Rahib Hitam (karya)

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Rahib Hitam
Anton Chekhov
Pengarang Anton Chekhov
Judul asal Чёрный монах (Chyorny monakh)
Negara Rusia
Bahasa Rusia
Genre Cereka

Rahib Hitam (Bahasa Rusia: Чёрный монах, Chyorny monakh; Bahasa Inggeris: The Black Monk) ialah sebuah cerita pendek oleh Anton Chekhov, ditulis dalam tahun 1894 semasa Chekhov tinggal di kampung bernama Melikhove. Cerita mengisahkan cerita dua tahun yang tragik dalam kehidupan seorang ilmuan dan pelukis Andrey Vasil'ich Kovrin.

Ikhtisar[sunting | sunting sumber]

Cerita ini berkaitan Andrey Kovrin, seorang sarjana yang bijak yang mengalami penyakit mental megalomania. Kovrin mengalami tekanan mental dan pulang ke ladang kepunyaan penjaganya. Selepas beransur pulih seketika, protagonis mula mendapat halusinasi dalam bentuk seorang rahib berpakaian hitam yang mengatakan bahawa dia adalah seorang Terpilih dan tidak sepatutnya mengikut orang biasa – orang yang geliga dan berfikiran Rasional selalunya mengalami neurosis dan kepayahan; orang biasa selalunya sihat dan waras – dan Kovrin orang luar biasa. Kovrin dirawat oleh orang yang mencintainya tetapi membantah tindakan yang mahu memulihkannya dan membuatnya "biasa". Pada akhirnya Kovrin menyedari bahawa dia hanya seorang biasa tetapi meninggal dunia dengan hati gembira kerana masih berperasaan bahawa dia seorang luar biasa, seorang Terpilih.

Dikatakan Chekhov, seorang doktor, menimba pengetahuannya berkaitan penyakit psikiatri untuk menulis cerpen yang berkesan mengenai pengembangan megalomania ini, tetapi juga terdapat persoalan falsafah dan kehidupan yang penting.[1]

Plot[sunting | sunting sumber]

Kisah ini mengikuti watak Andrey Kovrin, seorang ilmuan Rusia yang kelihatan amat gemilang. Pada permulaan cerita, Kovrin terlalu banyak bekerja dan keadaan mentalnya tidak berapa sihat. Beliau memutuskan untuk melawat dan berihat di kebun yang juga sebuah pusat pertanian hortikultur kepunyaan Yegor Pesotsky, bekas penjaga dan mentornya, seorang ahli hortikultur masyhur yang tinggal di pusat tersebut bersama-sama anak gadisnya, Tanya. Kedua-dua Pesotsky dan anaknya menyanjung Kovrin dan berasa teruja dengan kedatangannya. Kovrin ikut bersama kedua-dua dalam pekerjaan harian menjaga tanaman di pusat tersebut dan Kovrin mula menghargai usaha keras yang dilakukan untuk menjaga tanaman. Pada masa lapang, Kovrin banyak membaca, menulis dan bersiar-siar di taman dan ladang cantik Pesotsky.

Pada suatu petang Kovrin tiba-tiba teringatkan legenda tentang seorang rahib yang berpakaian hitam. Kovrin menceritakan legenda ini kepada Tanya: seorang rahib berpakaian hitam yang wujud di tanah gurun Syria atau Arabia seribu tahun dahulu yang akan muncul tidak lama lagi. Selepas bercerita, Kovrin keluar bersiar-siar di ladang dan dengan tiba-tiba beliau ternampak satu lembaga hitam yang menuju ke arahnya. Lembaga itu seorang rahib berumur, berambut putih, berkening hitam, tersenyum dan berpakaian penuh hitam.

Kovrin tidak berasa gentar dan sebaliknya pada minggu-minggu berikutnya dia mula berbual dengan rahib yang menjelma kepadanya. Kovrin bertanyakan rahib sama ada dia sedang berkhayal tentang kehadiran rahib itu dan rahib menjawab, ya. Kovrin sedar bahawa rahib hanya imaginasinya, akan tetapi rahib membawa berita bahawa Kovrin seorang luar biasa, seorang daripada orang Terpilih. Kovrin teruja dengan kata-kata ini dan terus melayan perbualan rahib.

Sementara itu Kovrin dan Tanya menyedari bahawa mereka saling mencintai dan membuat keputusan untuk berkahwin, suatu cadangan yang disokong Pesotsky. Suatu malam, selepas perkahwinan mereka, Kovrin yang susah hendak tidur ternampak rahib duduk di kerusi di dalam kamar tidurnya dan mereka pun berbual. Kovrin gemar melayan rahib kerana rahib selalu memujinya sabagai seorang yang luar biasa, seorang yang berfikr rasional, seorang Terpilih, dan orang luar biasa kadang-kala tidak selalu sihat; bahawa terdapat garis halus di antara keadaan geliga dan gila. Dan Kovrin sebenarnya seorang geliga. Tanya tersedar dari tidurnya dan terus melihat bahawa Kovrin sedang bercakap seorang diri. Dia memegang dan mengejutkan Kovrin daripada halusinasinya dan pada saat itu Kovrin, yang tahu bahawa rahib itu hanya khayalannya, mengaku bahawa dia sudah menjadi gila.

Atas nasihat doktor, Kovrin dibawa pulang ke ladang Pesotsky dan Tanya untuk berihat. Di sana dengan jagaan Tanya, keadaannya bertambah pulih dan Kovrin tidak lagi bertemu rahib hitam. Namun Kovrin berasa terkongkong dan tidak bermaya. Kovrin tahu yang dia suka pada perasaan megalomania yang menyelubunginya. Dia tidak mahu menjadi "biasa". Keadaan ini menyebabkan Kovrin bergaduh dengan Tanya dan Kovrin kemudiannya meninggalakan rumah untuk tinggal bersama wanita lain.

Kovrin dinaikkan pangkat kepada professor akan tetapi tidak dapat menjalankan tanggungjawabnya kerana jatuh sakit batuk berdarah. Pada suatu malam di sebuah hotel, rahib hitam datang bertemu Kovrin dan memarahinya kerana menghabiskan masa dengan perbuatan sia-sia, berubat dan menjadi orang biasa, tidak setaraf seorang Terpilih. Kovrin cuba menjawab tetapi mula batuk berdarah. Wanita yang tinggal bersamanya menjumpai Kovrin yang telah maut tetapi dengan senyuman terukir di bibirnya.

Nota[sunting | sunting sumber]

  1. Ronald Wilks, Prakata dalam Anton Chekhov, The Duel and Other Stories Penguin Books, 1984

Sumber[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]