Qilin

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Patung qilin dari zaman dinasti Qing di Istana Musim Panas, Beijing.
Lukisan diraja yang menggambarkan seekor zirafah yang dibawa pulang oleh Zheng He (Cheng Ho) pada tahun 1414. Lukisan in bertajuk "Qilin Mendatangkan Ketenteraman"

Qilin (Bahasa Cina: 麒麟 atau 騏驎pinyin: qílínWade-Giles: ch'i-lin) ialah seekor makhluk mitos bertelapuk yang sangat dikenali dalam kebudayaan Asia Timur. Adalah dipercayai bahawa kemunculannya adalah petanda datangnya seorang pendeta atau pemerintah yang mulia.[1] Ia merupakan petanda bertuah yang mendatangkan rui (Bahasa Cina: pinyin: ruì; lebih kurang bermaksud "ketenangan" atau "kemakmuran"). Ia selalu dilukis dengan corak seakan api di seluruh badannya.

Asal-usul[sunting | sunting sumber]

Semenjak mula-mula disebut dalam pustaka Zuo Zhuan dari abad ke-5 SM.[2][3], makhluk qilin banyak disebut dalam pelbagai karya-karya sejarah dan cereka Cina yang menyusulinya.

Menurut legenda, qilin ini mendapat rupa seakan harimau setelah ghaib dari alam nyata, kemudian menjadi olahan bagi zirafah pada Dinasti Ming.[4][5] Qilin mulai disamakan dengan zirafah selepas Laksamana Zheng He (Cheng Ho) berlayar ke Timur Afrika (khususnya bumi yang kini bergelar Kenya). Armada Zheng He membawa pulang dua ekor zirafah ke Beijing yang dipanggil "Qilin".[6] Maharaja mengisytiharkan zirafah itu sebagai makhluk sakti dalam tawanan sebagai lambang kebesaran pemerintahan baginda.

Penyamaan Qilin dan zirafah disokong oleh beberapa ciri yang ada pada Qilin, khususnya sebagai haiwan maun yang bersepi. Kemampuannya untuk "berjalan di atas rumput tanpa mengusiknya" mungkin berkaitan dengan kaki zirafah yang panjang dan kurus-kering. Selain itu, Qilin disifatkan bertanduk rusa dan bersisik naga atau ikan; memandangkan zirafah itu ada sepasang "osikon" seakan tanduk di kepalanya serta corak bulunya yang berubin, adalah mudah untuk melihat persamaan antara kedua-dua makhluk itu. Penyamaan Qilin dengan zirafah meninggalkan kesan yang berlarutan; kini, zirafah dipanggil girin (기린) dalam bahasa Korea dan kirin (キリン) dalam bahasa Jepun.

Akan tetapi, kini tidak mungkin zirafah dan Qilin disamakan lagi. Misalnya, lukisan Qilin biasanya mempunyai leher yang lebih pendek daripada zirafah.

Keterangan[sunting | sunting sumber]

Patung qilin dari laluan suci Maharaja Wu dari Dinasti Liu Song (ca. 422)

Makhluk Qilin telah diperikan dengan pelbagai cara. Ia disangka sebagai sejenis unikorn yang jarang ditemui dengan sebatang tanduk di dahinya, belakang yang berwarna-warni, telapuk kuda, tubuh rusa, dan ekor lembu; sejenis makhluk yang berkepala negara dan bertubuh harimau bersisik.

Sungguhpun tampak garang, namun Qilin hanya mengejar mereka yang jahat sahaja. Ia boleh berjalan di atas rumput tanpa memijak-mijak lai rumput, serta mampu berjalan di atas air. Sebagai haiwan yang damai, ia tidak memakan daging. Ia sungguh berhati-hati ketika berjalan, tanpa membahayakan atau mengusik sebarang makhluk hidup. Qilin dipercayai hanya wujud di kawasan-kawasan yang ditakluki oleh ketua yang bijaksana dan mulia (walaupun sekadar sebuah rumah). Biasanya, ia lemah-lembut, tetapi boleh bertukar ganas jika seseorang yang berdosa mengancam mereka yang tidak berdosa, maka ia memancutkan api dari mulutnya dan menyerlahkan bermacam-macam kuasa yang menyeramkan.

Menurut legenda juga, Qilin pernah muncul di taman-taman milik Maharaja Kuning dan juga di ibu kota Maharaja Yao. Kedua-dua kejadian ini membuktikan kemuliaan dua pemerintah ini. Juga diceritakan bahawa kelahiran tokoh maha bijaksana, Confucius ditelah oleh kemunculan seekor Qilin.[1]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b "qilin (Chinese mythology)". Encyclopædia Britannica. Dicapai pada 24 Julai 2011.
  2. ^ Chinese Literature -Chunqiu-Zuozhuan 春秋左傳, Gongyangzhuan 公羊傳, Guliangzhuan 穀梁傳 (www.chinaknowledge.de)
  3. ^ "古建上的主要装饰纹样――麒麟 古建园林技术-作者:徐华铛" (PDF). Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2007-09-30. Dicapai pada 2007-09-30.
  4. ^ 此“麟”非彼“麟”专家称萨摩麟并非传说中麒麟
  5. ^ 傳說中的聖獸--麒麟
  6. ^ 傳世麒麟圖考察初稿 張之傑