Puisi Melayu

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Banyak daripada puisi Melayu tergolong dalam genre tradisional yang muncul dalam zaman sebelum berkembangnya tradisi tulisan pencetakan. Puisi dalam Bahasa Melayu larut dalam jiwa masyarakat Melayu tidak hanya sebagai satu hasil kesenian, tetapi juga mengjangkau alam mistik, berperanan sebagai wadah pemeliharaan adat, pembinaan sahsiah, pengajaran agama, pengajaran ilmu pengasih, pertahanan, hiburan, dan kepercayaan[1].

Tidak dapat dipastikan tarikh sebenar sejarah mula perkembangan puisi Melayu tradisional. Berdasarkan kajian oleh ramai sarjana, dapat dikatakan perkembangan puisi Melayu tradisional telah bermula secara bersama dan sezaman dengan perkembangan prosa Melayu tradisional. Ini dapat dibuktikan dengan kehadiran banyak genre puisi tradisional dalam karya hikayat dan cerita-cerita rakyat.

Teman, bicara ini sekadar renungan buat ingatan dan juga panduan hargailah nyawa yang dipinjamkan usah biarkan siri dalam kealpaan[sunting | sunting sumber]

Definisi lama puisi ialah karangan berangkap. Karangan ini terikat kepada bentuknya yang khusus dan tetap, sama ada pada jumlah perkataan dalam baris, jumlah baris dalam rangkap, rima dan irama, dan jumlah suku kata. Menurut Pendeta Bahasa, Za'ba, puisi ialah karangan berangkap yang khas dipakai untuk melafazkan fikiran yang cantik dengan bahasa yang indah, dan melukiskan kemanisan dan kecantikan bahasa.

Jenis-jenis puisi Melayu[sunting | sunting sumber]

Puisi Melayu termasuk dalam golongan karya kesusasteraan bentuk bukan cerita (non-naratif). Pengkelasan puisi Melayu boleh dibuat berdasarkan bentuk, isi/tema, dan fungsi. Berdasarkan kepada pengkelasan ini, jenis-jenis puisi Melayu tradisional terbahagi kepada dua belas iaitu pantun, syair, gurindam, nazam, seloka, teka teki, peribahasa berangkap, teromba, talibun (sesomba), prosa berirama (prosa lirik), dan dikir (zikir)[2].

Pantun[sunting | sunting sumber]

Perkataan 'pantun' juga dihujahkan berasal dari turunan kata penuntun[3] daripada terbitan kata dasar tuntun[4] pinjaman dari bahasa Minangkabau, 'patuntun'.[5]

'Pantun' juga difikirkan datang hasil terbitan kata 'sepantun'[6] yakni bermaksud 'seperti', 'macam' atau 'seumpama',[7] yang selanjutnya boleh ditafsirkan sebagai pengungkapkan bandingan-bandingan langsung yang wujud pada sastera Melayu klasik.[6] Ia turut mempunyai maksud lama bererti peribahasa gambaran halus[8] yang digayakan beraneka cara termasuk secara 'sindir' dan 'kias'.

Menurut Dr. Brandsetter pula, perkataan 'pantun' berasal daripada akar kata 'tun' yang boleh dikesan dalam Bahasa Jawa iaitu 'tuntun', dalam Bahasa Tagalog disebut tonton yang diucapkan dalam aturan yang tertentu[9]. Dalam Bahasa Sunda, pantun bermaksud satu cerita (karangan) panjang berirama yang dinyanyikan dengan iringan muzik. Manakala dalam masyarakat Melayu pula, pantun bererti kuantrain, iaitu puisi yang tersusun dalam struktur empat baris serangkap.

Pantun dapat dikelaskan berdasarkan kepada bentuk/struktur, tema/isi, fungsi dan penyebarannya[10]. Daripada pengkelasan inilah maka timbul apa yang disebut pantun dua kerat, empat kerat, enam kerat, lapan kerat, dan sebagainya. Dari segi tema pula memunculkan jenis-jenis pantun seperti yang berikut:

  1. pantun kanak-kanak
  2. pantun cinta dan kasih sayang
  3. pantun teka teki
  4. pantun puji-pujian atau sambutan
  5. pantun nasihat, agama, dan adat
  6. pantun naratif (cerita)

Contoh pantun cinta dan kasih sayang:

   Dari Mentakab ke Sungai Mati,
      Singgah bermalam di Tangga Batu,
         Tumpang di rumah Tok Lela;    Timbullah insaf di dalam hati,       Pemandu ramai penumpang satu,
         Kasih pula tetap setia.

Gurindam[sunting | sunting sumber]

Gurindam terkenal dalam masyarakat Melayu terutamanya di Sumatera. Di Sumatera, gurindam juga dikenali dengan nama Muslihat Acheh, Gurindam Barus, Lagak Minang, dan sebagainya[11]. Asal usul perkataan gurindam adalah daripada Bahasa Sanskrit dan dikatakan memasuki Bahasa Melayu melalui Bahasa Tamil iaitu 'kirandum'.

Struktur puisi gurindam terdapat dua: terikat dan tidak terikat. Bentuk gurindam terikat terdiri daripada dua baris serangkap dengan rima akhirnya yang sama. Bagi bentuk gurindam yang tidak terikat pula, jumlah barisnya tidak tetap, manakala rima akhirnya bebas.

Teromba[sunting | sunting sumber]

Teromba terkenal dalam orang Minang yang kuat berpegang kepada adat Perpatih. Teromba juga dikenali dengan nama-nama seperti terasul, tambo, dan salasilah. Sesebuah teromba lazimnya mengungkapkan gagasan pemikiran yang tinggi berkenaan peraturan, nilai, adat, dan hukum-hukum hidup bermasyarakat.

Terdapat banyak pengertian teromba; ada yang menyatakan bahawa teromba sebagai perbilang adat, undang-undang yang tetap dan kata-kata adat[12]. Dari segi bentuk, teromba berbentuk bebas. Jumlah baris dalam setiap rangkapnya tidak tetap, manakala rima akhir setiap baris pula tidak sama. Di dalam sebuah teromba disisipkan dengan beberapa jenis puisi tradisional lain, seperti pantun, gurindam, dan peribahasa. Contoh teromba adalah seperti berikut:

Merisik dalam adat istiadat perkahwinan
Adalah saya bak kata orang,
kok ibarat umur baru bertukar muda,
pendapatan pun belum ada,
pandangan pun belum banyak,
pengalaman pun belum jauh,
kok darah belum setampuk pinang,
kok jalan kurang pasa,
kalau begitu kedatangan saya ini,
ibarat pergi ke huma,
singkap daun ambil buah,
adapun kedatangan saya ini sama-sama faham,
orang ke awak, awak ke orang,
semenda bersemenda,
kok ibarat dasar pusaka,
kok segar disiram,
kok putus kata di pangkal,
putus dengan dibagi,
duduk berperuntungan,
mati hukum Allah,
duduklah pula sepelarasan,
pandangan memandang satu nan lain,
iaitu bersuku-suku,
berapalah sukunya dua belas,
dua belas Muar dua belas Jempol,
enam Teraci enam Gunung Pasir,
kok selaman sepermainan,
kok sejamban seperulangan,
tak dek hukum tak mengambil,
diharuskan pula semenda-menyenda.

Talibun[sunting | sunting sumber]

Definisi umum bagi talibun menurut Kamus Dewan (2005) ialah sejenis puisi lama yang terdiri daripada empat baris, enam baris, atau dua puluh baris yang bersajak di hujungnya. Talibun disebut juga dengan nama seromba dan mempunyai bentuk yang hampir sama dengan prosa lirik atau prosa berirama[13]. Walau bagaimanapun, talibun berbeza dengan prosa lirik dan prosa berirama kerana talibun merupakan sebahagian sahaja daripada cerita yang diambil prosa lirik.

Talibun mengungkap persoalan yang berbagai bergantung kepada konteks cerita induknya. Lazim isi talibun berkisar kepada pelbagai perkara dan objek; seperti senjata, pakaian, kenderaan, negeri, perlakuan manusia, fenomena alam, perasaan, dan tradisi yang terdapat dalam sesebuah cerita lipur lara.

Menyahut panggilan apabila dipanggil ke istana
Pukul tabuh larangan
Palu gong pelaung
Titir canang pemanggil
Yang capik datang bertongkat
Yang buta beraba-raba
Yang tuli leka bertanya
Yang kecil terambin lintang
Yang jarak tolak-tolakan
Yang pendek bertinjau-tinjau
Yang kurap mengekor angin
Yang pekak pembakar meriam
Yang buta pemghembus lesung
Yang lumpuh penghalau ayam
Yang pekung penjemuran
Yang kurap pemikul buluh

Mantera[sunting | sunting sumber]

Istilah mantera berasal daripada kata mantra, mantr, atau matar, dalam Bahasa Sanskrit yang bermaksud nyanyian memuja tuhan atau pemujaan penyebutan kata-kata tertentu bagi memperolehi sesuatu yang dihajatkan yang mempunyai kesamaan dengan jampi serapah, tawar, sembuh, cuca, puja, dan takal. Keakraban masyarakat Melayu silam dengan alam sekitar mendorong kepada timbulnya kepercayaan-kepercayaan bahawa alam sekitar mempunyai pengaruh dan kuasa yang menentukan sesuatu perkara dalam kehidupan mereka. Kepercayaan ini berkait rapat dengan pengaruh animisme yang diwarisi secara turun-temurun. Dari situ timbullah unsur-unsur kuasa magis seperti semangat dan roh yang dianggap sebagai memberi kesan kepada sesuatu perkara yang dihajati secara langsung kepada unsur-unsur magis tersebut. Pawang atau bomoh adalah ahli-ahli penting yang menguasai dan mengamalkan mantera. Mereka membaca mantera dengan nada, irama, dan tekanan suara yang tertentu sesuai dengan tujuan perbomohan atau sesuatu perkara yang dihajati.

Mantera tergolong dalam kelompok puisi, kerana pengucapan dalam bentuk mantera menggunakan kata-kata yang tersusun dalam bentuk rangkap, mempunyai makna yang tersirat, bahasa yang padat puitis. Mantera boleh digolongkan sebagai sejenia puisi Melayu tradisional berbentuk bebas, kerana tidak terikat kepada jumlah baris yang sama dalam satu-satu rangkap, manakala rima askihrnya pula tidak tetap.

Puja Padi:
Seri Dangomala, Seri Dangomali!
Hendak kirim anak sembilan bulan;
Segala inang, segala pengasuh;
Jangan beri sakit, jangan beri demam,
Jangan beri ngilu dan pening;
Kecil menjadi besar;
Tua menjadi muda;
Yang tak kejap diperkejapkan;
Yang tak sama dipersamakan;
Yang tak tinggi dipertinggikan;
Hijau seperti air laut;
Tinggi seperti bukit Kaf.

Peribahasa berangkap[sunting | sunting sumber]

Peribahasa tergolong dalam jenis puisi warisan Melayu dan sangat banyak ditemui dalam kesusasteraan Melayu tradisional. Peribahasa juga disebut dengan nama peribahasa berirama dan mempunyai beberapa variasi seperti bidalan, pepatah-petitih, perbilangan, perumpamaan, lidah pendeta, kias ibarat, dan tamsil. Dari segi bentuk, peribahasa berangkap terbina dalam dua keratan yang sejajar, baik dalam dalam sebaris atau lebih. Tidak sebagaimana pantun, baris-baris dalam peribahasa tidak berkaitan antara satu sama lain.

Peranan peribahasa dalam majlis-majlis rasmi mahupun dalam kehidupan seharian mereka adalah sebahagian daripada budaya Melayu yang sopan walau semasa menegur, menyindir atau mengkritik secara halus. Peribahasa juga berfungsi sebagai alat kawalan sosial dan pemantapan sesuatu sistem sosial dalam kemasyarakatannya dan media yang mempamerkan kebijaksanaan penutur atau pewarisnya[14].

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Abdul Halim Ali (2003) Bingkisan Sastera. Diwangsa Publications & Distributors Sdn., Bhd.
  2. ^ Harun Mat Piah (2000), Puisi Melayu Tradisional. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka
  3. ^ Harun Mat Piah (2007). Pantun Melayu : bingkisan permata. Yayasan Karyawan. m/s. 58. ISBN 978-9814459884.
  4. ^ "tuntun". Kamus Dewan (ed. ke-4). Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. 2017. Dicapai pada 17 January 2021.
  5. ^ Ari Welianto (3 Mac 2020). "Struktur dan Jenis Pantun". KOMPAS. Dicapai pada 19 September 2020.
  6. ^ a b Za’aba (1962). Ilmu Mengarang Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka. m/s. 219.
  7. ^ "sepantun". Pusat Rujukan Persuratan Melayu. Dicapai pada 17 January 2021.
  8. ^ "pantun". Kamus Dewan (ed. ke-4). Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. 2017. Dicapai pada 17 January 2021.
  9. ^ R.O. Winstedt (1992)
  10. ^ Harun Mat Piah (2002)
  11. ^ Gazali Dunia (1992) Kesusasteraan Melayu Lama. Dewan Bahasa dan Pustaka
  12. ^ Mohd Yusof Md. Nor (1996) Puisi Melayu Tradisional. Penerbitan Fajar Bakti
  13. ^ Harun Mat Piah (2000)Puisi Melayu Tradisional. Dewan Bahasa dan Pustaka
  14. ^ Mutiara Sastera Melayu Tradisional (2003) Muka surat 256