Pupa

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Pupa kumbang kabai (Melolontha melolontha)

Pupa (Latin pupa "anak patung") merupakan peringkat hidup sesetengah serangga yang menjalani perubahan bentuk. Peringkat pupa hanya terdapat pada serangga berholometabolisme, iaitu yang menjalani metamorfosis lengkap dengan empat peringkat hidup, iaitu embrio, larva, pupa dan imago.

Sesetengah jenis serangga mendapat nama khas bagi pupanya, misalnya kepompong bagi order Lepidoptera. Pupa juga boleh menutupi diri dalam lindungan seperti kokun, sarang atau cangkerang.[1]

Sesetengah pupa kekal di dalam rangka luar instar larva terakhir, oleh itu dipanggil puparium (plural, puparia); misalnya spesies-spesies lalat dalam famili Stratiomyidae, Syrphidae dan lain-lain.

Kepompong[sunting | sunting sumber]

Kepompong kupu-kupu Euploea core yang berwarna emas

Kepompong merupakan peringkat pupa kupu-kupu. Apabila beluncas cukup besar, ia menghasilkan segumpal sutera yang digunakan untuk melekatkan tubuhnya pada daun atau ranting. Kemudian, kulit beluncas tersalin buat kali terakhir; di bawah kulit lama ini ialah kulit keras yang dipanggil kepompong.[2]

Oleh sebab sering terbentuk di tempat terbuka, kepompong merupakan contoh pupa yang paling dikenali. Kebanyakan kepompong terlekat pada permukaan dengan bahan seakan Velcro yang ditenun oleh beluncas, biasanya dilekatkan di bawah tenggekan, diperbuat daripada pelekap sutera dan kremaster, iaitu bonjol yang berbentuk cangkuk dari belakang kepompong pada hujung abdomen pupa di mana beluncas melekatkan dirinya pada pelekap sutera.

Seperti dengan pupa yang lain, peringkat kepompong kupu-kupulah yang paling sedikit pergerakannya. Namun demikian, sesetengah pupa kupu-kupu mampu menggerakan segmen-segmen abdomennya untuk menghasilkan bunyi atau menakutkan pemangsa. Di dalam kepompong, berlakunya pertumbuhan dan pembezaan. Dari kepompong ini munculnya kupu-kupu yang mengembangkan sayap dengan menyalurkan hemolimfa ke dalam urat sayapnya.[3] Walaupun perubahan yang cepat dari pupa kepada imago ini sering dipanggil metamorfosis, namun metamorfosis sebenarnya memaksudkan seluruh rantaian perubahan yang dijalani oleh serangga dari telur hingga dewasa.

Sebelum keluar, kupu-kupu menggunakan suatu cecair yang melembutkan kulit kepompong, serta dua cakar tajam yang terletak pada sendi yang tebal di tapak sayap depan untuk membuka jalan keluar.[4] Selepas keluar dari kepompong, kupu-kupu biasanya hinggap pada kulit kosongh itu untuk mengembangkan dan mengeraskan sayapnya. Akan tetapi, jika kepompong terletak dekat tanah (seperti jika ia gugur dari pelekap suteranya), maka kupu-kupu terpaksa mencari satu lagi permukaan menegak untuk berhinggap sambil mengeraskan sayapnya (seperti dinding atau pagar).

Pupa rama-rama lazimnya berwarna gelap dan terbentuk dalam sel bawah tanah, terbiar di atas tanah, ataupun terlindung dalam litupan sutera yang dipanggil kokun.

Adalah penting untuk membezakan pupa, kepompong dan kokun. Pupa ialah peringkat antara larva dan dewasa. Kepompong ialah pupa kupu-kupu. Kokun ialah bekas sutera yang menutup pupa rama-rama dan sesetengah serangga lain.

Kokun[sunting | sunting sumber]

Kokun ialah bekas buatan sutera yang dihasilkan oleh sebilangan besar beluncas rama-rama,[5] dan banyak lagi larva serangga berholometabolisme sebagai perlindungan buat pupa.

Kokun terdapat dalam pelbagai bentukan, iaitu keras mahupun lembut, legap mahupun lutsinar, pejal atau berjaring, pelbagai warna, ataupun berlapis-lapis, mengikut jenis larva serangga yang menghasilkannya. Kebanyakan beluncas rama-rama membuang bulu larva (seta) untuk diterapkan dalam kokun; jika bulu itu bulu merengsa maka kokun itu juga merengsa sebarang hidupan yang menyentuhnya. Sesetengah larva melekatkan ranting kecil, bebola tahi atau cebisan tumbuhan di bahagian luar kokun untuk menyamar daripada pemangsa. Ada juga yang membentuk kokun di lokasi yang tersembunyi, sama ada di bahagian bawah daun, di dalam rekahan, dekat tapak batang pokok, tergantung pada ranting atau terselindung dalam timbunan daun.[6]

Sutera kokun rama-rama sutera boleh dirungkaikan untuk memperoleh gentian sutera; oleh itu, rama-rama ini merupakan spesies Lepidoptera yang paling penting dari segi ekonomi. Rama-rama ini merupakan satu-satunya Lepidoptera yang diternak dan tidak wujud di alam liar.

Serangga yang menjadi pupa dalam kokun mesti dapat keluar darinya. Pupa berbuat demikian dengan memotong jalan keluar atau merembeskan bendalir yang melembutkan kokun. Sesetengah kokun dibina dengan titisan lembut di dalamnya untuk mudah dikoyak dari dalam, ataupun dengan lubang keluar yang hanya boleh dilalui sekali untuk keluar; ciri-ciri begini memudahkan keluarnya serangga dewasa yang baru keluar kulit pupa.

Galeri[sunting | sunting sumber]


Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. Borror, D. J. Dwight M. DeLong and Charles A. Triplehorn. An introduction to the study of insects. New York: Holt, Rinehart & Winston. Sixth Edition. Templat:Year missing Templat:ISBN missing
  2. Darby, Gene (1958). What is a Butterfly. Chicago: Benefic Press. ms. 19. 
  3. AMNH Accessed December 2006
  4. The Entomologist
  5. Darby, Gene (1958). What is a Butterfly. Chicago: Benefic Press. ms. 41. 
  6. Malcolm J. Scoble. 1992. The Lepidoptera: form, function and diversity. Oxford: Oxford University Press.