Pumi (anjing)

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Pumi
Nama lainPumi Hungary
Negara asalHungary
Trait
Berat Jantan 12–13 kg (26–29 lb)[1]
Betina 10–11 kg (22–24 lb)[1]
Tinggi Jantan 43–45 cm (17–18 in)[1]
Betina 40–42 cm (16–17 in)[1]
Bulu Beralun atau keriting. Kenyal, berjumbai, dan padat
Warna Kelabu, hitam, putih, atau perang kekuning-kuningan
Saiz perinduk 4–6 ekor anak anjing[2]
Jangka hayat 12–13/14 tahun[3][4]
Anjing (Canis lupus familiaris)

Pumi[a] ialah satu baka anjing gembala sederhana-kecil dari Hungary. Ia merupakan anjing gembala berkemampuan yang dapat mengumpulkan dan mengerjakan haiwan ternakan ladang dengan dekat, khususnya biri-biri, untuk mengawal haiwan ternakan tersebut. Pumi mempunyai muncung tirus memanjang dengan telinga capang dan ekor yang melingkar ke atas belakangnya dan kadang-kadang diperihalkan mempunyai wajah aneh. Lapis bulu gandanya (hitam, putih, kelabu, atau perang kekuning-kuningan) mempunyai gabungan bulu beralun dan keriting.

Pumi dianggap telah timbul daripada pembiakbakaan silang antara puli Hungary dengan anjing-anjing gembala Perancis dan Jerman dari abad ke-17 dan selepasnya. Piawaian baka antarabangsa diluluskan pada tahun 1935. Pumi menjadi baka yang diiktiraf secara rasmi di Amerika Syarikat pada tahun 2011 dan di United Kingdom pada tahun 2015. Terdapat lebih daripada 2,000 ekor pumi yang berdaftar di Hungary, dengan populasi ketara di Finland dan di Sweden dan angka pendaftaran kecil namun meningkat di Amerika Syarikat, di United Kingdom, dan di Jerman.

Sesetengah orang merujuk pumi sebagai "terier gembala Hungary" kerana ia mempunyai sesetengah atribut mirip terier seperti pergerakan pantas, perangai berwaspada, dan jenis tubuh segi empat, langsing, dan berotot.

Perihal[sunting | sunting sumber]

Penampilan[sunting | sunting sumber]

Pumi ialah anjing bersaiz sederhana yang dapat mempunyai cahaya warna berlainan daripada kelabu, putih, atau perang kekuning-kuningan (dikenali sebagai fako dalam bahasa Hungary). Pumi kelabu merupakan yang paling lazim,[5] dilahirkan dengan warna hitam, dan terdiri daripada hampir hitam hingga kelabu muda pada usia dewasa. Anak anjing biasanya mula mengelabu pada usia enam hingga lapan minggu dan cahaya warnanya beransur-ansur menjadi cerah. Cahaya warna terakhir diramalkan dengan warna bagi induk anjing.[6] Warna-warna lain yang diterima merupakan hitam, putih, dan krim hingga merah dengan topeng lebih gelap yang dikenali sebagai perang kekuning-kuningan dengan topeng.[1] Analisis terhadap 1023 ekor anak pumi yang dijalankan pada tahun 2009 oleh Universiti Debrecen mendapati bahawa 56% lahir dengan warna hitam yang kemudian mengelabu, 14% dengan warna hitam, 13% dengan warna putih, 11% dengan warna kelabu, dan 4% dengan warna perang kekuning-kuningan. Anak anjing berwarna perang, berbelak, atau merle biru lahir sekali-sekala.[5]

Lapis bulu tebalnya keriting dan sederhana panjang hampir-hampir sepanjang 4–7 sentimeter (1.6–2.8 in)[1] dan terdiri daripada lapis bulu atas kasar dan lapis bulu bawah lembut[6] yang menyediakan penebatan baik dan membolehkan anjing berkenaan mentoleransi cuaca esktrem.[7] Lapis bulunya tumbuh secara berterusan (serupa dengan yang pada pudel) dan, jika penjagaan tidak dikekalkan, lapis bulunya mungkin mula mengusut. Lapis bulu dewasa mula tumbuh pada usia sembilan bulan dan melalui sedikit salin bulu atau tiada salin bulu langsung.[8] Lapis bulunya dijaga dengan penyikatan setiap beberapa minggu dan pemangkasan setiap dua hingga empat bulan.[9] Pumi terkenal kerana telinga yang berwaspada dan cergas yang terletak tinggi-tinggi dan terbawa dengan separa tegak dan dengan bulu lebih panjang daripada yang pada tubuh.[10]

Pumi ialah anjing segi empat sama dengan tubuh ringan yang kelihatan agak lebih besar kerana lapis bulu tebalnya dengan kepala panjang dan sempit. Muncungnya adalah 45% daripada panjang kepala yang sama panjang dengan leher. Stopnya hampir tidak ketara dan tengkoraknya rata apabila dilihat dari sisi. Matanya kecil, gelap, dan sedikit serong. Pergerakannya adalah rancak dan bertenaga seperti pumi itu sendiri.[6][1]

Pumi jantan berdiri setinggi 41–47 cm (16–19 in) pada parasa kelasa dan berukuran seberat 10–15 kg (22–33 lb); betina pula adalah setinggi 38–44 cm (15–17 in) dan berukuran seberat 8–13 kg (18–29 lb).[11][12]

Perangai[sunting | sunting sumber]

Pumi dapat menjadi sangat bersikap pelindung bagi keluarga sendiri.

Pumi adalah berwaspada, bersemangat, ekspresif, berani, sedikit curiga terhadap orang asing, tetapi tidak pernah agresif atau terlalu malu, agak vokal, dan sentiasa bersedia untuk bertindak.[1][2] Ia dapat menjadi sangat bersikap pelindung bagi keluarga sendiri. Sosialisasi awal adalah penting.[13]

Pumi adalah cerdas dan mudah menyalak tetapi mudah dilatih.[14] Sebagai anjing gembala, pumi adalah cerdas dan berwaspada dan patut disibukkan dengan kegiatan seperti penggembalaan, ketangkasan anjing, dan pelatihan trik dan kepatuhan.[15] Pumi baik dengan kanak-kanak dan haiwan lain, selagi terlatih dari usia awal. Ia mengekalkan perangai suka bermain sehingga usia dewasa dan ini, bersama-sama dengan telinga berumbainya, memberikan nama panggilannya dalam bahasa Hungary, "badut".[16][2]

Pumi yang tersosialisasi dengan baik dengan rangsangan mental dan kegiatan fizikal tidak patut mempunyai masalah tingkah laku, tetapi sesetengah tingkah laku semula jadi mungkin menjadi masalah jika tidak terurus dengan betul termasuk penggalian, penyalakan, dan kecenderungan untuk mencuba untuk menggembala orang. Pumi dibiakbakakan sebagai anjing gembala dan masih digunakan sedemikian kini, bekerja dekat dengan haiwan ternakan dan menggiring haiwan ternakan dengan pergerakan pantas, salakan, dan gigitan sekali-sekala. Ia juga telah bertindak sebagai anjing pengawal yang menyalak terhadap mana-mana orang atau haiwan asing. Akibatnya, ia dapat menjadi baka vokal dan anjing yang tidak terlibat dalam kerja ladang tidak patut digalakkan daripada menyalak tanpa keperluan. Pumi dapat menjadi bersikap pelindung dan degil[17][7][2]

Nama[sunting | sunting sumber]

Nama "pumi" pertama kali digunakan pada tahun 1815. Nama ini mungkin telah diterbitkan daripada "puli"; kedua-dua nama ini digunakan secara bergantian selama berabad-abad, kerap bergantung pada rantau asal haiwan berkenaan.[7] Sebagai alternatif, nama ini mungkin telah diterbitkan daripada perkataan bahasa Jerman "Pummel" ("anak anjing") atau daripada perkataan "Pomeranian", asal usul bagi banyak anjing gembala Jerman yang digunakan untuk pembiakbakaan silang.[18] Teori yang paling umum diterima, daripada Otto Hermann, ialah bahawa nama ini berasal daripada "Pommern", nama singkat bagi spits Pomerania. Ini juga diterima oleh Emil Raitsits pada tahun 1924.[19]

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Baka ini muncul pada abad ke-17–ke-18 sebagai keturunan daripada puli,[20][21] spits Jerman,[20][21] briard Perancis, dan sesetengah jenis terier.[20] Baka ini pertama kali disebut dengan nama pada tahun 1815[20][21] tetapi ia dianggap oleh ramai orang sebagai variasi rantauan bagi puli.[20] Pada tahun 1921, baka ini diiktiraf sebagai baka tersendiri[20][21] apabila Emil Raitsitz membezakan pumi daripada puli dengan mengarang piawaian baka terpisah untuk pumi.[20]

Baka ini ber-evolusi secara spontan dan bukan hasil pembiakbakaan terancang.[19] Puli dibiakbakakan secara bersilang dengan pomeranian dan spits Jerman, briard Perancis, dan beberapa keragaman terier semasa abad ke-17 dan abad ke-18. Pada abad ke-18, banyak biri-biri merino diimport ke Hungary, bersama-sama dengan anjing gunung Pyrénées kecil yang barang kali menyumbang kepada perkembangan pumi, lalu menghasilkan anjing dengan lapis bulu lebih pendek dan lebih keriting.[2] Lukisan pertama yang diketahui tentang pumi adalah dari tahun 1815.[16]

Pembiakbakaan anjing pedigri bermula atas inisiatif Count István Széchenyi, pengasas Akademi Sains Hungary. Di dalam empayar Austria-Hungary, semasa lewat abad ke-19, pembiakbakaan anjing asli Hungary tidak digalakkan. Semasa awal abad kedua puluh, orang Hungary memisahkan anjing gembala mereka kepada pelbagai baka menurut fenotip masing-masing. Maka, pembezaan pertama antara puli dengan pumi diterbitkan pada tahun 1902. Puli ialah yang paling lazim di dataran Hungary timur manakala pumi di bukit-bukau Hungary barat dan mudi adalah lazim di Hungary selatan. Pada tahun 1910-an, pembiakbakaan terkawal bermula, tetapi banyak kawanan ternakan besar dan anjing mereka lenyap semasa Perang Dunia Pertama dan pembahagian Hungary yang menyusul.[16]

Dr. Emil Raitsits yang mewujudkan piawaian baka pumi pada tahun 1921 merujuknya sebagai "terier gembala biri-biri". Bilangannya meningkat pada antara perang dengan 130 ekor anjing ini yang didaftarkan pada tahun 1924 apabila ia terlihat dalam gelanggang pertunjukan dan sebagai anjing pekerja. Raitsits berhasrat untuk memulihara kualiti terier tipikalnya. Sebelum tahun 1923, pumi telah ditunjukkan sebagai keragaman tempatan bagi puli, tetapi, menjelang tahun 1927, kedua-dua baka ini telah dipisahkan secara rasmi.[16][7] Piawaian pumi diluluskan oleh FCI pada tahun 1935 bersama-sama dengan nama saintifik Canis familiaris ovilis villosus terrarius-Raitsitsi. Ini telah dicadangkan oleh Csaba Anghi untuk mencerminkan banyak unsur terier pada pumi baik dari segi ciri mahupun perwatakan.[19] Piawaian baka awal tertumpu pada perbezaan antara baka berkaitan yang mencatatkan pumi dengan ciri-ciri distingtif seperti muncung lebih panjang, garis stop lebih lancar, telinga terlipat tegak, dan lapis bulu tidak berpintal.[22]

Semasa Perang Dunia Kedua, kekurangan makanan dan kekurangan penjagaan veterinar mengurangkan bilangannya sekali lagi dan banyak anjing ditembak oleh askar. Ria Hörter menulis bahawa "Ilona Orlay, salah seorang pembantu Dr Raitsits, berjalan melalui Budapest yang sedang terbakar sambil menolak [kereta tarik] yang mengandungi kertas berharga tentang anjing gembala Hungary dari pejabat Kelab Kenel Hungary ke tempat selamat."[16]

Pembiakbakaan menjadi mungkin sekali lagi dalam tempoh selepas pemberontakan 1956. Piawaian baka tahun 1960, yang kekal terpakai sehingga tahun 1980-an, mengizinkan sebarang warna lapis bulu padu,[7] tetapi variasi yang terlihat dalam baka ini semasa tahun 1950-an telah dikurangkan sejak itu.[16] Ia pertama kali dieksport ke Finland pada tahun 1973 dan ke Sweden pada tahun 1985 dan kemudian ke Itali dan ke Belanda dan ke Amerika Syarikat pada awal tahun 1990-an.[23] Piawaian baka antarabangsa semasa bertarikh dari Disember 2013.[11][12] Pada tahun 2016, pemerintah Hungary menamakan pumi sebagai salah satu daripada lapan baka anjing peribuminya, lalu mewujudkan bank gen untuk memulihara ciri-cirinya, dan mengumumkan sokongan untuk pembiakbakaan di pusat-pusat pembiakbakaan kebangsaan Hungary.[24]

Kesihatan[sunting | sunting sumber]

Pumi mempunyai jangka hayat tipikal sehingga usia 12 hingga 14 tahun.[2] Isu-isu perubatan yang diketahui merupakan masalah lutut yang dipanggil kehelan tempurung lutut dan displasia pinggul anjing. Pembiak baka bertanggungjawab mempunyai pengujian DNA yang dilakukan untuk mielopati degeneratif dan penyakit mata yang dipanggil kehelan kanta primer, walaupun kedua-duanya tidak lazim. Mereka juga menyaring anjing mereka untuk kehelan tempurung lutu dan kadang-kadang untuk displasia siku.[25]

Sebuah kajian yang meneliti sejuta ekor anjing yang telah menjalani penyarian genetik mengenal pasti gen RPGRIP1 sebagai gen yang prevalen pada 4.65% daripada jumlah pumi. Gen ini bertanggungjawab atas distrofi kon-rod.[26]

Displasia pinggul[sunting | sunting sumber]

Displasia pinggul ialah pembentukan abnormal bagi soket pinggul yang dapat membawa kepada masalah sendi serius untuk anjing berkenaan. Ini merupakan trait genetik yang juga dipengaruhi oleh faktor persekitaran dan dapat dikenal pasti melalui sinar-X. Ini barang kali merupakan masalah kesihatan paling lazim yang spesifik untuk baka ini. Ujian terhadap 329 ekor pumi di Amerika dalam tempoh tahun 1991–2021 mendapati bahawa 9.4 peratus mempunyai pinggul abnormal.[25]

Rekod kesihatan baka ini dari Finland dan Sweden menunjukkan bahawa 80 peratus daripada populasi pumi yang lahir di sana mempunyai pinggul sihat.[perlu rujukan]

Mielopati degeneratif[sunting | sunting sumber]

Mielopati degeneratif ialah penyakit progresif tidak boleh sembuh bagi saraf tunjang anjing yang biasanya ditemukan selepas umur tujuh tahun. Pumi dapat menjadi pembawa gen pencetus. Pengujian DNA dapat mengenal pasti anjing yang merupakan pembawa dan anjing ini tidak patut dibiakbakakan dengan pembawa lain. 9.7 peratus daripada 227 ekor pumi yang diuji di Amerika Syarikat dalam tempoh tahun 2001–2021 didapati sebagai pembawa.[25]

Kehelan kanta primer[sunting | sunting sumber]

Kehelan kanta primer ialah kehelan kanta mata. Ini juga merupakan penyakit genetik, yang gen pembawa untuknya dapat dikenal pasti melalui pengujian DNA. Daripada 228 ekor pumi yang diuji di Amerika Syarikat dalam tempoh tahun 2001–2021, 12.3 peratus didapati sebagai pembawa.[25]

Displasia siku[sunting | sunting sumber]

Displasia siku melibatkan keabnormalan perkembangan sendi siku dan pertumbuhan rawan atau struktur di sekelilingnya yang membawa kepada osteoartritis. Setakat tahun 2016, tiada pumi yang diuji di United Kingdom yang mempunyai skor abnormal tercatat.[27]

Pengujian[sunting | sunting sumber]

Menurut Hungarian Pumi Club of America, ujian yang disyorkan untuk pumi merupakan:[28]

  • Displasia pinggul (sinar-X)
  • Kehelan tempurung lutut (perakuan veterinar)
  • Kehelan kanta primer (ujian DNA)
  • Mielopati degeneratif (Ujian DNA)
  • Pemeriksaan mata oleh ahli oftalmologi (pilihan)
  • Displasia siku (pilihan) (sinar-X)
  • Repositori DNA (pilihan) (sampel darah)

Kegiatan[sunting | sunting sumber]

Pumi pada asalnya digunakan sebagai anjing gembala dan kebanyakan anjing gembala pekerja di Hungary merupakan pumi.[16] Walau bagaimanapun, kini banyak anjing digunakan untuk ketangkasan anjing, tarian anjing, dan kepatuhan. Ia juga dapat dilatih untuk pengesanan, pencarian dan penyelamatan, dan tujuan lain.[29] Memandangkan pumi pada asalnya digunakan untuk penggembalaan, ia layak untuk bertanding dalam acara penggembalaan; naluri dan kebolehlatihan sesuai dapat diukur dalam ujian tanpa persaingan. Pumi yang menunjukkan naluri penggembalaan asasi dapat dilatih untuk bertanding dalam ujian.[30] Pumi juga telah digunakan untuk memburu babi hutan.[31]

Pengiktirafan[sunting | sunting sumber]

Pumi kurang terkenal di luar Hungary dengan hanya 2,064 ekor anjing berdaftar pada tahun 2015.[32] Pumi pertama diperkenalkan ke Finland pada tahun 1973 dan Sweden dan Finland telah mendaftarkan sekitar 100 ekor pumi pada setiap tahun. Di kedua-dua negara, pumi ialah anjing ketangkasan popular yang terlihat dalam pertandingan kejuaraan dan juga digunakan untuk kepatuhan kompetitif dan tarian anjing. Pada penghujung tahun 2014, terdapat kira-kira 881 ekor pumi yang berdaftar di Finland, 74 ekor di Belanda, 111 ekor di Jerman, 84 ekor di Republik Czech, 36 ekor di Perancis, 29 ekor di United Kingdom, 9 ekor di Ireland, 10 ekor di Ukraine, 10 ekor di Estonia , 2 ekor di Latvia, 5 ekor di Slovenia, 1 ekor di Sepanyol, dan 5 ekor di Jepun.[33]

Pada tahun 2004, pumi diterima dalam program Khidmat Ternakan Asasi American Kennel Club dan Hungarian Pumi Club of America diasaskan. Pada 1 Januari 2011, pumi diterima ke dalam kelas Lain-lain AKC setelah mencapai 150 pendaftaran di Amerika Syarikat dan, pada 1 Julai 2016, ke dalam kumpulan Gembala dengan lebih daripada 300 anjing berdaftar sebagai baka anjing ke-190 yang telah diiktiraf secara rasmi oleh kelab itu.[34][35][36]

Di United Kingdom, The Kennel Club menerima piawaian baka untuk pumi pada tahun 2015.[1] Terdapat sebuah kelab baka aktif dan, setakat Disember 2023, kira-kira 300 pendaftaran di United Kingdom.[37]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Catatan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Jawi: ڤومي; Hungary: pumi

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b c d e f g h i "Breed Standard: Hungarian Pumi". The Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). The Kennel Club. Jun 2015. Dicapai pada 15 Januari 2024.[pautan mati kekal]
  2. ^ a b c d e f Hoppendale & Moore (2019). Pumi - complete owners manual (dalam bahasa Inggeris). Zoodoo Publishing. ISBN 9781788651202.
  3. ^ Anderson, Alyssa. "What To Know About a Pumi". WebMD (dalam bahasa Inggeris). WebMD. Dicapai pada 13 Mac 2024.
  4. ^ "Breed Traits & Characteristics" (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club.
  5. ^ a b "The colour inheritance of Pumi and Mudi Hungarian dog breeds" (PDF) (dalam bahasa Inggeris). Universiti Debrecen. 2009. Dicapai pada 28 Januari 2024.
  6. ^ a b c László, István (24 Januari 2016). "The Pumi" (PDF). www.pumiworld.hu (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 28 Januari 2024.
  7. ^ a b c d e Ócsag, Imre; Sárkány, Pál (1987). Hungarian Dog Breeds (dalam bahasa Inggeris). Corvina. ISBN 978-9631323023.
  8. ^ "Dogs That Do Not Shed" (dalam bahasa Inggeris). Go Pets America. 5 Oktober 2005. Dicapai pada 28 Januari 2024.
  9. ^ Hill, Jason (2016). Pumi guide (dalam bahasa Inggeris). Lightning Source UK Ltd. m/s. 42. ISBN 978-1-5269-0826-1.
  10. ^ "AKC Dog Breeds: Pumi". The Dog Encyclopedia (dalam bahasa Inggeris). The Dog Encyclopedia. Dicapai pada 28 Januari 2024.
  11. ^ a b "FCI - Standard Nr. 56 PUMI" [Piawaian FCI No. 56 Pumi] (pdf). Persekutuan Kinologi Antarabangsa (dalam bahasa Jerman). Diterjemahkan oleh Peter Weit. 13 September 2000. Dicapai pada 29 Januari 2024.CS1 maint: others (link)
  12. ^ a b "FCI Standard N° 56 PUMI" [Piawaian FCI No. 56 Pumi] (pdf). Persekutuan Kinologi Antarabangsa (dalam bahasa Inggeris). Diterjemahkan oleh Chris Seidler dan Elke Peper. 13 September 2000. Dicapai pada 29 Januari 2024.CS1 maint: others (link)
  13. ^ "Pumi - Temperament & Personality". Petwave (dalam bahasa Inggeris). Petwave Inc. 16 Julai 2015. Diarkibkan daripada yang asal pada 14 Jun 2018. Dicapai pada 28 Januari 2024.
  14. ^ Yamazaki, Tetsu; Kojima, Toyoharu (2005). Legacy of the Dog: The Ultimate Illustrated Guide (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-2). San Francisco, California, Amerika Syarikat: Chronicle Books. m/s. 65. ISBN 0-8118-5120-6. Dicapai pada 28 Januari 2024. Because these dogs have inherited the high intelligence of the puli, training is quite easy.
  15. ^ "Pumi". www.petguide.com (dalam bahasa Inggeris). VerticalScope Inc. 26 Jun 2013. Dicapai pada 15 Januari 2024.
  16. ^ a b c d e f g Hörter, Ria (November 2014). "Small Hungarian Sheepdogs – Puli, Pumi & Mudi" (dalam bahasa Inggeris). The Canine Chronicle. Dicapai pada 29 Januari 2024.
  17. ^ "History of The Pumi". www.k9magazine.com (dalam bahasa Inggeris). Total Pet Publishing. 5 Mac 2014. Dicapai pada 28 Januari 2024.
  18. ^ "Pumi". Nine Hungarian Dogs (dalam bahasa Inggeris). 2015. Dicapai pada 29 Januari 2024.
  19. ^ a b c Kuzmenkó & Németh (30 Mac 2010). "The origin of the pumi" (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 29 Januari 2024.
  20. ^ a b c d e f g Morris, Desmond (2001). Dogs: the ultimate dictionary of over 1,000 dog breeds (dalam bahasa Inggeris). North Pomfret, Vermont, Amerika Syarikat: Trafalgar Square Publishing. m/s. 444–445. ISBN 1-57076-219-8.
  21. ^ a b c d Fogle, Bruce (2009). The encyclopedia of the dog (dalam bahasa Inggeris). New York, Amerika Syarikat: DK Publishing. m/s. 316. ISBN 978-0-7566-6004-8.
  22. ^ Ben-Dror, Meir. "Pumi Profile" (dalam bahasa Inggeris). Hungarian Pumi Club UK. Dicapai pada 29 Januari 2024.
  23. ^ "Pumi". www.working-dog.com (dalam bahasa Inggeris). Dögel GmbH. Dicapai pada 29 Januari 2024.
  24. ^ "Ministry of Agriculture Names Indigenous Hungarian Dog Breeds". Daily News Hungary (dalam bahasa Inggeris). Daily News Hungary. 18 September 2016. Dicapai pada 29 Januari 2024.
  25. ^ a b c d "Pumi - Recommended Tests/CHIC Program Requirements" (dalam bahasa Inggeris). The Canine Health Information Center. Dicapai pada 13 Mac 2024.
  26. ^ Donner, Jonas; Freyer, Jamie; Davison, Stephen; Anderson, Heidi; Blades, Matthew; Honkanen, Leena; Inman, Laura; Brookhart-Knox, Casey A.; Louviere, Annette; Forman, Oliver P.; Chodroff Foran, Rebecca (27 Februari 2023). "Genetic prevalence and clinical relevance of canine Mendelian disease variants in over one million dogs". PLOS Genetics (dalam bahasa Inggeris). Public Library of Science (PLoS). 19 (2): e1010651. doi:10.1371/journal.pgen.1010651. ISSN 1553-7404. PMC 9997962 Check |pmc= value (bantuan).
  27. ^ "Dog Health Group Report 2016: elbow scores by breed" (PDF) (dalam bahasa Inggeris). The Kennel Club. Dicapai pada 29 Januari 2024.
  28. ^ "Pumi health" (dalam bahasa Inggeris). Hungarian Pumi Club of America. Dicapai pada 29 Januari 2024.
  29. ^ "Working Dog" (dalam bahasa Inggeris). Hungarian Pumi Club UK. Dicapai pada 29 Januari 2024.
  30. ^ Hartnagle-Taylor, Jeanne Joy; Taylor, Ty (2010). Stockdog Savvy (dalam bahasa Inggeris). Alpine Publications. ISBN 978-1-57779-106-5.
  31. ^ "Pure-bred dogs". American Kennel Gazette (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club. 81, part 2: 84. 1964.
  32. ^ Ahearn, Brianna (13 Mei 2017). "A New Breed, the Pumi, recognised by the AKC". Dog Breeders Guide (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 29 Januari 2024.
  33. ^ "Map". Nine Hungarian Dogs (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 29 Januari 2024.
  34. ^ Gibeault, Stephanie (27 September 2016). "Meet the Pumi, the New Dog on the Block". American Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club. Dicapai pada 29 Januari 2024.
  35. ^ Connor, Liz (27 Jun 2016). "Meet the Pumi, the new dog breed you need to know about" (dalam bahasa Inggeris). London Evening Standard. Dicapai pada 29 Januari 2024.
  36. ^ Kennedy, Merrit (22 Jun 2016). "'Intelligent' And 'Whimsical': The Pumi Dog Breed Gains Full U.S. Recognition" (dalam bahasa Inggeris). National Public Radio Inc. Dicapai pada 29 Januari 2024.
  37. ^ "Comparative tables of registrations for the years 2014-2023 inclusive" (PDF). The Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). The Kennel Club. Dicapai pada 13 Mac 2024.