Pilihan raya kecil Kuala Terengganu 2009

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Pilihan raya kecil Kuala Terengganu 2009 diadakan berikutan kematian ahli parlimennya Datuk Razali Ismail . Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar menyatakan bahawa pilihan raya kecil hendaklah diadakan selepas 60 hari disahkan oleh speaker Dewan Rakyat.

Razali yang dilantik menjadi Timbalan Menteri Pelajaran, meninggal dunia ketika bermain badminton di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands sewaktu menghadiri permukiman anjuran UMNO Terengganu.

Datuk Mat Razali Kassim yang juga Datuk Bandar Kuala Terengganu, dilantik sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu. Namun di atas sebab-sebab tertentu beliau meletak jawatan sebagai pegawai pengurus pada 15 Januari 2009 dan digantikan oleh Wan Mustafa Wan Hassan, Setiausaha Majlis Bandaraya Kuala Terengganu sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya.[1]

Profil Parlimen[sunting | sunting sumber]

Parlimen Kuala Terengganu mempunyai 80,229 pengundi berdaftar. Ia terdiri daripada tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu DUN Wakaf Mempelam, DUN Bandar, DUN Batu Buruk dan DUN Ladang.

Dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 1990, Datuk Abdul Manan Othman (Semangat 46) memenangi parlimen ini. Pilihan Raya Umum Malaysia 1999 Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (PAS) pula memenanginya. Pilihan Raya Umum Malaysia 2004 dan 2008 , calon BN, Datuk Razali Ismail menang .[2]

Tahun Ahli Parlimen Parti Lawan Parti Lawan Majoriti
1978 Abdul Manan Othman Barisan Nasional BN-UMNO Mustafa @ Hassan Ali PAS PAS 5758
Kasim Ahmad PSRM PRSM
1982 Abdul Manan Othman Barisan Nasional BN-UMNO Wan Abd Mutalib Wan Musa Embong Parti Islam Se-Malaysia PAS 5,467
Syed Shafie Tuan Baharu PSRM PRSM
1986 Zubir Embong Barisan Nasional BN-UMNO Mustafa @ Hassan Ali Parti Islam Se-Malaysia PAS 3,324
1990 Dato' Manan Osman Semangat 46 Semangat 46
1995 Dato' Abu Bakar Daud Barisan Nasional BN-UMNO
1999 Syed Azman Syed Ahmad Nawawi PAS PAS Datuk Abu Bakar Daud Barisan Nasional BN-UMNO 14,448
2004 Datuk Razali Ismail Barisan Nasional BN-UMNO Syed Azman Syed Ahmad Nawawi PAS PAS 1933
2008 Datuk Razali Ismail Barisan Nasional BN-UMNO Mohamad Sabu PAS PAS 628
Maimun Yusuf Bebas

Calon bertanding[sunting | sunting sumber]

Dari kiri: Mohd Abdul Wahid Endut (PAS), Wan Ahmad Farid Wan Salleh (BN) dan Azharudin Mamat @ Adam (Bebas)
Nama calon Parti
Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh Barisan Nasional Barisan Nasional-UMNO
Mohd Abdul Wahid Endut PAS Pakatan Rakyat-PAS
Azharudin Mamat @ Adam Bebas

Calon Barisan Nasional[sunting | sunting sumber]

Barisan Nasional menimbangkan beberapa calon seperti Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh; Timbalan Ketua Bahagian Mohd Sabri Alwi; Ketua Penerangan UMNO negeri dan bekas Ketua Penerangan Bahagian, Datuk Zuber Embong dan Bendahari Umno Terengganu, Datuk Roslan Awang Chik. Namun akhirnya pada 20 Disember 2008, BN memilih sebagai calon Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.[3]

Calon Pakatan Rakyat[sunting | sunting sumber]

Pada mulanya, beberapa nama kedengaran akan dinamakan sebagai calon seperti Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Mustafa Ali atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Dr. Syed Azman Syed Ahmad. Namun, akhirnya ADUN Wakaf Mempelam, Mohd Abdul Wahid Endut dinamakan sebagai calon Pas untuk pilihan raya kecil kawasan Parlimen Kuala Terengganu pada 1 Januari 2009. Pengumuman dibuat oleh Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang di hadapan kira-kira 8,000 penyokong PAS di Stadium Negeri, Kuala Terengganu.[4]

Calon lain[sunting | sunting sumber]

Calon Bebas, Azharudin Mamat @ Adam, anak jati Kampung Ladang Pasar, menawarkan diri sebagai calon walaupun tiada khabar sebelum ini. Beliau merupakan pemilik sebuah pusat perubatan alternatif. Arwah ayahnya, Datuk Adam Taib pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Besar Terengganu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad.

Naib Presiden Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM), Harun Mohamad dipilih oleh parti itu untuk bertanding dalam pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu. Beliau merupakan seorang peniaga, adalah bekas anggota jawatankuasa PAS kawasan Kuala Terengganu.[5] Walaubagaimanapun, pada hari penamaan calon pada 6 Januari 2008, Harun Mohamad mengumumkan tidak menawarkan diri untuk bertanding, kemudian memberikan sokongan kepada calon PAS.[6]

Pada 14 Disember 2008, Maimun Yusuf yang pernah bertanding di kerusi yang sama namun kalah, menawarkan diri sekali lagi untuk bertanding sebagai calon bebas pada kali ini.[7] Namun pada 29 Disember 2008, beliau akhirnya menarik diri atas alasan tidak mencukupi wang. Beliau yang sebelum ini menggunakan blog sebagai wadah pilihanraya serta saluran untuk mencari dana, namun beliau berkata beliau tidak menerima derma tersebut dari orang ramai.[8]

Suasana pilihan raya[sunting | sunting sumber]

Kawalan keselamatan[sunting | sunting sumber]

Bagi memastikan perjalanan pilihan raya berjalan lancar, 6000 anggota polis ditugaskan di Kuala Terengganu. Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman menyatakan pegawai dan anggota polis daripada Unit Udara, Pasukan Gerakan Am, Pasukan Gerakan Khas, Unit Tindakan Khas (UTK), Unit Tindakan Ringan (LSF), Unit Pencegahan Rusuhan (PORU) dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) akan memastikan tiada kegiatan jenayah dan pergaduhan terutama pada hari penamaan calon sehingga hari pengundian pada 17 Januari 2008.[9]

Penamaan calon[sunting | sunting sumber]

Dalam proses penamaan calon tersebut, Wan Ahmad Farid telah dicadang oleh Ketua Pemuda UMNO Terengganu Mohd Sabri Alwi dan disokong oleh Setiausaha Agung MCA Datuk Wong Foon Meng. Calon PAS, Mohd Abdul Wahid, yang merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri Wakaf Mempelam selama lima penggal sejak 1990, tiba di pusat penamaan calon pada 9.10 pagi. Beliau diiringi Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa dan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Mohd Abdul Wahid dicadangkan oleh Pesuruhjaya PAS Terengganu Datuk Mustafa Ali dan disokong oleh Md Azmi Lok Yusof.

Calon Bebas Azharudin melakukan kejutan apabila mengemukakan borang pencalonan sedangkan sebelum ini beliau tidak pernah menyatakan hasrat untuk bertanding dalam pilihan raya kecil itu. Kehadiran Azharudin, di pusat penamaan itu pada pukul 9.27 pagi tidak disedari sehingga beliau menyerahkan borang pencalonan itu. Azharuddin, seorang ahli perniagaan, telah dicadangkan Ahmad Affendi Shah Mamat @ Adam dan disokong oleh Zakaria Abdullah.

Isma Airfath Hassanuddin yang sebelum ini mengumumkan hasrat untuk bertanding sebagai calon Bebas serta mendedahkan strategi kempennya termasuk menggunakan dikir barat, bagaimanapun tidak muncul di pusat penamaan calon hari ini. Calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) Harun @ Ab Rahman Mohamad, yang juga sebelum ini menyatakan hasrat untuk bertanding pada pilihan raya kecil itu, tiba di pusat penamaan calon itu pada 9.20 pagi, tetapi membuat keputusan untuk tidak menyerahkan borang penamaan calon.[10]

Kempen pilihan raya[sunting | sunting sumber]

PAS memainkan isu royalti minyak Petronas manakala BN memainkan isu hudud yang ditentang oleh DAP sebagai isu terbesar. Pada 16 Januari 2009, wang tunai RM300 telah diedarkan kepada beberapa wartawan yang bertugas di pusat media Jabatan Penerangan di Kuala Terengganu. Mereka terlebih dahulu diminta oleh seorang kakitangan pusat media itu, supaya menulis nama, pertubuhan media dan nombor telefon pada sekeping kertas, sebelum diberi sampul surat berwarna putih yang mengisi enam keping wang RM50.[11]

PAS menggesa SPR menggugurkan Datuk Mat Razali Kassim daripada terus menguruskan pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu atas alasan Pengurus Pilihan Raya itu telah 'menyalahgunakan' kedudukan beliau untuk mempengaruhi kakitangannya supaya mengundi Barisan Nasional. Selain itu, PAS juga mendakwa SPR telah bekerjasama dengan JPN dalam usaha menyediakan pengundi hantu. Namun semua dakwaan itu telah dinafikan oleh pihak BN.[12]

Barisan Nasional berkempen menggunakan pendekatan usaha kerajaan dalam pembangunan untuk rakyat. BN menjanjikan royalti minyak berjumlah RM 3 billion buat kerajaan negeri Terengganu.[13] BN menggelarkan PAS sebagai 'Dok Rok Chetong' bertujuan menggambarkan PAS sebagai lemah kerana tunduk kepada DAP mengenai isu hudud.[14]

Pendekatan calon Bebas, Azharudin Mamat @ Adam, berlainan dengan dua pesaingnya ketika kempen pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu kerana tiada ceramah dan perhimpunan. Beliau berkempen dengan berjumpa pengundi dari mulut ke mulut.[15]

Hari pengundian[sunting | sunting sumber]

Sebanyak 143 saluran di 36 pusat mengundi dibuka mulai pukul 8 pagi 17 Januari 2009 bagi membolehkan 80,229 pengundi menunaikan tanggungjawab mereka pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu. Pusat-pusat pengundian itu terletak di Pusat Pengajian al-Quran dan Fardu Ain Yayasan Islam Terengganu di Jalan Hiliran, sekolah menengah dan kebangsaan serta dewan orang ramai di sekitar bandar raya tersebut.[16]

Wan Ahmad Farid merupakan pengundi pertama yang menunaikan tanggungjawab itu di Sekolah Kebangsaan Pusat Bukit Besar, Kuala Terengganu pada pukul 8.02 pagi. Mohd Abdul Wahid pula mengundi di Sekolah Kebangsaan Pusat Chabang Tiga pukul 8.07 pagi. Calon bebas Azharudin Mamat atau Adam bagaimanapun tidak mengundi di kawasan Parlimen itu kerana beliau merupakan pengundi berdaftar di Parlimen Petaling Jaya Utara.[17]

Keputusan pilihan raya[sunting | sunting sumber]

Dewan Rakyat: Pilihan raya kecil Kuala Terengganu, 2009
Parti Calon Undian % ±%
Barisan Nasional BN-UMNO Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh 30,552 -
PAS PR-PAS Mohd Abdul Wahid Endut 32,883 -
Bebas Azharudin Mamat @ Adam 193 -
Majoriti 2,631 -
Peratusan mengundi 79.9 % -

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]