Rancangan Malaysia Keempat

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Rancangan Malaysia Keempat (RMK4) adalah rancangan pembangunan lima tahun Malaysia dari 1981 sehingga 1985. RMK4 masih bertunjangkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang mempunyai matlamat membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat.

Strategi di bawah RMK4 untuk membangun sosio ekonomi rakyat adalah:

  1. menggunakan dengan lebih berkesan modal, tenaga manusia, teknologi dan sumber lain dalam Malaysia
  2. mempelbagai dan mengukuhkan ekonomi melalui peluang-peluang pasaran luar dan dalam negeri
  3. meningkatkan daya pengeluaran rakyat dalam semua sektor
  4. membuka dan memulih tanah untuk meningkatkan taraf hidup petani dan bidang pertanian
  5. mengurangkan jurang perbezaan pendapatan dan pekerjaan kaum
  6. menggalak penguasaan modal saham kepada 70% untuk rakyat Malaysia
  7. memastikan pembangunan industri

Kerajaan Malaysia memperuntukkan hampir RM59.6 bilion untuk RMK4 di mana 58% daripada jumlah ini dibelanjakan untuk pembangunan sektor ekonomi.

Tumpuan kepada sektor pertanian[sunting | sunting sumber]

Pertanian diberi tumpuan untuk meningkatkan lagi daya pengeluarannya. Dasar Pertanian Negara (DPN) telah dilancarkan pada tahun 1984 bermatlamat memaksimumkan pendapatan daripada pertanian dan mempergiatkan semula sumbangan sektor itu kepada pembangunan ekonomi negara keseluruhannya[1]. Rancangan-rancangan DPN meliputi pembukaan tanah-tanah baru, pemulihan serta penyatuan kebun-kebun kecil, penanaman semula, pembangunan pertanian secara bersepadu dan pembinaan kemudahan pengairan.

Antara projek-projek penting semasa RMK4 adalah:

  • Pembukaan tanah-tanah baru untuk tanaman ekspot seperti kelapa sawit, getah dan koko oleh agensi-agensi seperti FELDA dan RISDA serta kerajaan-kerajaan negeri.
  • Rancangan mini estet tanaman getah yang dikelolakan oleh RISDA di Kg Parit Seraya dan Kg Parit Selangor di Johor.
  • Pembangunan kampung tradisional oleh FELCRA di Kg Kok, Kedah; Teratak Batu, Kelantan; dan Ulu Berang, Terengganu.
  • Tanaman kontan projek tembakau di Alor Ketitir, Terengganu, dan Kandis, Kelantan serta projek tanaman sayur-sayuran di bawah skim Penanaman Berkelompok.
  • Tanaman kelompok padi oleh Pertubuhan Peladang kendalian Lembaga Pertubuhan Peladang di Tanjung Karang, Selangor, dan syarikat-syarikat kerjasama di Kelantan, Perak dan Pulau Pinang.
  • Perluasan program penyelidikan, pinjaman dan pemasaran.

Sementara itu, Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) telah mengendalikan rancangan pemulihan tanah di Sarawak.

Dasar-dasar mesra pelabur dan industri[sunting | sunting sumber]

Dasar Penswastaan negara diperkenalkan pada tahun 1983, semasa dalam tempoh RMK4, yang bertujuan supaya sektor swasta, pengusaha tempatan dan kerajaan bersama-sama memikul tanggunjawab memajukan negara. Melalui dasar ini, kepentingan atau pelaburan kerajaan dipindahkan kepada sektor swasta. Pada tahun yang sama, kerajaan Malaysia juga memperkenalkan Dasar Persyarikatan Malaysia bertujuan menggalak kerjasama antara sektor awam dan swasta dalam membangun ekonomi negara. Kedua-dua dasar ini memberi impak yang besar sama ada positif atau negatif sehingga pada hari ini.

Di bawah Dasar Perindustian Berat, kerajaan Malaysia menubuhkan Perbadanan Industri Berat Malaysia (HICOM) pada 1980. HICOM ditugaskan untuk mengurus industri berat seperti Kedah Cement Sdn Bhd dan kilang besi PERWAJA di Kemaman, Terengganu. Menurut Perdana Menteri ketika itu, dasar perindustrian berat mempunyai serampang dua mata iaitu mewujudkan projek industri berat itu sendiri dan meningkat keupayaan industri sokongan atau mengwujudkan industri-industri baru[2]. Pengenalan dasar ini membawa kepada penubuhan Proton yang memacu industri otomobil negara pada tahun 1983.

Pemilikan saham[sunting | sunting sumber]

RMK4 juga bertujuan menyeimbangkan pemilikan saham dan harta antara bumiputera dan bukan bumiputera. Ini dilakukan dengan penubuhan Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan Skim Amanah Saham Nasional (ASN) pada tahun 1981.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Nota kaki[sunting | sunting sumber]

  1. Dasar tani negara dibentang, Hari Ini Dalam Sejarah Online, Arkib Negara Malaysia
  2. Dasar & Rancangan Pembangunan Negara (No.12), Pejabat Perdana Menteri Malaysia