Pika

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Pika
Pika Amerika, (Ochotona princeps), di Taman Negara Sequoia
Pengelasan saintifik
Alam: Animalia
Filum: Chordata
Kelas: Mammalia
Order: Lagomorpha
Keluarga: Ochotonidae
Thomas, 1897
Genus: Ochotona
Link, 1795
Type species
Ochotona minor
Link, 1795
(Lepus dauuricus Pallas, 1776)
Spesies

Rujuk teks

Pika ialah sejenis haiwan kecil yang berkaki pendek, bertelinga kebulatan, dan berekor pendek. Nama "pika" dipercayai berasal daripada piika dalam bahasa Tungus, ataupun pikat ("berdecit") dalam bahasa Rusia, dan digunakan untuk memaksudkan mana-mana spesies yang menganggotai famili Ochotonidae dalam order Lagomorpha yang juga merangkumi Leporidae (arnab). Pika juga menerima timangan "arnab bersiul" kerana bunyi geranya yang nyaring ketika menerjun ke dalam lubang sarangnya.

Habitat[sunting | sunting sumber]

Pika merupakan haiwan asli di kawasan beriklim sejuk, terutamanya di Asia, Amerika Utara dan sesebahagian Eropah Timur. Kebanyakan spesies pika tinggal di kawasan tepi gunung yang berbatu-batan, di mana terdapat banyak rekahan untuk dijadikan tempat berlindung, tetapi ada juga yang membuat sarang bawah tanah. Sebilangan kecil spesies bersarang bawah tanah berasal dari tanah steppe yang terbuka. Di pergunungan Eurasia, pika juga berkongsi sarang bawah tanah dengan burung cakar salji yang membuat sarang di situ.[1]

Dalam satu rencana dalam Journal of Biogeography, ahli arkeologi Donald Grayson mengingatkan bahawa kegiatan manusia dan perubahan iklim sedunia nampaknya mengusir populasi pika Amerika ke tempat yang lebih tinggi daripada dahulu, dan mungkin ke kancah kepupusan.[2][3] Grayson mengkaji kehabitatan pika selama 40,000 tahun dahulu di kawasan di antara Sierra Nevada dan Banjaran Rocky. Kerana faktor-faktor inilah, Perkhidmatan Perikanan dan Hidupan Liar Amerika Syarikat telah menentukan bahawa pika mungkin perlu ditarafkan sebagai spesies terlindung[4] mengikut Akta Haiwan Terancam dan menjalankan semakan status sehingga 7 Januari 2010.[5]

Sifat[sunting | sunting sumber]

Fosil Ochotona sp.

Pika ialah sejenis haiwan kecil yang berkaki pendek, bertelinga kebulatan dan berekor pendek. Panjang tubuhnya sekitar 6-9 inci, dengan ekornya yang hanya lebih kurang 2 cm panjangnya, dan beratnya antara 120 dan 350 gram, bergantung pada spesies. Sama dengan arnab, selepas makan, pika membuang tahi hijau yang lembut untuk dimakan semula demi meningkatkan khasiat, sebelum membuang tahi besar.

Pika merupakan haiwan maun yang memakan pelbagai jenis bahan tumbuhan, terutamanya rumput, rusiga, ranting pokok renek, lumut, dan liken. Seperti haiwan Lagomorpha yang lain, pika mempunyai gigi acip untuk menggerogot dan tiada gigi taring, tetapi kurang bilangan gigi gerahamnya berbanding arnab, oleh itu formula pergigiannya adalah: Upper: 2.0.3.2 / Lower: 1.0.2.3

Pika yang tinggal di batu-batuan melahirkan sebanyak lima ekor anak sahaja, manakala spesies yang bersarang tanah pula lebih banyak beranak dan lebih kerap membiak, gara-gara kekayaan sumber di habitat asalnya. Anak pika dilahirkan selepas tempoh hamil selama 25 hingga 30 hari[1].

Keaktifan[sunting | sunting sumber]

Vegetation pile, drying on rocks for subsequent storage. Gad valley, Utah

Pika merupakan haiwan yang diurnal (berjaga siang) atau krepuskul (berjaga senja), terutamanya spesies tanah tinggi yang lebih aktif pada waktu siang. Keaktifan pika memuncak sebelum tibanya musim sejuk. Pika tidak berhibernasi, oleh itu ia bergantung pada rumput kering yang dikumpul sebagai bekalan makanan dan juga kepanasan. Pika mengumpul rumput segar lalu meletakannya secara berlonggok untuk dibiarkan kering. Selepas rumput itu kering, pika mengambilnya kembali ke dalam sarang untuk disimpan. Pika tidak jarang mencuri rumput kering sesama sendiri, dan perbalahan sesama pika yang terjadi daripada itu membuka ruang kepada pemangsa seperti feret dan burung besar untuk mengambil kesempatan.

Pika Eurasia biasanya tinggal secara kelompok berkeluarga dan berkongsi tugas mengumpul makanan dan berjaga-jaga. Ada juga sebilangan kecil spesies pika yang bersifat kewilayahan. Pika Amerika Utara (O. princeps dan O. collaris) pula hidup secara bersendirian ketika bukan musim membiak.

Spesies[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. 1.0 1.1 Kawamichi, Takeo (1984). Macdonald, D.. ed. The Encyclopedia of Mammals. New York: Facts on File. m/s. 726–727. ISBN 0-87196-871-1. 
  2. Grayson, Donald K. (2005). "A brief history of Great Basin pikas". Journal of Biogeography 32 (12): 2103–2111. doi:10.1111/j.1365-2699.2005.01341.x. 
  3. Stark, Mike. "As West warms, some fear for tiny mountain dweller", PhysOrg, 4 April 2009. Dicapai pada 10 Mei 2010. 
  4. U.S. Fish and Wildlife Service (6 Mei 2009). "90-Day Finding on a Petition To List the American Pika as Threatened or Endangered with Critical Habitat". http://www.fws.gov/mountain-prairie/species/mammals/americanpika/05062009FRTemp.pdf. Capaian 20 Mei 2009. 
  5. U.S. Fish and Wildlife Service (6 May 2009). "Fish and Wildlife Service to Conduct Status Review of the American Pika". http://www.fws.gov/news/NewsReleases/showNews.cfm?newsId=17717149-B61A-76FB-746EC973F6E65784. Capaian 20 May 2009. 

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

  • The Trek of the Pika "A story complete with sounds of pika calls" 30 October 2002
  • [1] "A radio feature on how Pikas in the Rockies are coping with climate change. " 31 July 2007