Pitahati

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Pitahati
Pitahati (dari kiri): Yasin, Masrin, Ilham, Zahar dan Hidayat
Latar belakang
Berasal dariLembah Kelang, Selangor, Malaysia
GenreNusantara Rock, Art Rock, Prog Rock, Psikadelik, Eksperimental, Indie Folk
InstrumenVokal, Piano, Gitar, Bass, Dram, Synthesizer, Alatan Musik Tradisional, Alatan Elektronik
Tahun aktif2011-kini
Syarikat pengurusan
Ruang Hati Kita
Syarikat rakaman
Luncai Emas Sdn Bhd
Pengkarya berkait
Ilustrasi(Band) Couple
Laman sesawang
www.facebook.com/pitahati
AhliIlham, Yasin, Zahar, Hidayat, Masrin.

Pitahati ialah sebuah kumpulan yang berasal dari Lembah Klang, Selangor. Ditubuhkan pada awal 2011, ahli mereka terdiri dari Zahar (gitar utama/efek bunyi/vokal) dan Masrin (bass/vokal/efek bunyi) serta gabungan tiga bersaudara, Ilham (vokal/piano/gitar), Yasin (drum/vokal/perkusi/synthesizer) dan Hidayat (gitar/synthesizer/vokal). Musik mereka disifatkan sebagai sebuah gerakan musik "Nusantara" baru.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Penubuhan, pra-EP Bintang Biru Kristal Salju (2011)[sunting | sunting sumber]

Pitahati tertubuh hasil daripada gabungan sahabat pemuzik muda yang sebelum itu aktif dengan kumpulan masing-masing. Kumpulan-kumpulan tersebut, iaitu Manis (yang dianggotai Yasin) serta Ilustrasi (Zahar dan Masrin) dipanggil oleh Ilham sebagai vokalis/gitaris entiti baru yang dinamakan Pitahati sekitar tahun 2011. Pengambilan Hidayat sebagai gitaris ketiga kemudiannya melengkapkan barisan Pitahati.

Sepanjang tahun penubuhan itu, Pitahati mula mengukir nama di dalam suasana seni tempatan sebagai sebuah kugiran sepenuh masa. Antara persembahan-persembahan pertama kumpulan, yang ketika itu sedang ingin meraih audiens pendengar tersendiri dengan keluaran EP Bintang Biru Kristal Salju, adalah penampilan di kaca tivi untuk pencalonan Muzik Muzik sempena lagu tunggal yang bertajuk sama seperti EP tersebut.

Tidak mengambil masa yang lama selepas itu untuk pentas-pentas besar, seperti acara tahunan Festival Hari Belia Putrajaya dan juga festival Urbanscapes, mula mengundang Pitahati.

Fonetik Anak Candal (2012-2014)[sunting | sunting sumber]

Tahun berikutnya 2012 menyaksikan pendedahan Pitahati yang paling berkesan setakat itu, diundang untuk merakam persembahan langsung terus menerus tanpa gangguan, khas untuk laman The Wknd Sessions pada bulan Mei. Penampilan ini menangkap perhatian warga dan pengikut muzik independen serantau dan mengorak reputasi awal Pitahati sebagai kumpulan serius yang sealiran pendekatan mereka dengan kumpulan-kumpulan rock klasik dan konsepsual khususnya Pink Floyd dan Radiohead.

Berikutan itu Pitahati terus kerap menerima panggilan-panggilan dari acara-acara muzik tahunan terkenal Malaysia seperti Rock The World, di mana mereka akhirnya menyertai pesta tempatan tersebut sebanyak tiga kali berturut-turut untuk tahun 2012, 2013 dan 2014.

Album penuh pertama, Fonetik Anak Candal, yang tiba pada tahun 2013 terus menderaskan lagi pergerakan Pitahati, dengan undangan langsung oleh penganjur korporat dan juga independen, serta sempena pelancaran-pelancaran yang diadakan artis dan kugiran semasa seperti Man Under Zero Effort, Vials, dan juga Yazer (Akademi Fantasia).

Tahun 2014 menyaksikan pesta muzik antarabangsa Good Vibes yang diadakan di Sepang, Selangor, menyenaraikan Pitahati di atas pentas yang sama dengan nama-nama dunia seperti Modest Mouse dan Smashing Pumpkins.

Akhir tahun 2014 dan awal tahun 2015 melihat Pitahati memeriahkan barisan band di majlis-majlis besar-besaran yang meraikan kegiatan seni lokal seperti Yayasan Sime Darby Arts Festival yang diadakan di KLPAC dan juga Tapaufest yang pertama di Penang (festival seni belia dan budaya kreatif independen Malaysia yang pertama diadakan atas daya sokongan peminat dengan cara crowdfund).

OST Terbaik Dari Langit dan Selamat Datang Ke Panggung Suara (2015-kini)[sunting | sunting sumber]

Januari 2015 menyaksikan Pitahati bergabung tenaga semula dengan rakan-rakan segenerasi termasuk Aizat Amdan, Diana Danielle dan Salammusik berserta monoloQue dan Altimet untuk menghulurkan bantuan buat mangsa banjir di konsert Derma Kilat yang kedua anjuran Penerbitan Pancasona.

Dalam tahun yang sama juga Pitahati mengeluarkan lagu mereka yang paling komersil setakat itu iaitu “Sahabat”, bersempena album runut bunyi gubahan mereka sepenuhnya untuk filem Terbaik Dari Langit. Menurut ahli-ahli kumpulan, album penuh seterusnya bakal dibentuk berdasarkan baki-baki bahan karya dari rakaman runut bunyi tersebut.

Album studio penuh kedua Pitahati ditawarkan kepada peminat dalam bentuk piring hitam pra-pesan (ataupun cakera vinyl) pada bulan Ogos 2015, berjudul Selamat Datang Ke Panggung Suara, yang mana kandungannya terdiri daripada "sisa inspirasi" semasa sesi untuk skor filem TDL yang berunsur 'kolaj eksperimental bunyi-bunyian' dan penerokaan forma lagu yang tidak konvensional.

Menurut Ilham juga, LP kedua meresap inspirasi dari kehidupan bohemian 50-an di samping elemen klasikal Melayu dan juga Eropah. Judul-judul trek awal dari album tersebut termasuk “Kemudi”, “Seloka Pak Toyu”, “Balada Aku Engkau”, “Nak?”, “Eternitas”, “Nostalgia Psikotropika” dan juga “Hafiz Sufian”– sebuah trek yang terilham dari minat mendalam terhadap karya-karya penyajak Hafiz.

Penerimaan terhadap album SDKPS lebih berbentuk kejutan daripada pihak pendengar Pitahati yang menjangkakan keluaran yang amat berbeza dengan album studio pertama, Fonetik Anak Candal, yang boleh dianggap 'sedikit mudah untuk ditelan' dengan adanya lagu-lagu seperti “Cahaya Dalam Buta” (diterbitkan dengan monoloQue), “Burung Dalam Kaca”, “Bicara Dan Susunkata” dan juga pembuka/penutup tirai, “Krisendo Silendro”/“Nafas” dan “Melayar”.

Pengaruh dan gaya muzik[sunting | sunting sumber]

Dikategorikan dibawah genre progresif yang sealiran dengan kumpulan-kumpulan rock Barat sepanjang zaman moden seperti Pink Floyd dan Radiohead. Pitahati yang menggelarkan sendiri jenama muzik mereka sebagai "rock Nusantara avant garde" juga berasaskan pendekatan tiga-gitar, disalutkan dengan elemen-elemen terkini seperti sekuens dan juga sentuhan sintesiser. Karya-karya asli berpaksikan rock mereka ini juga sarat dengan pengisian senikata bahasa Melayu yang tersendiri, tidak terhad pada pengaruh-pengaruh lagenda tanahair dan Indonesia seperti kumpulan Search, Sweet Charity, OAG, Butterfingers serta Slank dan Iwan Fals.

Lirik Pitahati juga dikatakan terilham dari karya-karya penulis sastera Melayu seperti Datuk A. Samad Said dan Pramoedya Ananta Toer; penyajak silam, Hafiz; dan juga penulis senikata lagu rock Melayu tersohor era 1980an dan 1990an iaitu Allahyarham Loloq.

Persembahan "Live"[sunting | sunting sumber]

Jerayawara[sunting | sunting sumber]

Menjelang 2014, Pitahati mula melangkah meluncurkan tur sendiri. Yang pertama iaitu tur Merapah Fonetik Tanah Semenanjung membawa Pitahati ke beberapa Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Di akhir 2015, jelajah bersendirian kedua digerakkan oleh Pitahati dengan nama Merantau Sang Nusa yang sekali lagi dibawa ke seluruh negara, kali ini sempena mempromosikan LP kedua iaitu Selamat Datang Ke Panggung Suara yang dijadualkan tiba pada tahun 2016. Tahun tersebut menyaksikan Pitahati mengorak semula langkah pemasaran muzik mereka dengan diadakan beberapa sesi intim bersama peminat di kedai-kedai rekod berhampiran dengan markas mereka di sekitar Lembah Klang.

Pementasan[sunting | sunting sumber]

Kualiti progresif dan psikedelik Pitahati bukan sahaja mempengaruhi penghasilan muzik dan kandungan senikata mereka, tetapi juga estetik mereka di arena musik "live" yang sedikit sebanyak telah mengorak reputasi mereka sebagai sebuah live band yang serius dan mengutamakan penjelajahan yang luas dan kerap. Kumpulan Pitahati meletakkan persiapan yang rapi serta penekanan terhadap kualiti dari segi teknikal (ekuipmen, lampu dan reka pentas) dan juga persembahan (kualiti bunyi dan visual) sebagai prioriti untuk konsert-konsert mereka.

Elemen Visual[sunting | sunting sumber]

Perancangan dan pemasangan persembahan langsung Pitahati sejak tahun 2015 menampakkan perkembangan visi estetika mereka yang semakin terealisasi. Penggunaan konsep-konsep terkini seperti projection mapping dan motion graphics ataupun grafik-grafik yang bergerak interaktif dengan muzik yang dimainkan secara langsung kini menjadi setup kebiasaan Pitahati.

Rasional pendekatan visual mereka selain menyampaikan bunyi mereka yang unik dengan sebaik mungkin dikatakan adalah untuk mengangkat "sebuah semangat Neo-Asia". Visi ini akhir sekali direalisasikan di siri persembahan yang bertempat di Esplanade Singapura.

Konsert-konsert individu sepanjang undangan mereka di Esplanade itu telah menyaksikan Pitahati mengadakan persempahan selama 180 minit setiap konsert, dibantu oleh Motioixo dan juga Sesi Seni yang pernah terlibat dengan konsert Yuna di Istana Budaya.

Sempena terbitnya album Selamat Datang Ke Panggung Suara pada Mac 2016, ikutan dari itu penampilan secara besar-besaran yang menampilkan persembahan khusus bahan baru dari Pitahati itu dibawa pula ke pentas Auditorium Muzium Negara pada bulan Mei.

Kegiatan lain[sunting | sunting sumber]

Selain aktif sebagai anggota kumpulan rock profesional ahli-ahli Pitahati juga terlibat dalam kegiatan-kegiatan lain. Hidayat merupakan pengamal seni rupa dan pertukangan kayu manakala Zahar pula mendalami kepakarannya dalam memperbaiki alatan muzik terutamanya gitar elektrik.

Pemain bass, Masrin merupakan seorang pensyarah komunikasi massa yang berkelayakan sarjana muda dan Yasin pula banyak menghasilkan album sebagai produser untuk band antaranya Ramayan dan Margasatwa sementara Ilham seorang lulusan seni foto berminat dengan sastera klasik dan pengumpulan barangan-barangan vintaj rantau Nusantara.

Kumpulan Pitahati juga terlibat di dalam aktivisme sosial seperti penglibatan mereka dalam bantuan penjanaan dana buat mangsa-mangsa banjir pantai timur Malaysia serta menghiburkan anak anak yatim dan gelandangan. Pitahati juga pernah tampil mendukung pertubuhan seperti Yakin Malaysia dan juga Rock 4 Rights.

Penerimaan[sunting | sunting sumber]

Setelah puluhan kali mengadakan persembahan setakat itu termasuk juga penampilan serta rakaman untuk radio dan TV (RTM, 8TV, TV9), Pitahati dipilih sebagai band pilihan muka depan majalah muzik tempatan ROTTW untuk bulan Februari 2014.

Kira-kira setahun sebelum penakrifan itu, majalah yang sama pernah memberi liputan kepada Pitahati di bawah ruangan Expose untuk isu bulan April 2013, dengan penekanan terhadap “dua jiwa yang membentuk Pitahati”, merujuk kepada gabungan Ilham dan Yasin bersama Masrin dan Zahar dari Ilustrasi.

Dalam tulisan-tulisannya di laman The Daily Seni, bekas pengarang bersekutu dan penyumbang rencana sambilan (juga biografer Butterfingers) Izuan Shah mengulas bahawa Fonetik Anak Candal dan muzik Pitahati secara keseluruhan setakat itu mempunyai “sesuatu kaliber” yang “berjiwa besar”. Penulis/pemuzik itu juga menulis bahawa persembahan langsung Pitahati ketika itu lebih sinematik berbanding teatrikal namun memiliki kualiti yang perlu untuk ke arah teater.

Ahkbar kontemporari Kosmo! pula telah menamakan Fonetik Anak Candal sebagai Album Melayu Terbaik tahun 2014, di samping album Fragmen oleh Datuk Siti Nurhaliza dan Angin Kencang, album solo Noh Salleh dari Kumpulan Hujan. Selain Kosmo!, akhbar harian bahasa Melayu lain yang memberi liputan buat muzik Pitahati termasuk juga Harian Metro.

Diskografi[sunting | sunting sumber]

EP[sunting | sunting sumber]

Album[sunting | sunting sumber]

Single[sunting | sunting sumber]

  • Naraka - lagu tema siri Jibril (2019)

Skor Filem[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]