Sejarah Afrika Selatan

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Sejarah Purba[sunting | sunting sumber]

Manusia moden telah tinggal di Afrika Selatan selama 100,000 tahun, manakala keturunan mereka telah berada di sini selama 3.3 juta tahun. Satu lokasi yang kaya dengan peninggalan fosil adalah di Gua Sterkfontein berhampiran Johannesburg dan Pretoria kini dikenali sebagai buaian manusia atau Cradle of Humankind. Bukti-bukti terbaru manusia primitif adalah lukisan-lukisan gua yang telah dihasilkan oleh sekumpulan orang dari Zaman Batu, iaitu kaum kerabat puak Khoekhoen dan San.

Ketibaan orang Eropah[sunting | sunting sumber]

Penjelajah Eropah pertama yang mengelilingi Tanjung Harapan adalah penjelajah Portugis Bartolomeu Dias. Beliau berlabuh di Tanjung Harapan pada Mac 1488. Pada mulanya, beliau memanggil tempat ini Tanjung Ribut Taufan atau Cape of Storms tetapi kemudiannya ia dinamakan semula oleh Raja John II dari Portugal sebagai Tanjung Harapan atau Cape of Good Hope/Cabo da Boa Esperança sebab ia menandakan terbukanya jalan laut ke Timur.


Penempatan Eropah yang pertama di Afrika Selatan ialah di Table Bay (kini Cape Town) oleh Syarikat Hindia Timur Belanda (VOC) pada tahun 1652. Pada asalnya, ia ditubuhkan sebagai pusat bekalan untuk kapal-kapal yang lalu di sana. Namun demikian, koloni ini kian berkembang apabila petani-petani Belanda membuka ladang-ladang mereka di penempatan ini. Selepas itu, hamba-hamba abdi telah diimport dari Afrika Timur, Madagascar dan India Timur, untuk bekerja di ladang mereka.

Pada tahun 1679, syarikat VOC mengambil keputusan untuk meningkatkan pengeluaran pertanian di penempatan ini dengan menggalakkan lebih ramai penduduk Eropah berpindah ke sini. Para peneroka berbangsa Jerman dan Belanda telah ditawarkan ladang percuma sekiranya mereka datang ke Cape. Pada tahun 1688, beberapa ratus orang berbangsa Huguenots yang lari daripada penindasan kerajaan Perancis telah berpindah ke Cape dan diberi tanah di penempatan ini. Peneroka-peneroka tersebut kemudiannya menerima budaya serta bahasa Belanda dengan hati yang terbuka. Sebagai peladang, mereka menanam gandum yang banyak dan bijirin yang lain untuk dijual ke VOC. Di samping itu, mereka menanam pokok anggur untuk dijadikan wain dan brandi - produk yang mempunyai permintaan yang tinggi di kalangan pelayar-pelayar Belanda dan juga boleh dieksport ke Eropah. Namun demikian, ekonomi yang utama untuk para peneroka adalah ternakan, yang memerlukan kawasan padang rumput yang luas. Malangnya, tanah di Cape agak terhad dan kurang subur. Pada akhir abad itu, ladang rumput yang terhad menjadi suatu masalah besar bagi peneroka-peneroka di penempatan ini.

Akibatnya, pada tahun 1700 petani-petani ini telah menceroboh masuk ke wilayah kerajaan Bantu, 700km ke timur Cape Town. Ini menimbulkan konflik antara pihak pendatang dengan puak Bantu dan Xhosa dan ia mencetuskan peperangan selama satu abad, di mana pihak Belanda telah berjaya menakluki kerajaan Xhosa. Pada masa yang sama, tempat-tempat di luar jangkauan Belanda telah menubuhkan kerajaan yang baru iaitu kerajaan Zulu.

Pada 1820-an, pemimpin Zulu yang terkenal iaitu Shaka telah menubuhkan kerajaan yang besar di tenggara Afrika iaitu Lesotho dan kerajaan Sotho-Tswana yang lain. Sementara itu bermula pada 1830-an, kaum kerabat peneroka Belanda yang pertama, yang dikenali sebagai Boer Voortrekkers memulakan migrasi ke bahagian utara Afrika Selatan.

Pihak Britain telah menduduki Tanjung Harapan pada 1806 dan kemudiannya daerah Natal. Sepanjang abad 1800, pengaruh Eropah mula berkembang ke arah timur. Manakala pada pertengahan 1800, kumpulan Voortrekkers (Bahasa Afrikaan yang bermaksud perintis) telah menubuhkan dua republik kaum kulit putih, Zuid-Afrikaansche Republiek (ZAR) atau Republik Afrika Selatan di Transvaal dan Orange Free State.

Revolusi Galian[sunting | sunting sumber]

Penemuan berlian di utara Cape pada 1860-an telah menarik berpuluh ribu orang ke bandar Kimberley. Pada 1871, pihak British telah merampas semua lombong berlian di negara ini. Mereka juga telah menakluki daerah-daerah kulit hitam yang berakhir dengan perang Anglo-Zulu pada 1879, di mana kerajaan Zulu telah jatuh ke tangan penjajah British.

Pembukaan lombong emas Witwatersrand pada tahun 1886 merupakan titik perubahan bagi sejarah Afrika Selatah. Permintaan bagi hak francais untuk pendatang penutur bahasa Inggeris yang bekerja di lombong emas baru yang kaya ini merupakan alasan yang digunakan oleh Britain bagi memulakan peperangan dengan Transvaal and Orange Free State pada tahun 1899. Pada mulanya, pihak British kalah teruk di tangan penduduk Boers tetapi akhirnya kekuatan empayar British berjaya menundukkan pasukan gerila Boers (yang dikenali sebagai komando) dan peperangan berakhir pada tahun 1902. Polisi bumi hangus Britain termasuk membakar ladang dan penahanan anak dan isteri Boer termasuk penduduk kulit hitam yang berada dalam laluan mereka. Beribu-ribu mati dalam kem tahanan. Pihak Boers sedar bahawa penentangan berterusan akan menyebabkan mereka lenyap dari bumi Afrika Selatan. Oleh itu, pada 31 Mei, 1902 pihak Boers dan British telah menandatangani Perjanjian Vereeniging di Pretoria. Perjanjian ini memberikan kuasa penuh kepada pihak British untuk mentadbir Afrika Selatan. Manakala, pihak British bersetuju untuk membayar hutang perang kerajaan Boer sebanyak £3,000,000. Di samping itu, penduduk Boers telah diberi hak kerakyatan istimewa di Afrika Selatan.

Penyatuan Afrika Selatan[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 1910, Kesatuan Afrika Selatan telah ditubuhkan yang terdiri daripada empat daerah iaitu Cape, Natal, Transvaal dan Free State. Kesatuan ini adalah lebih kepada kesatuan kaum kulit putih dari segi hak dan kuasa politik. Manakala, penduduk kulit hitam telah dipinggirkan. Akibatnya, kaum kulit hitam telah menentang kesatuan ini. Walaupun terdapat penentangan yang hebat terhadap kerajaan berbentuk perkauman, Akta Tanah Pribumi (Natives Land Act) telah digubal pada tahun 1913. Akta ini telah menetapkan kawasan-kawasan penempatan yang dipanggil "homeland" yang boleh diduduki oleh kaum kulit hitam. Penempatan ini hanya merangkumi 13% kawasan di seluruh Afrika Selatan. Selain itu, lebih banyak akta diskriminasi telah digubal, seperti pemberian kerja yang memihak kepada kaum kulit putih. Pada 1930-an, diskriminasi perkauman menjadi semakin teruk akibat kebangkitan semangat nasionalisme di kalangan bangsa Afrikaner.

Parti politik pertama di Afrika Selatan adalah Parti Afrika Selatan yang ditubuhkan oleh Louis Botha dan Jan Smuts pada 1910. Dua tahun kemudian, Kongres Kebangsaan Afrika atau African National Congress (ANC) pula telah ditubuhkan untuk membangkang pengecualian penduduk kulit hitam dari penglibatan politik. Beberapa tahun selepas itu, Parti Kebangsaan atau National Party (NP) di bawah pimpinan Barry Hertzog telah menggantikan Parti Afrika Selatan. Pada 1934, kedua-dua parti telah bergabung dan dikenali sebagai parti Afrika Selatan Bersatu (United Party South Africa). Gabungan ini telah berjaya menyatukan puak Afrikaner dan British. Namun, perkongsian kuasa ini berakhir pada 1939 sewaktu Perang Dunia II meletus. Perpecahan ini berlaku kerana kesatuan tersebut menyokong pihak British, manakala puak berhaluan kanan Parti Kebangsaan, bersimpati pula dengan regim Nazi di Jerman.

Pendudukan Barat Daya Afrika[sunting | sunting sumber]

Pada 17 Disember, 1920 iaitu selepas Perang Dunia I, Afrika Selatan telah diberi kuasa pentadbiran ke atas Barat Daya Afrika (kini Namibia) di bawah mandat yang diberi oleh Majlis Liga League Council. Mandat ini memberi kuasa pentadbiran dan perundangan yang penuh kepada Afrika Selatan ke atas wilayah ini dan kerajaan Afrika Selatan dikehendaki untuk membangunkan ekonomi serta keadaan sosial di wilayah tersebut.

Pada 1946, selepas Liga ini digantikan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Afrika Selatan enggan menyerah kembali wilayah ini kepada Yayasan PBB. Walaupun kerajaannya mahu memasukkan wilayah ini sebagai sebahagian Afrika Selatan, ia tidak dilakukan secara rasmi, tetapi ditadbir sebagai de fakto 'provinsi kelimanya', dengan perwakilan kulit putih minoriti di Parlimen Afrika Selatan.

Pada 1960-an, apabila negara-negara Afrika lain telah dibebaskan daripada belenggu penjajah Barat, Afrika Selatan telah menerima tekanan hebat kerana masih menduduki Barat Daya Afrika secara haram. Pada 1965 Perhimpunan Agung PBB telah mengundi untuk memansuhkan mandat Afrika Selatan ke atas wilayah ini. Namun regim aparteid ini dengan angkuhnya masih mengekalkan kuasanya di sana, malah mengintegrasikan wilayah ini dengan ekonomi Afrika Selatan.

Kebangkitan aparteid[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 1948, selepas berakhirnya Perang Dunia II, Parti Kebangsaan (NP) yang pro-Afrikaner , telah mengambilalih kuasa dan membawa bersama mereka ideologi aparteid, suatu pendekatan kuku besi dalam melaksanakan polisi perkauman, yang lebih zalim daripada polisi-polisi perkauman kerajaan sebelumnya. Pada tahun 1950, sistem perkauman aparteid telah dilancarkan secara rasmi di bawah pentadbiran Perdana Menteri Daniel Malan. Lima tahun kemudian, undang-undang British yang menyekat sistem ini telah diketepikan secara berperingkat-peringkat.

Penentangan Kezaliman[sunting | sunting sumber]

Beberapa arkitek Aparteid berbincang mengenai penempatan townships kaum kulit hitam

Sementara itu, pihak pembangkang berkulit hitam pula melalui perubahan yang besar. Pada 1943, satu kumpulan belia yang lebih agresif dan komited telah melancarkan sayap baru yang dipanggil "ANC Youth League" (Liga Pemuda ANC) atau ANCYL, yang telah melahirkan ramai tokoh-tokoh politik hebat seperti Nelson Mandela, Oliver Tambo dan Walter Sisulu. Agenda utama liga pemuda ini adalah pencapaian kewarganegaraan penuh bagi kaum kulit hitam dan perwakilan parlimen secara langsung bagi semua rakyat Afrika Selatan. Tumpuan juga diberi kepada pengagihan semula tanah, hak kesatuan pekerja, pendidikan sama rata dan budaya. Pada mulanya, liga ini beroperasi secara aman. Pada 1952, apabila ANC melancarkan kempen Penentangan Terhadap Undang-Undang Tidak Adil Defiance of Unjust Laws metod utama yang digunakan adalah melalui keingkaran awam secara besar-besaran. Nelson Mandela telah ditugaskan untuk berjumpa dengan rakyat dan menyemarakkan semangat penentangan terhadap kerajaan kulit putih. Pada 1955, suatu Piagam Kebebasan Freedom Charter telah digubal oleh Kongres Rakyat Congress of the People di Soweto. Piagam tersebut menggariskan prinsip-prinsip perjuangan, sambil mengikat gerakan ini dengan budaya hak asasi manusia serta anti-rasisme.

Rakyat kulit hitam telah memberi sokongan yang kuat terhadap gerakan ANC dan perjuangannya. Untuk membendung gerakan ini, kerajaan telah menggunakan tindakan undang-undang terhadap aktivis ANC. Kemuncak kempen ini ialah peristiwa di Sharpeville Mac 1960, di mana 69 ahli Kongres Pan-Afrika (PAC) penunjuk perasaan anti-buku pas telah dibunuh. Darurat diisytiharkan dan penahanan tanpa bicara telah diperkenalkan. Parti-parti kaum kulit hitam termasuk ANC dan PAC telah diharamkan, manakala dalang-dalangnya iaitu seramai 156 orang aktivis telah ditangkap sebagai pengkhianat negara dan dijatuhkan hukuman mati sekiranya sabit kesalahan.

Namun demikian pada Mac 1961, kesemua tahanan telah dibebaskan kerana pendakwa gagal membuktikan bahawa aktivis tersebut ingin merebut kuasa melalui keganasan itu. Pada bulan yang sama, seramai 1,400 perwakilan telah berhimpun di Konferens Afrika di Pietermaritzburg di mana Mandela sebagai pengucap utama, telah mencabar regim aparteid untuk mengadakan sidang kebangsaan yang mewakili semua rakyat Afrika Selatan untuk membincangkan perlembagaan baru berlandakan prinsip-prinsip demokrasi. Beliau juga memberi amaran keras kepada kerajaan bahawa kegagalan melakukan demikian akan memaksa kaum kulit hitam melancarkan mogok umum secara besar-besaran.

Pada 1961, kerajaan NP di bawah pimpinan Perdana Menteri HF Verwoerd telah mengisytiharkan Afrika Selatan sebagai sebuah republik selepas memenangi pungutan suara rakyat kulit putih. Pada masa yang sama. regim ini telah melancarkan perang terhadap para penentang kaum kulit hitam. Di samping itu, segregasi kaum semakin menjadi-jadi dengan pengharaman perkahwinan berlainan bangsa dan setiap rakyatnya dikehendaki mendaftar diri berdasarkan bangsa atau warna kulit.

Segregasi perumahan kemudiannya dikuatkuasakan di mana komuniti berkulit hitam dipaksa berpindah ke kawasan yang ditetapkan yang dipanggil townships untuk kaum kulit hitam. Kerajaan Afrika Selatan juga telah merangka polisi untuk pembangunan berasingan, dan membahagi-bahagikan penduduk Afrika kepada "negeri-negeri" tiruan dengan "homeland"nya yang tersendiri dengan janji setiap negeri akan diberikan "kemerdekaan". Hampir 3.5 juta penduduk kulit hitam telah menjadi mangsa pemindahan ini dan ia menyebabkan meningkatnya kawasan setinggan di Afrika Selatan. Rakyat kulit hitam telah dijadikan rakyat kelas dua dengan adanya "pass laws" dan kawalan kemasukan (influx) yang dilaksanakan dengan ketat. Ini telah membangkitkan kemarahan pihak ANC dan pada 1949 mereka melancarkan Program Tindakan yang menolak dominasi kaum kulit putih dan menggalakkan tindakan protes, mogok dan demonstrasi.

Perjuangan Bermula[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 1960-an, pemimpin organisasi kaum kulit hitam telah ditindas dengan teruknya iaitu sama ada dibuang negeri atau ditahan. Dalam keadaan begini, parti ANC dan PAC terpaksa melupakan azam mereka terhadap penentangan secara aman dan bergerak ke arah perjuangan bersenjata (armed struggle) pula, yang dilancarkan dari negera-negara merdeka di sebelah utara. Pemimpin tertinggi yang masih berada di Afrika Selatan telah ditahan termasuk ahli dari sayap militari ANC yang baru iaitu parti Umkhonto we Sizwe (Spear of the Nation), telah ditahan pada tahun 1963. Sewaktu "Perbicaraan Rivonia", Nelson Mandela, Walter Sisulu, Ahmed Kathrada dan lain-lain, telah ditahan atas tuduhan sabotaj (dan bukannya khianat, iaitu tuduhan yang asal), dan mereka dipenjara seumur hidup.

Semasa sayap militari ANC ditubuhkan, kebanyakan negara Afrika memberi sokongan padu kepada sayap tersebut dengan memberi perlindungan kepada golongan pemberontak ini. Malangnya negara-negara tersebut rata-rata baru mencapai kemerdekaan dan masih dibelenggu kemiskinan. Regim aparteid telah mengambil kesempatan ini dengan memberi 'umpanan' berupa bantuan kewangan untuk menjalinkan kerjasama dengan negara jiran. Antara negara jiran yang mempunyai ikatan ekonomi dengan Afrika Selatan termasuklah Botswana, Lesotho, Swaziland dan Malawi. Pada 1963, hanya Zambia, di bawah pimpinan presiden Kenneth Kaunda, yang memberi tentangan aktif terhadap regim aparteid dan menyokong perjuangan sayap militari ANC.

Walaupun langkah-langkah kejam berjaya mengekang gerakan aktivis pada tahun 1960-an, kebangkitan penentangan politik terhadap aparteid semakin berleluasa pada awal 1970-an. Malah, pada Jun 1976, pelajar-pelajar sekolah di Soweto telah memberontak terhadap dasar aparteid di dalam pendidikan, dan ini mencetuskan kebangkitan belia kulit hitam di seluruh negara. Seramai 575 rakyatnya yang kebanyakannya remaja telah terkorban. Sebelum kebangkitan di Soweto, kaum kulit hitam hanya bergantung kepada tindakan undang-undang yang kuat. Peristiwa di Soweto merupakan titik permulaan ke arah kemerdekaan kaum majoriti di Afrika Selatan.

Detik Terakhir Regim Aparteid[sunting | sunting sumber]

Protes dan tentangan secara besar-besaran ini akhirnya mengugat regim aparteid dan pada awal 1980-an kerajaan membuat beberapa siri reformasi seperti mengiktiraf kesatuan pekerja kulit hitam.

Pada 1983, Perlembagaan dipinda untuk membenarkan kaum berwarna coloured dan minoriti berbangsa India untuk pembabitan terhad di Parlimen.

Pada 1986, undang-undang buku "pass" telah ditarik balik. Sementara itu masyarakat antarabangsa telah memberi sokongan padu kepada penentang anti-aparteid melalui pemulauan dan sekatan yang lain.

Di samping itu, kerajaan P.W. Botha telah cuba untuk memperbaiki perhubungan antarabangsa dengan mengambil beberapa langkah diplomasi. Antara lain, beliau telah bersetuju supaya tenteranya keluar dari negara Angola serta memberi kemerdekaan kepada Barat Daya Afrika (kini Namibia) pada 1990.

Pada Februari 1990, Presiden yang baru F.W. de Klerk mengumumkan penarikan balik pengharaman ke atas gerakan kebebasan dan pembebasan tahanan politik termasuk Nelson Mandela.

Lahirnya Demokrasi[sunting | sunting sumber]

Selepas perundingan yang berpanjangan, akhirnya Afrika Selatan telah mengadakan pilihan raya demokratik yang pertama pada April 1994 di bawah perlembagaan sementara interim Constitution. Parti ANC bangkit sebagai parti utama dengan memperoleh 62% majoriti undi. Selepas itu, negara ini diterima balik oleh masyarakat antarabangsa. Afrika Selatan telah dibahagikan kepada sembilan provinsi baru, menggantikan empat provinsi dan sepuluh "homelands" yang wujud sebelumnya. Dominasi Parti Kebangsaan juga telah berakhir dan digantikan oleh kerajaan National Unity yang diterajui oleh Nelson Mandela, presiden pertama yang dipilih secara demokratik. Selain parti ANC yang merupakan parti utama, kerajaan ini turut disertai oleh Parti Kebangsaan dan Parti Kebangsaan Inkatha.

Kerajaan pimpinan ANC telah melancarkan program ke arah pembangunan semula negara serta semua institusinya. Pada pilihan raya bebas yang kedua, parti ANC telah menambahkan majoritinya dan hampir memperoleh dua-pertiga majoriti di Parlimen.

Pembangunan semula Afrika Selatan di bawah Nelson Mandela[sunting | sunting sumber]

Selepas pilihan raya bebas 1994, kerajaan kulit hitam pertama di bawah Mandela terpaksa memikul tugas berat untuk membetulkan ketidakadilan sosial yang lampau yang dihasilkan oleh regim aparteid. Dua agenda utama kerajaan adalah pendamaian reconciliation dan pembangunan semula reconstruction.

Pendamaian adalah perlu demi untuk mengurangkan ketegangan yang lama wujud di antara kaum kulit putih dan kulit hitam. Antara usaha kerajaan terhadap pendamaian termasuklah membentuk kabinet camputan yang melibatkan semua kaum. Mandela juga menyokong penubuhan suruhanjaya Truth and Reconciliation yang menawarkan pengampunan beramai-ramai atau amnesty kepada mereka yang melakukan jenayah semasa era aparteid. Dari segi pembangunan, Mandela telah menarik pelaburan asing yang baru dan juga memberi kontrak kerajaan kepada usahawan kulit hitam.

Afrika Selatan di bawah Thabo Mbeki[sunting | sunting sumber]

Antara 1999 dan 2008, Afrika Selatan diketuai oleh presiden Thabo Mbeki. Presiden Thabo Mbeki telah berusaha untuk mengurangkan jurang ekonomi antara kaum kulit putih dengan kulit hitam. Antara langkah-langkahnya termasuk memperkenalkan dasar Pemberian Kuasa Ekonomi Kulit Hitam atau Black Economic Empowerment (BEE). Tujuan utama dasar ini adalah untuk menyerahkan kuasa ekonomi kepada kaum kulit hitam yang merupakan kaum majoriti di Afrika Selatan. Antara lain, dasar ini mendesak syarikat-syarikat besar untuk mensasarkan lebih banyak latihan kepada para pekerja kulit hitam, melantik lebih ramai pengurus berkulit hitam, serta menggunakan lebih banyak pembekal yang dimiliki kaum kulit hitam. Sekiranya sesuatu syarikat besar ingin berniaga dengan kerajaan ia perlu mengfailkan bee scorecard untuk membuktikan bahawa ia menaikkan pangkat "individu yang sebelum ini disisihkan," termasuk kulit hitam, campur dan orang India.

Namun kerajaan Mbeki tidak lepas daripada kontroversi. Misalnya penafian Mbeki tentang krisis HIV yang kian meruncing di negara itu telah mendapat kritikan antarabangsa, selain itu kegagalannya membendung kemerosotan sosial di negara jirannya Zimbabwe membangkitkan kegelisahan pemilik tanah kulit putih di kedua belah negara: Afrika Selatan dan Zimbabwe.

Walaupun begitu, cabaran terbesar berlaku apabila beliau dan Timbalan Presiden ANC Jacob Zuma menghadapi tuduhan rasuah berhubung perjanjian pembelian kapal selam daripada sebuah syarikat Jerman pada tahun 1999. Akibatnya, pada tahun 2005 Mbeki telah melepaskan Jacob Zuma dari tugasannya sebagai Timbalan Presiden Afrika ANC. Namun sebagai penyandang presiden ANC, Jacob Zuma masih berhak untuk bertanding jawatan itu. Sewaktu Konferens Nasional ke-52 ANC di Polokwane pada November 2007, Zuma berjaya menewaskan Mbeki bagi jawatan presiden ANC. Namun hampir sebulan kemudian parti ANC telah digoncangkan, apabila badan pencegah jenayah the Scorpions mendakwa Zuma untuk dibicarakan di mahkamah tinggi atas pelbagai jenayah termasuk perniagaan secara haram, korupsi dan penyelewengan.

Oeh sebab Jacob Zuma disiasat atas tuduhan rasuah, timbalan presiden ANC, Kgalema Motlanthe, telah dilantik sebagai presiden sementara pilihan raya umum 2009. Pada 6 Mei tahun itu, Jacob Zuma memenangi pilihan raya dan diisytiharkan sebagai presiden pada 9 Mei 2009.