Perubatan tradisional Melayu

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Perubatan tradisional Melayu ialah perubatan Melayu yang diamalkan oleh para bomoh dan Tok Dukun sejak beberapa abad dahulu. Perubatan ini yang banyak menggunakan bahan-bahan yang berasal daripada tumbuh-tumbuhan dan herba telah diterima dengan penuh minat oleh masyarakat Melayu di Malaysia kerana ia merupakan kaedah yang selamat dan tidak memberi kesan sampingan terhadap tubuh badan manusia.[1] Ini dapat di buktikan dengan banyaknya produk ubat tradisional Melayu yang dipasarkan. Dianggarkan pada masa ini melebihi 13,000 jenis tumbuh-tumbuhan yang berpotensi untuk dijadikan ubat bagi menyembuhkan pelbagai penyakit. Kebanyakan tumbuh-tumbuhan ini terdapat di kawasan tropika. Menurut kajian Universiti Sains Malaysia, terdapat 2,000 hingga 3,000 spesies tumbuh-tumbuhan ubatan di Malaysia yang telah digunakan bagi tujuan perubatan moden dan tradisional.[1] Satu lagi faktor tentang mengapa perubatan tradisional Melayu mendapat tempat dalam kalangan masyarakat adalah kerana ia lebih murah, berbanding dengan rawatan dan perubatan lain.

Pengamal perubatan tradisional Melayu banyak bergantung pada pengetahuan dan ingatan yang diwarisi daripada guru mereka secara turun-temurun. Dalam kalangan bangsawan, terdapat juga buku perubatan dikarang, yang dipengaruhi dari Parsi seperti kitab Tib yang dikarang. Ada juga yang dikatakan mendapat ilmu tentang perubatan dan rawatan melalui mimpi atau ilham dengan cara-cara yang tertentu.[1]

Pada zaman penjajahan British, amalan perubatan Barat sangat popular sehingga amalan perubatan tradisional Melayu dilupai, khususnya oleh golongan bangsawan dan para cendekiawan.[1] Masyarakat Melayu lebih mempercayai perubatan Barat yang dibawa oleh penjajah kerana kajian yang dijalankan mereka terhadap sesuatu penyakit adalah lebih saintifik. Namun sejak akhir-akhir ini, perubatan tradisional Melayu semakin mendapat tempat di hati masyarakat Melayu kerana ia tidak menggunakan bahan-bahan kimia dan beracun.

Sistem perubatan tradisional Melayu[sunting | sunting sumber]

Perubatan tradisional Melayu adalah melalui amalan petua yang terdiri daripada dua aspek, iaitu amalan suruhan dan amalan tegahan.[1] Amalan suruhan banyak berhubung dengan pemakanan daripada segi jenis, kuantiti, dan khasiat yang terdapat di dalam tumbuhan. Ia bertujuan untuk mendapatkan keseimbangan serta mengelakkan sebarang serangan penyakit dan keuzuran. Amalan tegahan pula bertujuan untuk menghalang pesakit daripada memakan makanan tertentu sewaktu dalam tempoh rawatan sebagai pantang larang. Ia bertujuan untuk memeliharakan kesihatan manusia dalam keadaan baik secara berterusan atau bagi mempercepatkan penyembuhan penyakit.

Kebanyakan pengamal perubatan tradisional Melayu mengkategorikan punca penyakit kepada yang bersangkutan dengan darah dan yang bersangkutan dengan angin. Darah perlu 'panas' tetapi tidak boleh berlebihan.[1] Angin disalurkan melalui urat di dalam badan. Namun jika terdapat terlalu banyak angin, ia akan menyekatkan perjalanan darah lalu mengganggu kesihatan. Justeru, darah dan angin merupakan dua unsur utama dalam tubuh seseorang. Jika kedua-dua darah dan angin berkeadaan baik, maka individu yang berkenaan itu akan sihat. Sehubungan dengan itu, kaedah pengurutan juga dilakukan bagi menolak 'angin' dan merangsang perjalanan darah dan urat. Pengurutan biasanya dilakukan pada bahagian-bahagian badan yang terlibat dalam kerja berat, seperti tangan, kaki, dan belakang tubuh. Ia dilakukan dengan menggunakan minyak urut atau minyak angin yang diperbuat daripada minyak kelapa dan beberapa jenis tumbuhan yang mempunyai khasiat 'panas'. Tumpuan utama pengurutan adalah untuk merawat perempuan lepas bersalin. Di samping itu, mereka juga digalakkan mengambil ramuan tumbuhan untuk dimakan dan disapu pada badan bagi mengeluarkan angin dari urat.

Kitab perubatan Melayu silam dinamakan kitab Tib dan Perpustakaan Negara Malaysia telah mencetak semula kajian mengenai kitab tib seperti judul Kitab Tib: Ilmu Perubatan Melayu untuk kajian dan rujukan mengenai kesusteraan bahasa Melayu.

Dalam perubatan tradisional Melayu, penggunaan tumbuh-tumbuhan adalah amat meluas. Kebanyakan pengamal perubatan tradisional Melayu berpendapat khasiat perubatan terletak terutama pada akar tumbuhan dan bagi tumbuhan yang berubi, ia terletak pada ubinya. Pengamal perubatan tradisional Melayu biasa mengkategorikan zat tumbuhan kepada tiga, iaitu:[1]

  1. Zat besi untuk menguatkan darah;
  2. Zat kawi untuk menstabilkan perjalanan fungsi tubuh; dan
  3. Zat kapur untuk menyejukkan badan.

Gabungan Pengamal Perubatan Tradisional Melayu Malaysia (GAPERA) menggantikan PUTRAMAS merupakan salah satu Badan Pengamal yang dikenal oleh Kementerian Kesihatan Malaysia di Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari sila lihat GAPERA

Prinsip amalan perbomohan[sunting | sunting sumber]

Amalan perbomohan yang menurut perspektif Islam mestilah berdasarkan sumber-sumber yang pasti, sama ada dari al-Quran atau dari Sunnah, serta sumber-sumber perundangan yang diiktiraf oleh Islam. Sekiranya terdapat percanggahan dengan prinsip akidah Islam, maka amalan tersebut perlu disingkirkan. Penggunaan ayat-ayat roh, penunggu, atau makhluk lain, dengan tujuan untuk bersahabat atau meminta bantuan daripada mereka, tidak dibenarkan dalam amalan perubatan Melayu. Justeru, bantuan dan harapan hanyalah bersandarkan kepada Allah, di samping usaha-usaha yang dilakukan.

Rujukan[sunting | sunting sumber]