Rumput Sambau

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Rumput Sambau
frames
Pengelasan saintifik
Alam: Hidupan
Divisi: Magnoliophyta
Kelas: Liliopsida
Order: Poales
Famili: Poaceae
Genus: Eleusine
Spesies: E. indica
Binomial: Eleusine indica


Rumput Sambau merupakan sejenis rumput tahunan yang berasal daripada famili Gramineae. Rekod awal menunjukkan spesies ini mungkin berasal dari negara seperti China, India, Jepun, Malaysia, dan Tahiti. Nama tempatan spesies ini berbeza-beza mengikut negara. Di Malaysia, spesies ini dikenali sebagai rumput sambau, rumput kaki angsa atau gelang sambau, di Jepun ohishiba, goosegrass di Amerika Syarikat, crowfoot grass di Australia, dan kodai di India (Holm et al. 1997). Nama saintifiknya Eleusine indica.

Setiap pokok dilaporkan dapat menghasilkan kira-kira 50,000-135,000 biji dalam satu musim di kawasan penanaman padi bukit tinggi (Soerjani et al. 1987).

Taburan dan habitat[sunting | sunting sumber]

Rumput ini tumbuh di kawasan pertanian di bahagian selatan Asia dan Pulau-pulau Pasifik, bahagian timur dan selatan Afrika dan bahagian utara Amerika Latin (Rajah). Rumput ini biasanya hidup biak secara meluas di negara-negara tropika. Namun, oleh kerana sifat rumput ini mempunyai sifat toleransi yang luas terhadap perubahan keadaan persekitaran, maka spesies ini juga ditemui di kawasan subtropika dan kawasan beriklim sederhana (Holm et al. 1997). Rumput ini dapat tumbuh dengan baik di kawasan lapang seperti tanah yang terbiar, kawasan pertanian, dan kawasan di tepi jalan. (Soerjani et al. 1987).

Morfologi[sunting | sunting sumber]

Rumput ini mempunyai batang yang lembut, licin, liat, dan bercabang, dengan ketinggian sebanyak 5-60 sentimeter. Daunnya berwarna hijau kebiruan, berkilat, dan rimbun di pangkal; lamina daunnya 5-20 sm panjangnya dan sempit; bulu halus bertaburan di permukaan atas dan bawah daun; perantaraan daun dan upih daun berambut halus pada bahagian pinggir. Jambak bunga terdiri daripada satu hingga enam spika. Anak spika tersusun dalam dua barisan dan terlekat berselang-seli pada satu paksi; dwiseks, stigma berbulu dan berwarna ungu, terdapat 3-5 floret yang dilindungi oleh kelopak sekam yang berwarna putih malap. Biji berwarna perang kemerahan atau hitam, berbentuk oblong-ovat dan berbatas (Soerjani et al. 1987; Ahmad 1988).