Sanusi bin Junid

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
YBhg Tan Sri Dato' Seri Haji

Sanusi Junid

PSM, SSSA, SSDK, SIMP
سنوسي بن جنيد
Pengerusi Lembaga Displin BERSATU
Dalam jawatan
2017–2018
Digantikan olehMegat Najmuddin Megat Khas
Menteri Besar Kedah Ke-7
Dalam jawatan
1996–1999
Didahului olehDato' Seri Osman Bin Haji Aroff
Digantikan olehSyed Razak Bin Syed Zain Barakhbah
Anggota Parlimen Malaysia
untuk Jerlun-Langkawi, Kedah
Dalam jawatan
1978–1995
Didahului olehSyed Nahar Bin Tun Syed Sheh Shahabuddin
Digantikan olehKonstituensi dibubarkan
Anggota Dewan Undangan Negeri Kedah
untuk Kuah
Dalam jawatan
1995–2004
Didahului olehKonstituensi baharu
Digantikan olehIr Nawawi Ahmad
Presiden UIAM ke-4
Dalam jawatan
Februari 2000 – 2 Jun 2008
Didahului olehNajib Razak
Digantikan olehTan Sri Mohd Sidek Hassan
Naib Presiden UMNO
Dalam jawatan
1990–1993
Berkhidmat dengan
Anwar Ibrahim
Abdullah Ahmad Badawi
Didahului olehWan Mokhtar Ahmad
Abdullah Ahmad Badawi
Anwar Ibrahim
Digantikan olehMuhyiddin Yassin
Najib Razak
Muhammad Muhammad Taib
Butiran peribadi
Lahir(1943-07-11)11 Julai 1943
Yan, Kedah, Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu (kini Malaysia)
Meninggal dunia9 Mac 2018(2018-03-09) (umur 75)
Pantai Dalam, Kuala Lumpur, Malaysia
Tempat persemadianTanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur
Parti politik BERSATU
Barisan Nasional
UMNO
PasanganPuan Sri Nila Inangda Manyam Keumala binti Hasballah
Anak-anakAzfar Nur Faruqi
Akhramsyah Muamar Ubaidah
Attikah Ummi Khadijah
Amanda Ruhul Hamidah
Aliyah Nur Zafirah
Annuar Khairullah
Athirah Baina Raidah
Akhari Aya Maziz
Laman web rasmihttp://sanusijunid.blogspot.my/

Tan Sri Dato' Seri Sanusi Junid (11 Julai 1943 – 9 Mac 2018) ialah seorang ahli politik Malaysia. Beliau dilantik sebagai Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar pada tahun 1981 sewaktu berumur 38 dan sebagai Menteri Pertanian pada tahun 1986. Tan Sri Sanusi menjadi Menteri Besar Kedah Darul Aman yang ketujuh pada tahun 1996 sehingga 1999.

Pendidikan[sunting | sunting sumber]

Dilahirkan di Yan, Kedah pada 11 Julai 1943, Tan Sri Sanusi mendapat pendidikannya di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK). Pada tahun 1969, beliau melanjutkan pengajiannya di Institute of Bankers London, City of London College dan Institute of Export London, dan seterusnya memperolehi Sijil dalam Dagangan Asing dan Pertukaran Asing (Certificate in Foreign Trade and Foreign Exchange) di Universiti London.

Keluarga[sunting | sunting sumber]

Beliau telah berkahwin dengan Puan Sri Nila Inangda lalu dikurniai 7 orang anak.[1][2] Antara anaknya ialah Akhramsyah Muammar Ubaidah bin Sanusi.[3]

Kerjaya[sunting | sunting sumber]

Kerjaya korporat dan perkhidmatan kerajaan[sunting | sunting sumber]

Sanusi memulakan kerjayanya sebagai pegawai pelatih di Standard Chartered Bank, Seremban pada tahun 1963. Pada tahun 1971, beliau dilantik sebagai Pengurus Kanan Pinjaman Chartered Bank, Kuala Lumpur.

Tan Sri Sanusi menjadi Pengarah Bank Simpanan Nasional dan Pengerusi Syarikat Insan Diranto Bhd pada tahun 1975. Dua tahun kemudian, pada 1977, beliau dilantik sebagai Pengerusi Tugu Insurance Sdn. Bhd. dan Pengerusi Obanto Management Consultancy Sdn. Bhd. Beliau juga adalah Pengasas dan Pengurus pertama Koperasi Shamelin.

Pada tahun 1978, Tan Sri Sanusi dilantik sebagai Ahli Jemaah Universiti Teknologi MARA dan seterusnya pada tahun 1982, beliau menjadi Ahli Penasihat Kobena dan Ahli Majlis Universiti Malaya. Beliau juga dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Hari Kebangsaan dan Ahli Majlis Perdagangan Malaysia pada tahun 1983, dan pada Februari 2000, beliau menjadi Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tan Sri Sanusi pernah juga memangku jawatan sebagai Naib Presiden ABIM dan Presiden Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC).

Selain daripada itu, Tan Sri Sanusi juga dilantik oleh kerajaan Malaysia untuk memegang beberapa jawatan, antaranya:

  • Ahli Majlis Perundingan Belia Negara
  • Ahli Lembaga FELDA
  • Ahli Majlis Perundingan Negara Mengenai Latihan Perusahaan
  • Ahli Majlis Penasihat Kebangsaan Pelindung Pengguna.
  • Ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara.
  • Ahli Jawatankuasa Penyelarasan Pelaburan Bumiputera
  • Ahli Majlis Tindakan Negara
  • Ahli Majlis Perancang Negara.

Kerjaya politik[sunting | sunting sumber]

Sanusi melibatkan diri dalam bidang politik sebagai ahli UMNO Seremban sewaktu bermula bekerja pada tahun 1963. Kebangkitannya dalam bidang politik boleh dikatakan pantas dan lancar.

Setahun selepas keahlian di UMNO, Sanusi dilantik sebagai Setiausaha Pemuda UMNO Cawangan Seremban dan kemudiannya pada tahun 1966, beliau dilantik sebagai Bendahari UMNO Bahagian Seremban Timur. Sanusi menjadi Ketua Penerangan UMNO Bahagian Seremban Timur dan Setiausaha UMNO Bahagian Seremban Timur pada tahun 1967.

Pada tahun 1974 semasa berumur 31 tahun, Sanusi mengambil bahagian dalam pilihan raya dan dilantik sebagai Ahli Parlimen Jerai, Kedah. Beliau dilantik sebagai Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jerai pada tahun 1975 dan sebagai Ketua Penerangan UMNO Kedah pada tahun 1978.

Bakat kepimpinan yang terserlah pada dirinya menyebabkan beliau diberi kepercayaan dan dilantik memegang beberapa jawatan penting di dalam kabinet. Pada tahun 1978 sehingga tahun 1980, beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri Tanah dan Kemajuan Wilayah dan selepas itu sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri pada tahun 1980 hingga 1981.

Pada tahun 1981, Sanusi telah dilantik sebagai Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar dan memegang jawatan tersebut sehingga tahun 1986. Pada tahun tersebut, beliau juga dilantik memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penerangan UMNO Malaysia, Pengerusi Biro Penerangan UMNO Malaysia dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia.

Dalam pilihan raya tahun 1982, Sanusi dilantik sebagai Ahli Parlimen Kawasan Jerlun, Langkawi dan kemudiannya dilantik sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia. Seterusnya, beliau telah dilantik sebagai Setiausaha Agung UMNO Malaysia pada tahun 1984.

Pada tahun 1986, Tan Sri Sanusi menjadi Menteri Pertanian dan Ketua Bahagian Jerlun, Langkawi. Kemudian beliau dilantik sebagai Naib Presiden UMNO Malaysia pada tahun 1990. Sanusi menjadi Menteri Besar Kedah Darul Aman yang ketujuh dan menyandang jawatan tersebut pada 16 Jun 1996 sehingga November 1999. Beliau dilantik sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Kuah pada tahun 2000.

Sebagai menghargai sumbangan dan jasa baktinya, beliau telah dianugerahkan pingat dan darjah kebesaran, antaranya D.S.S.M., S.S.S.A., D.G.S.M., Setia Mahkota Kedah (S.M.K.), Dato' Setia Di Raja Kedah (D.S.D.K.), Panglima Setia Mahkota (P.S.M.) dan Seri Setia Di Raja Kedah (S.S.D.K.).

Pada 19 Mei 2008, beliau keluar dari UMNO bersama Tun Dr. Mahathir bin Mohamad. Beliau bertindak demikian kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan UMNO di bawah Tun Abdullah Ahmad Badawi yang gagal membela nasib orang Melayu dan hanya mementingkan kepentingan keluarga sehingga membelakangkan negara.[perlu rujukan] Seterusnya pada 2 Jun 2008, perkhidmatannya sebagai presiden UIAM ditamatkan[4] setelah beliau bersama semua duta negara-negara Islam di Malaysia dan ahli lembaga pengarah UIAM, menolak cadangan Tun Abdullah Ahmad Badawi untuk menjadikan UIAM sebagai pusat pengembangan Islam Hadhari, iaitu sesuatu yang dianggap oleh mereka sebagai tidak diperlukan, mengelirukan dan memecah belahkan ummat.[perlu rujukan]

Kumpulan ucapan-ucapan serta penulisan dan cerita pengalaman beliau boleh dibaca di blog beliau www.sanusijunid.blogspot.com.

Karya penulisan[sunting | sunting sumber]

Sanusi pernah menghasilkan beberapa karya penulisan di antaranya bertajuk:

  • Empat Penggal Di Parlimen Keempat (1978);
  • Kepimpinan Melayu Baru: Harapan dan Cabaran (1980);
  • Biar Rugi Beribu Juta Untuk Menebus Maruah (1984);
  • Semoga Tempayan Tidak Pecah (1985);
  • Dihempas Badai Dilambung Gelombang (1986);
  • Antara Dua Ramadhan (1988);
  • Antara Fakta dan UMNO (1990);
  • Jihad Membasmi Kemiskinan (1990);
  • Buang Yang Keruh, Ambil Yang Jernih (1990).

Garis masa[sunting | sunting sumber]

  • 1943: Dilahirkan di Yan, Kedah pada 10 Julai.
  • 1949 (umur 6): Belajar di Sekolah Melayu Yan (1949-53).
  • 1954 (umur 11): Belajar di Sekolah Menengah Ibrahim, Sungai Petani (1954-56).
  • 1957 (umur 14): Meneruskan pengajian di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK).
  • 1963 (umur 20): Memulakan kerjaya sebagai pegawai pelatih di Standard Chartered Bank, Seremban dan menjadi ahli UMNO Seremban.
  • 1964 (umur 21): Dilantik sebagai Setiausaha Pemuda UMNO Cawangan Seremban.
  • 1966 (umur 23): Dilantik sebagai Bendahari UMNO Bahagian Seremban Timur.
  • 1967 (umur 24): Dilantik sebagai Ketua Penerangan UMNO Bahagian Seremban Timur dan Setiausaha UMNO Bahagian Seremban Timur.
  • 1969 (umur 26): Melanjutkan pengajian di Institute of Bankers London, City of London College dan Institute of Export London; kemudiannya, memperolehi Sijil dalam Dagangan Asing dan Pertukaran Asing di Universiti London dan selepas itu, menuntut di Berlitz School Of Language, Jerman; juga dilantik sebagai Ketua Penerangan Kelab Perikatan London.
  • 1971 (umur 28): Dilantik sebagai Pengurus Kanan Pinjaman Chartered Bank, Kuala Lumpur dan Setiausaha Agung Koperasi Shamelin.
  • 1973 (umur 30): Dilantik sebagai ahli Majlis Perundingan Belia Negara, ahli Lembaga Felda, ahli Majlis Perundingan Negara Mengenai Latihan Perusahaan dan ahli Majlis Penasihat Kebangsaan Pelindung Pengguna.
  • 1974 (umur 31): Dilantik sebagai Ahli Parlimen Jerai, Kedah dan juga dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara.
  • 1975 (umur 32): Menjadi Pengarah Bank Simpanan Nasional, Pengurus Bank Shamelin serta Pengerusi Syarikat Insan Diranto Bhd.; juga dilantik sebagai Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jerai.
  • 1977 (umur 34): Dilantik sebagai Pengerusi Tugu Insurance Sdn. Bhd. dan Pengerusi Obanto Management Consultancy Sdn. Bhd.
  • 1978 (umur 35): Dilantik sebagai Timbalan Menteri Tanah dan Kemajuan Wilayah (1978-80) serta Ketua Penerangan UMNO Kedah; juga menjadi Ahli Jemaah Universiti Teknologi MARA.
  • 1980 (umur 37): Dilantik sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri (1980-81).
  • 1981 (umur 38): Dilantik sebagai Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar (1981-86) serta Pengerusi Jawatankuasa Penerangan UMNO Malaysia, Pengerusi Biro Penerangan UMNO Malaysia dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia; juga dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Penyelarasan Pelaburan Bumiputera, Ahli Majlis Tindakan Negara dan Ahli Majlis Perancang Negara.
  • 1982 (umur 39): Dilantik sebagai Ahli Parlimen Kawasan Jerlun, Langkawi dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia; juga dilantik sebagai Ahli Penasihat Kobena dan Ahli Majlis Universiti Malaya.
  • 1983 (umur 40): Dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Hari Kebangsaan dan Ahli Majlis Perdagangan Malaysia.
  • 1984: Dilantik sebagai Setiausaha Agong UMNO Malaysia.
  • 1986: Dilantik sebagai Menteri Pertanian serta Ketua Bahagian Jerlun, Langkawi.
  • 1990 (umur 47): Dilantik sebagai Naib Presiden UMNO Malaysia.
  • 1996 (umur 53): Dilantik sebagai Menteri Besar Kedah yang ketujuh (16 Jun 1996 - November 1999).
  • 2000 (umur 57): Dilantik sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
  • 2000 (umur 57): Dilantik sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Kuah.
  • 2008 (umur 65): Keluar dari UMNO.

Meninggal dunia[sunting | sunting sumber]

Beliau menghembuskan nafas yang terakhir sebelum subuh selepas tidak sedarkan diri ketika kira-kira pukul 6 pagi[5] pada 9 Mac 2018 di kediaman beliau di Pantai Dalam, Kuala Lumpur.[3][6]

Jenazah beliau telah dibawa ke Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara pada kira-kira pukul 11 pagi[7] untuk dimandi dan dikafankan sebelum disembahyangi selepas solat Jumaat.[8] Dua orang bekas Perdana Menteri Malaysia ketika itu, iaitu Tun Dr Mahathir dan Tun Abdullah Ahmad Badawi, turut menyertai solat tersebut.[9] Jenazah beliau sampai ke Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara pada kira-kira 2:30 petang sebelum dikebumikan pada kira-kira 3 petang. Majlis pengebumian ini turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Mohd Johari Baharum, Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek ketika itu.[7][8]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Muhammad Azim Zaid (9 Mac 2018). "Sanusi Junid seorang bertanggungjawab dan penyayang". Utusan Online. Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-03-09. Dicapai pada 10 Mac 2018. Unknown parameter |dead-url= ignored (bantuan)
  2. ^ Bernama (9 Mac 2018). "Anak syukur tunai hasrat Sanusi Junid makan bersama". Malay Mail Online. Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-03-09. Dicapai pada 10 Mac 2018. Unknown parameter |dead-url= ignored (bantuan)
  3. ^ a b BERNAMA (9 Mac 2018). "Sanusi Junid meninggal dunia". BH Online. Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-03-09. Dicapai pada 10 Mac 2018. Unknown parameter |dead-url= ignored (bantuan)
  4. ^ UIA: Sanusi dipecat, KSN dilantik Presiden baru, mSTAR Online.
  5. ^ "Sebelum meninggal, Sanusi hadir ke acara HARAPAN". Malaysiakini. 9 Mac 2018. Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-03-09. Dicapai pada 10 Mac 2018. Unknown parameter |dead-url= ignored (bantuan)
  6. ^ BERNAMA (9 Mac 2018). "Sanusi Junid meninggal dunia". myMetro. Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-03-09. Dicapai pada 10 Mac 2018. Unknown parameter |dead-url= ignored (bantuan)
  7. ^ a b Muhammad Azim Zaid (9 Mac 2018). "Jenazah Sanusi Junid selamat dikebumikan". Utusan Online. Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-03-10. Dicapai pada 10 Mac 2018. Unknown parameter |dead-url= ignored (bantuan)
  8. ^ a b Bernama (9 Mac 2018). "Jenazah Sanusi Junid Selamat Dikebumikan". mSTAR Online. Diarkibkan daripada yang asal pada 10 Mac 2018. Dicapai pada 10 Mac 2018. Unknown parameter |dead-url= ignored (bantuan)
  9. ^ Teoh, Pei Ying; Mohd Fharkhan Abdul Ghapar (9 Mac 2018). "Jenazah Sanusi selamat dikebumikan". BH Online. Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-03-09. Dicapai pada 10 Mac 2018. Unknown parameter |dead-url= ignored (bantuan)

Pautan luar[sunting | sunting sumber]


Penyandang Terdahulu Menteri Besar Kedah
19961999
Penyandang Kemudian
Tan Sri Haji Osman Bin Haji Aroff Dato' Seri Haji Syed Razak Bin Syed Zain Barakhbah