Sejarah Qubbat As-Sakhrah

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Kubah Al-Sakhrah, kawasan Nabi Muhammad s.a.w. naik ke langit.
Kubah Al-Sakhrah dari jauh.

Kubah Al-Sakhrah, seni binaan agung Islam yang pertama dibina di antara tahun 687 Masihi sehingga tahun 691 Masihi oleh Khalifah Abdul Malik ibni Marwan, khalifah kerajaan Ummaiyyah. Ia dibina setengah kurun selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w. Pelbagai masalah dan cabaran dihadapi bagi mempertahankan dan mengekalkan dan mengelakkan bangunan ini daripada musnah. Sejarah Kubah Al-Sakhrah boleh difokuskan kepada empat zaman secara keseluruhannya iaitu Zaman Islam, Zaman Perang Badar dan Zaman Pendudukan Palestin (nyahkekaburan).

Zaman Islam[sunting | sunting sumber]

Pada tahun kesembilan misi Rasulullah s.a.w., lebih kurang tahun 620 Masihi, Nabi Muhammad berjaga pada waktu malam untuk melakukan ibadah di Masjidil Haram, Makkah. Selepas beribadat, baginda tertidur seketika dekat Kaabah. Malaikat Jibril datang mengejutkan Rasulullah daripada tidur dan membawa baginda ke hujung Masjidil Haram. Menanti mereka ialah sejenis makhluk yang bernama Buraq. Rasulullah kemudiannya menaiki Al Buraq yang kemudian membawa baginda ke Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis dalam sekelip mata.

Apabila tiba di Baitulmaqdis, Rasulullah turun daripada Al Buraq dan bersembahyang dekat sebuah batu. Nabi Ibrahim a.s, Nabi Musa a.s,Nabi Isa a.s dan nabi-nabi yang lain berkumpul bersama dan bersolat bersama-sama baginda. Nabi Muhammad s.a.w. dipersembahkan semangkuk arak dan semangkuk susu. Rasulullah s.a.w. memilih susu. Malaikat Jibril a.s kemudiannya berkata "Ternyata engkau telah memilih ajaran yang sebenar". Rasulullah kemudiannya naik ke langit untuk menerima perintah menunaikan solat kepada umat Islam.

Animasi pemandangan di dalam Kubah Al-Sakhrah.

Pada tahun 638 masihi, selepas beberapa tahun kewafatan Nabi Muhammad s.a.w., tentera Islam mengepung Baitulmaqdis. Ketua Gereja Baitulmaqdis, Sophronius, menyerahkan kota itu selepas kepungan yang singkat. Cuma terdapat satu syarat iaitu perbincangan mengenai penyerahan itu mestilah menerusi Khalifah Saidina Umar Al Khatab sendiri, khalifah kedua Islam.

Saidina Umar memasuki Baitulmaqdis dengan berjalan. Tidak ada pertumpahan darah dan tidak ada pembunuhan oleh tentera Islam. Sesiapa yang ingin meninggalkan Baitulmaqdis dengan segala harta benda mereka, dibenarkan berbuat demikian. Sesiapa yang ingin terus tinggal dijamin keselamatan nyawa, harta benda, dan tempat beribadat mereka. Semua ini terkandung dalam Perjanjian Umariyya.

Buat pertama kalinya Baitulmaqdis terselamat daripada bermandi darah. Mengikut cerita, Saidina Umar kemudiannya menemani Sophronious ke gereja Church of the Holy Sepulchre yang mana Saidina Umar ditawarkan bersolat di dalamnya. Saidina umar menolak takut akan timbulnya syak wasangka yang dapat menjejaskan penggunaan gereja itu sebagai tempat beribadat penganut Kristian. Saidina Umar sebaliknya menunaikan solat di sebelah selatan gereja tersebut yang kini merupakan tapak Masjid Umar di Baitulmaqdis.

Saidina Umar kemudiannya meminta supaya dibawa ke tempat Masjid al-Aqsa dengan ditemani beratus-ratus orang Islam. Saidina Umar mendapati tempat itu dipenuhi dengan habuk dan sampah sarap. Saidina Umar terus mengarahkan supaya tempat itu dibersihkan dengan serta-merta. Sebuah masjid yang diperbuat daripada kayu kemudiannya didirikan pada masa Saidina Umar di sebelah paling selatan, iaitu Masjid Al-Qibli.

Zaman Salib[sunting | sunting sumber]

Semasa Perang Salib, Kubah Al-Sakhrah diberikan kepada Augustinia, yang menukarnya menjadi gereja, dan Masjid al-Aqsa menjadi istana diraja Baldwin I dari Jerusalem pada 1104.