Red Bull Racing

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Austria Red Bull-Renault[1]
Infiniti Red Bull Racing.jpg
Nama penuh Infiniti Red Bull Racing
Pangkalan Milton Keynes, Buckinghamshire, United Kingdom
Ketua pasukan Christian Horner
Ketua Pegawai Teknikal Adrian Newey
Laman sesawang infiniti-redbullracing.com
Nama terdahulu Jaguar Racing F1 Team
Formula Satu musim 2013
Pemandu 1. Jerman Sebastian Vettel[2]
2. Australia Mark Webber[3]
Pemandu ujian

Switzerland Sébastien Buemi[4]

Portugal António Félix da Costa
Casis Red Bull RB9
Enjin Renault
Tayar Pirelli
Kerjaya Kejuaraan Dunia Formula Satu
Penampilan pertama Grand Prix Australia 2005
Perlumbaan terkini Grand Prix Itali 2013
Perlumbaan disertai 158
Kejuaraan Pengeluar 3 (2010, 2011, 2012)
Kejuaraan Pemandu 3 (2010, 2011, 2012)
Kemenangan 40
Petak pertama 50
Pusingan terpantas 36
Kedudukan 2012 Pertama (460 mata)

Infiniti Red Bull Racing (dahulunya dikenali sebagai Red Bull Racing) ialah sebuah pasukan Formula Satu yang berpangkalan di Milton Keynes, England, yang kini memegang lesen Austria. Pasukan ini, bersama Scuderia Toro Rosso, merupakan salah satu daripada dua pasukan yang dimiliki oleh syarikat minuman Red Bull GmbH. Pasukan ini telah memenangi gelaran Kejuaraan Pengeluar Dunia sebanyak tiga kali, pada tahun 2010, 2011, dan 2012 dan menjadi pemegang lesen negara Austria yang pertama untuk memenangi kejuaraan tersebut. Pasukan juga berjaya memenangi tiga Kejuaraan Pemandu Dunia pada tahun 2010, 2011, dan 2012 dengan usaha Sebastian Vettel. Pasukan diuruskan oleh Christian Horner. Pasukan telah menggunakan enjin Renault sejak musim 2007, dan akan terus menggunakan enjin tersebut sehingga musim 2016.[5] Pada bulan November 2012, ia telah diumumkan bahawa Infiniti akan menjadi nama penaja pasukan dari musim 2013 dan seterusnya, dan pasukan akan dikenali sebagai Infiniti Red Bull Racing.[6][7]

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Logo lama Red Bull Racing

Asal-usul[sunting | sunting sumber]

Pasukan Red Bull semasa boleh dikesan kembali ke Stewart Grand Prix, yang membuat kemunculan sulung mereka pada tahun 1997. Jackie Stewart menjual pasukannya itu kepada Ford Motor Company pada lewat tahun 1999, dan Ford membuat keputusan untuk menamakan semula pasukan tersebut kepada Jaguar Racing, dengan kejayaan yang alar kadar dalam tempoh lima tahun yang akan datang.

Red Bull melibatkan diri dalam Formula Satu pada tahun 1995, di mana mereka menaja pasukan Sauber.

Pengeluar dan pasukan Formula Satu Jaguar Racing telah dijual pada bulan September 2004 oleh pemiliknya, Ford Motor Company.[8] Red Bull, iaitu sebuah syarikat minuman bertenaga, bersetuju untuk membeli Jaguar Racing pada hari terakhir jualan, iaitu pada 15 November 2004.[9] Pasukan terus mempunyai akses kepada enjin Cosworth yang dibangunkan untuk casis 2005 mereka, dan terus beroperasi di bawah nama yang baru. Christian Horner menjadi ketua pasukan yang baru, dan David Coulthard dan Christian Klien menjadi pemandu pertama dan kedua untuk pasukan.

Red Bull Racing bukanlah permulaan bagi Red Bull dalam perlumbaan kereta roda terbuka. Apabila Red Bull menubuhkan pasukan Formula Satu mereka yang sendiri, Red Bull perlu menamatkan perkongsian jangka masa lama dengan pasukan Formula Satu Sauber. Syarikat minuman tersebut juga menjalankan program pemandu muda yang sendiri, yang dipanggil Red Bull Junior Team, di mana Red Bull menjadi penaja untuk pemandu-pemandu muda. Pemandu berprofil tinggi yang telah menerima sokongan ini termasuklah Enrique Bernoldi, Christian Klien, Patrick Friesacher, Vitantonio Liuzzi dan Scott Speed. Red Bull juga menaja ramai pemandu dan pasukan yang bertanding dalam GP2 Series, iaitu siri "penyuap" Formula Satu.

Musim 2005[sunting | sunting sumber]

Pemilik Red Bull, Dietrich Mateschitz, dilaporkan cuba untuk mengupah bekas pemandu Formula Satu dan eksekutif BMW Motorsport, Gerhard Berger, untuk membantu membimbing pasukan melalui musim sulung mereka dalam Formula Satu. Walau bagaimanapun, impiannya tidak tercapai. Bagi tahun 2005, casis Red Bull Racing yang pertama ialah RB1. Red Bull Racing menggunakan enjin Cosworth, iaitu enjin yang digunakan oleh Jaguar Racing.

Bekas pemandu McLaren, David Coulthard, memimpin pasukan. Coulthard telah dipilih kerana mempunyai pengalaman yang luas, dan dianggap sesuai untuk membantu memimpin pasukan yang baru ditubuhkan itu. Tugas pemandu kedua dikongsi oleh Christian Klien, yang memandu untuk Jaguar pada tahun 2004, dan juara F3000 tahun 2004, Vitantonio Liuzzi. Pada mulanya ia telah diumumkan bahawa Klien dan Liuzzi akan menukar tugas memandu setiap empat perlumbaan, tetapi Liuzzi hanya berlumba sebanyak empat kali pada musim ini.

Tahun pertama Red Bull dalam Formula Satu merupakan satu kejayaan yang besar berbanding dengan pasukan mereka yang terdahulu, iaitu Jaguar Racing. Red Bull menamatkan musim di tangga ketujuh dalam Kejuaraan Pemandu, di belakang pasukan BAR Honda. Dalam satu musim sahaja, Red Bull mendapat lebih banyak mata daripada pasukan Jaguar pada tahun 2003 dan 2004. Secara keseluruhannya, Red Bull mendapat 34 mata, 24 untuk Coulthard, 9 untuk Klien dan 1 untuk Liuzzi. Red Bull juga konsisten dengan mengutip mata dan mencabar untuk kedudukan podium sekali-sekala bagi kebanyakan perlumbaan pada musim sulung mereka.

Pemandu Amerika, Scott Speed, menjadi pemandu ketiga untuk Red Bull Racing pada tahun 2005 untuk Kanada dan Grand Prix Amerika Syarikat.

Musim 2006[sunting | sunting sumber]

Pada 23 April 2005, pasukan mengumumkan bahawa mereka akan menggunakan enjin Ferrari pada tahun 2006. Red Bull Racing terus menggunakan tayar Michelin, dan bukannya tayar Bridgestone yang digunakan oleh Ferrari.

Coulthard beraksi untuk Red Bull Racing di Grand Prix Amerika Syarikat 2006.

Pada 8 November 2005, Red Bull Racing mengupah Adrian Newey, iaitu pengarah teknikal di McLaren.[10]

Pada 15 Disember 2005, kereta kedua pasukan, Red Bull RB2, membuat kemunculan litar buat kali pertama. David Coulthard melengkapkan beberapa pusingan di Litar Silverstone di England, dan mengisytiharkan kereta tersebut sebagai sebuah "benda yang seksi".[11] Dalam ujian awal, Red Bull telah dibelenggu dengan masalah penyejukan komponen kereta.[12]

Pada perlumbaan pembuka tirai musim 2006 di Bahrain, Christian Klien melayakkan diri di tempat kelapan (di hadapan pemandu Renault, Giancarlo Fisichella, dan kedua-dua pelumba BMW). Coulthard menamatkan perlumbaan di tempat kesepuluh; masalah penyejukan kereta Red Bull kembali apabila enjin kereta Ferrari beliau rosak selepas perlumbaan, dan menyebabkannya menerima penalti pada perlumbaan berikutnya. Di Malaysia, Coulthard terpaksa bersara selepas mengalami masalah hidraulik, manakala Klien berlanggar dengan Kimi Räikkönen dan selepas ke pit untuk membaiki keretanya, Klien juga bersara selepas mengalami kegagalan hidraulik. Coulthard mendapat tempat di Australia, Coulthard mendapat satu mata selepas Scott Speed ​​diberikan penalti kerana memotong di bawah keadaan bendera kuning.

Coulthard mendapat tempat ketiga di Monaco, dan ia merupakan keputusan podium pertama untuk pasukan. Ketua pasukan, Christian Horner, berkata sebelum perlumbaan bahawa jika salah satu keretanya menamatkan perlumbaan di atas podium, beliau akan melompat ke dalam kolam renang yang berada berdekatan litar secara bogel. Beliau akhirnya melompat ke dalam kolam renang tersebut dengan hanya memakai sehelai kain merah. Secara kebetulan, kedua-dua pasukan Stewart Grand Prix dan Jaguar Racing, iaitu pasukan Red Bull Racing yang terdahulu, juga mendapat podium pertama mereka pada perlumbaan itu.

Robert Doornbos menggantikan Klien bagi tiga perlumbaan terakhir pada musim 2006.

Coulthard mendapat mata di Montreal, setelah memintas Jenson Button pada saat-saat akhir perlumbaan, walaupun bermula di tempat terakhir kerana menukar enjin. Klien juga menunjukkan prestasi yang baik, dan mendapat tempat kesebelas. Di Grand Prix Amerika Syarikat, Klien bersara bersama-sama dengan lapan kereta lain termasuk pemandu Toro Rosso, Scott Speed, ​​pada pusingan pertama. Coulthard pula menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh.

Pasukan menamatkan musim di tangga ketujuh dalam Kejuaraan Pengeluar dengan dengan 16 mata, lima mata di hadapan pasukan Williams. David Coulthard (14 mata) mendapat tempat ke-13 dalam Kejuaraan Pemandu. Klien (2 mata), yang dilepaskan kontraknya oleh Red Bull Racing, diklasifikasikan di tempat ke-18, manakala pengganti Klien, Robert Doornbos, gagal mendapat sebarang mata.

Musim 2007[sunting | sunting sumber]

David Coulthard memandu untuk pasukan di Grand Prix Kanada 2007.
Mark Webber memandu untuk RBR di Grand Prix British 2007.

Tahun 2007 menyaksikan kemunculan Adrian Newey ke dalam pasukan Red Bull Racing, dan beliau mencipta kereta Red Bull yang terbaru yang dinamakan RB3. Pada 31 Ogos 2006, pasukan juga mengumumkan bahawa mereka akan menggunakan enjin Renault untuk musim 2007,[13] Pasukan Toro Rosso pula menggunakan enjin Ferrari.

Pada 7 Ogos 2007, pasukan juga mengumumkan bahawa mereka telah menandatangani Mark Webber untuk memandu bersama David Coulthard untuk musim 2007, dengan menggantikan Christian Klien yang meninggalkan pasukan. Klien telah digantikan oleh Robert Doornbos untuk tiga perlumbaan terakhir pada tahun 2006. Doornboss dikekalkan oleh pasukan dan terus menjadi pemandu ujian pada musim 2007.[14]

Walaupun memulakan perlumbaan di tempat ketujuh pada perlumbaan pembuka tirai di Melbourne, Mark Webber menamatkan perlumbaan di tempat ke-13. David Coulthard pula berlanggar dengan pemandu Williams, Alexander Wurz pada saat-saat akhir perlumbaan. Di Malaysia, Webber mendapat tempat kesepuluh, manakala Coulthard bersara selepas mengalami masalah brek. Walau bagaimanapun di Bahrain, prestasi pasukan meningkat, selepas Coulthard dan Webber berada di tempat ketujuh (dengan Coulthard memulakan perlumbaan di tempat ke-21) dan kelapan masing-masing sebelum masalah kebolehpercayaan menyebabkan kedua-dua pelumba bersara. Di Barcelona, Coulthard mendapat tempat kelima, manakala perlumbaan Webber telah dibelenggu oleh masalah hidraulik, dan akhirnya bersara daripada perlumbaan selepas gagal untuk menetapkan masa pusingan yang berdaya saing pada pusingan kelayakan.

Red Bull Racing memperkukuhkan jabatan teknikal mereka dengan mengupah Geoff Willis sebagai Pengarah Teknikal pada 17 Julai 2007.[15]

Selepas ini, pemandu seolah-olah mempunyai nasib yang baik, selepas Webber mendapat tempat ketiga di Grand Prix Eropah, dan Coulthard pula mendapat tempat kelima, selepas memulakan perlumbaan di tempat ke-20.

Red Bull mengekalkan prestasi mereka yang baik menjelang akhir musim ini. Webber hampir memenangi Grand Prix Jepun, tetapi telah terlibat dalam sebuah kemalangan dengan Sebastian Vettel. Pada perlumbaan yang sama, Coulthard sekali lagi menunjukan prestasi yang baik, dan menamatkan perlumbaan di tempat keempat.

Di Grand Prix China, Coulthard mendapat tempat kelima pada pusingan kelayakan, manakala Webber mendapat tempat kesembilan. Coulthard menamatkan perlumbaan di tempat kelapan, manakala Webber mendapat tempat kesepuluh dan gagal mengutip sebarang mata kejuaraan.

Musim 2008[sunting | sunting sumber]

Red Bull terus mengunakan pemandu yang sama, dan mempunyai nombor 9 dan 10 pada kereta mereka selepas menamatkan musim di tangga kelima dalam Kejuaraan Pengeluar tahun 2007. Red Bull mempersembahkan kereta terbaru mereka, iaitu RB4, di Litar Jerez pada 16 Januari dan mengumumkan bahawa Sébastien Buemi akan menjadi pemandu ujian dan simpanan bagi tahun 2008.

Selepas Webber bersara pada perlumbaan pembuka tirai, beliau menamatkan kelima-lima perlumbaan seterusnya di dalam petak mata. David Coulthard pula gagal untuk memulakan musim 2008 dengan baik kerana gagal untuk mendapat tempat yang baik pada pusingan kelayakan, tetapi akhirnya mendapat tempat ketiga di Kanada, dan memberikan keputusan podium pertama Red Bull sejak Grand Prix Eropah 2007. Pada pertengahan musim ini, pasukan mempunyai 24 mata (sama dengan jumlah mata mereka pada musim 2007) dan bertarung dengan pasukan Toyota dan Renault untuk mendapatkan tempat keempat dalam kejuaraan pengeluar. Pasukan juga telah menyelesaikan masalah kebolehpercayaan yang telah mengekang mereka pada tahun sebelumnya.

Walau bagaimanapun, Red Bull gagal untuk bersaing dengan pesaing mereka. Red Bull hanya mendapat 5 mata dalam 10 perlumbaan terakhir mereka, dan prestasi Toro Rosso (pasukan 'B' Red Bull) telah meningkat menjelang akhir musim ini dan memenangi Grand Prix Itali dalam keadaan hujan, dan menjadi pasukan milik Red Bull yang perta,a untuk memenangi sebuah perlumbaan. Hakikat ini menyebabkan ramai yang mendakwa bahawa enjin Renault yang menjana kereta Red Bull mempunyai kuasa kuda yang lebih rendah berbanding enjin Ferrari dan Mercedes. Untuk musim 2009, Renault dibenarkan untuk menyamakan perbezaan dalam kuasa enjin berbanding dengan pesaing mereka selepas pembekuan satu tahun dalam pembangunan enjin dari tahun 2007.

Coulthard mengumumkan persaraannya dari F1 di Grand Prix British, di mana beliau bersara pusingan pertama, dan ini juga berlaku pada perlumbaan terakhirnya di Brazil, di mana beliau bersara di selekoh kedua.

2009: Kebangkitan dan naib juara kepada Brawn GP[sunting | sunting sumber]

Sebastian Vettel semasa ujian pra-musim di Jerez.

Bagi tahun 2009, Red Bull Racing melancarkan kereta terbaru mereka, iaitu RB5, pada 8 Februari dengan menggunakan video 3D yang disampaikan oleh Sebastian Vettel. Pelancaran fizikal kereta tersebut telah diadakan pada hari berikutnya. Pasukan mendapat petak pertama mereka yang sulung di Grand Prix China, selepas Sebastian Vettel menetapkan masa pusingan terpantas dengan melakukan hanya satu pusingan pada sesi kelayakan bahagian ketiga. Mark Webber memulakan perlumbaan di tempat ketiga. Keesokan harinya, Vettel menang, dengan Webber mendapat tempat kedua.[16] Ini merupakan kemenangan pertama oleh Red Bull Racing[17] (walaupun pasukan sebelumya, Stewart GP, telah memenangi GP Eropah 1999).[18]

Selepas memulakan perlumbaan di tempat ketiga pada perlumbaan seterusnya di Bahrain,[19] Vettel menamatkan perlumbaan di tempat kedua, di belakang Jenson Button dan memungut lapan mata kejuaraan dunia.[20] Di Grand Prix Sepanyol, Webber dan Vettel mendapat tempat ketiga dan keempat masing-masing, selepas memulakan perlumbaan di tempat kelima dan kedua. Di Turki, Webber dan Vettel mendapat tempat kedua dan ketiga masing-masing. Di Grand Prix British, Sebastian Vettel menang selepas mendapat petak pertama, dan menamatkan prestasi hebat pendahulu Kejuaraan Pemandu Dunia, Jenson Button, yang memenangi empat perlumbaan berturut-turut. Pasukan mendapat keputusan 1-2 sekali lagi di Grand Prix Jerman, dengan Mark Webber menamatkan perlumbaan di hadapan Sebastian Vettel. Mark Webber juga memenangi perlumbaan keduanya dalam Formula Satu selepas memenangi di Grand Prix Brazil. Pasukan menamatkan musim dengan mendapat keputusan 1-2 sekali lagi, dengan memenangi perlumbaan penutup tirai di Grand Prix Abu Dhabi, dengan Vettel menamatkan perlumbaan di hadapan Webber.

Vettel menamatkan musim di tangga kedua dalam Kejuaraan Pemandu dengan 84 mata, 11 mata di belakang Jenson Button. Mark Webber pula menamatkan musim di tangga keempat dengan 69.5 mata. Pasukan juga mendapat tempat kedua dalam Kejuaraan Pengeluar dengan 153.5 mata, 18.5 mata di belakang Brawn GP.

2010: Tahun kejuaraan dunia[sunting | sunting sumber]

Untuk musim 2010, pasukan mengekalkan kedua-dua Mark Webber dan Sebastian Vettel, dengan Renault menjadi pembekal enjin. Casis RB6 terbukti merupakan kereta yang terbaik pada musim ini, dan terbukti lebih pantas daripada kereta pasukan McLaren dan Ferrari.

Pada pusingan kelayakan bagi perlumbaan pembuka tirai di Grand Prix Bahrain, Vettel mendapat petak pertama manakala Webber mendapat tempat keenam. Vettel memimpin perlumbaan sehinggalah beliau bergerak dengan lebih perlahan kerana mengalami kegagalan pencucuh palam, manakala kedua-dua kereta Ferrari dan Lewis Hamilton memintas Vettel. Vettel mendapat tempat keempat, dan Webber mendapat tempat kelapan.

Di Australia, Vettel sekali lagi mendapat petak pertama, dan Webber mendapat tempat kedua. Vettel memimpin perlumbaan dan sekali lagi kelihatan bersedia untuk memenangi perlumbaan, tetapi melaporkan bahawa beliau mengalami getaran pada salah satu roda depan pada keretanya. Masalah ini seolah-olah telah reda, dan pasukannya memutuskan untuk tidak memanggilnya ke pit. Beberapa selekoh kemudian, masalah ini melanda sekali lagi, dan Vettel kemudiannya bersara kerana mengalami kegagalan brek. Webber pula berlanggar dengan Hamilton pada saat-saat akhir perlumbaan, dan terpaksa ke pit untuk menggantikan sayap depan keretanya dan akhirnya menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan, dan mendapat dua mata.

Di Malaysia, Webber mendapat petak pertama, manakala Vettel mendapat tempat ketiga. Vettel berjaya memintas kedua-dua Nico Rosberg dan Webber sebelum selekoh pertama, dan akhirnya memenangi perlumbaan pertama Red Bull Racing pada musim ini. Webber pula mendapat tempat kedua, dan pasukan berada di tangga ketiga dalam kejuaraan pengeluar selepas perlumbaan ini.

Vettel memenangi Kejuaraan Pemandu tahun 2010 pada perlumbaan penutup tirai di Abu Dhabi.

Pasukan sekali lagi memulakan perlumbaan di petak pertama di China, apabila Vettel berjaya untuk menetapkan masa yang lebih pantas daripada Webber, yang melengkapkan barisan hadapan. Webber memintas Vettel pada permulaan, tetapi kedua-duanya telah dipintas oleh Fernando Alonso, yang kemudiannya diberikan penalti kerana 'bermula-lompat'. Hujan mula membanjiri litar dan strategi Jenson Button terbukti yang terbaik dan beliau memenangi perlumbaan tersebut, dengan Vettel mendapat tempat keenam manakala Webber mendapat tempat kelapan. Ini menyebabkan Vettel dan Webber berada di tangga kelima dan ketujuh dalam kejuaraan pemandu masing-masing, dan pasukan berada di tangga ketiga dalam kejuaraan pengeluar.

Di Grand Prix Sepanyol, Webber mendapat petak pertama dan Vettel mendapat tempat kedua. Webber memenangi perlumbaan ini tanpa berada dalam masalah yang besar. Vettel, bagaimanapun, mengalami masalah brek dan akhirnya mendapat tempat ketiga selepas Hamilton bersara pada pusingan kedua terakhir.

Webber sekali lagi merampas petak pertama di Grand Prix Monaco; Vettel mendapat tempat ketiga, di belakang pemandu Renault, Robert Kubica, tetapi Vettel kemudiannya memintas Kubica dan akhirnya menamatkan perlumbaan di tempat kedua, manakala Webber memenangi perlumbaan ini.[21] Selepas perlumbaan ini, Webber mendahului kejuaraan, dan Vettel berada di tempat kedua (ini hanyalah selepas pengiraan semula kerana kedua-dua pemandu mempunyai 78 mata). Pasukan juga mendahului kejuaraan pengeluar.

Di Grand Prix Turki, Webber sekali lagi mendapat petak pertama, dan ia merupakan petak pertama Red Bull Racing yang ketujuh berturut-turut, dan Vettel memulakan perlumbaan tempat ketiga. Berikutan perhentian pit, Webber dan Vettel berada di tempat pertama dan kedua sehingga pusingan ke-40, apabila Vettel cuba memintas Webber, dan menyebabkan mereka berdua berlanggar. Webber akhirnya mendapat tempat ketiga, manakala Vettel terpaksa bersara.

Di Kanada, Hamilton mendapat petak pertama - dan ia merupakan kali pertama bahawa pemandu Red Bull gagal untuk mendapatkan petak pertama pada tahun ini. Webber dan Vettel mendapat tempat kedua dan ketiga masing-masing pada pusingan kelayakan sebelum pasangan tersebut menamatkan perlumbaan di tempat keempat dan kelima pada perlumbaan tersebut.

Di Grand Prix Eropah di Valencia, Sepanyol, Vettel menang dari petak pertama, dan memimpin kesemua pusingan pada perlumbaan ini. Webber pula berlanggar dengan pemandu Lotus, Heikki Kovalainen, dan menyebabkan kereta Red Bull beliau terpelanting ke udara sebelum mendarat dan terhempas ke penghadang tayar.

Di Grand Prix British di Silverstone, Vettel mendapat petak pertama tetapi memulakan permulaan dengan teruk selepas tayar keretanya pancit dan akhirnya menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh. Webber, yang memulakan perlumbaan di tempat kedua, memenangi perlumbaan ini selepas memimpin kesemua pusingan pada perlumbaan ini.

Vettel mendapat petak pertama, dan memulakan perlumbaan di Jerman di hadapan kedua-dua pemandu Ferrari, tetapi menamatkan perlumbaan di belakang pasangan tersebut, di tempat ketiga. Webber memulakan perlumbaan di tempat keempat, tetapi akhirnya mendapat tempat keenam, di belakang kedua-dua pemandu McLaren. Ketika mendahului perlumbaan, Atas sebab arahan pasukan, Felipe Massa membenarkan Fernando Alonso mendahului perlumbaan dan akhirnya Alonso memenangi perlumbaan ini di hadapan Massa.

Di Grand Prix Hungary, Budapest, Vettel sekali lagi mendapat petak pertama, namun menamatkan perlumbaan di tempat ketiga. Webber pula memenangi perlumbaan ini di hadapan pemandu Ferrari, Fernando Alonso.

Di Grand Prix Belgium, Webber mendapat petak pertama, walaupun McLaren dan Ferrari mempunyai kelebihan kelajuan jalan lurus. Pada permulaan perlumbaan, Webber jatuh ke tempat kelima. Vettel, yang berada di tempat ketiga (selepas memulakan perlumbaan di tempat keempat), mengejar Jenson Button untuk tempat kedua apabila beliau bertembung dengan pemandu British itu di selekoh Bus Stop. Namun, Vettel berlanggar dengan Button, dan menyebabkan Button bersara. Vettel pula ke pit untuk membaiki keretanya, dan kemudiannya diberikan penalti pandu dalam pit, dan tayar keretanya pancit ketika cuba memintas Vitantonio Liuzzi. Vettel akhirnya menamatkan perlumbaan di tempat ke-15.

Di Grand Prix Itali di Monza, Webber memulakan perlumbaan dengan teruk, dan berada di tempat kesembilan selepas pusingan pertama setelah memulakan perlumbaan di tempat keempat. Webber berada di belakang Nico Hülkenberg pada saat-saat akhir perlumbaan, dan akhirnya Webber berjaya memintas Hülkenberg, dan menamatkan perlumbaan di tempat keenam. Vettel pula mendapat tempat keempat.

Di Grand Prix Korea di Yeongam, Vettel mendapat petak pertama, manakala Webber memulakan perlumbaan di tempat kedua. Pada pusingan ke-18, Webber terbabas, dan berlanggar dengan pemandu Mercedes, Nico Rosberg, dan menyebabkan kedua-dua pemandu untuk bersara. Ini diburukkan lagi selepas enjin kereta Vettel gagal berfungsi dengan baki sepuluh pusingan, ketika beliau mendahului perlumbaan dan bersara, manakala Fernando Alonso memenangi perlumbaan ini untuk pasukan Ferrari. Ini merupakan kali pertama kedua-dua pemandu Red Bull bersara sejak Grand Prix Australia 2008 dan hasilnya, Webber tidak lagi mendahului kejuaraan dan kegagalan enjin Vettel menghalangnya daripada mendahului kejuaraan tersebut buat kali pertama pada tahun 2010, tetapi pasukan masih mendahului Kejuaraan Pengeluar.

Di Grand Prix Brazil di São Paulo, Red Bull Racing memenangi Kejuaraan Pengeluar Dunia buat kali pertama selepas Sebastian Vettel dan Mark Webber menamatkan perlumbaan di tempat pertama dan kedua masing-masing, dan menghalang pasukan McLaren dan Ferrari. Dengan berbuat demikian, Red Bull menjadi pasukan Austria yang pertama untuk memenangi Kejuaraan Pengeluar Dunia Formula Satu.

Pada perlumbaan penutup tirai di Abu Dhabi, Sebastian Vettel memenangi perlumbaan tersebut dan merangkul Kejuaraan Pemandu Dunia Formula Satu pertamanya. Red Bull menamatkan tahun ini dengan jumlah 9 kemenangan Grand Prix, lima daripada Sebastian Vettel dan empat daripada Mark Webber. Red Bull mendapat 15 petak pertama, 10 daripada Vettel dan 5 daripada Webber. Pasukan mendapat enam pusingan terpantas, tiga daripada Vettel dan tiga daripada Webber.

Musim 2011[sunting | sunting sumber]

Kedua-dua Sebastian Vettel dan Mark Webber dikekalkan oleh pasukan untuk musim 2011, dan terus menggunakan enjin Renault.[22] Vettel mempertahankan kejuaraan dunianya. Beliau menjadi pemandu kesembilan untuk berbuat demikian selepas memenangi sebelas perlumbaan musim ini, dan mendapat 15 petak pertama, dan memecahkan rekod Nigel Mansell dari musim 1992. Webber menamatkan musim di tempat ketiga dalam Kejuaraan Pemandu, dan memenangi Grand Prix Brazil. Pasukan juga mempertahankan gelaran mereka, selepas menamatkan musim dengan 650 mata dalam Kejuaraan Pengeluar, 153 mata di hadapan pasukan McLaren. Syarikat jenama automotif premium, Infiniti, menyertai Red Bull Racing sebagai rakan kongsi rasmi bagi musim 2011 dan 2012, dan logo Infiniti berada pada kereta perlumbaan, pakaian pemandu dan kit pasukan.

Musim 2012[sunting | sunting sumber]

Bagi musim 2012, Red Bull mengekalkan Sebastian Vettel dan Mark Webber. Webber menandatangani lanjutan kontrak selama satu tahun manakala Vettel meneruskan kontraknya sehingga musim 2014.[23][24] Vettel memenangi Kejuaraan Pemandu Dunia tahun 2012, sekaligus menjadi Juara Dunia Formula Satu tiga kali yang paling muda, dan memecahkan rekod Ayrton Senna sebagai Juara Dunia tiga kali yang paling muda dalam sejarah Formula Satu.

Musim 2013[sunting | sunting sumber]

Pada musim 2013, Red Bull terus mengekalkan Sebastian Vettel dan Mark Webber bagi lima musim berturut-turut. Pasukan juga telah menukarkan nama mereka kepada Infiniti Red Bull Racing, selepas syarikat jenama automotif premium, Infiniti, bersetuju untuk menjadi nama penaja untuk Red Bull Racing.

Di Australia, iaitu perlumbaan pembuka tirai musim ini, Vettel mendapat petak pertama, namun bergelut dalam perlumbaan dan menamatkan perlumbaan di tempat ketiga, di belakang pesaing gelaran tahun 2012, Kimi Räikkönen dan Fernando Alonso, manakala rakan sepasukan, Webber, mendapat tempat keenam. Di Malaysia, Vettel sekali lagi mendapat petak pertama, tetapi situasi yang berlaku di Australia tidak berulang lagi, dan Vettel memenangi perlumbaan ini dalam keadaan kontroversi. Vettel memenangi perlumbaan ini selepas melanggar protokol 'Multi 21', walaupun keputusan 1-2 itu dicemari oleh tindakan Vettel. Di China, iaitu perlumbaan ketiga musim ini, Vettel mendapat tempat kesembilan pada pusingan kelayakan, manakala Webber mendapat tempat ke-14 selepas mengalami isu dengan bahan api, dan menyebabkannya perlu memberhentikan kereta di tepi litar. Red Bull gagal untuk memberikan sampel bahan api kepada FIA, dan menyebabkan Webber memulakan perlumbaan di tempat terakhir. Perlumbaan Webber diburukkan lagi selepas tayar keretanya tercabut, dan menyebabkan Webber gagal untuk menamatkan perlumbaan. Vettel menamatkan perlumbaan di tempat keempat, dan mengekalkan kedudukannya dalam Kejuaraan Dunia. Di Bahrain, iaitu perlumbaan keempat musim ini, Vettel mendapat tempat kedua pada pusingan kelayakan, di belakang Nico Rosberg. Webber pula mendapat tempat kelima, namun diturunkan tiga-petak kedudukan, dan memulakan perlumbaan di tempat ketujuh selepas pemandu lain juga menerima penalti. Dalam perlumbaan tersebut, Webber gagal memperbaiki kedudukannya dan akhirnya menamatkan perlumbaan di tempat yang sama manakala rakan sepasukan beliau memenangi perlumbaan tersebut. Selepas perlumbaan keempat musim ini, Red Bull mendahului kedua-dua Kejuaraan Pemandu dan Pengeluar. Sebastian Vettel melanjutkan kontraknya bersama Infiniti Red Bull Racing sehingga tahun 2015, dan ini memastikan beliau tidak akan meninggalkan mereka walaupun berminat untuk menyertai Ferrari dan Mercedes.[25] Di Grand Prix British, Mark Webber mengumumkan bahawa beliau akan bersara dari Formula Satu selepas musim 2013 berakhir, selepas menandatangani kontrak bersama Porsche dalam FIA World Endurance Championship untuk tahun 2014.[26]

Di Grand Prix Itali, Sebastian Vettel mendapat petak pertama yang ke-50 untuk Red Bull Racing, dan memenangi perlumbaan ke-40 bagi mereka.

Scuderia Toro Rosso[sunting | sunting sumber]

Rencana utama: Scuderia Toro Rosso

Pada musim luruh tahun 2005, Red Bull mengumumkan bahawa mereka telah membeli pasukan Formula Satu Minardi, dan ia akan dikenali sebagai Scuderia Toro Rosso (Bahasa Itali untuk Pasukan Red Bull) mulai tahun 2006. Scuderia Toro Rosso (STR) beroperasi sebagai satu pasukan yang berasingan, tetapi kedua-dua pasukan berkongsi bahagian sumber teknikal tertentu. Pada tahun 2006, STR menggunakan casis yang berdasarkan casis Red Bull Racing tahun 2005, RB1, yang pada asalnya telah direka oleh Jaguar Racing, dan menggunakan enjin pasukan Minardi, iaitu enjin Cosworth V10. Pada tahun 2007, terdapat spekulasi bahawa casis untuk kedua-dua pasukan mempunyai reka bentuk yang sama yang dihasilkan oleh Adrian Newey, walaupun Red Bull berhati-hati untuk mengumumkan bahawa "STR2 akan dibina oleh Red Bull Technology, dan Toro Rosso akan memiliki hak intelek kereta sepenuhnya."[27] Pasukan Formula Satu tidak dibenarkan untuk menggunakan casis pasukan lain. STR telah digunakan sebagai pasukan 'B' untuk Red Bull Racing, yang membolehkan syarikat bekerja dengan lebih banyak pemandu. Pada musim 2010, perjanjian ini telah diharamkan, dan STR5 adalah casis Toro Rosso yang pertama untuk direka dan dibina sendiri.[28]

Pada tahun 2005, pemandu RBR, Vitantonio Liuzzi, telah diberikan kerusi perlumbaan sepenuh masa dengan Scuderia Toro Rosso, di samping pemandu lain yang ditaja oleh Red Bull, Scott Speed. Liuzzi dikekalkan oleh STR untuk musim 2007. Sebastian Vettel mengantikan Speed pada pertengahan musim 2007, dan Sébastien Bourdais mengantikan Liuzzi di STR pada musim 2008. Prestasi Toro Rosso agak baik pada musim 2008 dan Sebastian Vettel memenangi Grand Prix Itali 2008. Ini bermakna bahawa Toro Rosso memenangi perlumbaan pertama mereka sebelum Red Bull Racing, dan ia telah membantu Vettel untuk mengisi kerusi perlumbaan yang kosong di Red Bull Racing pada tahun 2009, di mana beliau juga memenangi perlumbaan pertama untuk Red Bull Racing.

Keputusan lengkap Formula Satu[sunting | sunting sumber]

(kunci)

Tebal - Petak pertama
Condong - P.Terpantas

Tahun Casis Enjin Tayar Pemandu 1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19 20 Mata WCC
2005 Red Bull RB1 Cosworth TJ2005 V10 M AUS MAL BHR SMR ESP MON EUR CAN USA FRA GBR GER HUN TUR ITA BEL BRA JPN CHN 34 Ke-7
United Kingdom Coulthard 4 6 8 11 8 Ret 4 7 DNS 10 13 7 Ret 7 15 Ret Ret 6 9
Austria Klien 7 8 DNS 8 DNS Ret 15 9 Ret 8 13 9 9 9 5
Itali Liuzzi 8 Ret Ret 9
2006 Red Bull RB2 Ferrari 056 V8 M BHR MAL AUS SMR EUR ESP MON GBR CAN USA FRA GER HUN TUR ITA CHN JPN BRA 16 Ke-7
United Kingdom Coulthard 10 Ret 8 Ret Ret 14 3 12 8 7 9 11 5 15 12 9 Ret Ret
Austria Klien 8 Ret Ret Ret Ret 13 Ret 14 11 Ret 12 8 Ret 11 11
Belanda Doornbos 12 13 12
2007 Red Bull RB3 Renault RS27 V8 B AUS MAL BHR ESP MON CAN USA FRA GBR EUR HUN TUR ITA BEL JPN CHN BRA 24 Ke-5
United Kingdom Coulthard Ret Ret Ret 5 14 Ret Ret 13 11 5 11 10 Ret Ret 4 8 9
Australia Webber 13 10 Ret Ret Ret 9 7 12 Ret 3 9 Ret 9 7 Ret 10 Ret
2008 Red Bull RB4 Renault RS27 V8 B AUS MAL BHR ESP TUR MON CAN FRA GBR GER HUN EUR BEL ITA SIN JPN CHN BRA 29 Ke-7
United Kingdom Coulthard Ret 9 18 12 9 Ret 3 9 Ret 13 14 17 11 16 7 Ret 10 Ret
Australia Webber Ret 7 7 5 7 4 12 6 10 Ret 9 12 8 8 Ret 8 14 9
2009 Red Bull RB5 Renault RS27 V8 B AUS MAL CHN BHR ESP MON TUR GBR GER HUN EUR BEL ITA SIN JPN BRA ABU 153.5 Ke-2
Australia Webber 12 6 2 11 3 5 2 2 1 3 9 9 Ret Ret 17 1 2
Jerman Vettel 13 15 1 2 4 Ret 3 1 2 Ret Ret 3 8 4 1 4 1
2010 Red Bull RB6 Renault RS27 V8 B BHR AUS MAL CHN ESP MON TUR CAN EUR GBR GER HUN BEL ITA SIN JPN KOR BRA ABU 498 Pertama
Jerman Vettel 4 Ret 1 6 3 2 Ret 4 1 7 3 3 15 4 2 1 Ret 1 1
Australia Webber 8 9 2 8 1 1 3 5 Ret 1 6 1 2 6 3 2 Ret 2 8
2011 Red Bull RB7 Renault RS27 V8 P AUS MAL CHN TUR ESP MON CAN EUR GBR GER HUN BEL ITA SIN JPN KOR IND ABU BRA 650 Pertama
Jerman Vettel 1 1 2 1 1 1 2 1 2 4 2 1 1 1 3 1 1 Ret 2
Australia Webber 5 4 3 2 4 4 3 3 3 3 5 2 Ret 3 4 3 4 4 1
2012 Red Bull RB8 Renault RS27 V8 P AUS MAL CHN BHR ESP MON CAN EUR GBR GER HUN BEL ITA SIN JPN KOR IND ABU USA BRA 460 Pertama
Jerman Vettel 2 11 5 1 6 4 4 Ret 3 5 4 2 22 1 1 1 1 3 2 6
Australia Webber 4 4 4 4 11 1 7 4 1 8 8 6 20 11 9 2 3 Ret Ret 4
2013 Red Bull RB9 Renault RS27 V8 P AUS MAL CHN BHR ESP MON CAN GBR GER HUN BEL ITA SIN KOR JPN IND ABU USA BRA 352* Pertama*
Jerman Vettel 3 1 4 1 4 2 1 Ret 1 3 1 1
Australia Webber 6 2 Ret 7 5 3 4 2 7 4 5 3

* Musim sedang dijalankan.
Separuh mata diberikan kerana kurang daripada 75% jarak perlumbaan dilengkapkan.
Bagi musim 2010, Formula Satu memperkenalkan sistem pemarkahan yang baru.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. "Informasi lesen". FIA International Court of Appeal. http://www.fia.com/en-GB/mediacentre/pressreleases/ica/2009/Pages/ica_140409.aspx. Capaian 19 April 2009. 
  2. Beer, Matt. "Horner menamatkan khabar angin Vettel", Autosport, Haymarket Publications, 14 Mac 2011. Dicapai pada 14 Mac 2011. 
  3. Beer, Matt. "Webber akan kekal bersama Red Bull Racing sehingga tamatnya musim 2013", Autosport.com, Haymarket Publications, 10 Julai 2012. Dicapai pada 10 Julai 2012. 
  4. Elizabeth. "Sebastian Buemi confirmed as Red Bull Racing's reserve and test driver", Red Bull Racing, Red Bull Racing, 19 Disember 2012. Dicapai pada 19 Disember 2012. 
  5. "Red Bull melanjutkan kontrak enjin Renault sehingga tahun 2016", BBC Sport, BBC, 9 September 2011. Dicapai pada 9 September 2011. 
  6. "Infiniti akan menjadi nama penaja Red Bull Racing", Formula1.com, Kumpulan Formula Satu, 25 November 2012. Dicapai pada 25 November 2012. 
  7. "Infiniti akan menjadi nama penaja Red Bull Racing", Red Bull Racing, Red Bull, 25 November 2012. Dicapai pada 25 November 2012. 
  8. "Jaguar quits Formula One", BBC Sport, 17 September 2004. Dicapai pada 30 April 2013. 
  9. "Red Bull snaps up Jaguar F1 team", BBC Sport, 15 November 2004. Dicapai pada 30 April 2013. 
  10. "Newey makes shock Red Bull move", BBC Sport, 5 November 2005. Dicapai pada 1 Mei 2013. 
  11. Coulthard impressed with RB2 formula1.com, Disember 2005
  12. Red Bull RB2 suffers overheating problems f1testing.net, Januari 2006
  13. "BBC SPORT | Motorsport | Formula One | Red Bull to be Renault powered", BBC News, 31 Oktober 2006. Dicapai pada 30 April 2013. 
  14. "F1 News: Doornbos stays at Red Bull as test driver", autosport.com, 26 Januari 2007. Dicapai pada 30 April 2013. 
  15. "Geoff Willis joins Red Bull Technology", grandprix.com, 17 Julai 2007. Dicapai pada 30 April 2013. 
  16. Whyatt, Chris. "Vettel seals first Red Bull win", BBC Sport, 19 April 2009. Dicapai pada 30 April 2013. 
  17. "Red Bull Racing Launch 2009 F1 Car Virtually", PopSci.com.au, 9 Februari 2009. Dicapai pada 30 April 2013. 
  18. Jackie Stewart Winning Is Not Enough, pg. 394–5, ISBN 978 0 7553 1539 0
  19. "The Official Formula 1 Website". Formula1.com. http://www.formula1.com/results/season/2009/807/6620/. Capaian 30 April 2013. 
  20. "The Official Formula 1 Website". Formula1.com. http://www.formula1.com/results/season/2009/807/6621/. Capaian 30 April 2013. 
  21. "Formula 1 – Laman sesawang F1". Formula1.com. 16 Mei 2010. http://www.formula1.com/news/headlines/2010/5/10796.html. Capaian 1 Mei 2013. 
  22. "Red Bull melanjutkan kontrak Vettel", GP Update, 21 Ogos 2009. Dicapai pada 29 Januari 2011. 
  23. "Webber kekal bersama Red Bull bagi musim 2012", Formula1.com, Kumpulan Formula Satu, 27 Ogos 2010. Dicapai pada 6 Disember 2012. 
  24. "Vettel kekal bersama RBR sehingga musim 2014", Formula1.com, Kumpulan Formula Satu, 14 Mac 2011. Dicapai pada 6 Disember 2012. 
  25. Cass, Simon (11 Jun 2013). "Vettel signs until 2015! German ends Ferrari speculation with extension at Red Bull". MailOnline. http://www.dailymail.co.uk/sport/formulaone/article-2339720/Sebastian-Vettel-extends-Red-Bull-deal-end-2015.html. Capaian 16 Ogos 2013. 
  26. "Formula One: Mark Webber to retire at end of season". Australian Broadcasting Corporation. 2013-06-27. http://www.abc.net.au/news/2013-06-27/formula-one3a-mark-webber-to-retire-at-end-of-season/4786120. Capaian 2013-06-27. 
  27. Noble, Jonathan. "Berger confident STR2 will get green light", autosport.com, Haymarket Publications, 3 Januari 2007. Dicapai pada 1 Mei 2013. 
  28. "First own-design for Toro Rosso", gpupdate.net, GPUpdate, 1 Februari 2010. Dicapai pada 1 Mei 2013. 

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

Pencapaian
Didahului oleh
Brawn GP
Juara Pengeluar Formula Satu
201020112012
Diikuti oleh:
Penyandang