Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist (ACS), Sitiawan

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist (ACS)
Lokasi
Jalan Lin Chen Mei, Kampung Koh, 32000, Sitiawan, Perak Darul Ridzwan
 Malaysia
Maklumat
Jenis sekolahSekolah Menengah Kebangsaan, Sekolah kerajaan
Moto"Veritas Lux Mundi"

(Bahasa Latin)

"Kebenaran Cahaya Dunia"

(Bahasa Malaysia)
Ditubuhkan1903
Nombor sekolah+6056911071
Kod sekolahAEE1026
PengetuaEncik Peter Khiew Wai Mun
Faks+6056926098


Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist (ACS) Sitiawan atau nama ringkasnya SMK Methodist (ACS) Sitiawan, merupakan sebuah sekolah menengah kebangsaan yang terletak di Jalan Lin Chen Mei, Kampung Koh, Sitiawan. Sekolah ini merupakan sekolah pertama yang ditubuhkan di Sitiawan dan merupakan sekolah berprestasi tinggi yang bernombor satu di daerah Manjung. Sekolah ini terletak bersebelahan dengan SK Methodist (ACS) Sitiawan.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Sekolah ini berkongsi sejarah yang hampir sama dengan sekolah rendah ACS Sitiawan, di mana kedua-dua sekolah ini ditubuhkan pada tahun 1903 sebagai sebuah rumah anak yatim dengan empat orang kanak-kanak lelaki dari Singapura. Bangunan asal sekolah ini kini terletak Chung Hua Kung Hui, Kampung Koh. Setahun kemudian premis sekolah ini telah dipindahkan ke tempat bertentangan Pioneer Methodist Church Sitiawan. Di bawah pimpinan residen mubaligh Rev. B.F Van Dyke sekolah ini telah berkembang menjadi Sekolah Perusahaan Sitiawan (Industrial School Sitiawan).

Dr. Shellabear, belas pengetua sekolah ini pada tahun 1910 telah mendirikan sebuah lagi bangunan untuk sekolah. Kemudiannya pada tahun 1916, Rev. W.E. Horley, mubaligh dari Ipoh telah menukar nama asal sekolah kepada Anglo-Chinese School Sitiawan (ACS Sitiawan). Pada asalnya, ACS Sitiawan adalah merupakan sebuah sekolah lelaki seperti mana-mana sekolah ACS di tempat lain di seluruh Tanah Melayu dan Singapura ketika itu, sehinggalah pentadbiran sekolah ini mula menerima pelajar perempuan semenjak tahun 1927. Semasa pemerintahan Jepun, sekolah ini telah digunakan sebagai salah sebuah sekolah Jepun.

Pada tahun 1947, ACS Sitiawan memulakan kelas Sijil Persekolahan (School Certificate) yang pertama. Dua tahun kemudiannya kelas khas untuk pelajar Melayu (Special Malay Class) yang pertama telah dijalankan. Sekolah ini mencatat sejarah apabila menjadi Pusat Peperiksaan Sijil Persekolahan buat kali pertama pada tahun 1955. Setahun selepas zaman kemerdekaan Malaya (1958), pentadbiran sekolah rendah dan menengah telah diasingkan. Kelas bagi pelajar Tingkatan 6 (Sains) mula dibuka pada tahun 1973 dengan bilangan pelajar seramai 24 orang. Pelajar-pelajar ini menduduki peperiksaan High School Certificate (H.S.C) (nama STPM dahulu) sebagai calon pertama sekolah pada tahun berikutnya. Golongan pertama ini berjaya mencatat kelulusan sebanyak 82%. Pada tahun 1977, kelas Tingkatan 6 (Sastera) dibuka selepas perbubaran sekolah swasta Methodist High School (MHS) Sitiawan dan ACS Sitiawan telah mencatat keputusan H.S.C terbaik dalam negeri Perak pada tahun tersebut. Pada tahun 2009, Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist (ACS) memiliki 986 orang pelajar lelaki dan 805 orang pelajar perempuan, menjadikan jumlah keseluruhan murid seramai 1791 orang. Ia mempunyai seramai 123 orang guru.[1]

Kini, ACS Sitiawan merupakan antara sekolah yang terbesar dari segi bilangan pelajar, dari tingkatan satu hingga tingkatan enam atas dan secara konsisten mencapai keputusan akademik di peringkat PT3, SPM dan STPM yang cemerlang di samping mempunyai pencapaian kokurikulum yang giat aktif dalam pelbagai bidang. Sekolah ini juga telah berjaya melahirkan pelbagai tokoh-tokoh yang cemerlang dalam semua bidang.

Akademik[sunting | sunting sumber]

SMK Methodist (ACS) Sitiawan mempunyai sepuluh kelas bagi setiap tingkatan 1, 2 dan 3 bagi peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3). Pada peringkat tingkatan 4 dan 5 yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pula, terdapat sembilan kelas bagi setiap tingkatan dan kelas secara umumnya dibahagikan mengikut jurusan sains dan sastera. Jurusan sains pula dibahagikan kepada kelas Sains Komputer (2 kelas), Prinsip Perakaunan (1 kelas) dan Ekonomi (1 kelas). Jurusan Sastera pula mengambil mata-mata pelajaran seperti Perniagaan, Seni Visual dan Sains Umum.

ACS Sitiawan juga menawarkan kursus tingkatan enam. Pelajar pra-universiti yang akan menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di ACS Sitiawan mempunyai pilihan untuk mengambil jurusan sains dan sastera. Jurusan sains dibahagikan kepada kelas Fizik dan Biologi, manakala jurusan sastera pula dibahagikan kepada kelas kewangan, Bahasa Melayu, Bahasa Cina/Seni dan Sejarah. Sekolah ini merupakan pusat pengajian tingkatan enam yang terbesar di daerah Manjung dan antara dua sekolah yang menawarkan jurusan sains tingkatan enam selain SMJK Nan Hwa Sitiawan.

Sebagai sekolah berprestasi tinggi yang bernombor satu di daerah Manjung, ACS Sitiawan juga menawarkan mata pelajaran seperti Bahasa Cina ,Bahasa Tamil dan Bahasa Jerman sebagai inisiatif untuk memastikan pelajar sekolah dapat menguasai sekurang-kurangnya tiga bahasa, selari dengan harapan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).

Kokurikulum[sunting | sunting sumber]

Antara kelab dan unit beruniform yang wujud di ACS Sitiawan termasuk Pasukan Pancaragam Sekolah (ACS Military Band), Briged Putera (Boys' Brigade 2nd Company Manjung), Pengakap (Scouts 01' Manjung), Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM), Kadet Remaja Sekolah (KRS), Kadet Polis, Briged Puteri, Pandu Puteri dan Puteri Islam. Pasukan Pancaragam sekolah ini merupakan pancaragam pertama di Daerah Manjung hasil inisiatif bekas pengetua En. Moses Tay pada tahun 1974. Bagi pelajar tingkatan enam pula, aktiviti kokurikulum mereka berjalan secara berasingan dengan pelajar aliran perdana (tingkatan 1 hingga tingkatan 5), tetapi secara keseluruhannya senarai aktiviti kokurikulum yang ditawarkan untuk mereka adalah hampir sama dan pelajar tingkatan enam adalah di bawah pimpinan kelab Induk (Sixth Formers Society), di mana fungsi mereka adalah hampir sama dengan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar di peringkat matrikulasi.

Sekolah ini mempunyai kumpulan pancaragam yang pertama ditubuhkan di daerah Manjung oleh bekas pengetua En. Moses Tay pada tahun 1974. Pancaragam sekolah ini telah terlibat dengan pelbagai aktiviti seperti pertandingan kawad berformasi, perbarisan jalanan dan pertandingan orkestra. Di samping itu, sekolah ini juga mempunyai persekutuan pengakap yang pertama di daerah Manjung, maka dengan namanya " 01' Manjung ".

Dari segi kebudayaan pula, sekolah ini mempunyai kelab seperti kelab Interact (Interact Club of ACS Sitiawan) dan Kelab Bahasa Cina (ACS Sitiawan 华文学会). Setiap tahun, kelab Interact telah menganjurkan pelbagai aktiviti seperti mengitar semula bahan terpakai, perkhidmatan mencuci kereta dan karnival terbesar sekolah, Interact Carnival di mana makanan dan minuman dijual serta pelbagai jenis permainan diadakan. Karnival ini biasanya mendapat sambutan meriah dari warga tempatan Kampung Koh. Manakala bagi Kelab Bahasa Cina pula, aktiviti kebiasaannya dilakukan termasuklah pertandingan menulis kaligrafi, persembahan Tahun Baru Cina, konsert tahunan Tahun Baru Cina dan konsert tahunan Perayaan Musim Luruh. Persembahan-persembahan yang biasanya ada dalam konsert tahunan mereka termasuklah 24 gendang Cina, tarian tradisional dan modern serta skit jenaka.

ACS Sitiawan juga mempunyai sebuah lembaga multimedia, Editorial Board of The Loyal Pioneer yang khususnya untuk menghasilkan majalah sekolah, The Loyal Pioneer semenjak tahun 70-an. Ahlinya terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah dan majalah ini akan diedarkan kepada warga sekolah dan juga kepada alumni yang baru bergraduan dari tingkatan lima dan tingkatan enam atas. Majalah ini ada diedarkan dalam bentuk kulit keras atau kulit lembut.

Prasarana[sunting | sunting sumber]

SMK Methodist (ACS) Sitiawan mempunyai sebanyak 35 buah bilik darjah untuk semua pelajarnya. ACS Sitiawan mempunyai dua buah dewan, dewan besar (Dewan ACS II) yang dilengkapi dengan penyejuk udara dan dewan auditorium yang terletak di tingkat bawah bangunan Ir. Ling Leong Choong. Di tingkat atas pada bangunan yang sama terletakknya makmal komputer yang mempunyai kelengkapan perisian seperti program pengaturcaraan Python. ACS Sitiawan juga mempunyai sebuah bilik Frog yang menggunakan pelajaran hibrid (fizikal dan atas talian) melalui penggunaan teknologi seperti Chromepad. Bilik Frog ini merupakan inisiatif bekas pengetua En. Ding Kong Leong. Selain itu, ACS Sitiawan mempunyai empat buah kantin yang dikendalikan oleh penjual yang berbilang kaum dan juga mempunyai sebuah koperasi sekolah untuk pelajar membeli makanan ringan, buku-buku, alat tulis, dan pakaian sekolah seperti baju sukan, lencana dan tali leher. Sekolah ini juga mempunyai pusat sumber yang dilengkapi pendingin hawa dan mempunyai buku-buku fiksyen, bukan fiksyen dan buku rujukan bagi semua peringkat aliran perdana dan aliran tingkatan enam.

Bagi memenuhi keperluan pelajar dari segi kokurikulum pula, ACS Sitiawan mempunyai gelanggang tenis, gelanggang berbumbung bola keranjang, gelanggang bola tampar , gelanggang badminton yang terletak di Dewan ACS II dan gelanggang sepak takraw. Sekolah ini mempunyai sebuah padang besar yang dikongsi bersama sekolah rendah ACS di mana kebiasaanya padang ini digunakan untuk hari sukan tahunan atau latihan seperti latihan olahraga, latihan perbarisan ataupun latihan bola sepak. Di samping itu, sekolah ini mempunyai sebuah padang di tengah kawasan sekolah yang dipanggil ACS Green yang berfungsi sebagai kawasan latihan pancaragam sekolah.[2]

Pencapaian[sunting | sunting sumber]

SMK Methodist (ACS) Sitiawan pernah dinamakan sebagai sekolah bertaraf Lima Bintang oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Ia juga mendapat tempat pertama dalam kategori makmal/bilik komputer terbaik peringkat negeri Perak pada tahun 2017. Sekolah ini juga merupakan pertama yang menjalakan Kelas Dual Language Program (DLP) di daerah Manjung.

Pancaragam sekolah ini telah bergiat aktif dalam aktiviti seperti pertandingan Perak State Marching Formation Competition dari tahun 2000 hingga 2009 di Stadium Perak, Ipoh, di mana pasukan ini pernah memperoleh anugerah best drum major semasa pertandingan formasi peringkat daerah pada tahun 2006 yang berlangsung di padang besar ACS Sitiawan. Pasukan pancaragam ini juga mendapat pingat perak dalam pertandingan Malaysia National Band Competition (NATCOMP) peringkat negeri yang berlangsung di SMJK Shing Chung, Sungai Siput pada tahun 2012. Pasukan pancaragam ACS juga pernah membuat konsert kolaborasi dengan Bethel Wind Symphony Orchestra dari Amerika Syarikat pada tahun 2011. Selain itu, pasukan pancaragam ini juga telah menyertai National Wind Orchestra Competition (2013) dan National Wind Orchestra Festival (2014) anjuran Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan memperoleh pingat gangsa di peringkat kebangsaan. Di samping itu juga, pasukan pancaragam ACS Sitiawan telah terlibat pada tahun 2014, 2018 dan 2019 dalam perbarisan penyambutan Lumut sebagai bandar tentera laut anjuran TLDM semasa hari terbuka tentera laut. Pada tanggal 31 tahun 2020, ACS Military Band telah memperoleh pingat perak dalam Pertandingan Perarakan Pancaragam sempena Hari Kemerdekaan ke-63 peringkat kebangsaan. Pertandingan ini berlangsung secara atas talian di mana pasukan-pasukan pancaragam sekolah serata negara telah memuat naik persembahan perarakan mereka di laman sesawang Facebook Marching Band Malaysia Championship.

Di samping itu juga, pelajar-pelajar ACS Sitiawan juga bergiat aktif dalam aktiviti-aktiviti lain, seperti menyertai Langkawi International Regatta, pertandingan pelayaran peringkat kebangsaan, bola sepak, badminton, taekwondo, catur, olahraga, perdebatan bahasa Inggeris, pengucapan awam dalan bahasa Inggeris, merentas desa dan silat. Pada tahun 2015, seorang pelajar mencatat sejarah sekolah di mana beliau telah memberikan pengucapan awam menghadap sultan Perak, Sultan Nazrin Shah. Pada tahun 2017 pula, dua orang pelajar telah berjaya mewakili Manjung dalam pertandingan merentas desa peringkat Negeri untuk kali pertama di dalam sejarah sekolah ini.Selain itu pasukan Taekwondo ACS Sitiawan pernah menyertai beberapa pertandingan peringkat negeri seperti Kejohanan Taekwondo antara Sekolah Perak,National Game dan SUKMA.Di samping itu juga,Pasukan Taekwondo ACS Sitiawan pernah membawa balik empat pingat emas. Pada tahun 2022 pasukan Taekwondo ACS Sitiawan telah telah berjaya membawa balik pingat dan berjaya menjadi juara taekwondo untuk tiga kali berturut-turut tanpa kalah.

Alamat Sekolah[sunting | sunting sumber]

Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist (ACS)
Jalan Lin Chen Mei
32000, Sitiawan, Perak,
Malaysia
Telefon : +6056911071
Faks  : +6056926098

Pautan[sunting | sunting sumber]