Pilihan raya kecil Pengkalan Kubor 2014

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Pilihan raya kecil Pengkalan Kubor 2014 diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Noor Zahidi Omar meninggal dunia semasa dirawat di Guangzhou,China. PRK Pengkalan Kubor ini merupakan pilihan raya kecil yang ke-7 selepas PRU13 lalu selepas berlangsungnya PRK Kuala Besut, Sungai Limau, Kajang, Balingian manakala dua lagi di peringkat Parlimen iaitu Bukit Gelugor dan Teluk Intan.

Calon BN Mat Razi Mat Ail berjaya mempertahankan kerusi DUN ini.[1]

Senario pilihan raya[sunting | sunting sumber]

Ketua Jajahan Tumpat Mohd Sobri Ramli dilantik pegawai pengurus PRK Pengkalan Kubor yang dibantu tiga penolong pengurus selain tiga pasukan penguatkuasa kempen pilihan raya.

Pada 29 Ogos 2014, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof mengumumkan PRK DUN Pengkalan Kubor diadakan pada 25 September 2014. Hari penamaan calon pada 13 September 2014 itu semasa cuti sekolah pertengahan penggal kedua. Hari pengundian awal diadakan pada 21 September 2014 melibatkan seramai 109 pengundi berdaftar.11 sekolah dijadikan pusat pengundian melibatkan 46 saluran. Manakala 422 petugas akan bertugas dalam pilihan raya kecil yang melibatkan perbelanjaan RM696,750. Taklimat itu diberikan di Ibu Pejabat SPR di Putrajaya.

Daftar pemilih induk 2013 digunakan bersama daftar pemilih suku pertama 2014 yang dikemaskini pada 20 Ogos 2014. PRK DUN Pengkalan Kubor diadakan susulan penyandangnya allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar meninggal dunia ketika menerima rawatan di Guangzhou, China pada 20 Ogos lalu.

Allahyarham Datuk Zahidi adalah timbalan pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, berjaya memenangi kerusi DUN Pengkalan Kubor semasa PRU13 dengan majoriti 1,736 undi dalam saingan tiga penjuru mengalahkan calon daripada PKR dan Bebas.

Bilik Gerakan Pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat akan dijadikan sebagai pusat penamaan calon manakala Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Biji Wangsa akan dijadikan pusat penjumlahan undi rasmi. Daftar pemilih yang digunakan dalam pilihan raya kali ini mengandungi seramai 24,039 pengundi berdaftar termasuk seorang pengundi tidak hadir di luar negara. Semua pihak diminta mematuhi arahan pihak polis yang bertanggungjawab dalam menjaga ketenteraman awam dan keselamatan urusan pilihan raya. Semua pemimpin parti politik, calon, petugas, penyokong parti dan individu lain yang terlibat semasa berkempen hendaklah mematuhi peraturan pilihan raya dan tata etika berkempen yang ditetapkan semasa tempoh rasmi kempen.

Semua majikan hendaklah memberi tempoh munasabah kepada pengundi yang bekerja agar diberi kebenaran untuk keluar mengundi.Subseksyen 25 (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1953 memperuntukkan tiada majikan yang boleh membuat potongan gaji atau menuntut apa-apa penalti sebab tidak bekerja dalam tempoh itu. Majikan yang tidak membenarkan pekerjanya untuk keluar mengundi boleh didenda sebanyak RM5,000 atau setahun penjara," katanya.

Bagi pengundian secara pos dalam negara, permohonan boleh dikemukakan sebelum 15 September manakala yang berada di luar negara sebelum 13 September 2014. PRK kali ini menyaksikan pengundi yang berusia lingkungan 30 hingga 39 tahun merupakan kumpulan teramai dengan 5,744 orang diikuti pengundi yang berusia 40 hingga 49 tahun (4,983) dan pengundi yang berusia 21 hingga 29 tahun (4,827).[2]

Keputusan[sunting | sunting sumber]

DUN Kelantan: PRK Pengkalan Kubor 2014
Parti Calon Undian % ±%
BN Mat Razi Mat Ail 9948 56.28
PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim 7322 41.43
Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary 38 0.21
Undian rosak
Majoriti 2626 14.86
Peratusan mengundi 17674 73.52

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "BN pertahan DUN Pengkalan Kubor". Berita Harian. 25 September 2014. Dicapai pada 26 September 2014.
  2. ^ PRK Pengkalan Kubor 25 September, penamaan calon 13 September