Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Ahmad Zaidi

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Ahmad Zaidi
Logo rasmi SMKA Tun Ahmad Zaidi.
Lokasi
Jalan Sultan Tengah, Petra Jaya,, 93050 Kuching, Sarawak
Malaysia
Maklumat
Jenis sekolahSekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Asrama/Harian
Motoالإتقان في الأمل
Al-Itqan Fil Amal

Tekun/Bersungguh-sungguh dalam kerja

Mahabbah Inspirasi Transformasi
Nombor sekolah+6082-312578, +6082312618
Kod sekolahYRA1303
Pengerusi PIBGPuan Aeida Nurhafidzah Binti Zahili
PengetuaUmmi Hajah Zainab binti Hussein
GPK Pentadbiran dan AkademikPuan Balinda binti Husaini
Penolong Kanan Hal Ehwal MuridEncik Mohamad Fauzol bin Bahron
Penolong Kanan KokurikulumEncik Abang Rahabidin bin Abang Sulaiman
Faks+6082-445397
Laman sesawang


Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Ahmad Zaidi atau nama ringkasnya SMK Agama Tun Ahmad Zaidi, SMKA Tun Ahmad Zaidi atau TUNAZ, merupakan sebuah Sekolah menengah agama yang terletak di Jalan Sultan Tengah, Petra Jaya, 93050 Kuching, Sarawak.

Pada 1901, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Ahmad Zaidi memiliki 331 orang pelajar lelaki dan 436 orang pelajar perempuan, menjadikan jumlah keseluruhan murid seramai 767 orang. Ia mempunyai seramai 63 orang guru.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Tun Ahmad Zaidi Adruce, Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang kelima.

Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Ahmad Zaidi berjaya ditubuhkan atas perjuangan pemimpin masyarakat Islam di Sarawak khususnya di Kuching yang mempunyai kesedaran untuk memajukan pendidikan Islam di Sarawak. Masyarakat Islam perlu memiliki ilmu duniawi serta pendidikan Islam untuk membolehkan mereka maju dalam segala aspek kehidupan dan seterusnya menjadi ummah yang disegani oleh masyarakat lain dalam negeri yang berbilang bangsa ini. Penubuhan sekolah ini juga diharap dapat melahirkan umat Islam yang berkualiti dan menjadi golongan pemimpin Islam yang akan meneruskan dan mengekalkan kepimpinan Islam yang sedia ada pada hari ini. Sebelum sekolah ini ditubuhkan, Sekolah Datuk Abdul Rahman (SEDAR) telah dibuka untuk memberi peluang kepada kanak-kanak Islam yang gagal melanjutkan pelajaran mereka di sekolah kerajaan kerana gagal dalam peperiksaan ‘Common Entrance’. Namun apabila ‘Common Entrance’ dihapuskan pada tahun 1974, SEDAR pun ditutup.

Penutupan SEDAR tidak mematahkan semangat pemimpin masyarakat Islam untuk meneruskan perjuangan mereka bagi memajukan pendidikan Islam di Sarawak. Penubuhan Lembaga Darul Falah pada tahun 1981 yang bertujuan antara lainnya mengembangkan pendidikan di kalangan masyarakat Islam di Sarawak sekali lagi memberi peluang kepada pemimpin masyarakat Islam untuk merealisasikan hasrat mereka. Datuk Anis bin Haji Abot yang dilantik menjadi Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak pada tahun 1985 telah berusaha untuk meneruskan perjuangan pemimpin masyarakat Islam tempatan untuk menubuhkan sekolah agama di Sarawak.

Atas usaha yang gigih itulah tertubuhnya Sekolah Rendah Agama Majlis Islam pada tahun 1985. Proses penubuhannya dipercepat apabila pihak ibu bapa murid-murid SK (A) Datuk Haji Abdul Kadir Hassan semakin mendesak pihak Majlis Islam supaya menubuhkan sebuah sekolah menengah agama bagi membolehkan anak-anak mereka meneruskan pelajaran peringkat menengah di sekolah yang sama. Kejayaan Yang Berhormat Datuk Abang Haji Johari bin Tun Abang Haji Openg dan Yang Berbahagia Datuk Anis bin Haji Abot dalam meyakinkan pihak kerajaan negeri pada masa itu tentang kepentingan penubuhan sekolah ini dan cara pentadbirannya amat signifikan.

Ekoran daripada kejayaan tersebut, pihak Majlis Islam Sarawak telah melantik al-marhum Tuan Haji Khalid Kaderi sebagai pegawai yang akan bertangungjawab untuk mengendalikan urusan pendaftaran dan menjaga kepentingan dan keperluan sekolah ini. Sekolah ini didaftarkan sebagai sebuah sekolah bantuan kerajaan. Dengan itu Majlis Islam Sarawak melalui Jabatan Agama Islam Sarawak akan bertanggungjawab terhadap pembangunan fizikal sementara urusan pentadbiran, kurikulum dan ikhtisas, penempatan murid dan guru adalah di bawah kawalan pihak Jabatan Pelajaran Sarawak. Walaupun tujuan utama pembukannya pada ketika itu adalah untuk menempatkan murid-murid SK (A) Datuk Haji Abdul Kadir Hassan, namun sejajar dengan hasratnya untuk melahirkan ummah yang berkualiti, sekolah ini juga telah menerima murid-murid Islam dari sekolah rendah kerajaan di sekitar Bandar Kuching pada masa itu.

Sekolah yang baru dibuka itu telah menumpang di beberapa buah bilik darjah di SK (A) Datuk Haji Abdul Kadir Hassan sehinggalah premis tetapnya siap dibina pada tahun 1997. Pada 31 Januari 1997, sekolah ini telah berpindah ke premis baru ini yang terletak bersebelahan dengan SK (A) Agama Datuk Haji Abdul Kadir Hassan di atas tapak seluas 80 ekar dengan kos binaannya sebanyak RM20 juta. Sekolah ini telah dirasmikan pada 19 Mei 1997 oleh Timbalan Perdana Menteri, YB Dato' Seri Anwar bin Ibrahim. Selaras dengan peruntukan Akta Pendidikan 1991, semua sekolah menengah telah dijadikan sekolah menengah kebangsaan, sekolah ini telah bertukar nama kepada Sekolah Kebangsaan Agama Majlis Islam Sarawak. Semasa perayaan sambutannya yang ke-10 tahun pada 6 Jun 2001, sekolah ini dinamakan sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Ahmad Zaidi sebagai memperingati ketokohan, sumbangan dan jasa al-marhum Tun Datuk Patinggi (Dr.) Ahmad Zaidi Adruce bin Muhammed Noor, Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang kelima.

Pencapaian[sunting | sunting sumber]

Kebanyakan calon Penilaian Menengah Rendah (PMR) dari tahun 2007 hingga 2012 mendapat kelulusan dalam semua mata pelajaran. Bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari tahun 2007 hingga 2012 pula, kebanyakan calonnya mendapat kelulusan dalam semua mata pelajaran.[1]

Lagu sekolah[sunting | sunting sumber]

Lagu rasmi sekolah yang berjudul 'Al-Itqan Fil Amal' telah dicipta pada tahun 2003. Satu pertandingan mencipta lirik bagi lagu sekolah telah diadakan pada tahun yang sama. Sejumlah penyertaan daripada para pelajar dan guru sekolah telah diterima. Lirik yang dicipta oleh Ustaz Firdaus Abdullah telah terpilih menjadi juara dan digunakan secara rasmi. Melodi lagu tersebut telah dicipta oleh Prof. Mohd Fadzil Abdul Rahman, seorang pensyarah seni muzik dari UNIMAS. Lirik lagu Al-Itqan fil Amal adalah seperti berikut:

Sekolah kami yang unggul berdiri megah

Di atas panji-panji ikrar satu ummah

Berjuang, belajar berpaksikan satu fikrah

Untuk kejayaan diri dan juga sekolah

Ayuh kawan kita tekadkan ketaqwaan

Jadilah insan yang berguna dan beriman

Mendakap kesungguhan melahirkan keterampilan

Menyahut cabaran anak-anak wawasan

Sekolah kami menuju kejayaan

Membuka jalan ke arah ilmu pengetahuan

Berilmu, beramal tonggak kehidupan

Setiap insan iltizamkan kecemerlangan

Al-Itqan fil Amal menjadi satu wadah

Berjuang, berjihad mentamadunkan ummah

Diiringi doa bertawakal pada Allah

Kejayaan kami jadi matlamat sekolah

Kejayaan kami jadi matlamat sekolah.

Alamat[sunting | sunting sumber]

Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Ahmad Zaidi
Jalan Sultan Tengah, Petra Jaya,
93050 Kuching
Sarawak,  Malaysia
Telefon = 6082312578
Faks = 6082445397

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "Analisis Peperiksaan Awam SMKA Tun Ahmad Zaidi". SMK Agama Tun Ahmad Zaidi. Diarkibkan daripada yang asal pada 18 April 2015. Dicapai pada 27 Mac 2013. Unknown parameter |dead-url= ignored (bantuan)

Pautan luar[sunting | sunting sumber]