Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Ehsan

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Ehsan
Ditubuhkan Januari 1979
Dirasmikan 18 Januari 1985
Jenis Sekolah menengah kebangsaan, Sekolah kerajaan
Kod sekolah BEA7604
Lokasi Kepong,Gombak, Selangor,  Malaysia
Nama singkatan SMKTE
Telefon 03-62762618
Faks 03-62755767


Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Ehsan atau nama ringkasnya SMK Taman Ehsan, merupakan sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan yang terletak di Kepong, Selangor.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

SMK Taman Ehsan dahulunya dikenali dengan nama Sekolah Menengah Rendah Desa Jaya dan menumpang di bangunan Sekolah Menengah Kepong Baru, Kuala Lumpur. Namun pada 3 Januari 1979 SMKTE telah mula dikenali sebagai nama Sekolah Menengah Taman Ehsan. Peringkat permulaan diasaskan oleh Encik Joseph Lopez (1.1.79 - 31.12.83) bersama-sama kakitangan yang gigih untuk mewujudkan sebuah "tapak semaian" yang kukuh dan berdisiplin. SMTE mula menapak dengan 6 buah kelas (5 kelas peralihan, 1 kelas tingkatan 1), 9 orang guru, 227 orang murid, 3 orang kakitangan bukan guru dan seorang pembantu makmal. Semua pelajar belajar di sesi petang sahaja. Kerusi dan meja pelajar hanya dibekalkan oleh pihak Kementerian pada pertengahan bulan Februari 1979.

Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMTE ditubuhkan pada 26.5.1979 dan Mesyuarat Agung PIBG yang pertama telah diadakan pada 31.5.79, di bilik guru. Turut hadir dalam mesyuarat ini ialah Ahli Parlimen kawasan Kepong, Dr. Tan Tiong Hong dan Senator Tuan Haji Ibrahim Haji Yaacob. Pada 1.12.80, pihak jabatan telah menghantar seorang kerani untuk melicinkan kerja-kerja perkeranian. Pada tahun 1981, pihak JKR telah membina bangunan kayu sementara yang mengandungi 4 buah kelas yang membolehkan sebahagian kecil pelajar dapat bersekolah di sesi pagi.

Tahun 1981 merupakan tahun pertama sekolah ini mula menghasilkan calon-calon peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP). Keputusan yang dicapai adalah 64%. Pada tahun 1982, sekolah ini dipindahkan ke kawasan Taman Ehsan dan lahirlah Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Ehsan, Kepong, Selangor. Jumlah pelajar adalah sebanyak 968 orang dan guru pula 34 orang. Pada tanggal 1 Januari 1984, kepimpinan SMKTE telah bertukar tangan kepada Encik Kevin De Souza (1.1.84 - 1.1.86). Pelajar-pelajar mula menduduki peperiksaan SPM buat kali pertama pada tahun 1984 dan mencapai keputusan 51.1%.

Sepanjang tempoh perkhidmatannya SMKTE telah berjaya membeli 10 buah komputer, menjalankan kursus Penggunaan Komputer, mewujudkan bilik APD, dan memasang sistem alat pembesar suara. Pada tahun 1985, SMKTE berjaya meraih gelaran Johan dalam pertandingan kantin di antara sekolah-sekolah daerah Gombak, dan memperoleh tempat ketiga dalam pertandingan peringkat negeri Selangor. Seorang pelajar SMKTE, Susana Jamian telah menjadi johan dalam pertandingan Mengarang Surat Asean Belia 1985, manakala Premjit Kaur telah dipilih untuk menyertai Projek Pertukaran Belia ke SMKTE pada tanggal 18 Januari 1985.

Pada 18 Januari 1985, sekolah ini telah dirasmikan oleh Datuk Abdullah bin Ahmad Badawi, Menteri Pelajaran Malaysia dalam satu upacara gilang gemilang.

Selain itu, bangunan sementara yang mengandungi 8 buah kelas telah sedia digunakan dan bilik-bilik seperti seni lukis, kaunseling, bilik gerakan dan sukan telah diwujudkan. Tempat-tempat seperti kawasan perhimpunan bitumen, tempat letak basikal dan gelanggang bola tampar turut dibina. Pejabat sekolah juga telah diubah suai. Sekolah ini juga buat pertama kalinya telah menjadi Pusat Peperiksaan Perdagangan Malaysia bagi calon-calon persendirian. Selain memberi sumbangan ke arah kecemerlangan akademik dan kokurikulum, En. Kevin juga turut mencipta lagu sekolah manakala seni kata lagu tersebut disusun oleh Pn. Siti Jaharah Yeop.

Setelah genap 2 tahun En. Kevin berkhidmat, SMKTE didatangi oleh seorang pengetua yang baru iaitu Encik Robert Pachymuthu (1.3.86 - 31.7.91). Sepanjang perkhidmatan Encik Robert, SMKTE pernah menduduki tempat ke-8 daripada 135 buah sekolah di Selangor dalam peperiksaan SPM 1987. SMKTE juga cemerlang dalam bidang kokurikulum khususnya hoki dan pernah meraih gelaran Naib Johan dalam Kejohanan Hoki Juara 1989, projek pembinaan tambahan 3 blok dan makmal sains tulen dilaksanakan dan siap sepenuhnya pada bulan Jun 1991. Pada tanggal 31.7.91, En. Robert telah bersara daripada arena pendidikan dan telah digantikan oleh Tuan Haji Abdul Azis Mohd Nor pada 21.4.92. Pada 1.1.92, sebuah blok segera yang mempunyai 4 buah kelas telah siap dibina dan sedia untuk digunakan. Sebuah bilik kebal juga telah dibina dan mula beroperasi pada bulan Jun 1933.

Sejak kedatangan Tuan Haji Abdul Azis ke SMKTE, pelbagai pembaharuan dan kemajuan telah dicapai terutamanya tentang keceriaan. Wajah SMKTE semakin berubah dan bertambah gemilang. Di antara blok A dan C, terdapat sebuah kawasan perhimpunan. Beliau juga telah mengubah suai pejabat dan bilik pengetua, mewujudkan bilik rehat guru dan memasang permaidani di perpustakaan dan di pejabat.

Setelah melalui zaman gemilang dan jatuh bangun dalam arena pendidikan, SMKTE kini masih teguh dengan kepimpinan Puan Hajah Dahniar binti Nawawi yang merupakan Pengetua Cemerlang DG54. Bersama-sama visi dan misi beliau telah berjaya membawa SMKTE ke satu tahap yang boleh dibanggakan bukan sahaja dalam bidang kurikulum tetapi juga koakademik. Selain dibantu oleh barisan pentadbir yang berkaliber dan berpengalaman, SMKTE juga telah mempunyai jumlah pelajar yang ramai di samping menawarkan aliran sekolah perdana, peralihan, tingkatan enam dan juga sekolah integrasi pendidikan khas.

Alamat[sunting | sunting sumber]

Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Ehsan
Kepong
Selangor, Malaysia
Telefon = 03-62762618
Faks = 03-62755767

Pautan luar[sunting | sunting sumber]