Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Maahad Muar

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Maahad Muar

Logomaahad.jpg
Lokasi Jalan Junid, Muar, Johor
Tahun ditubuhkan 1942
Jenis sekolah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama
Guru Besar terkini {{{Guru Besar terkini}}}
Nama rujukan SMKA (M) Muar

Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Maahad Muar ialah sekolah menengah kebangsaan agama yang terletak di Muar, Johor. Pengetua sekolah ini adalah En Omar bin Salleh.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 1942, atas daya usaha Tuan Guru Haji Abu Bakar bin Haji Hassan untuk mendirikan sebuah sekolah yang berteraskan ajaran Islam, keluarga Allahyarham Tun Haji Mohd Khatib bin Haji Shahid telah mewakafkan wang sebanyak RM 10,000 untuk merealisasikan cita – cita tersebut.

Sebuah jawatankuasa pengurusan projek telah ditubuhkan pada tahun 1950 yang diberi nama 'LUJNAH' yang juga merupakan satu badan dakwah yang aktif di daerah Muar ketika itu . Badan ‘LUJNAH’ ini telah berjaya mengumpulkan wang hasil sumbangan dari orang ramai yang berjumlah RM 10,000. Dengan modal sebanyak RM 20,000 inilah pada tahun 1963 sebuh sekolah telah didirikan di Jalan Joned Muar yang dikenali dengan nama ‘Al- Maahad Al – Dini Al – Arabi’. Sekolah ditadbir oleh sebuah lembaga yang dianggotai oleh sekumpulan penduduk tempatan yang berpengaruh dan mempunyai cita-cita untuk mendidik anak- anak dengan pengetahuan agama Islam.

Setelah beroperasi selama tiga tahun di bawah pengembang agama Islam ‘LUJNAH’ Muar, ia mula menghadapi pelbagai masalah terutama sekali dalam bidang kewangan. Akhirnya pada tahun 1966, pihak LUJNAH telah bersetuju untuk menyerahkan pentadbiran sekolah ini kepada Jabatan Agama Islam Johor. Nama sekolah ini lalu ditukarkan kepada Sekolah Maahad Muar. Sepanjang sejarahnya sekolah ini telah banyak melahirkan tokoh-tokoh agama yang berwibawa sebagai pegawai-pegawai agama dan juga guru-guru agama dalam negeri Johor. Pada tahun 1972, pihak Jabatan Agama Islam Johor telah membina bangunan tambahan untuk Maahad Muar.

Oleh kerana tuntutan dan desakan semasa dari orang ramai yang inginkan lulusan sekolah–sekolah agama diberikan nilai ekonomi yang sewajarnya sebagaimana sekolah–sekolah akademik yang lain, akhirnya atas persetujuan semua pihak sekolah ini diserahkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun 1977 dan diletakkan di bawah perhatian khas Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan. Dengan itu bertukarlah kurikulum sekolah ini. Pelajaran akademik mula diperkenalkan di sekolah ini dengan mata pelajaran Bahasa Arab dan agama Islam Tinggi diwajibkan kepada pelajar-pelajar sekolah ini. Walau bagaimanapun, orientasi pendidikan tetap menuju ke arah pendidikan Islam di dalam penghayatan dan amalan Islam ditekankan. Nama sekolah ini lagi sekali ditukarkan kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Maahad Muar.

Falsafah[sunting | sunting sumber]

  • Mendidik generasi pelajar menjadi manusia yang beriman kepada Allah sesuai dengan fitrah manusia itu sendiri dijadikan oleh Allah sebagai satu tanggungjawab “makhluk” kepada “Khalik”.
  • Mendidik generasi pelajar yang berilmu yang sentiasa cintakan ilmu “Fardu Ain” dan ilmu “Fardu Kifayah” yang menjadi tuntutan ummah. Dengan ilmu itu manusia sentiasa kreatif berupaya menjadi manusia yang berguna kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat, agama dan negara.
  • Mendidik generasi pelajar menjadi manusia yang beramal dengan ilmu yang didapati untuk memakmurkan bumi ini sesuai dengan tuntutan agama yang mengkehendaki hambanya menjadi “Khalifah” di bumi ini. Ilmu hanya akan bernilai sekiranya diamalkan untuk faedah manusia sejagat.

Matlamat[sunting | sunting sumber]

Melahirkan pelajar-pelajar yang berpendidikan dan berakhlak mulia mengikut nilai-nilai Islam dan bertanggungjawab kepada ALLAH, masyarakat, bangsa dan negara.

Objektif[sunting | sunting sumber]

  • Membina sahsiah pelajar yang mulia selaras dengan Islam, mempunyai ketahanan untuk menghadapi cabaran zaman yang sentiasa berubah dari semasa ke semasa.
  • Membina pelajar yang berkualiti dan mempunyai semangat yang kuat untuk mencapai kejayaan yang cemerlang dalam bidang kurikulum dan kokurikulum.
  • Membina kesedaran kepada pelajar-pelajar bahawa menuntut ilmu itu adalah satu proses yang berterusan sepanjang hayat. Ilmu adalah harta yang tidak ternilai dan ia merupakan kekayaan yang mesti digarap dari semasa ke semasa.
  • Membina golongan pelajar yang peka terhadap perubahan yang berlaku di sekeliling mereka dan mereka akan tertinggal sekiranya bersikap beku, acuh tak acuh terhadap perubahan yang berlaku.
  • Membina golongan pelajar yang menyedari hakikat masyarakat majmuk di Malaysia memerlukan perpaduan, bertolak ansur, bekerjasama, percaya mempercayai dan sebagainya yang sesuai dengan nilai-nilai Islam dan mengikut batas-batas yang ditentukan oleh Islam.
  • Membina golongan pelajar yang mempunyai pengetahuan sesuai dengan penggunaan sains dan teknologi.
  • Membina golongan pelajar yang mampu mempertingkatkan mutu pengajaran Islam dan Bahasa Arab untuk melayakkan mereka melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi di dalam dan luar negeri.

Perkembangan sekolah[sunting | sunting sumber]

Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Maahad Muar terletak di Jalan Jonid, lebih kurang dua kilometer di pinggir Bandar Maharani Muar, Johor. Penuntut-penuntut yang belajar di sekolah ini adalah terdiri daripada pelajar Islam lelaki dan perempuan yang datang dari daerah Muar, Batu Pahat dan Pontian dalam negeri Johor.

Pada awal penubuhan sekolah ini,iaitu pada tahun 1963, ia hanya mempunyai satu blok bangunan yang diperbuat daripada kayu yang dibina oleh masyarakat Islam tempatan. Bangunan tersebut dapat mengadakan tiga kelas sahaja iaitu tahun satu, dua dan tiga. Pelajar-pelajar yang ingin melanjutkan pengajian terpaksalah manyambung pelajaran mereka ke sekolah Maahad di Johor Bahru. Jumlah pelajar pada ketika itu hanya lima belas orang sahaja. Setelah pentadbiran sekolah ini diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Johor, pihak Jabatan Agama telah membina sebuah bangunan tambahan pada tahun 1972.

Apabila pentadbiran sekolah ini diserahkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun 1977 nama sekolah ini ditukarkan kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Maahad Muar. Pada dasarnya sekolah ini adalah sama seperti sekolah menengah kebangsaan yang lain. Walau bagaimanapun sekolah ini ada keistimewaannya yang tersendiri iaitu memberi peluang kepada pelajar-pelajarnya mengambil mata pelajaran Bahasa Arab Tinggi, Bahasa Arab Komunikasi dan Pengajian Agama Islam Tinggi. Mata pelajaran khas ini membolehkan lepasan sekolah melanjutkan pelajaran dalam aliran agama di sekolah-sekolah yang mengkhusus dalam aliran tesebur seperti Maahad Johor untuk mendapat Sijil Empat Thanawi dan seterusnya layak melanjutkan pelajaran ke Mesir. Keistimewaan lain yang menjadi matlamat sekolah ini adalah ia berorientasikan Falsafah Pendidikan Islam dan Falsafah Pendidikan Negara.

Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Maahad Muar (SMKA Maahad Muar) bermula pada tahun 1977 dengan satu kelas sahaja menempatkan sejumlah pelajar seramai 12 orang (3 pelajar lelaki dan 9 pelajar perempuan). Kumpulan pelajar ini menamatkan persekolahan mereka di SMKA Maahad Muar pada tahun 1979 iaitu selepas peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP). Kumpulan pelajar ini meneruskan pelajaran mereka di sekolah-sekolah yang lain seperti Kolej Islam Klang dan sebagainya.

Kumpulan kedua pelajar sekolah ini pada tahun 1978, menempatkan empat buah kelas dengan nama Abu Bakar, Omar, Ali dan Othman. Kumpulan pelajar 1978 juga merupakan kumpulan pertama pelajar tingkatan empat sekolah ini pada tahun 1981 dan juga kumpulan pertama yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pada tahun 1977 sekolah ini diserahkan pula di bawah pentadbiran Kementerian Pendidikan Malaysia. Pada awal pengambilannya oleh pihak Kementerian Pendidikan, sekolah ini sukar untuk mendapatkan kepercayaan masyarakat negeri Johor lebih-lebih lagi dengan keadaan fizikal sekolah yang usang dan uzur dan tidak mempunyai kelengkapan yang diperlukan bagi sesebuah sekolah menengah.Sehubungan dengan itu juga kurikulum sekolah bertukar daripada kurikulum asal kepada kurikulum akademik sepenuhnya.Perubahan inilah yang menjadikan masyarakat tempatan sukar untuk menerimanya pada peringkat awal.

Untuk penempatan pelajar-pelajar yang datang dari jauh, pihak kementerian pendidikan telah menyewa rumah-rumah yang berdekatan untuk dijadikan asrama. Pelajar-pelajar terpaksa menunggang basikal dan berjalan kaki ke sekolah dan ada yang jaraknya lebih dari 2 kilometer dari sekolah.

Keadaan telah berubah apabila Kementerian Pendidikan telah mendirikan 5 blok bangunan baru 3 tingkat yang telah selesai pembinaannya pada tahun 1983. Selepas itu barulah sekolah ini mendapat kepercayaan penuh daripada orang ramai.Lebih-lebih lagi sekolah ini telah menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam peperiksaan SRP dan SPM setiap tahun.Untuk menampung kekurangan tempat tinggal bagi pelajar-pelajar yang tinggal berjauhan dari sekolah, bilik darjah dan juga makmal sains, pihak Kementerian telah membina sebuah asrama puteri 3 tingkat bersama bangunan dewan makan puteri dan juga 1 blok bangunan makmal sains. Dengan pembinaan bangunan ini, ia dapat menyelesaikan masalah tempat tinggal pelajar-pelajar, lebih-lebih lagi apabila tingkatan 6 telah diwujudkan pada tahun 1987.Pelajar-pelajar juga dapat belajar matapelajaran sains dengan lebih efektif lagi dengan penggunaan makmal sains secara optimum.

Mulai dari tahun 1986, sekolah ini telah memperkenalkan kursus al-Quran dan Tahfiz. 11 orang pelajar telah dipilih untuk mengikuti kelas tahfiz ini dibawah bimbingan 5 orang guru yang mendapat latihan khas mengenai ilmu al-Quran dan Tahfiz. Matlamat kursus ini adalah untuk melahirkan generasi yang mahir dengan al-Quran dan hafaz al-Quran. Selepas tamat tingkatan 5 mereka akan menyambung pelajaran ke Maahad al-Quran dan Tahfiz di Pusat Islam Kuala Lumpur.

Pada tahun 1992, sebuah surau yang diberi nama “Surau Muhajirin” yang boleh memuatkan 300 jemaah telah dibina untuk kemudahan warga Maahad.Pembinaan surau ini adalah usaha pihak sekolah dan juga PIBG Maahad. Ianya menelan belanja sebanyak RM 120,000. Pihak sekolah sangat prihatin mengenai kebajikan kakitangan sekolah terutamanya pihak guru. Untuk memberikan keselesaan berkhidmat di sekolah ini, sebuah bangunan khas telah dibina pada tahun 1999 untuk dijadikan bilik guru yang dilengkapi dengan penghawa dingin. Bangunan bilik guru ini kemudiannya diberi nama ‘Al-Ansar’.

Pihak PIBG sesi 1999/2000 yang begitu prihatin dengan keadaan fizikal sekolah telah berusaha untuk memberi kemudahan untuk pelajar-pelajar beriadah dan mengadakan aktiviti-aktiviti yang lain. Pada tahun 2000, berkat doa dan sokongan semua pihak maka terbinalah sebuah dewan besar yang boleh memuatkan 6 gelanggang badminton. Dewan ini digunakan oleh pelajar-pelajar untuk beriadah, perhimpunan mingguan dan aktiviti-akiviti lain dari masa ke masa.Kedua-dua bangunan Bilik Guru dan Dewan Besar telah dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Abdul Ghani bin Othman, Menteri Besar Johor pada bulan Mei 2000.

Pada masa sekarang,sekolah ini telah mendapat sambutan yang begitu menggalakkan dari masyarakat kerana keistimewaan yang meletakkan falsafah pendidikan Islam menjadi teras sekolah ini.Bilangan pelajar yang memohon untuk memasuki sekolah ini tidak kurang 3 ribu orang setiap tahun.Tetapi sekolah ini hanya mampu untuk menerima kira-kira 180 orang sahaja pelajar tingkatan satu.Jumlah pelajar semasa sekolah ini,iaitu dari tingkatan satu hingga tingkatan 5 ialah 850 orang. Boleh dikatakan bahawa sekolah ini sejak ditadbir oleh Kementerian Pendidikan 25 tahun yang lalu, mempunyai potensi yang amat memberangsangkan dengan melahirkan pelajar–pelajar yang mengamalkan akhlak mulia serta berjaya dalam bidang kurikulum dan ko-kurikulum.

Kini SMKA Maahad Muar bakal langkah maju setapak lagi kerana bakal dilengkapkan oleh prasarana dan kemudahan fizikal yang baru dan sempurna seperti makmal komputer, blok pentadbiran serta perpustakaan, asrama lelaki dan perempuan, dewan besar, surau, kantin sekolah, dewan makan asrama, padang, kuarters guru dan sebagainya.

Kejayaan sekolah[sunting | sunting sumber]

Tahun 2009[sunting | sunting sumber]

  • Keputusan Anugerah Akademik SMKA 2009:
    • SMKA Maahad Muar: PMR 2008 – Tempat kedua Bahasa Arab Komunikasi
  • Keputusan Anugerah Kualiti SMKA 2009:
    • Anugerah Pengurusan Kokurikulum – Tempat pertama
  • Keseluruhan
    • SMKA Maahad Muar – Tempat keempat
  • Sekolah Cemerlang SMKA Peringkat Kebangsaan 2009
  • Johan Festival Nasyid Peringkat Kebangsaan 2009

Tahun 2011[sunting | sunting sumber]

  • Menjadi tuan rumah bagi Festival Nasyid Kebangsaan yang ke-7
  • Ketiga Festival Nasyid Peringkat Kebangsaan 2011

Tahun 2012[sunting | sunting sumber]

  • Johan Festival Nasyid Kebangsaan 2012 di Kelantan

Tahun 2013[sunting | sunting sumber]

  • Kedua Festival Nasyid Negeri Johor 2013
  • Ketiga Pertandingan Nasyid Kluster di SMKASAS

Pautan luar[sunting | sunting sumber]