Raja Busu

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Raja Hassan bin Raja Nala ibni Almarhum Sultan Ibrahim atau juga lebih dikenali sebagai Raja Busu ialah anak kepada Yang Dipertuan Muda Raja Nala ibni Sultan Ibrahim. Menurut J. M. Gullick, perkataan 'Busu' adalah berdasarkan kepada Bongsu yang menjadi panggilan dalam sistem kekeluargaan orang Melayu yang memberi maksud anak yang paling muda atau terakhir sekali.

Raja Busu dipercayai telah datang dan meneroka Lukut pada sekitar tahun 1815 dan mula bergiat aktif dalam kegiatan perlombongan bijih timah. Beliau dilantik sebagai pembesar Lukut di bawah naungan kerajaan Selangor dan dalam masa yang sama segala hasil bijih timah adalah menjadi milik beliau sepenuhnya tanpa cukai oleh Sultan Selangor.

Lukut menjadi daerah yang sibuk dan Raja Busu telah membawa masuk pelombong-pelombong Cina terutama dari Melaka untuk bekerja di lombong-lombong daerah ini. Menurut catatan, Orang Melayu banyak memainkan peranan sebagai penguasa lombong-lombong, manakala orang-orang Cina hanya menjadi pekerja-pekerja mereka. Segala hasil cukai akan diserahkan kepada Raja Busu.

Penduduk Lukut semakin ramai menjelang 1818, dipercayai populasi penduduknya seramai 1,000 orang di mana 1/3 adalah orang-orang Cina.Hasil bijih timah juga semakin meningkat dan dipercayai dapat diperolehi sebanyak 3,600 pikul setahun.

Atas kecemerlangan perlombongan ini, Raja Busu bertindak menaikkan cukai sebanyak 10 peratus. Perkara ini telah mendapat tentangan hebat daripada para pelombong dan pemodal dari Melaka terutamanya orang Cina. Sehingga berlakulah perberontakan pada tahun 1834 sehingga menyebabkan Raja Busu telah dibunuh. Jenazah Raja Busu yang terbakar telah dibawa ke sebuah bukit di Kampung Kuala Lukut (kini Chuah) yang dimakamkan di sana.

Kematian Raja Busu menyebabkan Lukut telah kehilangan seorang pembesar Melayu yang ulung di Lukut dan secara langsung menyebabkan semua aktiviti ekonomi Lukut selepas 1834 hampir lenyap dan sunyi. Lombong-lombong dikatakan ditinggalkan kerana kebanyakan orang-orang Cina kebanyakannya berhijrah ke Sungai Ujong dan Melaka bagi menyelamatkan diri dari serangan balas pengikut Raja Busu.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  • Sumber: Galeri Sejarah Lukut, Muzium Lukut, Port Dickson, Negeri Sembilan Darul Khusus.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]