Rambutan

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Pokok Rambutan)
Lompat ke: pandu arah, cari
Rambutan
Buah rambutan
Setangkai buah rambutan
Status pemuliharaan
Pengelasan saintifik
Alam: Plantae
(tiada peringkat): Angiosperms
(tiada peringkat): Eudicots
(tiada peringkat): Rosids
Order: Sapindales
Famili: Sapindaceae
Genus: Nephelium
Spesies: N. lappaceum
Nama binomial
Nephelium lappaceum
L.[2]

Rambutan (nama botani: Nephelium Lappaceum L.) adalah sejenis pokok buah saka. Rambutan berasal dari selatan China, Vietnam, Laos, Kemboja, Thailand, Myanmar, Malaysia, Indonesia dan Sri Lanka. Ia kini banyak ditanam di Asia Tenggara dan sedikit di Sri Lanka, New Guinea, Australia, Amerika dan Afrika.

Pembiakan[sunting | sunting sumber]

Pokok rambutan boleh ditanam melalui biji benih ataupun melalui cantuman. Biji benih rambutan adalah jenis rekalsitran. Biji benih rambutan boleh disemai di dalam kotak semaian dan hendaklah dipindahkan ke dalam polibeg berukuran 20 x 25 cm apabila mencapai ketinggian lebih kurang 30 cm. Biji benih juga boleh disemai terus ke dalam polibeg. Rambutan juga biasanya dibiak dengan cara cantuman. Cantuman mata tunas sebaik-baiknya dilakukan apabila saiz pokok penanti sebesar batang pensil dan telah mengeluarkan daun baru.

Penanaman[sunting | sunting sumber]

Lubang penanaman berukuran 60 x 60 x 60 cm perlu disediakan dengan jarak 10 m dalam sistem penanaman tiga atau empat segi sama. Tanah atas yang dicampur dengan 10 -15 kg baja organik dan 0.5 kg baja fosfat hendaklah digunakan sebagai baja asas.

Tempoh di permulaan musim hujan adalah paling sesuai untuk memulakan kerja penanaman di ladang. Anak pokok yang baru ditanam hendaklah dilindung dengan struktur pelindung seperti pelepah daun kelapa. Penyungkupan adalah digalakkan bagi tujuan memulihara kelembapan tanah dan mengawal pertumbuhan rumpai.

Penyelenggaraan tanaman[sunting | sunting sumber]

Pemangkasan hendaklah dilakukan bagi menyelenggarakan keutuhan pokok dan membentuk kanopi serta meningkatkan pengeluaran buah. Pemangkasan secara sistem buka tengah hendaklah dilaksanakan dengan menyingkirkan cabang atau tunas-tunas air daripada pokok. Bahagian dahan yang dicantas hendaklah segera dirawat dengan bahan perawat pokok ('tree dressing').

Merumpai boleh dilakukan secara manual, kimia atau mekanikal. Pengawalan rumpai secara mekanikal dengan menggunakan traktor boleh menjimatkan tenaga pekerja. Penyemburan racun kimia untuk lalang dan rumpai lain bolehlah dilakukan dengan menggunakan glyphosate atau paraquat.

Pembajaan[sunting | sunting sumber]

Pembajaan boleh dilakukan secara tabur rata atau ditanam dalam bentuk poket di sekeliling pokok pada hujung kanopi. Pembajaan yang seimbang dan tetap akan menjamin pertumbuhan sihat dan penghasilan tinggi di peringkat kematangan pokok.

Pengurusan perosak[sunting | sunting sumber]

Tanaman rambutan umumnya bebas daripada perosak dan penyakit utama. Penyakit kulapuk walaupun tidak serius tetapi kadang-kadang boleh menyerang bahagian dahan dan ranting. Cara kawalan penyakit ini ialah dengan semburan racun kulat Benomyl.

Pengurusan hasil[sunting | sunting sumber]

Putik buah rambutan
Buah rambutan yang telah masak
Keratan rentas buah rambutan.

Pokok rambutan boleh mengeluarkan hasil selewat-lewatnya tiga tahun selepas ditanam. Buah rambutan mengambil masa 90-120 hari untuk matang. Perubahan warna daripada hijau kepada kuning atau merah merupakan petunjuk bahawa buah sudah sedia untuk dituai. Bergantung pada klon rambutan, hasil semusim ialah di antara 80 – 200 kg/sepokok. Buah-buah yang baru dituai hendaklah dimasukkan ke dalam bakul dan elakkan dari dipadatkan antara satu sama lain. Penyimpanan buah yang padat akan menyebabkan buah khususnya bahagian bulu-bulu lebih cepat rosak dan berwarna kehitaman.

Jenis-jenis rambutan[sunting | sunting sumber]

  1. Rambutan budak sekolah
  2. Rambutan gula batu
  3. Rambutan kawin

R134[sunting | sunting sumber]

Klon ini berasal dari Singapura dan didaftar pada bulan Mac 1946. Buah besar dan berbentuk bujur. Kulit berwarna merah tua, rambutnya sederhana panjang dan jarang. Isinya tebal dan sederhana pejal, rasanya manis, lekang dan berjus.


R 156[sunting | sunting sumber]

Klon ini digelar Muar Gading, didaftarkan pada 10 Januari 1955 dan berasal dari Sungai Abang, Muar, Johor. Kulit berwarna kuning, berbentuk bulat, besar, mempunyai rambut yang kasar tetapi jarang dan pendek. Isinya tebal, sederhana pejal, rasanya sederhana manis, lekang dan berjus. (Rambutan Gading dari Wikipedia - klik).


R 160[sunting | sunting sumber]

Rambutan ini digelar 'Khaw Tow Bak' berasal dari Pulau Pinang dan didaftar pada 7 Jun 1970. Saiz buah berbeza-beza daripada sederhana besar hingga besar. Buah berbentuk bulat bujur. Kulit berwarna merah. Rambutnya kasar dan pendek. Isinya tebal, lembut, manis dan berjus. Lapisan selaput biji terikut sedikit pada isi.


R 162[sunting | sunting sumber]

Klon ini dipanggil 'Oh Heok' berasal dari Pulau Pinang dan didaftarkan pada 17 Jun 1970. Kulit buah berwarna kuning kemerahan. Saiz buah besar, berbentuk bujur, berambut halus dan sederhana panjang. Isinya tebal, lekang, pejal dan sederhana manis. Lapisan biji terikut pada isi.


R 167[sunting | sunting sumber]

Dikenali dengan nama 'Chai Taw Cheng' dan telah didaftarkan pada 17 Jun 1970. Saiz buah sederhana besar, berkulit nipis dan berwarna merah kekuningan, rambutnya panjang dan berwarna hijau. Isinya lekang, pejal dan rasanya manis.


R 168[sunting | sunting sumber]

Klon 'Che Embong' berasal dari Kelantan dan didaftarkan pada 23 Julai 1970. Saiz buah adalah sederhana panjang. Kulit berwarna mrah kekuningan dan sederhana kasar. Isinya tebal, pejal dan rasanya manis.


R 170[sunting | sunting sumber]

Dikenali dengan nama 'Deli Cheng' berasal dari Pulau Pinang dan telah didaftar pada 17 Jun 1970. Mempunyai buah berwarna merah yang besar dan berbentuk bulat bujur. Rambutnya sederhana panjang dan kasar. Isinya lekang, tebal, pejal dan sederhana manis. Lapisan selaput biji terikut sama dengan isi.


R 185[sunting | sunting sumber]

Terkenal dengan nama 'Lekang Nyior" berasal dri Gurun, Kedah dan didaftarkan pada 14 Februari 1980. Buahnya besar, berwarna merah dan berbentuk bulat bujur. Isinya lekang, rasanya manis dan didapati kering sedikit. Kulit biji tertanggal dan terikut bersama isi.


R 191[sunting | sunting sumber]

Terkenal dengan nama 'Rong Rien' atau 'Anak Sekolah'. Berasal dari Thailand dan didaftarkan pada 1 Jun 1981. Saiz buah sederhana besar (40 gm/buah), berbentuk bujur dan kulitnya berwarna merah. Isinya manis, lekang dan pejal.

Terdapat beberapa varieti yang ditanam di Malaysia, namun hanya enam varieti sahaja yang popular iaitu R134, R156 (Muar Gading), R162 (Ong Heok), R170 (Deli Cheng), R191 (Anak Sekolah) dan R193 (Deli Baling). Keenam-enam klon ini berbeza dari segi bentuk buah, isi dan tahap kemanisan.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. World Conservation Monitoring Centre (1998). Nephelium lappaceum. Senarai Merah Spesies Terancam IUCN 2006. IUCN 2006. www.iucnredlist.org. Dicapai pada 12 May 2006.
  2. Nephelium lappaceum (TSN 506073). Sistem Maklumat Taksonomi Bersepadu. Diperolehi pada 18 September 2010.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]