SM Zainal Abidin

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Tuan Haji

SM Zainal Abidin

J.M.N., J.P (Pulau Pinang)
Ahli Majlis Perundangan Persekutuan Tanah Melayu
Dalam jawatan
1955–1959
Kawasan pilihan rayaPulau Pinang
Butiran peribadi
LahirZainul Abidin bin Sultan Mydin
3 Oktober 1898
Lorong Cakela (kini Jalan Argyll), Pulau Pinang
Meninggal dunia8 Disember 1969(1969-12-08) (umur 71)
Pulau Pinang

Tuan Haji Zainul Abidin bin Sultan Mydin (atau SM Zainal Abidin) ialah seorang guru dan ahli politik di Pulau Pinang, Malaysia. Beliau pernah menjadi ahli Majlis Perundangan Persekutuan Tanah Melayu bagi kawasan Pulau Pinang. Beliau terlibat dalam gerakan Melayu menentang Malayan Union menerusi Persatuan Melayu Pulau Pinang dan menjadi pengasas bersama Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO).

Kehidupan awal[sunting | sunting sumber]

Zainal Abidin dilahirkan pada 3 Oktober 1898 di Pulau Pinang. Beliau anak keempat daripada tujuh beradik, dan anak kepada A.P. Sultan Mydin bin Aurana Peena dan Meeracha Ammal binti Kadir Sultan. Beliau mendirikan rumah tangga dengan Hajjah Che Wan Rashidah Merican binti Hamid Sultan Merican dan dikurniakan 11 orang anak. Salah seorang anaknya ialah Haji Zainal Alam, penyanyi dan bekas Pengarah Penyiaran RTM.

Pendidikan dan kerjaya[sunting | sunting sumber]

Zainal Abidin mendapat pendidikan awal di Sekolah Chowrasta pada 1903. Kemudian, beliau menyambung pengajian ke Penang Free School (PFS) dan menamatkan Senior Cambridge pada 1914 (pada usia 16). Beliau menjadi pelatih guru di PFS dari 1915 hingga 1918. Pada 1918, pengetua sekolah Harold Robinson Cheeseman menawarkannya kerja sebagai guru sekolah di PFS. Beliau mengajar mata pelajaran Ilmu Alam, Sastera dan bahasa Latin dan Perancis. Antara anak muridnya ialah Tunku Abdul Rahman, Tuanku Syed Putra Jamalullail (Raja Perlis), Dr Lim Chong Eu dan Tuan Haji Yusoff Rawa.

Beliau melanjutkan pengajian kursus luar kampus di Universiti London dan memperoleh sarjana muda pada 1933. Beliau menjadi orang Melayu pertama yang memperoleh ijazah sarjana muda (luar) dari Universiti London.

Beliau mengajar di PFS sehingga 20 tahun sebelum dilantik menjadi pengetua di sekolah Francis Light pada 1938.

Semasa pendudukan Jepun, beliau dilantik menjadi penyelia stesen Radio Pulau Pinang. Pasca-Perang Dunia Kedua, beliau dilantik menjadi Nazir Sekolah Pulau Pinang dari 1945 hingga bersara dari perkhidmatan awam pada 1953.

Penglibatan dalam politik[sunting | sunting sumber]

Zainal Abidin menjadi pengasas UMNO di Pulau Pinang pada 1946. Beliau dilantik menjadi Pengerusi Tetap Persidangan Agung UMNO Malaya dalam perhimpunan tahunan UMNO yang dianjurkan di Francis Light School pada 1946 dan 1948. Beliau kemudiannya dilantik sebagai Pengerusi Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) pada 1948 hingga 1951.

Beliau menentang penubuhan Malayan Union pada 1946-1948. Walau bagaimanapun, tugas beliau sebagai penjawat awam membataskan pergerakannya. Beliau kembali aktif dalam politik kepartian selepas persaraannya pada 1953. Beliau menjadi calon dalam pilihan raya Majlis Perundangan Persekutuan bagi kawasan Pulau Pinang mewakili Parti Perikatan dan memenanginya. Beliau bertanggungjawab mendapatkan sebidang tanah untuk membina bangunan UMNO di Pulau Pinang. Beliau menguruskan pembinaan bangunan (kini dipanggil Menara UMNO atau Menara JKP) yang terletak di Jalan Macalister.

Anugerah dan penghargaan[sunting | sunting sumber]

  • Johan Mangku Negara (JMN)
  • Jaksa Pendamai (JP)

Rujukan[sunting | sunting sumber]