Rasa Sayang

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Rasa Sayang ialah sebuah lagu rakyat dalam bahasa Melayu yang popular di Indonesia, Malaysia dan Singapura. "Rasa Sayang" agak mirip dengan Dondang sayang dan banyak lagi lagu Melayu lain yang digubah dalam bentuk pantun, salah satu bentuk puisi tradisional Melayu [1]. Ada pendapat yang mengatakan lagu ini berasal dari Ambon, Maluku, Indonesia[2], bagaimanapun dakwaan ini diragukan kerana bahasa Melayu dan tradisi berbalas pantun bukan berasal dari Maluku, tetapi dari lingkungan budaya Melayu itu sendiri.

Lirik[sunting | sunting sumber]

Bahasa Melayu[3]

Rasa sayang, hey!,
Rasa sayang sayang hey,
Hey lihat nona jauh,
Rasa sayang sayang hey!

Buah cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan,
Saya budak baru belajar,
Kalau salah tolong tunjukkan,

Pulau pandan jauh ke tengah,
Gunung daik bercabang tiga,
Hancur badan dikandung tanah,
Budi yang baik dikenang juga,

Dua tiga kucing berlari,
Mana sama si kucing belang,
Dua tiga boleh ku cari,
Mana sama abang seorang,

Pisang emas dibawa berlayar,
Masak sebiji di atas peti,
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi dibawa mati,

Oleh kerana lagu ini adalah dalam bentuk pantun, bagi setiap rangkapnya, dua baris pertama memberikan rima untuk dua baris akhir yang menyampaikan mesej. Terdapat banyak versi lirik "Rasa Sayang", tapi ia mesti dimulai dengan rangkap berikut:

Rasa sayang hey

Rasa sayang-sayang hey

Hey lihat nona jauh

Rasa sayang sayang hey

Rangkap di atas akan diikuti dengan pelbagai jenis pantun Melayu yang popular.

Rasa Sayange (Maluku)[perlu rujukan]

Rasa sayange,
Rasa sayang sayange,
Eeee lihat dari jauh,
Rasa sayang sayange...

Mana kancil akan dikejar,
Ke dalam pasar cobalah cari,
Masih kecil rajin belajar,
Sudah besar senanglah diri,

Si Amat mengaji tamat,
Mengaji Qur'an di waktu fajar,
Biar lambat asal selamat,
Takkan lari gunung dikejar,

Kalau ada sumur di ladang,
Boleh kita menumpang mandi,
Kalau ada umurku panjang,
Boleh kita berjumpa lagi,

Kontroversi[sunting | sunting sumber]

Lagu ini digunakan oleh Kementerian Pelancongan Malaysia untuk mempromosikan Malaysia, yang dikeluarkan sekitar bulan Oktober 2007. Menteri Pelancongan Malaysia, Tengku Adnan Tengku Mansor menyatakan bahawa lagu Rasa Sayang merupakan lagu kepulauan Nusantara dan milik bersama rumpun Melayu di Indonesia dan Malaysia[4]. Gabenor Maluku Karel Albert Ralahalu pula berkeras bahawa lagu "Rasa Sayange" adalah milik Indonesia, kerana merupakan lagu rakyat yang telah membudaya di negara itu sejak lama dahulu, dan mendakwa Malaysia mengada-adakan kisah itu.[5] Gabenor berusaha untuk mengumpulkan bukti kukuh bahawa lagu Rasa Sayange merupakan lagu rakyat Maluku, dan setelah bukti tersebut terkumpul, akan diberikan kepada Menteri Kebudayaan dan Pelancongan.

Menteri Pelancongan Malaysia, Tengku Adnan Tengku Mansor menyatakan bahawa rakyat Indonesia tidak boleh membuktikan bahawa lagu Rasa Sayange merupakan lagu rakyat Indonesia, dan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia, Datuk Seri Dr Rais Yatim mencabar mana-mana pihak di Indonesia membuktikan siapa penciptanya dan memberikan buktinya[6]. Bagaimanapun, bukti tersebut akhirnya ditemui. 'Rasa Sayange' diketahui dirakam pertama kali di Indonesia oleh PT Lokananta, Solo, Indonesia pada 15 Ogos 1962 dalam piring hitam Gramophone[7] Rakaman induk dari piring ini masih disimpan oleh PT Lokananta. Ini dikenali sebagai rakaman pertama terhadap lagu ini. Piring hitam tersebut diedarkan sebagai cenderahati kepada peserta Sukan Asian ke-4 tahun 1962 di Jakarta, dan lagu "Rasa Sayange" adalah salah satu lagu rakyat Indonesia tersebut, bersama dengan lagu etnik lain Indonesia seperti Sorak-sorak Bergembira, O Ina ni Keke, dan Sengko Dainang.

Begitupun pelbagai dakwaan telah bertali arus mengenai empunya sebenar lagu Rasa Sayang ini, lagu ini sebelumnya pernah dinyanyikan dalam bahasa Hindi oleh Mohd Rafi dan Lata Mangeshkar dalam filem Singapore 1960 arahan Shakti Samanta. Namun begitu, sesi pengambaran telah diadakan sejak tahun 1959 lagi di Singapura, yang mana ketika itu jelas Singapura berada di bawah Persekutuan Tanah Melayu. Filem ini juga merupakan filem Bollywood pertama yang diadakan sesi pengambaran secara penuh di luar daripada negara India iaitu di Singapura. Filem ini juga dalam bahasa Hindi disebut "Hai Pyar Ka Hi Naam Ra Sa". Ia dibintangi oleh Shammi Kapoor, Maria Menado dan Padmini.[8][9].

Dalam korus yang berlirik Hindi, lagu Rasa Sayang ini berbunyi sebagai: Rasa sayang re, Rasa sayang sayang re, Hey, pyar ka hee nam? (Hey, adakah ini dipanggil cinta?), Rasa sayang sayang re.

Bagaimanapun, lagu tersebut telah lebih dulu digunakan dalam filem Melayu Rasa Sayang Eh yang diterbitkan pada tahun 1959[10][11], dan juga dinyanyikan dalam satu babak filem Antara Dua Darjat (1960) arahan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee[12][13]. Lebih dari itu, pada tahun 1958, sebuah filem Melayu berjudul "Matahari" telah ditayangkan buat tontonan umum, filem ini menceritakan kisah perjuangan menentang penjajahan tentera Jepun di Tanah Melayu. Filem yang dibintangi oleh Maria Menado, Jins Shamsudin, Aziz Jaafar, Ahmad Mahmud ini turut memaparkan segerombolan tentera yang berjalan sambil menyanyikan lagu "Rasa Sayang Eh".[14][15]

Lagu ini juga turut ditayangkan dalam filem Insulinde, filem yang menggambarkan Hindia Belanda tahun 1937 - 1940.[16]

Trivia[sunting | sunting sumber]

  • Lagu Rasa Sayang dinyanyikan dalam filem hitam-putih Jepun yang diterbitkan pada tahun 1943, Marai No Tora ("Harimau Malaya").[17][18]
  • Kerajaan Hindia Timur Belanda pernah membuat rakaman promosi menggunakan lagu ini sebelum Perang Dunia II. Filem ini, berjudul Insulinde zooals het leeft en werkt, diterbitkan antara tahun 1937 dan 1940, dan dikelaskan sebagai filem bisu.[19] Salinan filem digital ini disebarkan melalui laman sesawang Youtube oleh pakar multimedia Roy Suryo yang mendakwa menjumpai filem digital, tetapi mengakui belum menjumpai filem asli.[20]
  • Rasa Sayang Eh merupakan sebuah filem Melayu yang diterbitkan pada 1959.[21]
  • Lagu ini dinyanyikan dalam filem Melayu 1960, Antara Dua Darjat yang diarah oleh P. Ramlee.
  • Lagu ini pernah dinyanyikan dalam Bahasa Hindi oleh Mohd Rafi dan Lata Mengeshkar dalam filem Singapore atau Hai Pyar Ka Hi Naam Ra Sa tahun 1960 lakonan Shammi Kapoor dan Padmini.[22][23]
  • Lagu "Rasa Sayange" dirakamkan oleh PT. Lokananta, Solo, Indonesia pada 15 Ogos, 1962 pada cakera gramofon. Salinan asal disimpan oleh PT Lokananta. Ini merupakan rakaman ketiga yang diketahui mengenai lagu ini.[perlu rujukan]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]