Ruminan

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Ruminan
Gambaran kasar sistem pencernaan ruminan
Pengelasan saintifik
Alam: Animalia
Filum: Chordata
Kelas: Mammalia
Order: Artiodactyla
Suborder: Ruminantia
Famili

Antilocapridae
Bovidae
Cervidae
Giraffidae
Moschidae
Tragulidae

Dalam bidang fisiologi, ruminan ialah mamalia dalam order Artiodactyla yang mencernakan makanan asas tumbuhan dengan mula-mula melembutkan makanan itu dalam perut pertamanya, kemudian meluahkan gumpalan makanan yang tercerna separa, iaitu mamahan, dan mengunyahnya sekali lagi. Proses mengunyah semula mamahan untuk mengurai lagi jisim tumbuhan serta merangsang pencernaan dipanggil "peruminatan". Antara mamalia ruminan termasuk lembu, kambing, biri-biri, zirafah, bison, yak, kerbau, rusa, unta, alpaka, llama, gnu, antelop, pronghorn, dan nilgai. Secara taksonomi, suborder Ruminantia merangkumi semua spesies tersebut kecuali unta, llama, dan alpaka, yang tergolong dalam Tylopoda. Oleh itu, istilah 'ruminan' tidak bersinonim dengan Ruminantia. Istilah "ruminan" berasal dari bahasa Latin, yakni ruminare yang bererti "mengunyah sekali lagi".

Penjelasan[sunting | sunting sumber]

Dalam dua kebuk yang pertama, iaitu rumen dan retikulum, makanan dicampurkan dengan ludah lalu berpecah menjadi lapisan bahan pepejal dan cecair. Bahan pepejal itu berkumpul-kumpul hingga membentuk mamahan atau bolus. Kemudian, mamahan itu diluahkan, dikunyah perlahan-lahan supaya bercampur sepenuhnya dengan ludah sambil mengurai saiz zarahnya. Dalam kebuk-kebuk inilah masuknya bahan serabut (terutamanya selulosa dan hemi-selulosa) yang dipecahkan oleh mikrob (bakteria, arkea, protozoa, dan kulat), terutamanya kepada tiga asid lemak meruap, iaitu asid etanoik, asid propanoik dan asid butanoik 3 hidroksi. Protein dan karbohidrat tak berstruktur (pektin, gula, kanji) juga ditapaikan.

Sungguhpun berlainan nama, namun rumen dan retikulum sama fungsinya kerana digesta (bahan tercerna) boleh tersalur berulang-alik di antara kedua-duanya. Kedua-dua kebuk ini sama-sama dipanggil retikulorumen. Digesta terurai yang berada dalam bahagian bawah retikulorumen yang berisi cecair, kemudian tersalur ke dalam kebuk yang seterusnya iaitu omasum, di mana air dan kebanyakan unsur mineral tak organik terserap ke dalam salur darah. Selepas itu, digesta dibawa ke dalam perut sebenar, iaitu abomasum. Abomasum sepadan langsung dengan perut monogastrik (misalnya, perut manusia atau babi), maka digesta dicerna di dalam abomasum dengan cara yang sama seperti perut kita. Akhirnya, digesta disalurkan ke dalam usus kecil untuk pencernaan dan penyerapan khasiat. Mikrob-mikrob yang dihasilkan dalam retikulorumen juga dicernakan dalam usus kecil. Penapaian berterusan dalam usus besar sama seperti dalam retikulorumen.

Hampir semua glukosa yang dihasilkan daripada penguraian selulosa dan hemi-selulosa digunakan oleh mikrob-mikrob dalam rumen, justeru ruminan biasanya kurang menyerap glukosa dari usus kecil. Sebaliknya, keperluan glukosa ruminan (untuk fungsi otak dan penyusuan jika bersesuaian) dihasilkan oleh hati dari propionat, salah satu asid lemak meruap yang terhasil dalam rumen.

Pengelasan[sunting | sunting sumber]

Hofmann dan Stewart membahagikan ruminan kepada tiga kategori utama berasaskan jenis makanan dan tabiat pemakanan, iaitu: pemilih tumpu; jenis pertengahan; dan pemakan rumput/pelawas, dengan anggapan bahawa tabiat pemakanan ruminan menyebabkan perbezaan morfologi dalam sistem pencernaannya, termasuk kelenjar ludah, saiz rumen, dan papila rumen.[1][2]

Bilangan dan taburan[sunting | sunting sumber]

Terdapat sekurang-kurangnya 75 juta ekor ruminan liar, kesemuanya berasal di semua benua kecuali Australia dan Antartika. Hampir 90% daripada semua spesies ditemui di Eurasia dan Afrika sahaja. Spesies-spesies ruminan ini mendiami pelbagai jenis iklim (tropika mahupun kutub) dan habitat (padang terbuka mahupun hutan tebal). Jumlah ruminan jinak sedunia pula lebih 3.5 bilion; 95% daripadanya terdiri daripada lembu, kambing dan biri-biri.[3]

Kepentingan agama[sunting | sunting sumber]

Dalam agama-agama samawi, perbezaan antara haiwan najis dan bersih ditentukan secara kasarnya oleh sama ada haiwan tersebut adalah ruminan atau tidak. Hukum Musa dalam Alkitab hanya menghalalkan pemakanan daging haiwan yang telapuknya berbelah dan "mengunyah mamahan".[4] Hukuman tersebut kekal dalam hukum Kashrut Yahudi hingga masa kini.

Ruminan dan perubahan iklim[sunting | sunting sumber]

Penghasilan metana oleh haiwan mungkin menyumbang kepada kesan rumah kaca atau perubahan iklim. Penghasilan metana oleh haiwan, terutamanya ruminan, dianggarkan menyumbangkan 15-20% penghasilan metana sedunia.[5][6] Rumen merupakan tapak utama penghasilan metana dalam ruminan.[7]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. Ditchkoff, S. S. (2000). "A decade since "diversification of ruminants": has our knowledge improved?". Oecologia 125: 82–84. doi:10.1007/PL00008894. 
  2. Hofmann. R. R. 1989."Evolutionary steps of ecophysiological and diversification of ruminants :a comparative view of their digestive system". Oecologia, 78:443-457
  3. Hackmann. T. J., and Spain, J. N. 2010."Ruminant ecology and evolution: Perspectives useful to livestock research and production". Journal of Dairy Science, 93:1320-1334
  4. Leviticus 11:6
  5. Cicerone, R. J., and R. S. Oremland. 1988 "Biogeochemical Aspects of Atmospheric Methane"
  6. Yavitt, J. B. 1992. Methane, biogeochemical cycle. Pages 197–207 in Encyclopedia of Earth System Science, Vol. 3. Acad.Press, London, England.
  7. Asanuma. N., M. Iwamoto, T. Hino. 1999."Effect of the addition of fumarate on methane production by ruminal microorganisms in vitro." J. Dairy Sci.82:780–787

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

Templat:NIE Poster