Sam Poo Kong

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Sam Poo Kong
Tokong utama selepas ubah suai
Map
Nama alternatifKlenteng Gedung Batu
Maklumat umum
JenisTokong
Gaya seni bina
Campuran tradisi Cina dan Jawa
Bandar/pekanSemarang
NegaraIndonesia
Pecah tanah
s. 1400 – 1416
Diubah suai pada
Pelbagai
PemilikYayasan Klenteng Agung Sam Poo Kong

Sam Poo Kong (Cina: 三保宫) atau Klenteng Gedung Batu merupakan tokong Cina yang tertua di Semarang, Jawa Tengah, Indonesia. Tokong ini yang mula-mula ditubuhkan oleh Laksamana Zheng He (Cheng Ho), seorang penjelajah Muslim Cina, kini dikunjungi oleh warga Indonesia yang pelbagai kepercayaan agama, tidak kira Muslim mahupun penganut agama Buddha, dan pelbagai keturunan, baik Cina mahupun Jawa.[1][2]

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Asas bangunan Sam Poo Kong disediakan apabila Laksamana Zheng He tiba di kawasan barat tempat yang kini menjadi Semarang melalui Sungai Garang;[1][3] sekitar tahun 1400 hingga 1416.[1][4] Selepas turun kapal, Zheng menemui sebuah gua di lereng bukit yang berbatu-batan, lantas memasukinya untuk bersolat.[1] Sebelum pergi dari Jawa, beliau menubuhkan sebuah tokong kecil. Penolongnya Wang Jing Hong dan beberapa orang anak kapal mengambil keputusan untuk bermastautin di Semarang kerana sayang akan kawasan itu.[1][4] Sebuah patung Zheng didirikan dalam gua itu.[5]

Tokong yang asal dilaporkan musnah ditimbusi tanah runtuh pada tahun 1704.[1][5] Pada Oktober 1724, tokong tersebut diubah suai sepenuhnya.[1] Juga dibuka sebuah gua baru yang terletak dekat dengan yang lama.[1]

Pada pertengahan 1800-an, hak milik Sam Poo Kong diambil alih oleh seorang tuan tanah berbangsa Yahudi yang bernama Johanes dan mengenakan bayaran kepada sesiapa yang hendak beribadah di tokong tersebut.[6][7] Oleh sebab kurang mampu membayar yuran seorang demi seorang, masyarakat Cina membelanjakan 2000 gulden setahun demi memelihara tokong tersebut; yuran itu berkurangan kepada 500 gulden setelah para pengibadat merungut akan belanja yang besar.[7] Namun begitu, belanja itu masih besar bebannya, maka para pengibadat meninggalkan Sam Poo Kong dan menemui patung Zheng He untuk dibawa ke tokong Tay Kak Sie yang terletak 5 kilometer (3.1 bt) jauhnya dari Sam Poo Kong untuk beribadat secara bebas.[6]

Pada tahun 1879, Oei Tjie Sing, seorang ahli perniagaan tempatan yang terkenal, membeli kompleks Sam Poo Kong dan menjadikan kemasukan percuma sekali lagi. Untuk meraikan berita baik ini, masyarakat Cina setempat mengadakan sebuah pesta dan mulai kembali beribadat di Sam Poo Kong.[6][8] Hak milik tokong itu dipindahkan kepada Yayasan Sam Poo Kong yang baru ditubuhkan pada tahun 1924.[7]

Tokong Sam Poo Tong sekali lagi diubah suai pada tahun 1937.[1] Setelah Hindia Barat dijajah oleh Jepun, pemerintah Jepun memasang kemudahan elektrik dan mengkurniai tokong ini dengan penilaian bertulis yang berbingkai buat Zheng He.[1] Dalam lima tahun revolusi selepas pihak Jepun meninggalkan Indonesia yang baru merdeka, tokong itu kurang terpelihara dan menjadi usang.[1]

Pada tahun 1950, Sam Poo Kong sekali lagi diubah suai.[1] Bagaimanapun, mulai 1960-an, keadaan politik yang semakin kacau-bilau menyebabkan ia menjadi terbiar lagi.[1] Pada tahun 2002 hingga 2005, tokong ini sekali lagi menjalani pengubahsuaian besar.[9]

Tataletak[sunting | sunting sumber]

Kompleks tokong Sam Poo Kong merangkumi lima buah tokong yang bergaya seni bina campuran Cina dan Jawa.[1] Tokong-tokong tersebut adalah Sam Poo Kong (yang tertua), Tho Tee Kong, Kyai Juru Mudi, Kyai Jangkar, dan Kyai Cundrik Bumi.[1] Dalam kompleks itu letaknya sebuah lagi tapak ibadat, iaitu Mbah Kyai Tumpeng.[1] Bangunan-bangunan ini terbentang seluas 3.2 hektar (7.9 ekar).[2]

Tho Tee Kong (atau Klenteng Dewa Bumi) terletak dekat sekali dengan pintu besar di hujung utara kompleks itu. Ia digunakan oleh mereka yang memohon rahmat dewa bumi, Tu Di Gong.[1] Dekat dengan Tho Tee Kong ialah Kyai Juru Mudi, iaitu tapak pengebumian Wang Jing Hong, salah seorang penolong Zheng He.[1] Kyai Juru Mudi sering dikunjungi oleh mereka yang mengidamkan kejayaan dalam perniagaan.[1]

Tokong utama dibina betul-betul di hadapan gua, terletak di selatan Kyai Juru Mudi.[1] Sementara itu, dalam gua tersebut adanya sebuah mazbah, alat-alat penilikan, dan sebuah patung kecil Zheng He; di bawah mazbah itu ialah sebuah perigi yang dikatakan tidak sesekali kering dan airnya mampu menyembuh pelbagai penyakit.[1] Sebelum pengubahsuaian pada tahun 2002, tokong ini berukuran 16 kali 16 meter (52 kali 52 ka); kini, ia berukuran 34 kali 34 meter (112 kali 112 ka).[2]

Di selatan lagi letaknya Kyai Jangkar yang mendapat namanya sempena named sebuah sauh keramat yang pernah digunakan oleh Zheng He dan tersimpan di dalamnya.[1] Di tokong itu juga adanya mazbah buat anak-anak kapal Zheng He yang meninggal dunia ketika menunaikan tanggungjawab.[1] Tokong yang paling selatan sekali ialah Kyai Cundrik Bumi, yang digunakan untuk menyembah sebuah senjata yang digunakan oleh Zheng.[1] Di dekatnya ialah Mbah Kyai Tumpeng, sebuah tapak ibadah yang digunakan oleh mereka yang berdoa demi kesejahteraan diri.[1]

Tokong utama (kiri) dan Kyai Juru Mudi (kanan)

Pesta[sunting | sunting sumber]

Setiap 30 hari bulan keenam dalam takwim qamari Cina, iaitu ulang tahun ketibaan Zheng He di Semarang, masyarakat Cina di Indonesia mengarakkan patung-patung Zheng He, Lauw In, dan Thio Ke dari Tay Kak Sie ke Sam Poo Kong.[6] Tradisi ini yang dimulakan selepas Sam Poo Kong menjadi percuma semula itu bertujuan sebagai tanda hormat kepada para penjelajah itu.[6]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Footnotes
Bibliography
  • Setiakusuma, Priambudi, penyunting (2006). Klenteng Agung Sam Poo Kong (dalam bahasa Indonesia). Semarang: Yayasan Klenteng Agung Sam Poo Kong.CS1 maint: ref=harv (link)
  • Sudiarno, Tarko (28 Julai 2001). "Sam Poo Kong Temple belongs to everyone". The Jakarta Post. Diarkibkan daripada yang asal pada 2012-01-08. Dicapai pada 8 Januari 2012.
  • Suherdjoko (9 August 2005). "Sam Poo Kong temple to become Central Java provincial icon". The Jakarta Post (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 2012-01-08. Dicapai pada 8 Januari 2012.
  • Suherdjoko (26 July 2005). "Semarang set for Sam Po Carnival". The Jakarta Post (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 2012-01-08. Dicapai pada 8 Januari 2012.
  • Suherdjoko (25 May 2008). "Semarang's Old City offers history, culture". The Jakarta Post (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 2012-01-08. Dicapai pada 8 Januari 2012.
  • Suherdjoko (8 February 2005). "Temple gears up for Imlek". The Jakarta Post (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 2012-01-08. Dicapai pada 8 Januari 2012.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]