Plag dan soket AC domestik

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Plag dan soket AC domestik merujuk kepada peranti yang digunakan untuk menyambungkan peralatan elektrik kepada bekalan elektrik sesalur.

Plag elektrik adalah bahagian penyambung elektrik "jantan" dengan pin untuk disambungkan ke alur "betina" soket yang bersesuaian.

Soket dinding, (kadang kala dikenali sebagai mata soket atau mata kuasa[1][2]) adalah bahagian penyambung elektrik "betina" dengan alur atau lubang untuk memuatkan pin plag serta menghantar arus elektrik kepada plag yang dimasukkan. Soket direka untuk menerima hanya jenis plag yang berpadanan serta menolak jenis-jenis plag yang lain.

Tiga penyambung[sunting | sunting sumber]

Sesentuh mungkin diperbuat daripada keluli atau loyang, dan boleh jadi saduran zink, timah atau nikel. Setiap soket mempunyai sama ada dua atau tiga wayar penyambung:

  • Wayar hidup (juga dikenali sebagai wayar fasa) - membawa arus ulang-alik dari punca kuasa ke beban.
  • Wayar neutral - mengembalikan arus elektrik ke punca kuasa.
  • Wayar bumi - bertujuan hanya untuk mengangkut arus elektrik bocor ke bumi apabila berlaku kebocoran arus elektrik akibat kegagalan penebat; jika tiada kebocoran arus elektrik, wayar ini tidak membawa sebarang arus elektrik. Ia biasanya disambungkan ke bahagian bekas logam serta bahagian peralatan lain yang mungkin bersentuhan dengan manusia. Gangguan elektromagnetik serta pelindung kejutan elektrik membuang cas elektrik yang tidak dikehendaki melalui wayar bumi. Tidak semua sistem pendawaian elektrik dibumikan.

Plag berkutub[sunting | sunting sumber]

Plag dan soket berkutub adalah jenis yang direka untuk disambungkan pada orientasi yang betul sahaja, supaya penyambung hidup dan neutral pada peralatan elektrik hanya bersambung dengan penyambung yang betul di dalam soket. Pengutuban dikekalkan oleh saiz, bentuk dan/atau kedudukan pin plag serta lubang soket bagi memastikan sesuatu plag hanya boleh dimasukkan sehala sahaja ke dalam soket. Ia adalah supaya suis, misalnya, hanya mengendalikan wayar hidup di dalam litar. Jika wayar neutral pula yang dikendalikan, walaupun peralatan elektrik tersebut sudah tidak diaktifkan akibat litar terbuka, pendawaian dalamannya masih lagi diuja. Ia boleh mengakibatkan kejutan elektrik jika peralatan tersebut dibuka, kerana badan manusia boleh membentuk litar elektrik — laluan voltan yang berbeza daripada voltan pada wayar hidup. Dalam sesetengah peralatan dengan unsur pemanas seperti pemanggang roti, kekutuban songsang boleh menyebabkan elemen pemanas menjadi hidup walaupun ketika sejuk, mendedahkan pengguna kepada kejutan elektrik walaupun peralatan tersebut tidak ditanggalkan.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Semasa elektrik mula diperkenalkan untuk kegunaan rumah, ia asalnya digunakan untuk pencahayaan sahaja. Pada masa itu, kebanyakan syarikat pembekal elektrik mengendalikan sistem tarif berasingan di mana bayaran untuk kegunaan pencahayaan lebih rendah daripada tujuan lain. Ia membawa kepada rekaan peralatan elektrik mudah alih (seperti pembersih hampagas, kipas elektrik serta pengering rambut) yang disambung ke soket lampu.

U.S. Patent 774,250 . Plag dan soket elektrik pertama.

Walau bagaimanapun, setelah tenaga elektrik menjadi kaedah utama bagi pencahayaan rumah serta pengendalian peralatan elektrik yang menjimatkan tenaga buruh, satu bentuk sambungan ke bekalan elektrik selain dari soket lampu amat diperlukan. Plag dan soket elektrik 2 pin asal dicipta oleh Harvey Hubbell dan dipatenkan pada tahun 1904. Pengeluar lain mula mengguna pakai rekaan Hubbell dan menjelang tahun 1915 penggunaannya semakin meluas, walaupun pada tahun-tahun 1920an malah lebih lama lagi, sesetengah peralatan rumah serta komersial masih menggunakan soket lampu jenis skru Edison. [3] [4] [5]

Plag 3 pin dicipta oleh Philip F. Labre, semasa beliau masih menuntut di Sekolah Kejuruteraan Milwaukee (MSOE). Dikatakan tuan rumahnya mempunyai seekor kucing yang suka melanggar kipasnya semasa datang dari arah tingkap. Setiap kali dia memalamkan kipas itu semula, dia akan terkena kejutan elektrik. Labre mendapati bahawa jika plag tersebut dibumikan, arus elektrik akan pergi ke bumi dan bukannya ke badan tuan rumahnya. Beliau memohon dan seterusnya diberikan paten bagi plag dan soket yang dibumikan pada 5 Jun 1928.[6] Setelah keperluan bagi pemasangan yang lebih selamat menjadi semakin ketara, sistem 3 pin yang dibumikan diwajibkan di kebanyakan negara industri.

Piawaian[sunting | sunting sumber]

Peta dunia mengikut voltan/frekuensi.
Peta dunia mengikut jenis plag.

Terdapat dua piawaian asas bagi voltan dan frekuensi bekalan elektrik domestik di dunia. Salah satu daripadanya ialah piawaian Amerika Utara dengan voltan 110-120 volt serta frekuensi 60 Hz, yang menggunakan plag jenis A dan B, manakala satu lagi ialah piawaian Eropah dengan voltan 220-240 volt pada 50 Hz, yang menggunakan plag jenis C hingga M. Perbezaan atas sebab sejarah akan dibincangkan di dalam rencana Bekalan elektrik sesalur.

Negara pada benua lain mengguna pakai salah satu daripada dua piawaian voltan tersebut, walaupun sesetengah negara menggunakan variasi atau campuran antara kedua-dua piawaian tersebut. Peta yang dilampirkan menunjukkan jenis plag yang berbeza serta voltan dan frekuensi bekalan elektrik yang digunakan di seluruh dunia,[7] diberikan kod warna bagi memudahkan rujukan.

Jenis plag dan soket[sunting | sunting sumber]

Plag dan soket elektrik mungkin berbeza di setiap negara mengikut bentuk, saiz serta jenis penyambung. Jenis yang digunakan di setiap negara ditetapkan oleh badan penguatkuasa piawaian kebangsaan masing-masing, misalnya SIRIM di Malaysia.[8] Dalam rencana ini, jenis plag dilabelkan mengikut kod huruf dari penerbitan kerajaan A.S [1], ditambah dengan komen pendek yang menyatakan negara asal serta bilangan sesentuh.

Secara umumnya, Kelas IEC merujuk kepada pengkelasan peralatan elektrik sama ada ia dibumikan atau tidak, serta darjah penebatan yang digunakan. Misalnya, Kelas I merujuk kepada peralatan yang dibumikan, manakala Kelas II merujuk kepada peralatan tidak dibumikan yang dilindungi dengan dua lapisan penebat.

Perbandingan jenis plag[sunting | sunting sumber]

Jenis Piawaian plag Kadaran kuasa Pembumian Pengutuban Fius
A NEMA 1–15 tidak berkutub 15A/125V Tidak Tidak Tidak
NEMA 1–15 berkutub 15A/125V Tidak Ya Tidak
JIS C 8303, Kelas II 15A/100V Tidak Tidak Tidak
B NEMA 5–15 15A/125V Ya Ya Tidak
NEMA 5–20 20A/125V Ya Ya Tidak
JIS C 8303, Kelas I 15A/100V Ya Ya Tidak
C CEE 7/16 (Europlug) 2.5A/250V Tidak Tidak Tidak
CEE 7/17 16A/250V Tidak Tidak1 Tidak
Plag Soviet 6A/250V Tidak Tidak Tidak
D BS 546 (2 pin) 2A/250V
5A/250V = BS 4573
Tidak Tidak Tidak
BS 546 (3 pin) 2A/250V
5A/250V
15A/250V = SABS 164
30A/250V
Ya Ya Tidak
E CEE 7/5 16A/250V Ya Ya Tidak
F CEE 7/4 (Schuko) 16A/250V Ya Tidak Tidak
E+F CEE 7/7 16A/250V Ya Ya2 Tidak
G BS 1363, IS 401 & 411, MS 589, SS 145 13A/230-240V Ya Ya Ya
H SI 32 16A/250V Ya Ya Tidak
I AS/NZS 3112 10A/240V
20A/240V
25A/240V
32A/240V
Ya dan
tidak
Ya Tidak
CPCS-CCC 10A/250V Ya Ya Tidak
IRAM 2073 10A/250V Ya Ya Tidak
J SEV 1011 10A/250V
16A/250V
Ya Ya Tidak
K Section 107-2-D1 13A/250V Ya Ya Tidak
Thailand TIS 166 – 2549 13A/250V Ya Ya Tidak
L CEI 23-16/VII 10A/250V
16A/250V
Ya Tidak Tidak
IEC 60906-1 (2 pin) 16A/250V Tidak Tidak Tidak
IEC 60906-1 (3 pin) 16A/250V Ya Ya Tidak

1 Terdapat beberapa plag CEE 7/17 dengan bentuk khas yang berkutub apabila digunakan pada soket Perancis jenis E
2 Plag hanya boleh dimasukkan sehala sahaja dengan soket Perancis jenis E, tetapi ketiadaan panduan pendawaian bererti jenis ini tidak berkutub dalam amalan biasa

Kod warna[sunting | sunting sumber]

Warna wayar piawai bagi kabel boleh lentur
(Contoh: Wayar peralatan elektrik)
Kawasan, negara
atau entiti lain
Hidup Neutral Bumi
EU, Australia, Afrika Selatan dan Malaysia (IEC 60446) perang biru hijau & kuning
Australia & New Zealand (AS/NZS 3000:2000 3.8.1) merah hitam hijau / kuning
Amerika Syarikat dan Kanada Hitam (loyang) putih (perak) hijau (hijau)
Warna wayar piawai bagi kabel tetap
(kabel pendawaian elektrik)
Kawasan Hidup Neutral Bumi
EU (IEC 60446) termasuk UK mulai 31 Mac 2004 perang biru hijau & kuning
Australia dan Afrika Selatan merah hitam hijau & kuning (teras biasanya tidak bertebat dan perlu disarungkan pada terminal. Di Australia teras bumi ditebat berasingan dengan plastik hijau/kuning sejak lebih kurang tahun 1980.
Amerika Syarikat dan Kanada hitam, merah, biru (loyang) putih (perak) hijau (hijau)
atau wayar tembaga tanpa penebat
Nota: Warna dalam jadual ini mewakili warna piawaian yang paling lazim serta paling banyak digunakan bagi pendawaian fasa tunggal, tetapi kod warna lain mungkin turut digunakan, terutamanya pada pendawaian bangunan lama.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. Wiktionary: Power Point
  2. Redesign of a power point socket
  3. Hubbell (2006). "Hubbell History". Hubbell Incorporated. http://www.hubbell.com/history.htm. Capaian 2006-10-10. 
  4. Witte. "The Automobile Storage Battery Its Care and Repair". www.powerstream.com. http://www.powerstream.com/1922/battery_1922_WITTE/battery_WITTE.htm. Capaian 2007-09-14. 
  5. Crist. "Socket Tutorial". www.mosaicshades.com. http://www.mosaicshades.com/antique2005/sockets/index.htm. Capaian 2007-09-14. 
  6. U.S. Patent 1,672,067 
  7. Electric Current Abroad, U.S. Department of Commerce, International Trade Administration (2002), http://www.ita.doc.gov/media/Publications/pdf/current2002FINAL.pdf
  8. IEC/TR 60083, Plugs and socket-outlets for domestic and similar general use standardized in member countries of IEC, International Electrotechnical Commission (2006)