Proses pilihan raya di Malaysia

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Malaysia

Rencana ini sebahagian daripada siri:
Politik dan kerajaan
Malaysia



Negara-negara lain · Atlas
 Portal Politik

Selepas peristiwa Perang Dunia Kedua berakhir pada tahun 1945, diikuti dengan pengunduran Tentera Jepun dari Tanah Melayu, semangat nasionalisme di kalangan rakyat Tanah Melayu ketika itu amat ketara. Tertubuhnya parti-parti politik untuk memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu. Mereka ini mendapat kuasa melalui pilihan raya yang diadakan untuk memilih kerajaan.

Tujuan utama parti-parti politik ini bertanding ialah untuk memperoleh majoriti kerusi di Parlimen (Dewan Rakyat Malaysia) atau Dewan Undangan Negeri supaya boleh menubuhkan Kerajaan Persekutuan atau Negeri. Calon-calon yang memperoleh majoriti undi di bahagian yang mereka bertanding akan diisytihar menang.

Pilihan raya umum Malaysia diadakan secara berkala bagi melantik wakil-wakil rakyat ini. Dan sekiranya berlaku kekosongan di antara tempoh pilihan raya umum, pilihan raya kecil boleh diadakan bagi mengisi kekosongan tersebut.

Undang-undang dan peraturan pilihan raya[sunting | sunting sumber]

Bagi melancarkan proses pilihan raya, beberapa undang-undang dan peraturan telah digubal untuk memastikan prosedur pilihan raya berjalan tanpa masalah. Undang-undang dan peraturan tersebut ialah:-

  1. Perlembagaan Persekutuan.
  2. Perlembagaan Negeri.
  3. Akta Pilihan Raya 1958 (Akta 19).
  4. Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5).
  5. Peraturan-peraturan (Penjalanan Pilihan Raya) Pilihan Raya, 1981.
  6. Peraturan-peraturan (Pendaftaran Pemilih) Pilihan Raya, 2002.
  7. Peraturan-peraturan (Pengundian Pos) Pilihan Raya, 2003.

Semua undang-undang dan peraturan-peraturan ini adalah berkait secara langsung dengan proses pilihan raya. Walau bagaimanapun terdapat juga beberapa undang-undang yang walaupun tidak mempunyai kaitan secara langsung dengan proses pilihan raya, tetapi memain peranan dalam kelancaran penjalanan pilihan raya. Ia termasuklah Akta Polis 1962; Akta Hasutan 1970; Akta Rahsia Rasmi 1972; dan Akta Keselamatan Dalam Negeri, 1960.

Elemen-elemen penting pilihan raya[sunting | sunting sumber]

Elemen-elemen penting pilihan raya adalah:-

  1. Bahagian Pilihan Raya.
  2. Pemilih.
  3. Calon.
  4. Proses Pilihan Raya.

Bilangan bahagian pilihan raya[sunting | sunting sumber]

Dalam sistem pilihan raya yang diamalkan di Malaysia, seseorang calon dipilih untuk mewakili penduduk-penduduk sesuatu bahagian pilihan raya di Parlimen (Pilihan Raya Umum) atau Dewan Undangan Negeri (Pilihan Raya Negeri). Sehingga kini terdapat 222 kerusi Dewan Rakyat (Parlimen) dan 567 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Persempadanan semula bahagian pilihan raya[sunting | sunting sumber]

Sebagai sebahagian daripada fungsi utamanya, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) bertanggungjawab untuk mengkaji semula sempadan Bahagian-bahagian Pilihan Raya Parlimen dan Negeri. Seperti yang tertera di dalam Perlembagaan Persekutuan, Suruhanjaya Pilihan Raya perlu menjalankan kajian ini setiap tidak kurang daripada 8 tahun. Bagaimanapun, ia boleh ditangguhkan sekiranya terdapat peristiwa besar, seperti pilihan raya umum.[1]

Pendaftaran pemilih[sunting | sunting sumber]

Satu elemen penting dalam sistem pilihan raya ialah seseorang pemilih itu mestilah mendaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya sebelum dia boleh mengundi dalam pilihan raya bagi Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri. Di Malaysia, seseorang itu layak untuk mendaftar jika dia:-

  1. warganegara Malaysia;
  2. berumur tidak kurang daripada 21 tahun pada tarikh kelayakan;
  3. seorang penduduk di mana-mana bahagian pilihan raya di Malaysia; dan
  4. tidak hilang kelayakan.

Hilang kelayakan[sunting | sunting sumber]

Seseorang pemilih akan hilang kelayakan jika:-

  1. pada tarikh kelayakan, ditahan kerana tidak siuman atau sedang menjalani hukuman penjara; atau
  2. sebelum tarikh kelayakan, telah didapati bersalah dan dihukum mati atau penjara untuk tempoh lebih 12 bulan dan masih menjalani hukuman pada tarikh kelayakan; atau
  3. telah didapati bersalah di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954; atau
  4. telah memperoleh kerakyatan asing.

Semakan daftar pemilih[sunting | sunting sumber]

Semakan daftar pemilih dijalankan di sepanjang tahun, seperti yang diperuntukkan di dalam undang-undang. Pengundi boleh mendaftar di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya, Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri, Pejabat-Pejabat Pos atau melalui unit-unit bergerak Suruhanjaya. Daftar-daftar pemilih baru disediakan setiap 3 bulan sekali dan ia dipamerkan selama 7 hari bagi tujuan urusan tuntutan dan bantahan. Selepas mempertimbangkan tuntutan dan bantahan melalui siasatan awam, daftar pemilih untuk tahun berkenaan akan disahkan oleh Suruhanjaya di dalam tempoh sebulan. Semasa semakan daftar induk, nama-nama pemilih yang sudah meninggal dunia dan yang sudah hilang kelayakan mengikut undang-undang akan dikeluarkan daripada daftar berkenaan.

Kelayakan calon[sunting | sunting sumber]

Dalam sistem pilihan raya di Malaysia, calon yang bertanding boleh mewakili sesuatu parti atau bertanding sebagai calon bebas. Seseorang itu layak menjadi calon dalam mana-mana pilihan raya jika memenuhi syarat berikut:-

  1. warganegara Malaysia dan bermastautin di negara ini;
  2. berumur tidak kurang daripada 21 tahun pada hari penamaan calon; dan
  3. tinggal di Negeri di mana dia akan bertanding.

Seseorang calon hilang kelayakan jika dia:-

  1. telah didapati atau diisytiharkan tidak siuman; atau
  2. didapati seorang bankrap; atau
  3. memegang jawatan berkepentingan 'office of profit'; atau
  4. gagal mengemukakan laporan perbelanjaan pilihan raya; atau
  5. telah didapati bersalah oleh mahkamah di Malaysia dan dijatuhi hukuman penjara untuk tempoh tidak kurang dari 1 tahun atau denda tidak kurang dari RM2000 dan belum mendapat pengampunan; atau
  6. telah memperoleh kewarganegaraan asing.

Tempoh pilihan raya[sunting | sunting sumber]

Pilihan Raya untuk Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri, seperti yang ditetapkan oleh undang-undang, diadakan sekali di dalam tempoh 5 tahun kecuali jika dewan dibubarkan lebih awal. Pilihan Raya Umum diadakan di dalam tempoh 60 hari selepas tarikh pembubaran.

Pilihan Raya Kecil juga diadakan di dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan, sama ada disebabkan kematian, peletakan jawatan atau seseorang Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri itu hilang kelayakan. Dalam hal ini tarikh kekosongan kerusi akan ditetapkan oleh Suruhanjaya.

Proses pilihan raya[sunting | sunting sumber]

Pilihan Raya Umum atau Pilihan Raya Kecil bermula dengan pengeluaran writ pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya kepada Pegawai Pengurus. Pada masa yang sama satu notis akan diwartakan, menetapkan tarikh-tarikh hari penamaan calon dan hari mengundi.

Hari penamaan calon[sunting | sunting sumber]

Hari penamaan calon merujuk kepada hari yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya bagi calon-calon mengemukakan kertas-kertas penamaan untuk bertanding dalam pilihan raya kepada Pegawai Pengurus. Kertas-kertas penamaan boleh dikemukakan oleh calon, pencadang dan penyokong atau salah seorang daripada mereka. Kertas-kertas penamaan mestilah dikemukakan di antara pukul 9.00 pagi hingga 10.00 pagi pada hari penamaan.

Kertas-kertas penamaan akan dipamerkan dari jam 10.00 pagi hingga 11.00 pagi untuk diteliti dan bantahan. Dalam kes di mana seorang calon sahaja yang dicadangkan, Pegawai Pengurus akan mengisytiharkan calon itu menang tanpa bertanding.

Pertaruhan[sunting | sunting sumber]

Pertaruhan berjumlah RM10,000 bagi kerusi Parlimen dan RM5,000 bagi kerusi Negeri perlu diserahkan kepada Pegawai Pengurus sebelum atau pada hari penamaan calon. Calon akan hilang wang deposit sekiranya gagal memperoleh 1/8 atau 12.5% undi daripada jumlah keseluruhan pengundi yang keluar mengundi pada hari pengundian di kawasan tersebut.

Penggunaan simbol[sunting | sunting sumber]

Seseorang calon yang mewakili sesuatu parti politik boleh menggunakan simbol parti jika dia mendapat kebenaran bertulis daripada ketua parti berkenaan. Calon-calon bebas perlu memilih mana-mana simbol yang telah disediakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya, untuk dicetak pada kertas-kertas undi.

Kempen[sunting | sunting sumber]

Kempen poster

Suruhanjaya Pilihan Raya telah merangka peraturan-peraturan khas untuk berkempen, seperti yang tertera di dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya (Pindaan) 2002. Kempen hanya boleh dimulakan selepas selesai proses penamaan calon dan mesti dihentikan jam 12.00 tengah malam sebelum hari mengundi. Bagi memastikan pilihan raya berjalan lancar Suruhanjaya mempunyai kuasa di bawah perkara 3(5) Akta Pilihan Raya 1958 dan perkara 27A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 untuk melantik Pegawai Penguat Kuasa dan membentuk satu atau lebih Pasukan-pasukan Penguat Kuasa di setiap bahagian pilihan raya Parlimen, jika difikirkan perlu. Unit ini dianggotai oleh Pegawai Penguat Kuasa yang dilantik oleh Suruhanjaya Pilihan Raya, seorang wakil dari Ibu Pejabat Polis Daerah, seorang wakil dari Pihak Berkuasa Tempatan dan seorang wakil tiap-tiap parti/calon yang bertanding.

Pegawai Penguat Kuasa bertanggungjawab kepada Pegawai Pengurus, dan tugas pasukan ini ialah untuk memantau bahan-bahan kempen, ceramah-ceramah pilihan raya dan perhimpunan umum, bagi memastikan peruntukan-peruntukan di bawah undang-undang dan peraturan-peraturan pilihan raya tidak dilanggar. Suruhanjaya Pilihan Raya juga akan menubuhkan jawatankuasa-jawatankuasa di peringkat Pusat/Negeri/bahagian-bahagian pilihan raya bagi memberikan penerangan kepada parti-parti politik, calon-calon atau ejen-ejen dan petugas-petugas parti mengenai undang-undang dan peraturan pilihan raya. Senarai perkara yang mesti dipatuhi dan dilarang semasa pilihan raya disediakan, dan ini perlu diambil ingatan oleh calon-calon dan petugas-petugas parti.

Hari mengundi[sunting | sunting sumber]

Sekolah lazim dijadikan pusat mengundi

Hari mengundi adalah merujuk kepada hari pemilih-pemilih membuang undi. Secara rasmi hari mengundi bermula dari selepas 12.00 tengah malam dan berakhir dengan pengumuman keputusan pilihan raya. Namun demikian, waktu membuang undi ditetapkan dari jam 8.00 pagi hingga jam 5.00 petang di seluruh Malaysia. Bagi kawasan-kawasan pedalaman, unit-unit bergerak digunakan bagi memastikan kelancaran membuang undi. Selain dari itu, waktu membuang undi mungkin berbeza antara daerah-daerah. Suruhanjaya Pilihan Raya biasanya akan mengeluarkan notis untuk memaklumkan orang ramai tentang perkara-perkara pilihan raya seperti:-

  1. tarikh mengundi;
  2. lokasi tempat mengundi;
  3. waktu mengundi di semua tempat mengundi;
  4. lokasi pusat pengiraan dan penjumlahan undi.

Di petak mengundi, pengundi dikehendaki membuat satu tanda yang menunjukkan pilihan mereka pada setiap kertas undi. Tanda ini, seperti tanda 'X', tanda semak ataupun titik, perlu dibuat pada lajur calon yang dipilih sahaja.[2]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]