Pokok Macang

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Pokok Machang)
Lompat ke: pandu arah, cari
Pokok Macang
Status pemuliharaan
Pengelasan saintifik
Alam: Plantae
(tiada peringkat): Angiosperms
(tiada peringkat): Eudicots
(tiada peringkat): Rosids
Order: Sapindales
Famili: Anacardiaceae
Genus: Mangifera
Spesies: M. foetida
Nama binomial
Mangifera foetida
Lour.

Macang, bacang atau embacang ("Mangifera foetida")[1], [2] ialah sejenis pokok buah sama keluarga dengan mangga iaitu Anacardiaceae dari genus Mangifera yang terdapat di Malaysia. Buah Bacang merupakan buah yang eksotik ditanam di kawasan kampung secara dusun bercampur dengan pokok buah-buahan lain seperti durian, langsat, duku, kelapa, mangga, rambai dan sebagainya. Tumbuhan ini dipercayai berasal dari Malaysia dan negara Asia Tenggara yang lain seperti Indonesia, Thailand, Myanmar, Singapura, Kemboja dan Vietnam. Buah bacang seperti juga buah kuini iaitu mempunyai beberapa persamaan terutama dari segi bentuk, rasa, aroma dan struktur isinya. Antara perbezaan jelas ialah kandungan serat dalam bacang lebih keras berbanding dengan kuini.

Ciri-ciri morfologi[sunting | sunting sumber]

Pokok bacang adalah jenis pokok saka yang tumbuh menegak dengan ketinggian 15-25 meter serta mampu tumbuh sehingga 30 meter dan bentuk pokoknya adalah bercabang dan rendang. Batangnya merupakan jenis kayu keras yang mempunyai ukur lilit batang 70-150 cm dan mempunyai kulit tebal berwarna coklat serta mempunyai alur di bahagian pangkal pokok. Kelainan pada pokok bacang adalah kerana semua bahagian pokok dari batang, daun, dahan dan buahnya akan mengeluarkan cecair yang apabila terkena kulit akan rasa gatal-gatal terutama di kawasan sensitif atau kulit nipis. Lendir yang keluar ini mula-mula jernih kemudian akan jadi kemerahan apabila berlaku teroksidan dengan udara.

Perbandingan buah bacang (kiri) dengan kuini (kanan)

Daun pokok bacang adalah agak keras atau kaku seperti bahagian kulit batang dan berwarna hijau gelap lonjong tirus dengan 2-8 cm lebar dan 9-15 cm panjang. Daun yang tebal dan keras ini seakan berkilat di bahagian atas. Daun bacang yang tua akan gugur sendiri apabila cukup masa. Bunga bacang didapati banyak dikeluarkan dalam tangkai panjang seperti piramid sehingga 30-40 cm dan bunga keluar dari tangkai tersebut. Bunga yang berwarna putih kemerahan ini mempunyai 5 kelopak yang berukuran 4-5 mm lazimnya didebungakan oleh ejen pendebunga seperti langau, semut, kerengga, lebah dan juga angin. Pengeluaran bunga dari hujung tangkai daun dengan banyak pada bulan Mac- April setiap tahun di Malaysia iaitu selepas musim kemaru dan agak panas.

Buah bacang ialah berbentuk bulat lonjong dengan kulit tebal dan ada bintik-bintik lentisel berwarna coklat. Selalunya keseluruhan buah muda berwarna hijau dan buah matang berwarna hijau kekuningan dan kadang-kadang ada kesan lendir coklat gelap akibat luka. Saiz buah bacang bergantung kepada kesuburan pokok iaitu lingkungan 8-12 cm ukur lilit dan 10-16 cm panjang. Buah yang cukup masak ranum akan gugur sendiri dan dengan kulitnya yang keras dan tebal ianya tidak rosak walaupun jatuh dari ketinggian lebih 10 meter kerana daun dan semak samun boleh menjadi sebagai kusyen semasa ia jatuh. Buah yang masak mempunyai isi berwarna kuning kejinggana dan mengeluarkan aroma atau bau bacang yang sangat kuat. Kalau disimpan dalam rumah maka semua kawasan keliling dan jiran tetangga akan berbau kuat buah bacang.

Buah bacang juga menghasilkan cecair atau getah jika terkena bibir akan menyebabkan rasa gatal-gatal dan boleh menyebabkan bibir terluka kerana getah tersebut. Hendaklah dipastikan sebelum hendak makan buah bacang dibuang kulit dengan bersih dan kemudian dibasuh sehingga bersih. Isi buah yang berwarna kuning jingga ini adalah mempunyai rasa manis masam, banyak serat atau urat-urat sari yang akan terselit di celah gigi jika digigit. Urat-urat ari melekat pada biji bacang ditengahnya yang agak keras dan berukuran 10-12 cm panjang dan berbentuk leper.

Varieti[sunting | sunting sumber]

Buah bacang baru muncul di hujung pucuk pokok.

Buah macang yang dijual di pasar-pasar di Malaysia agak besar. Varieti lain juga ada seperti buah hampir bulat (contohnya. 'limus piit' yang terdapat di Jawa Barat). Terdapat juga jenis yang mempunyai isi yang lebih halus dan tidak berserat yang dikenali sebagai 'limus tipung (tepung)' yang merujuk kepada isi halusnya. Terdapat juga jenid 'asem linggau' yang terdapat di Kalimantan Timur, yang sebahagian besarnya memiliki biji terbantut. Kepelbagaian ciri buah direkodkan di Borneo dan Kalimantan Selatan. Bunga Mangifera pajang menyerupai Mangifera foetida; perbezaannya hanya daunnya yang lebih panjang dengan urat daun lebih menonjol dan buahnya yang lebih keperangan. Di kebun, dimana Mangifera pajang dan Mangifera foetida ditanam bersama-sama, pendebungaan silang menghasilkan bentuk kacukan yang daun dan buahnya mempunyai ciri kedua spesies.

Penanaman[sunting | sunting sumber]

Penanaman pokok bacang adalah menggunakan biji benih yang disemai dalam polibeg. Klon bacang kini masih belum ada yang didaftarkan di Jabatan Pertanian Malaysia dan yang ada cuma bacang tempatan. Dianggarkan terdapat seluas 150-200 hektar tanaman bacang di Malaysia pada tahun 2011 terutama di kawasan keliling rumah kampung tradisional. Jarak penanaman bacang yang disyorkan adalah 12m x 12m atau lebih jauh dari itu. Lubang penanaman disediakan dahulu dan diisikan dengan baja asas dan baja organik. Penggunaan anak benih bacang yang dicantum akan menghasilkan buah lebih cepat dari pokok ditanam dari biji. Jalankan kerja penyiraman sehingga pokok membesar. Kawal serangan kumbang Cockchafer dan belalang yang makan pucuk daun muda dengan racun serangga.

Buah macang di pokok

Pembajaan dengan baja organik dan baja kimia NPK 12:12:17:2 TE apabila pokok telah sesuai untuk berbuah dengan kadar 1.2-1.5 kilogram sepokok sebanyak 3 kali aplikasi. Serangan ulat batang dan ulat pengorek buah perlu dikawal dengan racun serangga jenis sistemik dan mengikut arahan pada label. Kebanyakan buah bacang yang ditanam di Malaysia mungkin boleh dikategorikan sebagai 'Buah Bacang Organik' kerana tidak pernah menggunakan bahan kimia atau baja kimia atau ada yang amalkan sistem penanaman 'Tanam, Tinggal dan Tuai - 3T'. Agak sukar untuk mendapatkan bekalan buah bacang kerana buah tersebut bermusim (sering keluar hasil bacang pada bulan Julai-September) setiap tahun. Kajian di Muar, Melaka dan Banting mendapati harga runcit bacang sekitar RM 10.00 - RM 15.00 sekilogram atau selonggok RM 5.00 mengandungi 2-5 biji bacang. Rasanya yang sangat manis (sehingga lebih dari 20 darjah brix) dan ianya adalah eksotik.

Penyakit dan perosak[sunting | sunting sumber]

Masaalah utama buah bacang adalah kerana sering wujudnya kumbang mangga didalamnya yang memakan isinya. Ulat pengorek buah dan kumbang dalam Buah bacang boleh dikawal dengan racun serangga sistemik semasa di peringkat vegetatif.

Kegunaan[sunting | sunting sumber]

Buah macang putik mengandungi getah bisa yang mampu menyebabkan bibir dan mulut berkudia. Apabila masak, getahnya terhad pada kulitnya dan buah masak boleh dimakan selepas dikupas. Buah Macang merupakan buah yang sedap dan sungguhpun berbau kuat, rasanya pernah digambarkan sesedap durian, tetapi biasanya tidak dihargai sebagai buah yang dihidangkan di meja. Buah putik biasanya dibasuh dengan air garam dan hirisannya digunakan sebagai bahan rojak dan jeruk masin. Di Borneo buahnya juga biasa digunakan sebagai pengganti asam keping sebagai bahan perasa sambal. Di Malaysia, Ia juga digunakan bagi menghasilkan cutni.

Pokok Macang menghasilkan kayu yang sesuai bagi pembinaan dalam ringan, sementara dan sebagai papan lapis tetapi tidak tahan terdedah. Pulur kayu berbelang sesuai bagi penghasilan perabot.

Daunnya dikatakan mampu meredakan demam (antipiretik) dan bijinya digunakan bagi merawat trikofitosis, trichophytosis, kudis buta (skabies) and eczema. Getah Macang turut digunakan oleh orang asli semenanjung menonjolkan parut tatu.

Bacaan lanjut[sunting | sunting sumber]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]