Sekolah Menengah Kebangsaan Three Rivers

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Sekolah Menengah Kebangsaan Three Rivers
Moto Mind, Body & Spirit
Jenis Sekolah menengah kebangsaan, Sekolah kerajaan
Pengetua En. Aseng Kuman
Penolong Kanan Pentadbiran dan Akademik Pn. Rahmah Binti Junaidi
Penolong Kanan Hal Ehwal Murid En. Raymond Enyau Blidis
Penolong Kanan Kokurikulum Hjh. Saniah Binti Merzuki
Kod sekolah YEE3401
Lokasi  Malaysia D/A Pejabat Pelajaran Daerah Mukah96400, Mukah,, Sarawak Bumi Kenyalang, Malaysia
Nama singkatan TRS
Telefon 6084871240
Faks 6084873931


Sekolah Menengah Kebangsaan Three Rivers atau nama ringkasnya SMK Three Rivers, merupakan sebuah Sekolah menengah kebangsaan yang terletak di D/A Pejabat Pelajaran Daerah Mukah.

Pada 2009, Sekolah Menengah Kebangsaan Three Rivers memiliki 397 pelajar lelaki dan 564 pelajar perempuan, menjadikan jumlah keseluruhan murid seramai 961 orang. Ia mempunyai seramai 95 orang guru.2009

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Sejarah Sekolah Menengah Kebangsaan Three Rivers bermula pada awal tahun 60an. Sejak diasaskan pada tahun 1961 oleh Kerajaan Kolonial British, SMK Three Rivers telah menjadi salah sebuah sekolah terbaik dan terkenal di negeri Sarawak. Pelajar rintis seramai 33 orang adalah pelajar yang datang dari Daerah Mukah, Matu, Igan, Oya, Paloh dan Balingian. Mereka ditempatkan di dua buah lokasi yang berasingan. Mereka yang berada di Kelas Peralihan ditempatkan di Dewan Perniagaan Cina manakala mereka yang berada di Tingkatan Satu ditempatkan di Kelab Belia Mukah.

Encik Thomas Bazely, seorang guru di bawah Rancangan Colombo (Colombo Plan) dari Australia adalah pengasas dan merupakan pengetua pertama SMK Three Rivers. Beliau telah dibantu oleh tiga orang guru berbangsa Cina iaitu Kuan Ik Hong, S.M.Mong dan Arthur Chiew. Mereka telah bersama-sama membantu membawa bimbit-bimbit kejayaan kepada SMK Three Rivers.

Pada tahun 1962, SMK Three Rivers hanya mempunyai beberapa buah bilik darjah, makmal sains, asrama, kuarters guru dan satu taman permainan. Sebuah bangunan baru telah dibuka dengan rasminya pada bulan Julai 1962 oleh Pengarah Pelajaran ketika itu, Encik Dickson. Pada tahun yang sama, Chester Tesarowski, seorang guru di bawah Pelan Colombo dari Kanada telah mengambil alih tempat Encik Thomas Bazely.

Pada tahun 1963, sebuah zoo mini telah dibina sebagai penambahan kepada barisan bangunan yang lain yang melengkapkan SMK Three Rivers. Zoo yang dihiasi dengan pokok bunga dan pokok-pokok yang lain itu adalah antara projek yang telah dibina oleh pelajar untuk mencipta satu ruang atau persekitaran yang hidup dan kondusif. Pelajar Rintis yang ketika itu dalam Tingkatan Tiga telah pertama kali menduduki peperiksaan Sarawak Junior Certificate (SJC) di SMK Three Rivers. Pada penghujung tahun berkenaan, sekolah telah mengadakan Hari Graduasi dan Majlis Penyampaian Hadiah. Pada tahun 1963 juga Mutiara, majalah sekolah telah mula muncul.

Tahun 1964 dan 1965 merupakan tahun yang membawa banyak detik manis buat SMK Three Rivers. Banyak projek telah diimplimentasikan untuk memenuhi keperluan pelajar. SMK Three Rivers telah mencapai kelulusan 100% dalam peperiksaan awam Sarawak Junior Certificate. Apabila pelajar mula mengorak langkah memasuki Tingkatan Empat, sesi pembelajaran untuk Tingkatan Empat pun mula dilaksanakan.

Dua peristiwa berlainan tetapi signifikan dengan sekolah menjadi catatan dalam sejarah SMK Three Rivers berlaku pada tahun ini. Peristiwa ini menambah kegirangan dan kebanggaan pada sekolah dan juga pelajar. Peristiwa paling bersejarah ialah apabila Timbalan Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Allahyarham Tun Abdul Razak telah melawat SMK Three Rivers.

Seiring dengan waktu taman bunga di tepi kolam ikan sekolah dibina, warga sekolah amat gembira apabila seorang ahli perniagaan telah menghadiahkan sekolah dengan seekor kuda yang diberi nama Mr. Crocodile.

Pada tahun 1966, Encik Ferguson yang juga berasal dari Kanada telah mengambil alih tugas Encik Chester Tesarowski sebagai Pengetua. Kumpulan perintis Tingkatan Lima memulakan sesi pembelajaran mereka pada tahun tersebut juga. Empat tahun kemudian, Encik Ferguson kemudiannya diganti oleh Encik Paul Ngui, yang merupakan Pengetua daripada golongan orang tempatan yang pertama.

SMK Three Rivers menjadi satu kuasa besar yang baru dalam arena sukan di Sibu, yang pada ketika itu dipanggil Bahagian Ketiga antara tahun 1967 sehingga 1970. SMK Three Rivers Berjaya merangkul kejayaan dalam hampir semua bidang sukan. Sekolah telah mencatatkan kemenangan yang sangat membanggakan. Sekolah turut mendominasikan kejayaan, terutamanya dalam kejohanan olahraga dan bola keranjang peringkat bahagian. Dua orang pemain bola keranjang SMK Three Rivers telah dipilih untuk mewakili Sibu ke peringkat negeri.

Ketika SMK Three Rivers mencatat kecemerlangan dalam arena sukan, pada masa yang sama beberapa perubahan juga berlaku di sekolah. Sekolah telah berkembang dengan pesat di mana dewan makan telah diperbesarkan untuk menampung jumlah pelajar asrama yang semakin bertambah. Di samping itu, pembinaan makmal sains baru dan 14 buah bilik darjah juga dilaksanakan. Pelajar sekolah ketika itu telah meningkat kepada 515 orang sementara jumlah kakitangan akademik bertamah kepada 20 orang.

Pada tahun 1970-an, SMK Three Rivers mengalami pertukaran Pengetua secara berturut-turut. Encik Lim Ah Lek mengambil alih tempat Encik Paul Ngui dan kemudiannya digantikan pula oleh Encik Edward Chieng pada tahun 1974. Encik Tang Nguong Sam pula menjadi Pengetua pada tahun 1976 dan pada tahun 1977 jawatan Pengetua digantikan dengan Encik Ang Tien Tze dan seterusnya digantikan lagi oleh Encik Bujang Hadzri Haji Ulis. Encik Yusof Samat pula menggantikan Encik Bujang Hadzri apabila Encik Bujang Hadzri meletak jawatan dan dipilih untuk menjadi Ahli Dewan Rakyat bagi kawasan Simunjan.

Pada tahun 1975, dua sesi persekolahan telah dimualakan untuk menampung keperluan pelajar yang semakin bertambah. Dua tahun kemudian, seramai 36 orang pelajar Tingkatan Lima telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Kuching. Lawatan ini merupakan lawatan sambil belajar ke luar kawasan Mukah yang pertama yang diadakan oleh sekolah.

Pada tahun 1978, majalah sekolah The Pearl telah diberi nama baru iaitu Tiga Dimensi, sejajar dengan cogan kata Mind, Body, Spirit yang menjadi tunjang dan harapan para pelajar SMK Three Rivers. Pada tahun 1979, Encik Kang Siew Hai telah meletak jawatan sebagai guru di sekolah setelah mengajar selama 16 tahun di SMK Three Rivers. Pada tahun yang sama, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Three Rivers telah ditubuhkan di sekolah untuk menghubungkan sekolah dengan masyarakat luar.

Sekolah juga telah memperkenalkan Compulsory Sport Scheme (Skim Sukan Wajib) yang mewajibkan para pelajar memilih bidang sukan pilihan mereka sendiri. Para pelajar diperuntukkan satu sukan atau permainan pada satu minggu manakala minggu yang lain pula ditukar dengan sukan atau permainan yang lain. Fokus utama skim ini ialah untuk membolehkan seseorang pelajar itu benar-benar mengenali dan menguasai kemahiran sesuatu permainan serta meningkatkan standard bermain agar prestasi dan mutu sukan di SMK Three Rivers terus mencapai tahap kualiti yang tinggi.

Tahun 1980an adalah satu lagi era gemilang buat SMK Three Rivers kerana pada sepanjang dekad ini, pelbagai kejayaan dan kecemerlangan dicapai oleh SMK Three Rivers. Sekolah mempunyai dua sesi pembelajaran, di mana pelajar Tingkatan Empat dan Lima menuntut pada sesi pagi manakala pelajar Tingkatan Satu, Dua dan Tiga belajar pada sesi petang. Encik Kipli Abdullah telah dilantik menjadi Penyelia Petang ketika itu. Sekolah telah menyertai Pertandingan Bola Sepak Emas Yayasan Sarawak. Pasukan senior sekolah telah mendapat Naib Johan manakala pasukan junior pula mendapat tempat ketiga.

Tahun berikutnya, sekolah yang di bawah pimpinan Encik Mortadza Haji Alop telah mendapat kedudukan ketiga terbaik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sarawak. Di samping memberi perhatian kepada aspek akademik, keperluan rohani pelajar juga diitikberatkan pleh pelajar, guru dan kakitangan sekolah. Sehubungan itu, warga sekolah telah bergotong-royong membina sebuah suaru untuk kegunaan para pelajar Islam menjalankan ibadah harian mereka. Tangki air baru juga dibina.

Bagi melengkapkan kemudahan prasana sekolah, sebuah kantin baru telah dibina sekitar tahun 1982. Pada tahun yang sama, sekolah telah memperoleh seekor lembu yang diberi nama Bujang. Ketika itu juga, majalah sekolah telah berubah corak kepada bentuk album.

Projek pembinaan yang lebih rancak telah dilaksanakan antara tahun 1984 dan 1985 untuk memenuhi keperluan yang semakin bertambah di samping menyediakan kemudahan serta persekitaran tempat belajar yang lebih kondusif. Semua projek tersebut telah diselaraskan oleh pengetua baru, Drs. M. Ibrahim Shah serta penolongnya Encik Ridwan Othman. Gelanggang badminton sekolah telah dinaiktarafkan menjadi Dewan Badminton yang siap sepenuhnya pada tahun 1984.

Setelah Dewan Badminton siap dibina, beberapa projek lain pula menyusul. Pagar baru sekolah dan Dewan Ping Pong di bawah kelolaan Encik Arthur Chang dengan bantuan guru-guru lain serta pelajar juga siap dibina. Pada tahun 1985, banyak projek kilat dilaksanakan termasuk pembinaan makmal baru, bilik khas bagi Pusat Sebaran Pendidikan dan beberapa blok asrama. Setelah semua projek pembinaan tersebut siap, barulah sekolah mampu melaksanakan satu sesi persekolahan.

Setahun berikutnya iaitu pada tahun 1986, Drs. M. Ibrahim Shah telah ditukarkan ke SMK Tun Abang Haji Openg di Kuching. Tempat beliau telah digantikan oleh Encik Bedui Une, seorang nazir sekolah dari Bahagian Keempat ketika itu. Encik Bedui telah memperkenalkan Merit and Demerit System (Sistem Merit dan Demerit). Sistem ini bertujuan untuk meningkatakan mutu dislipin pelajar dan sebagai langkah menjaga reputasi sekolah. Beberapa projek lain juga dilaksanakan pada tahun tersebut seperti pameran Shell Suitcase, Kempen Kewarganegaraan dan Minggu Orientasi Tingkatan Satu dan sebagainya. Satu daripada projek yang yang member kesan kepada sekolah ialah ketika sekolah mengadakan Jubli Perak secara besar-besaran pada 25 Oktober 1986.

Pada sekitar bulan Disember 1987, Encik Bedui Une ditukarkan ke Jabatan Pendidikan Bahagian Sibu dan tempat beliau digantikan oleh Encik Sahdi Ken bin Kifli. Pada tahun 1988, sebuah flat guru telah siap dibina. Sebuah stadium mini juga didirikan di tapak padang lama bersebelahan dengan Lapangan Terbang Mukah. Walaupun padang tersebut tidak berada di dalam kawasan sekolah, para pelajar dibenarkan untuk menggunakan trek balapan. Dalam tahun yang sama, asrama Rejang ditutup kerana keadaannya yang sudah terlalu uzur.

Sekolah memasuki gerbang 1990an. Dekad ini adalah era perubahan dan pembangunan pesat bagi SMK Three Rivers, Pada tahun 1990, sekolah menerima satu lagi projek besar iaitu projek pembinaan bangunan baru yang telah menelan belanja RM 3.9 juta. Projek yang dibahagikan kepada tiga fasa ini mencapai sasaran untuk siap dibina dalam tempoh 15 bulan. Fasa Pertama meliputi pembinaan tiga blok asrama dan satu blok tiga tingkat untuk proses pembelajaran telah siap dibina pada 22 September 1992.

Fasa Kedua yang meliputi makmal, dewan makan, tandas lelaki, tandas perempuan, kantin dan tempat letak basikal telah siap dibina pada pertengahan tahun 1993. Fasa Ketiga pula yang terdiri daripada dewan baru, asrama perempuan dan surau telah siap dibina pada awal tahun 1994. Pada bulan Jun 1992, SMK Three Rivers menerima Pengetua baru, iaitu Cik Yong Oi Lin yang merupakan Pengetua wanita pertama di SMK Three Rivers. Cik Yong mengambil alih tugas Encik Sahdi Ken yang ditukarkan ke Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS).

Pada tahun 1993, Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan format baru Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM) telah diperkenalkan bagi menggantikan peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP). Hal ini sekaligus menyebabkan pertukaran pada Sijil SPM (Sijil Pelajaran Malaysia). Sijil SPM diperketatkan mengikut syarat baru yang berorientasikan KBSM. pada tahun yang sama, Tingkatan Enam Rendah diperkenalkan. Jumlah tenaga pengajar dan pelajar SMK Three Rivers bertambah secara drastik pada tahun 1994. Ketika ini, sekolah mempunyai 72 orang guru dan 1172 orang pelajar. Ramai di antara pelajar terlibat secara aktif dalam bidang sukan dan aktiviti akademik masing-masing sama ada di peringkat bahagian mahupun di peringkat negeri. Dalam bidang sukan, pelajar SMK Three Rivers telah menunjukkan prestasi tinggi terutamanya dalam bola sepak, sepak takraw dan olahraga serta merentas desa. Para pelajar juga mengambil bahagian dalam pelbagai pertandingan seperti bahas dan sebagainya. SMK Three Rivers pernah muncul juara dalam Pertandingan Pidato Peringkat Bahagian Ketiga dan seterusnya mendapat Naib Johan dalam pertandingan di peringkat negeri Sarawak.

Kenangan manis juga buat SMK Three Rivers apabila mendapat gelaran juara di Bahas Piala Ketua Menteri 1995. Pembahas sekolah ketika itu terdiri daripada Abdul Faizal Abdul Rahman, Suhli Mohammad Kadir, Faridah Dra dan Alexander Edward. Abdul Faizal pula diisytiharkan sebagai pembahas terbaik untuk kali kedua secara berturut-turut. Seiring dengan itu, pasukan MSSM SMK Three Rivers juga mendapat johan dalam Kejohanan Bola Sepak Peringkat Bahagian Sibu.

Pada tahun 1996, SMK Three Rivers dianugerahkan Sijil Kecermelangan Akademik kerana mencapai keputusan cemerlang berdasarkan peratusan pelajar yang mendapat Pangkat 1 dalam peperiksaan SPM. SMK Three Rivers juga merupakan salah sebuah sekolah yang mencatat keputusan cemerlang di peringkat negeri dan pencapaiannya mengatasi peratusan kelulusan peringkat kebangsaan 1999 bagi kategori sekolah luar bandar. Sekolah juga menerima sijil yang sama apabila mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 1999 dengan lebih 40% calon lulus lima mata pelajaran peringkat prinsipal.

Bagi memberangsangkan lagi para pelajar untuk mendapat keputusan cemerlang dalam pembelajaran, sekolah telah menyertai pelbagai program akademik seperti Program Perkhemahan Kecemerlangan Pelajar anjuran Kumpulan Anak-anak Sukarelawan Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang dan sebagainya.

SMK Three Rivers dikenali sebagai sekolah berwatak “Bola Sepak” apabila seterusnya mencapai kemenangan dalam pertandingan bola sepak sekolah-sekolah Kategori Umur Terbuka 2000. SMK Three Rivers telah merangkul tempat johan untuk peringkat bahagian dan peringkat negeri dan seterusnya mewakili negeri Sarawak ke kejohanan peringkat kebangsaan di Negeri Sembilan.

Pada tahun yang sama, iaitu 2000, SMK Three Rivers mula memasuki era digital apabila dipilih sebagai Sekolah Bestari di bawah rancangan pembangunan Kementerian Pendidikan Malaysia. Pelbagai peralatan Infrastruktur Teknologi (IT) telah dibekalkan ke sekolah sejak tahun 2000. Sekolah mula menggunakan Sistem Pengurusan Sekolah Bestari di tahap sederhana aktif. Para pelajar dan guru mula mengenali secara lebih dekat tentang dunia ICT.

Tahap kemahiran penggunaan peralatan IT termasuk penggunaan internet sebagai sumber luaran untuk proses pengajaran dan pembelajaran semakin meningkat. Warga sekolah semakin peka dengan penggunaan peralatan infrastruktur teknologi untuk memudahkan kerja. Para pelajar pula mula berjinak dengan pertandingan-pertandingan yang dianjurkan secara atas talian seperti pertandingan membina laman web dan reka cipta Intel di peringkat kebangsaan. Ekoran daripada itu, satu pasukan SMK Three Rivers telah menyertai pertandingan membina laman web anjuran Telekom Smart School (getcybered.com) dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia khusus untuk sekolah bestari. Pasukan sekolah telah disenaraikan sebagai antara Sepuluh Terbaik (Top Ten). Setelah bertungkus-lumus melalui tiga peringkat penyediaan laman web “Kebudayaan Kaum Melanau di Negeri Sarawak”, pasukan sekolah yang terdiri daripada Desmond Sim, Ahmad Faisal Kamaruzaman, Abdul Aziz Brahim dan Anuar Mohammad Noor merasakan bahawa usaha mereka berbaloi apabila dipanggil ke Kuala Lumpur untuk menerima hadiah kemenangan.

Pada tanggal 27 Mei 2000, bekas pelajar-pelajar SMK Three Rivers telah mengadakan satu perjumpaan (gathering) yang berpusat di gelanggang sekolah. Sekitar tahun yang sama, pasukan Pengakap sekolah yang diketuai oleh Cikgu Jol Una telah menyertai Jamboree Pengakap Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Kem Matang, Kuching selama seminggu. Kem ini memberi banyak pendedahan kepada pelajar tentang kemahiran pengakap dan berkommunikasi antara ahli pengakap yang datang dari seluruh negara.

Merentas ke era melanium, SMK Three Rivers banyak dipertanggungjawabkan untuk menganjur pelbagai jenis aktiviti. Sekolah di bawah pimpinan Tuan Haji Rambli Zainudin ketika itu memang aktif menganjurkan beberapa aktiviti kurikulum dan kokurikulum sama ada di peringkat daerah, bahagian mahupun negeri. Pada tahun 2001, SMK Three Rivers telah menjadi tuan rumah bagi Karnival Seni Pendidikan Pencegahan Dadah dan Karnival Sains dan Teknologi untuk Peringkat Bahagian serta Peringkat Negeri. Dalam karnival ini, sekolah telah memenangi beberapa pertandingan yang telah disertai seperti penyediaan buku skrap dan sebagainya. Kemenangan pada peringkat negeri telah membawa seorang pelajar, Malvin Micheal untuk mempertaruhkan buku skrap kerjayanya di peringkat kebangsaan yang telah diadakan di Melaka. Seterusnya, empat orang pemain sekolah telah dipilih untuk menyertai Pesta Permainan Perbatasan antara Pelajar-pelajar Malaysia-Indonesia yang telah berlangsung di Kalimantan Barat.

Pencapaian[sunting | sunting sumber]

Alamat[sunting | sunting sumber]

Sekolah Menengah Kebangsaan Three Rivers
D/A Pejabat Pelajaran Daerah Mukah
96400, Mukah
Sarawak, Malaysia
Telefon = 6084871240
Fax = 6084873931

Pautan luar[sunting | sunting sumber]