S. Roha

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
S. Roha
S. Roha bersama A. Romzi
Kelahiran
Chee Binti Abdul Khader

1948 (1948)
Meninggal dunia18 November 2023(2023-11-18) (umur 74–75)
PekerjaanPenyanyi
Tahun aktif1966–1969
Kerjaya muzik
GenrePop


PENGENALAN

S. Roha dilahirkan pada tahun 1948 di Singapura dengan nama penuhnya Chee Binti Abdul Khader.

KERJAYA DI ERA POP YEH YEH (1966 - 1969)

Beliau memulakan kerjayanya di bidang rakaman seni suara sekitar tahun 1960an dengan sebuah EP keluaran Globe Records iringan kugiran The Keens. Ketika itu beliau menggunakan nama pentas pertamanya iaitu Roha Chik. Namun begitu, penampilan awal beliau menerusi rakaman ini tidak begitu mendapat impak yang kukuh.

Mulai tahun 1967, beliau menggunakan nama pentasnya sekarang iaitu S. Roha. Kali ini beliau merakam di bawah label Olympic Records bersama kugiran The Sangam Boys. Rekod pertamanya bersama syarikat rakaman ini mengandungi dua buah lagu nyanyian beliau sendiri manakala baki dua lagu lagi dinyanyikan oleh R. Selamat, pemain keyboard kugiran The Sangam Boys. Lagu Selamat Jalan dan Gelisah Semenjak Berpisah telah melonjakkan nama S. Roha di era Pop Yeh Yeh masa itu. Bersama kugiran The Sangam Boys, S. Roha merakam empat EP sehingga tahun 1969.

DARI POP YEH YEH KE ERA LAGU SADURAN

Di akhir era 1960an, S. Roha dan The Sangam Boys telah beralih arah dari muzik Pop Yeh Yeh ke lagu-lagu saduran Hindi dan rakaman semula lagu-lagu lama. Lagu-lagu seperti Happy Birthday To You, Mari Pergi Berkelah, Janji, Hidop Untok Chinta dan Tunggu Saja Oh Sayang (duet bersama S, Hashim Abdullah, pemimpin kedua kugiran The Sangam Boys) rakaman beliau mula menjadi popular. Setelah tamat kontrak beliau bersama Olympic Records, S. Roha merakam sebuah lagu duet bersama Salim I. bertajuk Oh Salamah, iringan The Wisma di dalam EP keluaran TNA Records. (TNA = Tang Nan Ah). Pada tahun 1969 juga, S. Roha telah diundang menyanyi dalam program TV Singapura bertajuk Dendang Ria, di mana beliau menyanyikan lagu Pelita dengan iringan RTS Orchestra (RTS = Radio & Television of Singapore) pimpinan Ahmad Jaafar. Rakaman langsung dari program TV tersebut dimuatkan dalam sebuah EP keluaran RTS sendiri di tahun yang sama.

ERA 1970AN

Di era awal 1970an, S. Roha meneruskan kerjaya seni suaranya dengan merakam di bawah syarikat rakaman Malaysia pula, paling banyak ialah di bawah label Malaysian Musical Industries (MMI). Ketika ini, beliau mula digandingkan dengan penyanyi-penyanyi lelaki popular pada masa itu, seperti Jeffridin, A. Talib, Rahim Jantan dan A. Romzi, selain rakaman solo beliau sendiri. Lagu-lagu solo S. Roha seperti Chubit-Menchubit dan Terantok Terngadah menjadi siulan pendengar. Lagu duet S. Roha dan A. Romzi bertajuk Usek Mengusek Membawa Bahgia telah mempopularkan pasangan duet ini, hingga membawa ke mereka ke jenjang pelamin. Namun begitu, jodoh mereka berdua tidak panjang. Apabila kerjaya nyanyian beliau kian suram dengan kemunculan ramai penyanyi-penyanyi baru, S. Roha meneruskan persembahannya di kelab malam Dato' Maharaja, sebuah kelab malam Melayu yang masyhur di Singapura ketika itu. Pada tahun 1979, S. Roha diundang berlakon dalam filem Mat Tenggek arahan Mat Sentol yang turut berlakon sama dalam filem itu juga. Seelah tiada lagi tawaran rakaman suara atau lakonan diterima, S. Roha bekerja di sebuah kilang demi kelangsungan hidupnya.

KEBANGKITAN SEMULA DI ERA 200AN

Kedatangan alaf baru memberikan sinar baru buat S. Roha setelah sekian lama menyepi dari bidang seni. Pada tahun 2006, S. Roha diundang membuat persembahan di Istana Budaya, Kuala Lumpur dalam teater bertajuk Suzana@60, di mana beliau menyanyikan semula lagu Janji yang pernah dirakam semula bersama kugiran The Sangam Boys di era 1960an dahulu. S. Roha juga merakam semula lagu Hidop Untuk Chinta dalam versi dangdut dalam album kompilasi karaoke keluaran Life Records Singapura. Turut dirakam semula dalam album kompilasi karaoke Life Records ialah lagu-lagu dari filem Melayu klasik seperti Sikit Kasi Banyak Mintak, Sengketa Dan Damai dan Che' Mamat Parang Tajam, kesemuanya berduet dengan pelawak veteran Wahid Satay.

MENINGGAL DUNIA

S. Roha meninggal dunia pada 18 November 2023 di Singapura. Beliau berusia 75 tahun.

Album[sunting | sunting sumber]

  • Bersama Globe Records - 1 EP bersama kugiran The Keens
  • Bersama Olympic Records - 4 EP bersama kugiran The Sangam Boys
  • Bersama TNA Records - 1 EPbersama Salim I. iringan kugiran The Wisma
  • Bersama RTS - 1 EP (rakaman langsung dari program TV Singapura bertajuk Dendang Ria)
  • Bersama MMI - 4 EP iringan The Wanderers (duet bersama Jeffridin, A. Talib dan A. Romz)
  • Bersama syarikat rakaman tidak dikenali - 1 EP (duet bersama Rahim Jantan)
  • Bersama Life Records Singapura - 2 CD Karaoke kompilasi (solo dan duet bersama Wahid Satay)

Antara koleksi lagu-lagu S. Roha[sunting | sunting sumber]

  • Solo: Selamat Jalan/Gelisah Semenjak Berpisah/Aku Di-Fitnah/Mari Pergi Berkelah/Happy Birthday To You/Luncai/Janji/Roh-Ku Membela/Hidop Untok Chinta/Chubit Menchubit/Terngantok Terngadah
  • Duet: Tunggu Saja Oh Sayang (bersama S. Hashim Abdullah)/Oh Salamah (bersama Salim I.)/Usek Mengusek Membawa Bahgia (bersama A. Romzi)/Sikit Kasi Banyak Mintak (bersama Wahid Satay)/Sengketa Dan Damai (bersama Wahid Satay)/Che' mamat Parang Tajam (bersama Wahid Satay)

Pautan luar[sunting | sunting sumber]