Rengga

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Gajah dengan rengga

Rengga merupakan tempat duduk berkanopi yang disangga dengan empat batang kayu dan dipasang di atas belakang gajah, kerbau atau unta. Selain rengga ia disebut juga dengan rengka, "rangka" dan "ringga". Perkataan rengga ini dipercayai berasal daripada bahasa Jawa. Dalam bahasa Arab ia disebut dengan hawdaj (هودج). Perkataan hawdaj ini telah diserapkan ke dalam bahasa Inggeris menjadi howdah. Dalam bahasa Melayu ia juga disebut dengan baluh atau "beluhan". Perkataan rengga sering diungkapkan dalam hikayat-hikayat Melayu seperti Hikayat Hang Tuah ini:

Maka kata saudagar itu, "Marilah orang kaya datuk Bendahara kita mengadap." Maka kata Bendahara, "Baiklah." Maka Bendahara pun naik gajah bertimbalan rengka dengan saudagar itu. Maka perintah Bendahara dan perintah saudagar itu sekalian berjalan dahulu. Setelah sampai ke balai gendang maka Bendahara dan saudagar itu pun turunlah

Gajah dan simbol kekuasaan[sunting | sunting sumber]

Patung di simpang Gajah dan Istana di London.

Ia sering kali digunakan di masa lalu bagi membawa orang bangsawan atau digunakan bagi memburu atau peperangan. Ia juga merupakan simbol kekayaan kepada pemiliknya, dan kerana itu sering dihias indah dengan permata yang mahal.

Dalam Sejarah Melayu, kerap kali diceritakan raja-raja menunggang gajah semasa pergi berburu atau pergi melawat negeri lain. Menunggang gajah hanya dikhaskan kepada golongan raja atau pembesar kerana gajah melambangkan status. Diriwayatkan, Sultan Mahmud ingin pergi menuntut ilmu agama dengan seorang guru agama yang terkenal. Sultan Mahmud datang ke rumah guru itu dengan bergajah, hulubalang serta alat kebesaran. Malangnya, Sultan Mahmud disuruh pulang kerana guru agama hanya mahu mengajar murid tanpa sebarang perbezaan taraf. Sultan Mahmud akur dan datang semula esoknya tanpa menaiki gajah dan alat kebesaran.

Rujukan lain dalam hikayat Melayu[sunting | sunting sumber]

  • Hikayat Patani 37:2 .... maka Raja Bambang pun naik gajah betina bertimbal rengga dengan bondanya, lalu berjalan masuk ke dalam Kota Wang ........
  • Hang Tuah - 53:10 .... ke darat maka Raden Wira Nantaja pun naik gajah berangka emas berpermata. Maka anak Patih yang bernama Kuda Wihan naik
  • Hikayat Sang Boma 30:28 ....... sampai ke luar, segera naik ke atas gajahnya berangka emas ditatah dengan permata manikam, maka baginda pun lalu ...
  • Hikayat Panji Kuda Semirang 112:25 .... pedatinya. Dan sang Nata pun bergajah tunggal berengga emas sepuluh mutu berpayung bawat kuning, lalu berjalan ......
  • Warisan Warkah Melayu 5:1 ...... suasa, yang berrantai suasa; raja yang bergajah berrengka tinggi suasa, dan yang berprisai suasa, dan yang berlembing .