Pokok Kabung

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Pokok Kabung
frames
Pengelasan saintifik
Alam: Tumbuhan
Divisi: Magnoliophyta
Kelas: Liliopsida
Order: Arecales
Famili: Arecaceae
Genus: Arenga
Spesies: A. pinnata
Binomial: Arenga pinnata


Pokok Kabung, kantor atau enau (bahasa Inggeris: Common Sugar Palm) ialah satu spesies tumbuhan dalam famili Arecaceae yang berasal dari Asia Tenggara, dan Australia Utara. Nama botaninya Arenga pinnata.

Pokok Kabung ialah sejenis pokok palma yang mempunyai daun bak bulu burung. Batang pokoknya kukuh dan mempunyai pelepah pada pangkal setiap daun. Pelepah ini mempunyai serat hitam yang digunakan untuk membuat penyapu dan tali.

Bunga Pokok Kabung tumbuh berumpun-rumpun, dengan bunga jantan dan bunga betina terdapat dalam rumpun yang berasingan. Tangkai bunga jantan Pokok Kabung menghasilkan todi yang boleh dijadikan cuka atau gula.

Buah Pokok Kabung berjuntai-juntai sepanjang 1.5 meter (5 kaki). Setiap tandan mempunyai 10 tangkai, dengan setiap tangkai ada lebih kurang 50 biji buah kabung berwarna hijau yang tidak boleh dimakan begitu sahaja kerana kulitnya mengeluarkan getah yang sangat gatal.

Di Kampung Gajah, Perak, tandan buah kabung dikait dengan pengait setinggi 30 kaki atau pokoknya dipanjat. Pokoknya ada rerambut seperti pada Pokok Kelapa tetapi lebih banyak, tebal, berwarna hitam dan agak menakutkan. Buah kabung dileruikan (dipisahkan) dari tangkainya dan direbus dalam tin minyak tanah yang telah dibersihkan. Setelah 1-2 jam ditebus, buah tadi dibelah dua atau tiga. Ada tiga isi dalam setiap buah kabung bersaiz besar. Isi kabung direbus lagi untuk dijadikan agar-agar yang liat. Warnanya putih jernih. Agar-agar itu kemudian dimasak dengan air gula selama beberapa jam dan diberi pewarna.

Buah kabung kekadang disebut sebagai buah kantor. Isi kantor ini dihidangkan sebagai hidangan istimewa semasa Hari Raya Aidilfitri. Ada juga yang dijual di pasar Ramadan di Kampung Gajah, Perak.

Biji buah Pokok Kabung merupakan buah atap yang lut cahaya dan yang merupakan salah satu bahan ais kacang.

Selain buahnya, pokok kabung juga diambil niranya untuk menghasilkan gula kabung/enau. Kegunaan utama gula kabung adalah sebagai bahan masakan dalam kuih-muih tradisional, makanan dan minuman. Di antara makanan yang popular dengan campuran gula kabung/enau adalah bubur kacang, kuih koci, kuih kelepong, dodol, wajik, agar-agar, kuih sepang, air batu campur, cendol dan ada juga yang menjadikan gula enau sebagai bahan masakan untuk rendang dan kuah kacang.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  • Phang Wien Ho et al. A Guide to the Botanic Gardens Jungle. Pusat Sains Singapura (1983). ISBN 9971-88-010-5.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]