Pieter Willem Botha

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
P.W. Botha
Pieter Willem Botha

Tempoh berjawat
9 Oktober 1978 (1978-10-09) – 3 September 1984 (1984-09-03)
Didahului oleh B.J. Vorster
Digantikan oleh Frederik W. de Klerk

Tarikh lahir 12 Januari 1916
Tempat lahir Paul Roux, Orange Free State
Meninggal 31 Oktober 2006
Wilderness, Western Cape
Parti politik Parti Kebangsaan
Pasangan Anna Elizabeth Rossouw (Elize)

P.W. Botha atau nama penuhnya Pieter Willem Botha (12 Januari 1916 - 31 Oktober 2006) adalah Perdana Menteri Afrika Selatan antara 1978 dan 1984 serta Presiden Afrika Selatan antara 1984 dan 1989. Beliau merupakan ketua eksekutif yang paling lama di negara ini, iaitu selama 11 tahun. Botha juga merupakan Perdana Menteri Afrika Selatan terakhir apabila jawatan ini dimansuhkan pada 1984. Beliau terkenal sebagai seorang yang panas baran dengan gaya kepimpinan autoritarian dan telah diberi gelaran "die groot krokodil", iaitu bahasa Belanda yang bermaksud "buaya yang besar".

Sejarah Awal[sunting | sunting sumber]

Botha dilahirkan disebuah kawasan ladang Telegraaf di Paul Roux,Orange Free State. Ayahnya yang juga bernama Pieter, merupakan seorang tentera yang pernah menentang pihak British sewaktu Perang Boer Kedua (1899–1902). Pada 1934, P.W. Botha telah memasuki Grey University College (kini University of the Free State) di Bloemfontein untuk mempelajari bidang undang-undang. Namun, beliau telah meninggalkan alam universiti pada usia 20 tahun untuk menyertai arena politik. Pekerjaan politiknya yang pertama dalam Parti Kebangsaan ialah sebagai pengelola politik political organiser di wilayah bersebelahan iaitu Cape Province.

Pada 1943, Botha telah berkahwin dengan Anna Elizabeth Rossouw atau lebih dikenali sebagai Elize, dan mereka telah dianugerahkan dengan lima cahaya mata; dua anak lelaki dan tiga anak perempuan.

Kegiatan politik[sunting | sunting sumber]

Botha adalah penyokong kuat Parti Kebangsaan dan pemisahan perkauman serta sistem aparteid. Beliau dipilih ke parlimen pada 1948 dan menjadi Menteri Pertahanan pada 1966. Sewaktu menjadi Menteri Pendidikan kaum Bantu, beliau telah membuat polisi kontoversi iaitu pengenalan bahasa Afrikaan di sekolah-sekolah. Ini telah mencetus kemarahan pelajar-pelajar kulit hitam yang menganggap bahasa ini sebagai bahasa "bangsa penindas". Pada 1976, para pelajar di Soweto telah merusuh dan ia berakhir dengan peristiwa berdarah di Soweto. Apabila Perdana Menteri B.J. Vorster meletak jawatan pada 1978, Botha menjadi penggantinya.

Pada 1983, perlembagaan Afrika Selatan diubah dan jawatan Perdana Menteri ditukar kepada Presiden. Botha menjadi Presiden Eksekutif pertama di Afrika Selatan pada 1984.

Sebagai presiden, Botha mempunyai cita-cita yang besar termasuk memulakan program senjata nuklear dan penaklukan negeri jiran di Namibia. Beliau juga telah melancarkan operasi ketenteraan terhadap Angola pada tahun 1981. Gaya kepimpinannya yang autoritarian telah menjadikan beliau tidak popular di negara-negara barat. Ramai yang menuduhnya sebagai pemimpin yang zalim dan diktator yang mengamal rasisme. Malah kerajaan di Amerika Syarikat dan United Kingdom hampir-hampir mengadakan sekatan perdagangan terhadap Afrika Selatan untuk melemahkan Botha dan regim minoriti kulit putihnya.

Walaupun begitu, perlaksanaan aparteid sewaktu oleh kerajaan Botha adalah tidak seteruk pemimpin sebelumnya. Sewaktu beliau berkuasa, Botha membenarkan perkahwinan berlainan bangsa dan juga memberi kebebasan berparti politik kepada kaum bukan kulit putih (tetapi tidak termasuk kaum kulit hitam). Beliau juga melonggarkan akta yang dipanggil "Akta Kawasan-kawasan Kelompok" ("Group Areas Act"), yang melarang kaum bukan kulit putih dari membuat penempatan di kawasan tertentu, dan memberi hak berpolitik terhad kepada kaum berwarna, iaitu kaum yang berasal daripada perkahwinan campur kulit putih dengan yang bukan putih) dan kaum berbangsa India. Namun beliau masih menolak idea memberi hak mengundi kepada kaum kulit hitam di Afrika Selatan. Botha hanya sanggup berkompromi dalam perkara aparteid yang tidak berkaitan dengan politik.

Kejatuhan aparteid[sunting | sunting sumber]

Kedegilan Botha untuk berkompromi telah mengakibatkan Parti Kebangsaan berpecah kepada beberapa kumpulan. Pada 1989, bantahan di dalam kabinet dan partinya serta serangan angin ahmar telah memaksa beliau meletak jawatan, dan beliau digantikan oleh Frederik W. de Klerk. Akibat serangan angin ahmar tersebut, beliau telah menjadi lumpuh dibahagian kiri badannya. Lima tahun kemudian, de Klerk menghapuskan sistem aparteid dan mengadakan pilihan raya bebas yang pertama di Afrika Selatan yang dimenangi oleh parti Kongres Kebangsaan Afrika di bawah pimpinan Nelson Mandela.

Botha selepas persaraan[sunting | sunting sumber]

Botha dan isterinya telah bersara di rumahnya, Die Anker, di bandar Wilderness, 350 km timur Cape Town di pesisiran pantai Lautan Hindi. Sejak persaraannya, beliau telah sembunyi daripada kacamata pihak media.

Botha enggan memberi keterangan dihadapan Suruhanjaya Kebenaran dan Rekonsiliasi bagi mendedahkan jenayah aparteid yang dilakukannya sewaktu beliau menerajui kerajaan Afrika Selatan. Suruhanjaya ini yang diketuai oleh musuhnya yang paling ketat Biskop Agung Desmond Tutu telah mendapati bahawa beliau bersalah kerana mengarahkan pengeboman ibupejabat Majlis Gereja-Gereja Afrika Selatan di Johannesburg. Walaupun begitu, beliau tidak mengendahkan tuduhan suruhanjaya tersebut, malah menggangapnya sebagai satu "pertunjukan sarkas". [1] Pada Ogos 1998 beliau telah dikenakan denda dan hukuman penjara suspended jail sentence kerana keengganannya memberi keterangan terhadap tuduhan pelanggaran hak asasi manusia dan keganasan yang dilakukan sewaktu beliau menjadi presiden State Security Council.[2]

Isteri kesayangannya Elize telah meninggal dunia pada 1997, dan beliau kemudian mengahwini Barbara Robertson pada 22 Jun, 1998. Botha meninggal dunia akibat serangan sakit jantung di rumahnya pada 31 Oktober 2006, pada usia 90. Mantan Presiden Nelson Mandela telah dilaporkan berkata "walaupun ramai yang menganggap En. Botha akan kekal sebagai simbol aparteid, kami juga mengingati usahanya mengambil langkah kearah perundingan secara aman bagi negara kita."[3] Keluarganya telah menolak tawaran pengkebumian negara state funeral dan akan mengadakan pengkebumian pada 8 November ini.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. http://www.hamline.edu/apakabar/basisdata/1998/04/17/0070.html Mantan Presiden Afrika Selatan Diadili
  2. http://news.bbc.co.uk/1/hi/special_report/1998/10/98/truth_and_reconciliation/203927.stm TRC findings: P W Botha, BBC News, October 1998, accessed 1 November 2006
  3. http://news.bbc.co.uk/1/hi/world/africa/6105178.stm BBC News, accessed 1 November 2006


Didahalui oleh:
B.J. Vorster
(Perdana Menteri Afrika Selatan)
Perdana Menteri Afrika Selatan ke-9 Digantikan oleh:
Jawatan dihapuskan
Didahalui oleh:
Marais Viljoen
(Presiden Negara Afrika Selatan)
Presiden Negara Afrika Selatan ke-8 Digantikan oleh:
F.W. de Klerk