Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Bentara Luar

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Bentara Luar
Lokasi
P SURAT 31, JLN LIM YEW LEONG,, 83007, Johor Darul Takzim
 Malaysia
Maklumat
Jenis sekolahSekolah kebangsaan, Sekolah kerajaan
Nombor sekolah074341640
Kod sekolahJEA0010
Faks074332141

Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Bentara Luar ditubuhkan pada tahun 1958. Sekolah ini terletak di daerah Batu Pahat, Johor.

Visi[sunting | sunting sumber]

SMK Dato’ Bentara Luar muncul sebagai salah sebuah sekolah menengah yang unggul di Batu Pahat pada tahun 2011

Misi[sunting | sunting sumber]

  • Memberi peluang pendidikan yang sama kepada semua pelajar
  • Mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang kondusif dalam sekolah
  • Melahirkan pelajar yang cemerlang dari segi akademik, sahsiah dan kokurikulum

Objektif[sunting | sunting sumber]

  • Meningkatkan kualiti pendidikan dari segi kurikulum dan sahsiah dari semasa ke semasa
  • Meningkatkan semangat cinta akan sekolah dan perasaan kekeluargaan dalam kalangan pelajar, guru dan kakitangan
  • Meningkatkan perhubungan yang akrab dengan masyarakat setempat menerusi permuafakatan
  • Meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap sekolah ini

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Sekolah ini telah ditubuhkan pada tahun 1958 dengan nama Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Pahat merupakan di antara sekolah menengah Aliran Melayu yang pertama di Tanah Melayu. Sewaktu dalam pembinaan pelajar-pelajar sekolah ini menumpang di “High School Batu Pahat”. Bangunan yang sedia ada mula dibina pada awal bulan Julai 1960 oleh Jabatan Kerja Raya Batu Pahat di bawah tanggung jawab pemborong Ong Kah Hoe dengan perbelanjaan lebih kurang RM150,000 tidak termasuk harga kerusi, meja dan kelengkapan lain. Pelajaran telah dimulakan pada hari Isnin 2 Januari 1961 iaitu dari awal penggal persekolahan bagi penggal pertama 1961. Pada mulanya sekolah ini mengandungi 4 buah bangunan yang mengandungi 16 buah bilik darjah, sebuah bilik guru, sebuah bilik pentadbiran dan sebuah stor kecil, termasuk sebuah bangunan untuk kantin dan sebuah bangunan untuk tandas.

Encik S. V. Ponniah, bekas Ketua Pegawai Pelajaran Johor, adalah “pengasas” sekolah ini yang sebenarnya. Tujuan dan cita-cita beliau ialah menjadikan sekolah ini sebuah Sekolah Menengah Melayu yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar yang sepenuhnya mengikut bagaimana Dasar Pelajaran Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu. Sekiranya sekolah ini belum dibangunkan Sekolah Tinggi Batu Pahat akan menghadapi kesulitan untuk memuatkan pelajar-pelajar menengah Melayu yang semakin bertambah bilangannya di sekolah itu. Sekolah yang telah didirikan ini memuatkan 763 orang pelajar pada 2 Januari 1961. Mereka merupakan pelajar yang sebelum ini menumpang di Sekolah Tinggi Batu Pahat dan juga pelajar yang baru bagi tahun 1961. Pelajar-pelajar ini telah dibahagikan kepada 11 kelas Melayu dan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantarnya bagi semua mata pelajaran kecuali Bahasa Inggeris. 4 daripada kelas-kelas itu ialah tingkatan peralihan 1 belajar di sesi petang di bawah pengawasan Encik Ong Boon Eng. Semua guru di sekolah ini datangnya dari “High School” kecuali 3 orang guru yang terlatih termasuk Guru Besar, Encik Zainal Abidin bin Tamby, dan 9 orang guru sementara yang telah diterima bagi mencukupi bilangan guru sekolah ini seramai 29 orang. Daripada 29 orang guru-guru ini 18 orang daripadanya Melayu, 9 orang Cina dan 2 orang India. Pengerusi Jemaah Pengelola sekolah mulai 1961 adalah Tuan Dr. Syed Mahmood Alkudcy.

Peperiksaan Sijil Pelajaran Rendah Persekutuan Tanah Melayu kali pertama diadakan di sekolah ini pada 1961. Begitu juga dengan Peperiksaan Cambridge dan Sijil Pelajaran Persekutuan Tanah Melayu. Peperiksaan LCE dimulakan pada 1963. Kumpulan pertama pelajar tingkatan 4 yang mengambil aliran sains adalah pada tahun 1969. Peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan aliran sastera pula bermula pada tahun 1977 manakala kumpulan pertama aliran sains menduduki peperiksaan pada tahun 1979.

Dengan penuh persetujuan dari Ketua Pegawai Pelajaran Johor dan Pegawai Daerah Batu Pahat serta pihak berkuasa, sekolah ini telah diubah namanya dengan rasmi kepada “Sekolah Dato’ Bentara Luar” iaitu mengambil sempena dari gelaran Dato’ Md. Salleh bin Perang, Dato’ Bentara Luar Johor, yang telah membuka Batu Pahat ini. Dalam bulan Julai 1960, batu asas sekolah ini telah diletakkan sebagai memperingati kematian Dato’ Bentara Luar pada 12 Julai 1915. Bagi mengelakkan salah faham dan kesulitan-kesulitan lain yang mungkin timbul, perkataan “New Secondary School” ditambahkan dalam kurungan di papan nama sekolah. Pada hari Jumaat 7 Ogos 1964, sekolah ini dirasmikan oleh Yang Berhormat Encik Abd Rahman b Hj Talib Menteri Pelajaran Malaysia.

Pada akhir penggal pertama, pelajar-pelajar telah dibahagikan kepada 4 pasukan rumah sukan iaitu :

  • Rumah Tengku Mahkota A. Rahman – Merah
  • Rumah Mahmood Iskandar – Hijau
  • Rumah Abdul Rahman Talib – Biru
  • Rumah Ponniah – Kuning

Rumah-rumah sukan ditukarkan nama kepada Hang Lekir bagi pasukan Merah, Hang Kasturi bagi pasukan Kuning, Hang Jebat bagi pasukan Hijau dan Hang Tuah bagi pasukan Biru sehingga tahun 1982. Mulai 1983 rumah-rumah sukan sekali ditukarkan nama kepada Rahman bagi pasukan Merah, Iskandar bagi pasukan Hijau, Abu Bakar bagi pasukan Biru dan Ibrahim bagi pasukan Kuning.

Oleh kerana sekolah ini belum ada padang dan lebih kurang 90% daripada pelajar-pelajarnya duduk di kampung-kampung yang jauh, permainan-permainan tidak dapat dijalankan dengan teratur. Walau bagaimana pun, dengan pertolongan dan kerja sama Guru Besar Sekolah Tinggi Batu Pahat, pelajar-pelajar sekolah ini yang tinggal di bandar dapat bermain bola sepak, badminton, bola keranjang dan sepak raga di padang Sekolah Tinggi pada tiap-tiap petang Isnin.

Dari tahun kesetahun sekolah ini terus berkembang dan bilangan pelajar-pelajar pun semakin bertambah. Pada tahun 1963 sebuah bangunan dua tingkat mengandungi 9 buah bilik darjah, 1 bilik guru, 1 bilik pentadbiran dan stor, sebuah asrama yang boleh memuatkan 80 orang pelajar dan 2 buah makmal sains telah dibina.

Oleh sebab pelajar telah kian bertambah, dan kelengkapan permainan adalah sangat berkurangan maka Guru Besar pada ketika itu Encik A. Razak bin Rouse telah berusaha tanpa menunggu bantuan bagi memulakan pembinaan padang. Dengan kerjasama guru-guru dan pertolongan pelajar-pelajar maka pada tahun 1966 sebuah padang permainan telah dapat disiapkan.

Memandangkan kepada perkembangan sains dan teknikal, sebuah blok seni perusahaan telah dibina. Pada tahun 1965 sebuah blok menandungi 2 makmal sains dibina dan pada tahun 1969 sekolah ini menjadi Pusat Sains bagi sekolah menengah Melayu di daerah Batu Pahat.

Pada 1967 sebuah perpustakaan telah dibina atas inisiatif guru-guru, ibu bapa dan pelajar-pelajar SDBL sendiri. Perpustakaan ini dibuka pada 10 Mei 1967 dan dirasmikan oleh YB Menteri Pelajaran Malaysia En Khir bin Johari. Pada 1985 perpustakaan atau Pusat Sumber Sekolah ini telah diiktiraf sebagai PSS Contoh Negeri Johor.

Dewan Bentara pula dibina pada tahun 1974 dan dirasmikan oleh Menteri Pelajaran Malaysia Tn Hj Muhammad bin Hj Yaakub. Serentak dengan itu dua lagi makmal sains dan tempat meletak basikal dibina.

Sebuah surau telah dibina mulai 1977 memandangkan kesukaran yang dihadapi oleh pelajar-pelajar khususnya untuk sesi petang. Batu asasnya telah diletakkan oleh Yang Berhormat Encik Jalal bin Hj Bakar, Ahli Parlimen Kawasan Batu Pahat. Surau ini siap dibina pada tahun 1978 untuk kegunaan. Yang Amat Berhormat Tan Sri Muhyiddin Yassin telah merasmikan surau yang dinamakan Surau Al Falah pada hari Ahad 25 Oktober 1987 bersamaan 2 Rabiulawal 1408.

Pada 1979, satu lagi blok bangunan telah dibina untuk menempatkan makmal sains tingkatan enam. Pada tahun 1999 sebuah makmal komputer dibina dan siap untuk digunakan mulai tahun 2000 dan ia dikatakan makmal komputer yang pertama di Malaysia yang dibiayai oleh Kementerian Kewangan atas usaha Tan Sri Dato’ Dr Shamsudin bin Hitam, Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan dan bekas Pengarah Unit Perancangan Ekonomi. Ia dirasmikan oleh Pengarah Pelajaran Johor Tn Hj Senan bin Ibrahim pada 26 September 2002.

Kini sekolah ini mempunyai sebanyak 17 bangunan termasuk satu bangunan 3 tingkat, makmal sukan, makmal sains tingkatan 6, makmal komputer, dewan, pusat sumber dan dua buah surau. Bilangan pelajar secara purata adalah seramai 2000 dengan 110 guru dan 20 kakitangan sokongan. Pengajaran dan pembelajaran dijalankan dalam dua sesi di mana sesi pagi terdiri daripada pelajar-pelajar tingkatan 3 hingga 6 manakala sesi petang terdiri daripada pelajar-pelajar tingkatan 1 dan 2. Kelas-kelas Rancangan Khas dimulakan pada tahun 1999. Kelas-kelas Rancangan Khas dijadikan Kelas Sains Harian di mana pelajar-pelajar dalam kelas ini terdiri daripada pelajar-pelajar yang mendapat sekurang-kurangnya 3A dalam peperiksaan UPSR. Walau bagaimana pun hanya lebih kurang 40% sahaja pelajar-pelajar yang ditawarkan ke Kelas Sains Harian. Selebihnya adalah pelajar-pelajar yang memperoleh pencapaian kurang daripada 3A dalam peperiksaan UPSR. Pada tahun 2003 sekolah ini diberi pengiktirafan sebagai sekolah premier oleh Pegawai Pendidikan Daerah tetapi digugurkan pada 2006 apabila pihak Kementerian Pelajaran membuat penyenaraian semula.

Pasukan beruniform yang ada sekarang sebanyak 10 unit iaitu :

Pasukan Unit Beruniform Kadet Polis di sekolah ini adalah antara 12 pasukan beruniform pertama yang ditubuhkan di Malaysia pada tahun 1970.

Pasukan Kadet Remaja Sekolah (KRS) sekolah ini yang ditubuhkan pada tahun 1996 di sekolah ini juga adalah antara pasukan KRS yang pertama ditubuhkan di Malaysia selepas salah seorang guru sekolah ini iaitu Tn Hj Mohd Shaifuddin bin Abd Ghani berjaya menamatkan latihan asas Jurulatih KRS peringkat kebangsaan pada tahun 1995.

Majalah sekolah “Bentara” edisi pertama diterbitkan pada tahun 1961. Sebanyak 25 edisi Bentara telah diterbitkan semenjak sekolah ini ditubuhkan sehingga tahun 2008.

Dari segi kokurikulum permainan yang menjadi kebanggaan sekolah ini adalah hoki. Pasukan ini telah melahirkan pemain-pemain hoki sehingga ke peringkat antara bangsa dan sering menjuarai pertandingan di peringkat daerah dan negeri.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]