Sejarah Iran

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Sejarah Iran
Empayar Parsi - Raja Parsi
sunting

Sejarah Awal Iran meliputi negara Iran dan juga negara-negara jirannya yang mempunyai persamaan dalam kebudayaan dan bahasa Parsi. Ketika itu, negara-negara ini diperintah oleh empayar-empayar Parsi seperti Medes dan Achaemenid. Sassanid pula adalah empayar Parsi terakhir sebelum kedatangan Islam. Kemudiannya Parsi bergabung menjadi sebahagian daripada empayar Islam awal. Sejarah Iran khusus pula dimulakan dengan dinasti Zand pada kurun ke 16.

Empayar Parsi[sunting | sunting sumber]

Empayar Achaemenid ketika kemuncak.

Kerajaan lama Iran dikenali sebagai Empayar Parsi atau Parsi sehinggalah pada tahun 1935 dimana Shah Reza mengumumkan nama tempatan Parsi iaitu Iran. Nama Parsi ini diambil dari perkataan Yunani: Persis. Orang Parsi pula menamakan tamadun mereka Iran atau Iranshahr sejak zaman Sassanid.

Nama Parsi ini sebenarnya diambil daripada Fars atau Pars (dalam Bahasa Parsi). Menerusi bahasa Greek, negara-negara Eropah menamakan Iran sebagai Parsi. Ini kerana rantau Iran dan negara-negara sekitarnya adalah teras kepada tamadun dan empayar-empayar lama Parsi. Nama Iran mula digunakan pada tahun 1935 apabila Shah Reza Pahlavi raja Iran meminta agar masyarakat antara bangsa menggunakan istilah Iran. Istilah ini bermaksud Bumi Arya.

Empayar Parsi terdiri daripada beberapa dinasti dimulai dengan Dinasti Achaemenid yang merupakan empayar Parsi asli. Kerajaan ini diasaskan oleh Cyrus Agung yang dimana beliau berjaya menyatukan kerajaan kecil dan suku-suku di penara Iran. Sassanid pula adalah empayar Parsi terakhir sebelum kedatangan Islam. Parsi kemudiannya ditawan oleh bangsa Arab diikuti dengan Turki (Tentera Seljuk), Mongol, Inggeris dan Rusia. Disebalik penawanan ini, etnik Parsi berjaya mempertahankan kebudayaan, bahasa dan identiti mereka.

Kedatangan Islam[sunting | sunting sumber]

Selepas kekalahan Sassanid ke tangan tentera Islam, Parsi kemudiannya diperintah oleh khalifah Umayyah dan Abbasiyah. Ketika pemerintahan Abbasiyah, orang Parsi memainkan peranan yang penting dalam menyumbang kepada kegemilangan Islam.

Selepas pemerintahan Abbasiyah, Parsi mula mencapai kemerdekaan mereka dengan mendirikan sebuah dinasti dimulai dengan dinasti Tahiriyah dan disusuli dengan Saffariyah..... Ziyariyah dan Samaniyah. Dinasti-dinasti ini mula menawan semula wilayah-wilayah Parsi dari tangan Abbasiyah. Ketika zaman Buwaihiyah, Parsi berjaya menawan kesemua wilayah mereka dan juga kota Baghdad dan memenjarakan khalifah Abbasiyah. Raja Buwaihiyah pula mula memakai semula gelaran Shah yang merupakan warisan Sassanid.[1]

Zaman Pertengahan[sunting | sunting sumber]

Dinasti-dinasti yang memerintah Parsi selepas ini adalah keturunan bangsa Turki dari Asia Tengah. Pada mulanya, mereka ini hanyalah tentera hamba ketika zaman Abbasiyah. Namun begitu, mereka menguasai pentadbiran empayar Abbasiyah berikutan kelemahan khalifahnya. Setelah kejatuhan Abbasiyah, kerajaan-kerajaan kecil mula naik di seluruh Iran. Antara yang utama ialah Tahiri dari Khorasan (820-872), Saffari di Sistan (867-903), dan Samani di Bukhara (875-1005). Pada 962, seorang pegawai tentera hamba Samanid, Aluptigin, menawan Ghazna dan menubuhkan wangsa Ghaznavi.

Parsi kemudiannya diserang dan ditawan oleh tentera Turki Uthmaniyah iaitu tentera Seljuk Oghuz dari Amu Darya. Ketua mereka Tughril Beg kemudiannya dianugerahi sebuah jubah, hadiah dan juga gelaran Raja di Timur. Ketika Iran dibawah pemerintahan Shah Malik (pengganti Tughril) (1072–1092), Iran menyaksikan penyuburan semula kebudayaan dan kegemilangan sains mereka dan ini merupakan jasa wazir Shah Malik iaitu Nizam al Mulk. Ketika zaman ini juga, sebuah balai cerap dibina dimana Omar Khayyám, seorang ahli astrologi membuat eksperimen kalender baru. Selain itu, sekolah-sekolah agama turut dibina di bandar-bandar utama. Abu Hamid Ghazali, seorang pakar teologi Islam, dan juga beberapa cendiakawan-cendiakawan Islam di Baghdad turut dijemput meneruskan penyelidikan mereka di Iran.

Selepas kematian Shah Malik, Iran kemudiannya berpecah semula kepada kerajaan-kerajaan kecil. Ketika waktu inilah Genghis Khan dari Mongolia menceroboh Parsi dan memusnahkan kota-kotanya. Sebelum kewafatan beliau, tentera Mongol telah pun menawan Azarbaijan dan memusnahkan kota itu.

Pencerobohan ini menyebabkan kemusnahan yang besar bagi rakyat Iran. Sistem pengairan dimusnahkan menyebabkan beberapa penempatan terpaksa diubah semula. Mereka terpaksa mencari wahah sebagai sumber air. Sebahagian besar penduduk Iran pula, terutamanya lelaki dibunuh dan populasi Iran jatuh dengan mendadaknya. Pemerintah mongol pula hanya berbuat sedikit sahaja untuk memperbaiki Iran. Cucu Genghis, Hulagu Khan, menawan Baghdad pada tahun 1258 dan membunuh khalifah terakhir Abbasiyah. Kemaraan beliau di timur tengah disekat oleh tentera Mamluk (dari Mesir) di Palestin. Hulagu Khan kemudiannya kembali semula ke Iran dan menetap di Azerbaijan sehinggalah kewafatan beliau.

Pemerintah Mongol selepas ini, Ghazan Khan (1295-1304) dan juga wazir beliau Rashid ad Din memulihkan semula ekonomi Iran. Cukai untuk artisan direndahkan, pertanian digalakkan, membina semula sisten pengairan dan memperbaiki keselamatan laluan perdagangan. Hasilnya, perdagangan meningkat dengan pantasnya dan barangan dari India dan China dapat dibawa masuk ke Iran dengan senang. Ghazan kemudiannya diganti oleh anak saudara beliau Abu Said dan selepas kewafatan Abu Said, Iran sekali lagi berpecah kepada beberapa dinasti-dinasti kecil seperti Salghuri, Muzaffari, Inju, dan Jalayiri

Tinggalan tentera Mongolia dibawah pimpinan Tamerlane, seorang Mongol yang berbangsa Turki, kemudiannya menceroboh dan menawan Parsi. Beliau menawan Transoxiana dan menjadi raja di sana. Tidak seperti Genghis Khan, serangan Tamerlane berlaku dengan perlahannya dan tidak membawa banyak kerosakan. Ini kerana tentera beliau tidak sebesar tentera Genghis Khan. Namun begitu, Isfahan dan Shiraz tetap mengalami kemusnahan yang teruk. Selepas kematian beliau, empayar ini berpecah dengan pantasnya tetapi puak-puak mongolia iaitu Uzbek dan Bayundur Turkmen masih lagi memerintah kawasan Iran sehinggalah naiknya empayar Safavid.

Zaman Moden[sunting | sunting sumber]

Parsi pada tahun 1808.

Ketika zaman Safavid (1502-1736), kebudayaan Parsi mula berkembang semula terutamanya ketika zaman Shah Abbas I. Sesetengah sejarahwan berpendapat bahawa negara Iran moden diasaskan oleh Wangsa Safavid. Banyak kebudayaan-kebudayaan Iran pada hari ini berasal dari zaman pemerintahan Safavid termasuklah pengenalan Islam Shia di Iran.

Selepas era Safavid, Iran kemudiannya diperintah oleh Wangsa Zand, Qajar dan akhirnya Pahlavi. Pada kurun ke-17, negara-negara Eropah mula menerokai Iran dan menapakkan pengaruh mereka di sana. Kesannya Iran mula kehilangan beberapa wilayahnya kepada negara-negara ini menerusi beberapa perjanjian perdamaian seperti perjanjian Turkmanchai dan perjanjian Gulistan.

Pada lewat kurun ke 19, Iran memasuki sebuah era baru ketika terjadinya Revolusi Perlembagaan Iran. Ia merupakan sebuah revolusi yang memperkenalkan sistem raja berpelembagaan, sebuah sistem pemerintahan moden. Tetapi Shah Iran atau raja Iran masih berjaya mempertahankan kuasa mereka. Sebuah parlimen yang dinamai Majles ditubuhkan pada 7 Oktober, 1906.

Penemuan minyak mentah di wilayah Khuzestan menarik minat Inggeris dan Rusia untuk meluaskan pengaruh mereka di Iran. Kedua-dua kuasa ini bersaing untuk memonopoli minyak Iran dan akhirnya memecah belahkan Iran. Disebabkan kelemahan kerajaan Iran ketika itu (kerajaan Qajar,) menangani kuasa-kuasa ini, maka terjadilah pemberontakan oleh Reza Pahlavi yang dimana beliau berjaya menobatkan dirinya sendiri menjadi Shah Iran yang baru dan mengasaskan Dinasti Pahlavi

Perang Dunia[sunting | sunting sumber]

Ketika Perang Dunia Pertama, Iran terletak dibawah pengaruh Inggeris dan Rusia walaupun polisi kerajaannya adalah neutral. Pada tahun 1919, Inggeris cuba menjadikan Iran sebagai negeri naungan mereka tetapi rencana terbantut apabila Shah Reza menggulingkan Kerajaan Qajar dan menubuhkan Dinasti Pahlavi. Shah Reza Pahlavi memerintah Iran selama 16 tahun dan memulakan proses permodenan Iran serta menubuhkan kerajaan sekular baru.

Sejak penemuan minyak, Iran menjadi sumber bekalan minyak utama kepada negara-negara bersekutu. Ketika Perang Dunia Kedua, tentera bersekutu meminta agar Shah Reza menghalau keluar ahli teknikal Jerman tetapi permintaan ini ditolak beliau. Maka, tentera bersekutu melancarkan serangan ke atas Iran dan menyingkirkan Shah Reza dan melantik putera beliau, Shah Mohammad Reza menjadi pengganti Shah Iran. Namun begitu, Shah Mohammad hanyalah boneka Inggeris dalam pentadbiran Iran dan pemerintahan beliau bersifat autokratik dan dibenci rakyat Iran.

Revolusi Islam[sunting | sunting sumber]

Setelah berbulan lamanya protes dilancarkan terhadap pemerintahan kuku besi Shah Mohammad, pada 16 Januari, 1979 beliau terpaksa melarikan diri ke Mesir sekaligus menamatkan dinasti Pahlavi. Selepas itu, Iran terlibat dalam kancah domestik yang menyaksikan pertelingkahan antara penyokong revolusi Iran dan penyokong kerajaan sementara warisan Shah Mohammad yang dikepalai Dr. Shapour Bakhtiar. Apabila kembalinya Ayatollah Khomeini, pengasas revolusi Iran, beliau melantik Mehdi Bazargan sebagai perdana menteri baru Iran. Ini menyaksikan Iran terbahagi kepada dua, kerajaan revolusi dan kerajaan sementara Iran. Namun begitu, kerajaan sementara Iran kalah dalam persaingan merebut kuasa apabila pihak ketenteraan Iran mengisytiharkan neutral. Setelah itu, pungutan suara dibuat untuk menubuhkan sebuah kerajaan baru. Keputusannya, 98% rakyat Iran menyokong idea ini dan akhirnya terbentuklah Republik Islam Iran

Perang Iran-Iraq[sunting | sunting sumber]

Pada 22 September 1980, Iraq mencerobohi Iran bagi menawan wilayah-wilayah yang dituntut Iraq. Pada mulanya, tentera Iraq berjaya mara ke wilayah-wilayah Iran tetapi mereka kemudiannya berjaya disekat oleh tentera Iran dan akhirnya perang ini menjadi Perang Perlumpuhan dimana kedua-dua belah pihak cuba melumpuhkan lawannya dengan serangan berterusan tanpa henti. Iran walau bagaimanapun berjaya menawan semula wilayah-wilayah mereka. Peperangan ini berterusan sehingga 20 Ogos 1988 manakala tawanan perang terakhir berjaya dibawa pulang semula pada tahun 2003.

Peperangan ini menyaksikan penggunaan senjata kimia oleh tentera Iraq menyebabkan ramai tentera dan penduduk awam Iran terkorban. Jumlah korbannya dianggarkan setengah juta hingga satu juta dan menjadikan Iran mangsa korban senjata kimia kedua terbesar dalam sejarah manusia (selepas Jepun).

SafavidEmpayar KhwarezmidAlavidAk KoyunluSeljukDinasti PahlaviQara KoyunluEmpayar GhaznavidIranDinasti TimuridBuwayhidKartidSamanidDinasti QajarJalayiridZiyaridMannaeanDinasti AfsharidMuzaffaridDinasti TahiridParthiaMedianArattaProto-ElamIlkhanatSejarah Awal IslamAchaemenidKerajaan JiroftDinasti ZandMongolDinasti SaffaridSassanidSelukidElam

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Patrick Clawson. Eternal Iran. Palgrave Macmillan. 2005. ISBN 1-4039-6276-6 m/s: 19