Sanja Matsuri

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Pemandangan Hozomon dan juga salah satu mikoshi utama seperti dilihat dari atas tangga di Senso-ji

Sanja Matsuri (Jepun: 三社祭, harfiah: "Pesta tiga kuil"), atau Pesta Sanja, ialah salah satu dari tiga pesta utama agama Shinto yang diadakan di Tokyo, selain dari Kanda Matsuri dan Sanno Matsuri. Ia dianggap sebagai pesta paling liar dan terbesar.[1] Ia diraikan untuk memberi penghormatan kepada Hinokuma Hamanari, Hinokuma Takenari dan Hajino Nakatomo, tiga lelaki yang menubuhkan Senso-ji. Sanja Matsuri disambut pada hujung minggu ketiga dalam bulan Mei di kuil Asakusa. Perarakan utamanya melibatkan tiga mikoshi (tiga kuil mudah alih, berdasarkan nama festival itu sendiri), dan juga muzik tradisional dan tarian. Setiap tahun, pesta yang berlangsung selama tiga hari ini menarik kedatangan sekitar 1.5 hingga 2 juta penduduk tempatan dan pelancong.[2]

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Seperti pesta-pesta orang Jepun yang lain, Sanja Matsuri ialah perayaan keagamaan. Pesta Shinto yang disambut pada hujung minggu ini didedikasikan untuk Kami (roh) tiga lelaki. Dipercayai dua nelayan bersaudara Hinokuma Hamanari dan Hinokuma Takenari menemui satu patung kecil Bodhisattva Kannon yang terlekat pada jala di sungai Sumida pada 17 Mei, 628.[3] Lelaki ketiga, seorang tuan tanah yang kaya bernama Hajino Nakatomo, mengetahui tentang penemuan itu, menghampiri adik-beradik tersebut dan menjadikan mereka beragama Buddha. Ketiga-tiga mereka mengabdikan diri mereka kepada ajaran Buddha dan mentakdiskan patung kecil itu di dalam sebuah kuil kecil.[4] Kuil tersebut yang kini dikenali sebagai Senso-ji, masih lagi menyimpan patung Kannon tersebut dan merupakan kuil tertua di Tokyo.

Terdapat banyak bentuk perayaaan Sanja Matsuri yang disambut sejak abad ke-7, dan ia juga dikenali dengan nama-nama lain seperti "Kannon Matsuri" dan "Asakusa Matsuri".[5] Bentuk perayaan Sanja Matsuri hari ini adalah berasal dari zaman Edo. Pada tahun 1649, shogun Tokugawa Iemitsu mengarahkan pembinaan kuil Asakusa, sebuah kuil Shinto yang didedikasikan untuk tiga kami tersebut. Kewujudan kuil ini membantu mengukuhkan lagi kepentingan pesta ini serta struktur dan organisasinya kini.[6]

Sambutan[sunting | sunting sumber]

Tandu Muzik dibawa berarak melalui Asakusa ketika sambutan Sanja Matsuri

Walaupun Sanja Matsuri asalnya adalah pesta keagamaan, ia kini disambut oleh semua golongan. Suasana ketika hujung minggu pesta ini adalah sangat meriah. Orang ramai secara berterusan memenuhi jalan-jalan di sekitar Senso-ji dan bunyi seruling, wisel, tembangan dan taiko (dram tradisional Jepun) boleh didengari di seluruh kawasan.

Tarikan utama pesta ini ialah tiga mikoshi milik kuil Asakusa yang muncul pada hari ketiga dan terakhir. Tiga kuil-kuil kecil yang halus seni tampaknya dan diperbuat dari kayu yang dikilatkan dengan warna hitam ini dibina sebagai kuil Asakusa versi mini dan mudah alih. Dihiasi dengan ukiran emas dan diwarnakan dengan daun emas, berat setiap mikoshi adalah sekitar 1 tan dan memakan kos 40 juta ¥ untuk dibina.[2] Ketiga-tiganya dibawa di atas empat palang panjang yang diikat dengan tali, dan setiap satu memerlukan sekitar 40 orang yang ditempatkan sama rata untuk membawanya dengan selamat. Sepanjang hari, sejumlah 500 orang mengambil bahagian membawa setiap kuil.[2] Disebabkan kepentingan tiga mikoshi ini, ia menarik perhatian ramai orang apabila dibawa melalui jalan-jalan. Orang ramai akan berkerumun, menggoyangkan dan menghinggutkannya dengan kasar. Tindakan ini dipercayai dapat meningkatkan lagi kuasa kami yang tinggal di dalam kuil mini tersebut dan boleh membawa tuah kepada kejiranan tersebut.[7] Adalah satu perkara biasa apabila seseorang yang berada di bawah palang-palang yang menyokong mikoshi menjerit dan melambai-lambai bagi menunjuk arah kepada orang yang membawa kuil mini itu. Pandu arah ini sangat perlu bagi mengelak mikoshi seberat 1 tan itu berlanggar dengan kedai-kedai di tepi jalan dan menyebabkan kerosakan.[2] Walaupun tiga kuil mini mikoshi yang utama adalah objek terpenting yang diarak di jalan-jalan ketika pesta Sanja Matsuri, terdapat sekitar 100 mikoshi lain yang lebih kecil diarak mengelilingi kejiranan pada hari Sabtu. Ada di antara kuil-kuil mini ini yang dibawa oleh para wanita atau kanak-kanak.[2]

Hari ke hari[sunting | sunting sumber]

Permulaan rasmi Sanja Matsuri diadakan pada hari Khamis dengan satu upacara keagamaan penting yang bukan sebahagian dari sambutan pesta. Upacara ini memerlukan ketua sami kuil Asakusa mengadakan ritual memindahkan kami tiga lelaki yang disemadikan di kuil tersebut ke dalam tiga mikoshi yang akan diarak sekitar Asakusa ketika hujung minggu.[8] Dengan membuka pintu-pintu kecil pada setiap mikoshi (bahagian dalam terlindung dari pandangan dengan tirai kecil), ketiga-tiga roh akan dijemput masuk ke dalam kuil mini di mana mereka akan tinggal sepanjang pesta berlangsung.[2]

Tandu muzik diarak di Nakamise-dori, lewat malam Ahad.

Suasana pesta akan menjadi lebih meriah bermula pada hari Jumaat apabila Daigyōretsu (Jepun: 大行列, harfiah "perarakan besar") diadakan.[7] Perarakan besar-besaran 19-blok yang terkenal ini akan melalui jalan Yanagi dan Nakamise-dori hingga ke kuil Asakusa , dan diadakan untuk menaikkan semangat komuniti. Ia sangat terkenal dengan kostum pelik para peserta seperti penari yang memakai hiasan kepala burung pucung, geisha dan pegawai bandaraya yang memakai hakama (baju tradisional Jepun).[2] Ahli muzik, seniman dan penari juga ikut serta berarak dengan memakai baju tradisional Jepun di sepanjang jalan menuju ke Asakusa. Pada lewat petang, enam mikoshi dari kejiranan paling tengah akan dihantar berarak melalui jalan-jalan dengan dipikul oleh beberapa dozen orang.[2] Pada hari berikutnya, iaitu hari Sabtu, sekitar 100 mikoshi dari 44 daerah di Asakusa akan berhimpun di Kaminarimon.[6] Kesemuanya akan diarak melalui Nakamise-dori dan berhenti di Hozomon di mana peserta memberi penghormatan pada dewi belas kasihan, Kannon (Guan Yin). Mikoshi kemudiannya dibawa ke kuil Asakusa di mana sami Shinto akan merestui dan menyucikannya untuk tahun hadapan.[6] Apabila upacara ini selesai, kuil-kuil mini ini akan dibawa keluar dan diarak melalui kawasan-kawasan kejiranan. Sambutan terpenting Sanja Matsuri diadakan pada hari Ahad. Perarakan tiga mikoshi kepunyaan kuil Asakusa bermula di Nakamise-dori menuju ke Kaminarimon pada awal pagi Ahad. Tiga kuil mini yang dihias cantik ini memberi penghormatan dan mewakili tiga lelaki yang bertanggungjawab mengasaskan Senso-ji. Pada hari terakhir pesta ini, ketiga-tiga mikoshi yang penting ini akan dipisahkan untuk dibawa melawat dan memberi restu kepada semua 44 daerah di pusat bandar dan kediaman Asakusa. Apabila hari menjelang malam, ketiga-tiga kuil mini akan dibawa pulang ke kuil Asakusa dengan satu lagi perarakan besar-besaran yang hanya berakhir pada lewat malam.[9]

Tarikan lain[sunting | sunting sumber]

Ahli kumpulan Yakuza mempamerkan tatu yang memenuhi badan mereke ketika membawa mikoshi.

Di samping upacara sambutan tradisional, terdapat beberapa tarikan lain ketika Sanja Matsuri. Contohnya, pengunjung pesta boleh melawat ratusan kedai yang boleh didapati di Nakamise, sebuah jalan yang menghubungkan Kaminarimon dan Hozomon. Banyak gerai-gerai kecil didirikan di kawasan berhampiran di sepanjang hujung minggu. Ahli kumpulan Yakuza juga bangga menunjukkan tatu mereka ketika perarakan.[10] Tarikan lain yang menarik ialah persembahan Geisha dan taiko yang diadakan pada waktu tertentu sepanjang hujung minggu. Pada hari Sabtu dan Ahad, Geisha yang berpakaian tradisional akan mengadakan persembahan dari jam 1 hingg 3 petang di atas tingkat kedua Asakusa Kenban. Persembahan Geisha ketika sambutan Sanja Matsuri ini telah diangkat sebagai satu dari 10 persembahan Geisha terbaik di seluruh Jepun.[11] Selepas tengahari, ahli-ahli Nihon Taiko Dojo, sebuah akademi taiko yang terkenal di Tokyo, mengadakan persembahan muzik tradisional di kuil Asakusa selama tiga setengah jam.[2]

Jadual pesta[sunting | sunting sumber]

Walaupun terdapat banyak aktiviti diadakan semasa Sanja Matsuri yang tidak mengikut masa, terdapat beberapa acara yang bermula dan berakhir pada waktu yang khusus di sepanjang hujung minggu.

Masa Acara Penerangan Lokasi Nota
Persiapan, Khamis
7 am Pemindahan kami kuil Asakusa Ketua sami memindahkan kami dari kuil Asakusa ke dalam mikoshi Kuil Asakusa [8]
Hari pertama, Jumaat
1 pm Daigyoretsu bermula Perarakan besar melibatkan orang ramai dan tandu-tandu Jalan Yanagi & Nakamise-dori [12]
2:20 pm Tarian Binzasara Tarian tradisional untuk mendoakan kesejahteraan dan hasil tuaian yang baik Haiden (dewan di kuil Asakusa) [8][12]
3 pm Tarian Binzasara Tarian tradisional untuk mendoakan kesejahteraan dan hasil tuaian yang baik Kaguraden (astaka di kuil Asakusa) [8][12]
Hari kedua, Sabtu
12:30 pm Mikoshi tempatan dibawa berarak Sekitar 100 mikoshi dari 44 daerah di Asakusa dibawa berarak memasuki bandar Kuil Asakusa [8]
Hari ketiga, Ahad
6 am Tiga mikoshi yang utama dibawa berarak 3 mikoshi dibawa keluar dari kuil Asakusa untuk memulakan perjalanan ke daerah-daerah di Asakusa Kuil Asakusa [12]
8 pm Tiga mikoshi yang utama dibawa pulang Selepas dibawa berarak ke daerah-daerah di Asakusa, the 3 miksohi yang utama dibawa pulang Kuil Asakusa [12]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "Japan Events and Festivals". HotelTravel.com. Diarkibkan daripada yang asal pada 2008-02-21. Dicapai pada 2008-05-07.
  2. ^ a b c d e f g h i Graham, Fiona. "Festival Frenzy". Metropolis. Diarkibkan daripada yang asal pada 2008-02-21. Dicapai pada 2008-03-05.
  3. ^ "Asakusa Kannon (Sensoji Temple)". World Greatest Sites. Dicapai pada 2008-03-05.
  4. ^ "Asakusa Shrine". Dicapai pada 2008-03-21.
  5. ^ "??????" (dalam bahasa Japanese). Dicapai pada 2008-03-21.CS1 maint: unrecognized language (link)
  6. ^ a b c Turner, Taisha. "Japanese Festivals - Sanja Matsuri (Day 2)". BellaOnline. Dicapai pada 2008-03-05.
  7. ^ a b Miller, David. "Sanja Matsuri: Unique traditional Festival of Japan in Asakusa, Tokyo". Excelloz Travel. Diarkibkan daripada yang asal pada 2013-05-20. Dicapai pada 2008-03-05.
  8. ^ a b c d e "??" (dalam bahasa Japanese). Dicapai pada 2008-03-21.CS1 maint: unrecognized language (link)
  9. ^ "The Asakusa Sanja Matsuri". The Digital Matsuri Project. 2006-05-21. Diarkibkan daripada yang asal pada 2009-07-27. Dicapai pada 2008-04-08.
  10. ^ "Sanja Matsuri Festival". AsiaRooms.com. Dicapai pada 2008-06-30.
  11. ^ Mishima, Shizuko. "Top 10 Geisha Shows". About.com. Dicapai pada 2008-04-08.
  12. ^ a b c d e "Asakusa Sanja Matsuri". Japan National Tourist Organization. Dicapai pada 2008-03-05.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]