Sejarah Finland

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Vikingshipmini.jpg
Rencana ini merupakan sebahagian
dari siri Scandinavia
Geografi
Zaman Viking
Entiti politikal
Sejarah
Lain-lain

Finland mempunyai sejarah yang bergelora. Sejak 1154, negara ini telah menjadi sebahagian Kerajaan Sweden. Sewaktu abad ke-18, negara ini telah diduduki oleh tentera Rusia sebanyak dua kali. Pada 1808, Finland telah ditakluki tentera Maharaja Rusia Alexander I dan kemudiannya kekal sebagai Grand Duchy berautonomi di bawah Empayar Rusia sehinggalah akhir tahun 1917.

Era 1860-an telah menyaksikan kebangkitan semangat nasionalisme rakyat Finland dan kelahiran pergerakan Fennomans. Pada 6 Disember 1917, iaitu beberapa bulan selepas Revolusi Bolshevik di Rusia, Finland telah mengisyhtiharkan kemerdekaannya. Walaupun begitu, negara ini hanya mencapai kemerdekaan secara rasmi pada 3 Januari 1918 dan pertelingkahan sempadan telah diselesaikan selepas Perjanjian di Tartu ditandatangani pada 1920. Namun demikian, ancaman Kesatuan Soviet tidak berakhir disitu sahaja. Sewaktu Perang Dunia II, Finland telah menentang Kesatuan Soviet sebanyak dua kali: pertamanya pada Perang Musim Sejuk antara 1939–1940 dan Perang Sambungan antara 1941–1944. Pada 1944, Finland sekali lagi diserang kali ini dari pihak tentera Jerman dalam Perang Laplands 1944-1945, dimana tentera Finland berjaya mengusir tentera Jerman dari sebelah Utara Finland. Selepas perang tamat, kerajaan Finland telah memetarai beberapa perjanjian dengan jirannya yang besar iaitu kesatuan Soviet antara 1947-1948 serta menyerahkan wilayah-wilayahnya iaitu Karelia, Salla dan Petsamo kepada negara tersebut.

Selepas perang, Finland berada dalam keadaan yang merbahaya sebagai negara penampan (buffer state) antara kuasa besar komunis Kesatuan Soviet dan negara-negara demokratik yang lain di Eropah. Oleh itu pada 1948, negara ini terpaksa menandatangani perjanjian Finland–Soviet iaitu Perjanjian Persahabatan, Kerjasama, dan Bantuan secara Bersama, yang juga dikenali sebagai Perjanjian YYA. Perjanjian ini adalah penting untuk memastikan kewujudan Finland sebagai sebuah negara kapitalis demokrasi. Pada asasnya dalam perjanjian ini, Finland mesti kekal sebagai sebuah negara neutral sewaktu Perang Dingin dan membendung sebarang serangan terhadap Kesatuan Soviet melalui Finland.

Era pasca-perang telah menyaksikan pembangunan ekonomi yang pesat dan kestabilan politik di Finland. Negara yang dulunya hampir musnah akibat perang yang berpanjangan telah bangkit menjadi sebuah ekonomi yang sangat kompetitif dan berteknologi tinggi. Walaupun ia mempunyai perhubungan yang tidak baik dengan Kesatuan Soviet, negara ini merupakan salah satu rakan dagangannya yang utama. Oleh itu kejatuhan Kesatuan Soviet pada 1991 telah memberi tamparan yang hebat kepada ekonomi Finland. Namun demikian, dalam masa yang singkat negara ini telah pulih kembali.Malah pada 1995 negara ini telah diterima untuk menyertai Kesatuan Eropah. Kini, Finland dianggap sebagai sebuah negara yang sangat maju terutamanya dalam penggunaan Internet dan industri telefon bimbit. Selain itu, negara ini cukup terkenal dengan sistem pendidikan dan sistem sosial yang cemerlang.