Pokok penanti

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Pokok penanti ialah satu bahagian pokok atau anak pokok, lazimnya bahagian bawah, yang boleh digunakan untuk menumbuhkan bahagian atas pokok lain. Dalam bahasa Inggeris ia dikenali sebagai rootstock. Ia boleh merujuk pada rizom atau batang bawah tanah.[1] Dalam cantuman, ia merujuk pada sebatang pokok, kadangkala cuma tunggul, yang telahpun mempunyai sistem akar yang sihat dan mantap, yang dicantumkan padanya potongan atau tunas pokok lain. Dalam sesetengah kes, seperti pokok menjalar anggur atau beri lain, potongan boleh digunakan sebagai pokok penanti, akar dimantapkan dalam susana tapak semaian sebelum ditanam betul-betul.

Bahagian pokok yang dicantumkan dengan pokok penanti lazimnya dipanggil sion. Sion ialah pokok yang memiliki ciri yang dikehendaki, termasuklah aktiviti fotosintesis, ciri hiasan dan buah. Pokok penanti dipilih kerana mudah dibiak sesuai dengan tanah, menyediakan akar dan batang bagi menyokong pohon baru, membekalkan air dan galian tanah, dan tahan penyakit dan perosak.[2] Selepas beberapa minggu, tisu kedua-dua bahagian pokok akan bercantum, lalu menjadi satu pokok sama. Selepas beberapa tahun, lokasi cantuman itu mungkin sukar dikenalpasti, walaupun hasil pokok itu akan sentiasa mengandungi komponen dua pohon berbeza genetik.

Penggunaan pokok penanti biasanya dikaitkan dengan pokok berbuah, namun ia juga merupakan satu-satunya cara membiakkan secara besar-besaran pokok jenis lain yang tidak membiak nyata daripada biji benih, atau sangat terdedah kepada penyakit apabila ditanam dengan akar sendiri.

Nota[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Hickey, M.; King, C. (2001). The Cambridge Illustrated Glossary of Botanical Terms. Cambridge University Press. ISBN 0-521-79080-8.
  2. ^ "Panduan Cantuman Dan Pemangkasan Pokok Limau". Laman Pejabat Pertanian Daerah Manjung. 2009. Dicapai pada 10 Julai 2014.

Bibliografi[sunting | sunting sumber]

  • Jancis Robinson (2006). The Oxford companion to wine. Oxford University Press. ISBN 9780198609902.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]