Sabah FM

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Sabah FM
BandarKota Kinabalu
Kawasan penyiaran
SloganBagus Bah!
Tarikh siaran pertama9 November 1955; 68 tahun yang lalu (1955-11-09) sebagai Radio Sabah
FormatHit Kontemporari, Oldies, Hits Sepanjang Masa, Lagu-lagu etnik, Muzik Tempatan.
BahasaMelayu (dialek Sabah)
Pemilik
Saluran kembar
Tapak websabahfm.rtm.gov.my

Sabah FM adalah sebuah stesen radio negeri dijalankan oleh Radio Televisyen Malaysia. Ia disiarkan setiap hari dalam Bahasa Melayu dari 4:00 pagi hingga 12:00 tengah malam. Moto utamanya ialah Bagus Bah.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Sejarah penyiaran di Sabah bermula pada tahun 1939 dengan ulasan selari perlumbaan kuda di Jesselton (sekarang Kota Kinabalu) yang dibuat dalam Bahasa Inggeris dan disiarkan melalui talian radio-telefon ke Sandakan. Radio telefon ini dikuasai oleh Jabatan Radio-Telegraf yang telah wujud sebelum tahun 1916.[1]

Perkhidmatan siaran radio sepatutnya boleh dimulakan sebelum tahun lima puluhan tetapi tidak ada siapa pun yang mahu atau berhak memulakannya. Atas inisiatif seorang jurutera Telekom, Mr. Bradley, beliau membuat percubaan siaran radio dari rumahnya sendiri sebagai studio dan memancarkannya dengan menggunakan alat pemancar yang terdapat di bangunan Pos dan Telegraf yang kebetulan terletak dekat dengan rumahnya.[2]

Siaran percubaan dari rumah Mr. Bradley dikendalikan pada tengah hari dengan menyiarkan berita, kadangkala pengumuman dan rencana mengenai perlumbaan kuda yang sememangnya amat diminati ramai. Walaupun masih dalam percubaan sambutan orang ramai amat menggalakkan diukur dari segi permintaan Lesen Penerima Siaran yang perlu dibayar kepada Jabatan Pos dan Telegraf. Dalam tahun 1951 jumlah lesen yang dikeluarkan ialah 1,611 dan dalam tahun yang sama siaran percubaan ini dikendalikan dalam tiga bahasa iaitu Inggeris, Melayu dan Cina.

  1. Rangkaian Satu (Bahasa Melayu, sekarang Sabah FM).
  2. Rangkaian Kedua (Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina, sekarang Sabah V FM).

Siaran radio dari rumah Mr. Bradley berkembang dengan pesatnya dan telah mendapat sokongan dari pihak pemerintah British Jajahan Borneo Utara. Operasi penuh dimulakan dalam tahun 1952 dengan memperkenalkan rancangan-rancangan radio yang lebih tersusun dan secara tidak rasminya perkhidmatan ini dikenali sebagai Radio Sabah.

Rancangan-rancangan yang baru diperkenalkan ini dikelolakan oleh kakitangan Jabatan Penerangan dan disiarkan oleh Jabatan Telekom. Kedua-dua jabatan telah bekerjasama iaitu Jabatan Penerangan menyediakan berita, rancangan dan pengumuman sementara Jabatan Telekom mengendalikan bidang teknikalnya.

Pada 9 November 1955, perkhidmatan Radio Sabah telah dilancarkan secara rasminya serentak dengan perasmian bangunan sementara yang terletak di Bukit Brace berhampiran dengan menara jam di ibu negeri. Turut dilancarkan ialah siaran petang oleh Gabenor Jajahan Borneo Utara, Sir Roland Turnbull. Ketika ini Radio Sabah dikendalikan dalam 4 bahasa iaitu Inggeris, Melayu, Cina dan Kadazan.

  1. Rangkaian Satu (Bahasa Melayu, sekarang Sabah FM).
  2. Rangkaian Kedua (Bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan Bahasa Kadazan, sekarang Sabah V FM).

Perkhidmatan Radio Sabah terus berkembang apabila bangunan tetap Wisma Radio siap dibina pada tahun 1962 yang terletak di Bukit Nenas, Jalan Tuaran iaitu bangunan yang ada sekarang. Selepas Sabah merdeka melalui pembentukan Malaysia pada 1963 Radio Sabah bertukar nama menjadi Radio Malaysia Sabah. Siaran Radio bermula di bangunan baru ini pada 23 Jun 1963. Jabatan Penyiaran Malaysia kemudian berpisah dengan Jabatan Penerangan Malaysia pada 1964 di bawah naungan Kementerian Penerangan Persekutuan.

Sejak dari tarikh ini Jabatan Penyiaran telah menjadi sebuah agensi kerajaan yang amat berpengaruh di negeri ini. Perananya sebagai alat sebaran am kerajaan terbukti dari jumlah peruntukan wang yang besar bagi mengembang dan meluaskan kegiatan-kegiatannya di Sabah. Pembinaan stesen-stesen pemancar yang baru di tempat-tempat strategik di seluruh negeri meluaskan lagi pemancaran radio sejajar dengan pembangunan pesat di negeri ini.

Selari dengan perkembangan fizikal jabatan ini, perkembangan di bidang rancangan juga amat pesat. Ini dapat dilihat dari keupayaan 'output' pada kadar kiraan masa siaran dalam seminggu. Pada tahun 1955 masa siaran di udara hanya 15 jam seminggu berbanding dengan masa siaran yang ada sekarang iaitu Rangkaian Satu (siaran Bahasa Malaysia) 24 jam sehari atau 168 jam seminggu dan Rangkaian Kedua (siaran berbagai bahasa) juga 24 jam sehari. Rancangan-rancangan di awal lima puluhan dan enam puluhan merupakan 95 peratus bahan-bahan luar negeri (foreign transcription).

  1. Rangkaian Satu (sekarang Sabah FM).
  2. Rangkaian Kedua (sekarang Sabah V FM).

Pada keseluruhannya dasar rancangan Radio Malaysia Sabah adalah selaras dengan dasar Ibu Pejabat di Kuala Lumpur iaitu memberi khidmat kepada pendengar-pendengarnya imbangan rancangan yang sihat dari segi maklumat, pendidikan dan hiburan.

Sejak diwujudkan hingga sekarang perkhidmataan siaran dalam bahasa Melayu ini telah beberapa kali mengalami pertukaran nama. Bermula dengan Perkhidmatan Melayu bertukar kepada Rangkaian Nasional, kemudian bertukar lagi kepada Siaran Bahasa Malaysia. Sekarang ini berikutan penjenamaan semula, ia dikenali sebagai SABAH FM. Pemilihan nama baru itu adalah selari dengan perkhidmatan industri penyiaran bukan sahaja di peringkat nasional tetapi di peringkat global.

Pada awalnya, ibu pejabat siaran radio Sabah FM dipancarkan terus dari Bangunan RTM Sabah (kini ialah tapak Jabatan Audit Negara), Bukit Nanas, Jalan Tuaran Lama, Karamunsing, Kota Kinabalu dari 23 Jun 1963 sehingga 31 Disember 2011. Pada 1 Januari 2012, ibu pejabat siaran radio Sabah FM telah berpindah ke Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi di Jalan Lintas, Kepayan, Kota Kinabalu.

Saluran radio itu mula bersiaran dari 4:00 pagi hingga 12:00 tengah malam setiap hari.

Semasa saluran radio itu disambungsiar dari Kuala Lumpur dari 12:00 tengah malam hingga 4:00 pagi MYT setiap hari; Simulcast stesen radio Melayu RTM Nasional FM dibawakan selepas sign-off.

Pada bulan Ramadan, Sabah FM akan menyiarkan bacaan ayat suci Al-Quran bagi menghormati solat sunat Tarawih dan Witir.

Segmen[sunting | sunting sumber]

Isnin - Jumaat[sunting | sunting sumber]

Segmen Masa Siaran
Sambung Siaran Dari Nasional FM 12 Tengah Malam - 4 Pagi
Kembali Semula Ke Siaran Sabah FM 4 Pagi - 12:00 Tengah Malam
Segar 6 - 10 Pagi
Ekspresi 10 Pagi - 2 Petang
Bah Ngam La Tu 2 - 6 Petang
Simfoni 6 Petang - 9 Malam
Varia 9 Malam - 12 Tengah Malam

Hujung Minggu (Sabtu dan Ahad)[sunting | sunting sumber]

Segmen Masa siaran
Sambung Siaran Dari Nasional FM 12 Tengah Malam - 4 Pagi
Kembali Semula Ke Siaran Sabah FM 4 Pagi - 12:00 Tengah Malam
Extra Hujung Minggu 6 Pagi - 12 Tengah Malam


Frekuensi[sunting | sunting sumber]

Sabah FM adalah Radio yang menggunakan Format Radio FM dan gelombang radio MHz pada frekuensinya.

Frekuensi Kawasan siaran Tapak pemancar
89.3 MHz Kuala Penyu dan Beaufort Bukit Gadong
89.7 MHz Kunak dan Lahad Datu Gunung Silam
89.9 MHz Kota Kinabalu, Penampang dan Papar Bukit Lawa Mandau
90.3 MHz Nabawan, Keningau, Tambunan dan Tenom Bukit Sigapon
92.9 MHz Sandakan, Telupid, Beluran, Tongod dan Kinabatangan Bukit Trig
95.7 MHz Tawau, Kalabakan, Semporna dan Kalimantan Utara, Indonesia Gunung Andrassy
95.9 MHz Kudat Bukit Kelapa
97.1 MHz Kota Marudu, Pitas dan Paitan Langkon
97.9 MHz Sipitang, Wilayah Persekutuan Labuan, Brunei dan Lawas, Sarawak Bukit Tampalagus
101.5 MHz Kota Belud Bukit Pompod
104.1 MHz Felda Sahabat Felda Sahabat
104.5 MHz Tuaran, Ranau dan Pedalaman Gunung Kinabalu
Platform TV Saluran Catatan
myFreeview 707 Sabah FM boleh didengari melalui platform myFreeview di seluruh negara.

Perkhidmatan Islam[sunting | sunting sumber]

Stesen ini unik antara semua stesen yang berpangkalan di Malaysia kerana ia menyediakan kandungan kepada masyarakat Melayu/Islam di Malaysia.

Siaran Azan[sunting | sunting sumber]

Untuk lima kali sehari azan dimainkan di stesen pada waktu yang ditetapkan yang dikira dan dibincangkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. Sabah FM memutarkan Azan Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak. Kesemua waktu solat disambung siar dari stesen radio saudaranya iaitu Sabah V FM dan turut ditaja oleh Pusat Zakat Sabah.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Laporan Tahunan Jabatan Radio-Telegraf Negeri Jajahan Borneo Utara
  2. ^ Hasil temuramah dengan Encik Ian De La Harpe, bekas Juruteknik Kanan Telekom/Penyiaran 1957

Pautan luar[sunting | sunting sumber]