Reformasi (Malaysia)

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Pergerakan Reformasi di Malaysia dilaksanakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan para penyokongnya sebaik sahaja beliau dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada tahun 1998.[perlu rujukan] Gerakan ini terdiri daripada beberapa acara tunjuk perasaan dan perbarisan besar-besaran untuk menentang kerajaan campuran Barisan Nasional yang lama memerintah, yang berterusan sehingga Anwar ditahan lalu dipenjarakan pada tahun 1998, lalu pudarnya pergerakannya. Sasaran kempen reformasi ialah Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Mahathir Mohamad yang dipandang sebagai pemimpin yang korup dan sudah terlalu lama memegang jawatannya.[1]

Kesan peninggalan gerakan reformasi akhirnya terasa ketika pilihan raya umum pada tahun 2008, apabila Parti Keadilan Rakyat (PKR) pimpinan Anwar Ibrahim memenangi 31 kerusi parlimen, dan bersama-sama Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) mematahkan majoriti dua pertiga Barisan Nasional di Parlimen.[2]

Ulasan dan kritikan[sunting | sunting sumber]

Di Sidang Kemuncak APEC 1998 di Kuala Lumpur, Naib Presiden Amerika Syarikat ketika itu, Al Gore, memberi ucapan yang menyokong Anwar dan pergerakan reformasi di hadapan Mahathir dan pemimpin Asia-Pasifik yang lain.

"Demokrasi mengurniakan mohor keabsahan yang perlu untuk pembaharuan agar berkesan." Tambahnya lagi: "Oleh itu, di kalangan negara yang mengalami krisis ekonomi, kita masih mendengar laungan demi demokrasi, laungan demi pembaharuan, dalam pelbagai bahasa - People Power, doi moi, reformasi. Kita mendengarnya hari ini - di sini dan sekarang - di kalangan rakyat Malaysia yang berani."[3]

Sebagai pengulas politik, bekas TPM Musa Hitam berkata "Jika pergerakan dan tunjuk perasaan "reformasi" harus diberi kepentingan dari segi politik Malaysia — seandainya ada apa-apa yang dapat saya katakan sebagai kesimpulan positif tanpa teragak-agak — ianya tidak berbaur perkauman. Menakjubkan. ... lebih kepada isu daripada kaum. Saya kagum." Musa mengulas bahawa sebelum reformasi, "apa jua sekalipun tunjuk perasaan di Kuala Lumpur atau Pulau Pinang sentiasa berbaur perkauman. Sekalipun menentang kerajaan, mereka membakar kedai-kedai Cina."[4]

Kesan[sunting | sunting sumber]

Gerakan Reformasi ini membawa kepada penubuhan parti berbilang kaum yang bernama Parti Keadilan Nasional. Menjelang pilihan raya umum tahun 1999, Parti Keadilan Nasional, PAS dan DAP membentuk Barisan Alternatif dalam inisiatif bersama untuk menggantikan kerajaan BN. Buat pertama kalinya dalam sejarah Malaysia, UMNO selaku parti utama dalam parti campuran BN menerima kurang separuh daripada jumlah undian kaum Melayu.[perlu rujukan]

Walaupun begitu, Barisan Nasional kekal sebagai parti campuran terbesar di Parlimen, hasil sokongan padu dari bukan Melayu yang mengkhuatiri ketidakstabilan yang mungkin terjadi seandainya parti campuran pemerintah ditumbangkan seperti yang berlaku pada Mei 1969. Pergerakan reformasi seakan-akan pudar selepas pilihan raya tahun 1999, diikuti pilihan raya 2004 apabila Parti Keadilan Nasional kehilangan semua kerusinya di Parlimen kecuali satu yang dipertahankan oleh Presidennya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, isteri Anwar Ibrahim. Kemenangan besar BN pada tahun 2004 adalah berpunca daripada harapan tinggi terhadap Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menggantikan tempat Dr. Mahathir pada Oktober 2003.[5]

Namun demikian, Anwar Ibrahim dibebaskan dari penjara pada September 2004, dan Parti Keadilan Nasional bangkit semula sebagai Parti Keadilan Rakyat (PKR). PKR menang besar di pilihan raya umum 2008, dengan memenangi 31 kerusi lalu menjadi parti pembangkang terbesar di Parlimen. Selain itu, lima daripada sebelas kerajaan negeri di semenanjung Malaysia jatuh di tangan campuran PKR, PAS dan DAP yang kemudian membentuk Pakatan Rakyat. Kerajaan BN buat pertama kalinya sejak tahun 1969, kehilangan majoriti dua pertiganya di Parlimen.[6]

Rujukan[sunting | sunting sumber]