manakala Kor V di bawah Lannes mempertahankan kawasan udara medan perang.

Permulaan[sunting | sunting sumber]

Pertempuran bermula pada pukul lapan pagi dengan serangan jajaran askar Perikatan pertama ke atas kampung Telnitz yang dipertahankan oleh Rejimen Barisan Ketiga. Selepas beberapa gelombang serangan hebat daripada tentera Perikatan, tentera Perancis terpaksa berundur ke sebelah lain Sungai Goldbach. Seketika ini, askar Kor di bawah Davout tiba dan berjaya mengusir tentera Perikatan dari Telnitz. Namun, mereka kemudiannya diserang oleh prajurit berkuda (hussars) dan terpaksa berundur sekali lagi. Serangan tentera Perikatan juga dihalang oleh meriam Perancis.[16]

Lebih-lebih lagi jajaran askar Perikatan menyerang sayap kanan Perancis, tetapi terlalu perlahan dan tidak berjaya menghancurkan garisan Perancis.[15] Sementara itu, tentera Perikatan mula menyerang Sokolnitz yang dipertahan oleh Rejimen Ringan Ke-26 dan Tirailleur. Serangan tentera Perikatan tidak berjaya dan Langeron mengarahkan serangan meriam atas kampung tersebut. Serangan ini akhirnya berjaya mengusir tentera Perancis. Tentera Perancis pula menyerang balas dan menawan semula Sokolnitz. Kampung Sokolnitz berubah tangan beberapa kali selepas itu.[17]

Hentaman bahagian tengah Perikatan[sunting | sunting sumber]

Map with blue lines showing the French advance against the Allied center, symbolized with red lines.
Serangan hebat kepada bahagian tengah tentera Perikatan oleh St. Hilaire dan Vandamme memecahkan mereka kepada dua bahagian dan membolehkan Perancis memenangi pertempuran.

Pada pukul sembilan, Napoleon mengarahkan tentera di bawah Soult menyerang bahagian tengah tentera Perikatan. Dia berkata: "Satu hentaman hebat dan perang ini akan ditamatkan."[18]

Kabus yang tebal menyembunyikan kemaraan divisyen Saint-Hilaire. Tentera dan pemimpin Rusia yang berada di puncak Tanah Tinggi Pratzen terkejut apabila melihat begitu ramai askar Perancis yang mara. Tentera Perikatan di kawasan tanah tinggi dihancurkan selepas bertempur selama satu jam. Tentera bantuan Austria yang tiba berjaya menghalau askar Perancis buat sementara, tetapi akhirnya tentera di bawah Saint-Hilaire berjaya menawan kawasan tanah tinggi. Di utara, divisyen Vandamme menyerang kawasan Staré Vinohrady dan berjaya menghancurkan beberapa batalion Perikatan.[19]

Perancis kini semakin dijamin menang, tetapi pertempuran belum tamat lagi. Napoleon mengarahkan Kor I Bernadotte untuk menyokong sayap kiri Vandamme dan memindahkan pusat pimpinannya dari bukit Zuran ke Gereja St. Anthony di atas Tanah Tinggi Pratzen. Pihak Perikatan pula menghantar Pengawal Diraja Rusia yang diketuai oleh Grand Duke Constantine Pavlovich dari Rusia untuk meyerang balas divisyen Vandamme. Serangan ini berjaya menawan satu-satunya panji-panji Perancis dalam pertempuran (dari batalion dalam Rejimen Garisan Keempat). Bagi membalas serangan ini, Napoleon menghantar pasukan berkuda berat Garde impériale. Walaupun Rusia mempunyai askar lebih ramai, pertempuran di atas kawasan tanah tinggi bertukar memihak Perancis. Divisyen Drouet di bawah Kor I berjaya melindungi askar berkuda Perancis. Meriam berkuda Garde impériale juga mengenakan kecederaan berat ke atas askar berkuda dan fusilier Rusia. Askar Rusia mula berundur dan dikejar oleh Perancis sejauh 0.25 batu.[20]

Akhir[sunting | sunting sumber]

Map showing the French advance in blue lines and the defeated Allied armies in red lines, moving away (to the east) from the battlefield.
Pada jam 1400, tentera Perikatan dipecah kepada dua bahagian. Napoleon mempunyai peluang menyerang salah satu bahagian Dia memilih untuk menyerang sayap kiri Perikatan kerana bahagian-bahagian lain tentera Perikatan sudah ditewaskan atau sedang berundur.

Pertempuran berat juga berlaku di kawasan utara medan perang. Askar berkuda berat di bawah Putera Liechtenstein (Rusia) menyerang askar berkuda kering di bawah Kellermann (Perancis). Askar Rusia lebih ramai, dan Kellermann terpaksa mendapat lindungan daripada infantri Caffarelli. Murat kemudiannya menghantar dua divisyen cuirassier untuk menghancurkan askar berkuda Rusia. Lannes kemudiannya memimpin Kor V menghadap tentera Bagration dan akhirnya merjaya memaksa Bagration berundur. Murat enggan memberi arahan mengejar tentera Rusia yang berundur walaupun Lannes ingin berbuat demikian.[21]

Napoleon mula pengalih perhatiannya ke kawasan selatan di mana tentera Perancis dan Perikatan masih bertempur untuk menawan Sokolnitz dan Telnitz. Divisyen Saint-Hilaire dan sebahagian Kor III Davout berjaya menghentam askar Perikatan di Sokolnitz. Jeneral Buxhowden, Kienmayer dan Langeron berjaya melarikan diri. Askar berkuda ringan di bawah O'Reilly yang melindungi perunduran Kienmayer, berjaya menewaskan lime rejimen berkuda Perancis sebelum berundur.[21]

Tentera Perikatan mula berpanik dan mula melarikan diri secara tidak teratur. Askar Rusia menuju ke selatan ke tasik Satschan yang beku. Tembakan meriam memecahkan ais, dan ramai askar Rusia lemas di dalam air sejuk. Anggaran askar yang lemas berbeza dari 200 hingga 2,000. Namun, ramai askar Rusia juga diselamatkan oleh askar Perancis. Jumlah meriam yang tenggelam dianggarkan antara 38 hingga lebih daripada 100.[3][22]

Akibat[sunting | sunting sumber]

Pertempuran Austerlitz membawa perubahan mendalam kepada politik Eropah. Dalam tiga bulan, Perancis menjajahi Vienna, menghapuskan dua tentera dan memalukan Empayar Austria. Ini bertentangan dengan struktur kuasa yang tegar pada abad ke-18. Austerlitz merupakan permulaan penguasan penuh Perancis ke atas benua Eropah selama sepuluh tahun. Dalam jangka pendek, ia mendorong Prusia untuk berperang dengan Perancis pada 1806.

Pencapaian ketenteraan dan politik[sunting | sunting sumber]

Seramai 27,000 daripada 73,000 (atau 37%) askar Perikatan terkorban atau tercedera; manakala 9,000 daripada 67,000 askar Perancis (13%) terkorban atau tercedera. Kemenangan ini disambut dengan meriah di Paris, walaupun negara semakin menghadapi bencana ekonomi.

Dalam Perjanjian Pressburg yang ditandatangani oleh pihak Perancis dan Austria, Austria bersetuju keluar daripada Perang Pakatan Ketiga. Austria juga mengiktiraf wilayah yang ditawan oleh Perancis dalam Perjanjian Campo Formio (1797) dan Lunéville (1801), menyerahkan wilayah kepada Bavaria, Württemberg dan Baden (sekutu-sekutu Napoleon), membayar 40 juta franc sebagai tanggung rugi, serta menyerahkan Venice kepada Kerajaan Itali. Syarat-syarat Pressburg dianggap keras bagi Austria, tetapi bukan dahsyat juga. Tentera Rusia dibenarkan pulang ke tanah air manakala tentera Perancis ditempatkan di selatan Jerman secara kekal. Empayar Rom Suci dibubarkan. Napoleon pula menubuhkan Pergabungan Sungai Rhine, sekumpulan negara Jerman yang menjadi kawasan penampan antara Perancis dan Prusia. Prusia mula berasa dicabar sebagai kuasa utama Eropah Tengah dan mengisytiharkan perang ke atas Perancis pada 1806.

Ganjaran[sunting | sunting sumber]

Pegawai berkedudukan tinggi diberi ganjaran 2 juta franc manakala setiap askar diberi ganjaran sebanyak 200 franc. Pencen juga diberi kepada balu askar terkorban. Kanak-kanak yang yatim akibat perang diambil oleh Napoleon sebagai anak angkat.[23] Napoleon enggan menganugerahkan gelaran kepada marsyal dan generalnya. Ini diambil sebagai bukti bahawa Napoleon menganggap Pertempuran Austerlitz sebagai kejayaan diri sehingga enggan mengiktiraf pencapaian sesiapa yang lain.[24]

Nota[sunting | sunting sumber]

  1. Berbeza mengikut rekod-rekod; anggaran termasuk 65,000, 67,000, 73,000, dan 75,000. Perbezaan wujud kerana 7,000 orang dari Kor III Davout tidak berada di pertempuran pada permulaan. Tambahan tentera tersebut terpulang kepada perekod. (Dalam rencana ini, mereka dianggap asing daripada 67,000 tentera Perancis asal di medan perang. David G. Chandler, The Campaigns of Napoleon. m/s 416 memberi 67,000 (tanpa Kor III Davout)
  2. Berbeza mengikut rekod; anggaran termasuk 73,000, 84,000, dan 85,000. Andrew Uffindell, Great Generals of the Napoleonic Wars. m/s 25 memberi 73,000. David G. Chandler, The Campaigns of Napoleon. m/s 417 memberi 85,400. Dalam Napoleon and Austerlitz (1997), Scott Bowden mengatakan bahawa rekod biasa kekuatan tentera Pakatan, iaitu 85,000, merupakan kekuatan dalam teori sahaja, bukan jumlah benar tentera di medan perang.
  3. 3.0 3.1 3.2 David G. Chandler, The Campaigns of Napoleon. m/s 432
  4. Chandler m/s 328.
  5. Chandler m/s 331
  6. Richard Brooks (editor), Atlas of World Military History. m/s 108
  7. Andrew Uffindell, Great Generals of the Napoleonic Wars. m/s 15
  8. David G. Chandler, The Campaigns of Napoleon. m/s 407
  9. Chandler m/s 409
  10. 10.0 10.1 Andrew Uffindell, Great Generals of the Napoleonic Wars. m/s 19
  11. David G. Chandler, The Campaigns of Napoleon. m/s 412–413
  12. 12.0 12.1 Chandler m/s 416
  13. Frank McLynn, Napoleon: A Biography. m/s 342
  14. Richard Brooks (editor), Atlas of World Military History. m/s 109
  15. 15.0 15.1 Todd Fisher & Gregory Fremont-Barnes, The Napoleonic Wars: The Rise and Fall of an Empire. p. 48
  16. Fisher & Fremont-Barnes m/s 48–49
  17. Todd Fisher & Gregory Fremont-Barnes, The Napoleonic Wars: The Rise and Fall of an Empire. m/s 49
  18. Andrew Uffindell, Great Generals of the Napoleonic Wars. m/s 21
  19. Todd Fisher & Gregory Fremont-Barnes, The Napoleonic Wars: The Rise and Fall of an Empire. m/s 49–50
  20. Fisher & Fremont-Barnes m/s 51
  21. 21.0 21.1 Fisher & Fremont-Barnes m/s 52
  22. Rose, John Holland (1910). "XXIII. Austerlitz". The Life of Napoleon I 2 (edisi ke-ketiga). London: G Bell and Sons. ms. 38. Diperoleh pada 10 December 2008. 
  23. David G. Chandler, The Campaigns of Napoleon. m/s 439
  24. Andrew Uffindell, Great Generals of the Napoleonic Wars. m/s 25

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  • Brooks, Richard (editor). Atlas of World Military History. London: HarperCollins, 2000. ISBN 0-7607-2025-8
  • Castle, Ian. Austerlitz 1805: The Fate of Empires. Oxford: Osprey Publishing, 2002. ISBN 1-84176-136-2
  • Castle, Ian. Austerlitz - Napoleon and the Eagles of Europe. Pen & Sword Books, 2005. ISBN 1-84415-171-9
  • Chandler, David G. The Campaigns of Napoleon. New York: Simon & Schuster, 1995. ISBN 0-02-523660-1
  • Fisher, Todd & Fremont-Barnes, Gregory. The Napoleonic Wars: The Rise and Fall of an Empire. Oxford: Osprey Publishing Ltd., 2004. ISBN 1-84176-831-6
  • Goetz, Robert. 1805: Austerlitz: Napoleon and the Destruction of the Third Coalition (Greenhill Books, 2005). ISBN 1-85367-644-6
  • Tolstoy, Leo. War and Peace. London: Penguin Group, 1982. ISBN 0-14-044417-3
  • Marbot, Jean-Baptiste-Antoine-Marcelin. "The Battle of Austerlitz," Napoleon: Symbol for an Age, A Brief History with Documents, ed. Rafe Blaufarb (New York: Bedford/St. Martin's, 2008), 122-123.
  • McLynn, Frank. Napoleon: A Biography. New York: Arcade Publishing Inc., 1997. ISBN 1-55970-631-7
  • Uffindell, Andrew. Great Generals of the Napoleonic Wars. Kent: Spellmount Ltd., 2003. ISBN 1-86227-177-1

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

Koordinat: 49°07′40″N 16°45′49″E / 49.12778°U 16.76361°T / 49.12778; 16.76361