Sekolah Menengah Kebangsaan Zaba

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Sekolah Menengah Kebangsaan Za'ba
Jenis Sekolah menengah kebangsaan, Sekolah kerajaan
Kod sekolah NEA1080
Lokasi  Malaysia Jalan Tampin72000, Kuala Pilah,, Negeri Sembilan Darul Khusus, Malaysia
Telefon 6064811040
Faks 6064819232


Sekolah Menengah Kebangsaan Za'ba atau nama ringkasnya SMK Za'ba, merupakan sebuah Sekolah menengah kebangsaan yang terletak di Jalan Tampin.

Pada 2009, Sekolah Menengah Kebangsaan Za'ba memiliki 337 pelajar lelaki dan 157 pelajar perempuan, menjadikan jumlah keseluruhan murid seramai 494 orang. Ia mempunyai seramai 63 orang guru.2009

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Namanya di ambil sempena nama Pendita Za'ba, atau nama sebenarnya Zainal Abidin Ahmad.

Sekolah ini dibuka pada 1 April 1962 dan dikenali dengan nama Sekolah Pelajaran Lanjutan Kuala Pilah. Pada awal penubuhannya, sekolah ini menempatkan pelajar-pelajar yang gagal dalam peperiksaan darjah 6. Ketika itu pelajar-pelajar sekolah rendah diwajibkan menduduki peperiksaan darjah 6 untuk melayakkan diri naik ke tingkatan 1. Tujuan utama penubuhan sekolah ini adalah untuk membolehkan pelajar-pelajar yang tercicir mendapat kemahiran asas seperti vokasional, pertukangan dan kerja tangan. Pelajar-pelajar yang datang dari sekitar pekan Kuala Pilah ini perlu menamatkan kursus dalam masa 3 tahun. Sekolah lanjutan ini diteruskan sehingga 31 Disember 1964.


Pada 1 Januari 1965, fungsi sekolah ini telah berubah menjadi sekolah yang menawarkan aneka jurusan. Peperiksaan Darjah 6 dimansuhkan dan para pelajar dari sekolah rendah akan mendapat tempat di sekolah ini secara automatik. Justeru, nama sekolah ini ditukarkan kepada Sekolah Menengah Rendah Kebangsaan Kuala Pilah. Pelajar-pelajarnya datang dari sekolah rendah yang berhampiran. Ketika itu, sekolah ini terdiri daripada bangunan pentadbiran, kantin, surau, satu blok bangunan kecil di tapak bangunan Kemahiran Hidup Bersepadu sekarang, blok tingkatan 1 dan 2, serta makmal sains.


Pengetua pertama yang berkhidmat di sekolah ini ialah Encik Chang Chong Tak. Pada tahun berkenaan hanya 11 orang guru bertugas di sekolah ini dan 8 buah kelas digunakan untuk pengajaran dan pembelajaran. Kelas-kelas tersebut ialah 3 buah kelas untuk tingkatan 1 (lelaki), 3 buah kelas tingkatan 1 (perempuan), sebuah kelas untuk tingkatan 2 (lelaki dan perempuan) dan sebuah kelas untuk tingkatan 3 (lelaki dan perempuan).


Pada tahun 1967, buat pertama kalinya pelajar-pelajar sekolah ini menduduki peperiksaan Lower Certificate of Education (LCE). Pada 1 Januari 1968 pula, nama sekolah ini ditukarkan sekali lagi kepada Sekolah Kebangsaan Kuala Pilah dan mula menyediakan calon-calon untuk menduduki Malaysia Certificate of Education (MCE).


Untuk mewujudkan identiti bagi sekolah ini, maka Ahli Lembaga Pengelola Sekolah telah memilih nama seorang tokoh bahasa yang juga nasionalis Melayu yang terkenal di Nusantara yang berasal dari Kuala Pilah iaitu Pendeta Za’ba. Dengan persetujuan itu, maka perasmian dan pengisytiharan nama Sekolah Menengah Kebangsaan Za’ba telah dilakukan pada 15 September 1969 dan dirasmikan oleh Datuk Abdul Rahman Yaakub, Menteri Pendidikan Malaysia pada masa itu.


Pada tahun 1990, Sekolah Menengah Kebangsaan Za’ba telah menerima pelajar aliran agama, iaitu pelajar yang terpilih dari seluruh Negeri Sembilan yang telah berjaya dalam Peperiksaan UPSR. Seramai 92 orang pelajar (48 perempuan dan 44 lelaki) telah berjaya dipilih sebagai pelajar perintis aliran agama sekolah ini. Pelajar-pelajar ini telah mengambil peperiksaan SRP pada tahun 1992. Aliran Pengajian Islam telah diperkenalkan kepada pelajar-pelajar tingkatan 4 pada 1993, dan seramai 38 pelajar telah mengambil peperiksaan SPM Pengajian Agama Islam pada 1994. Pada tahun tersebut juga, seramai 117 orang calon sekolah ini telah menduduki SPM dan berjaya mendapat keputusan yang cemerlang dan meningkatkan prestasi sekolah.


Pada tahun 2008, sekali lagi SMK Za’ba berubah identiti. Pengambilan pelajar aliran agama digantikan dengan pelajar sukan. Seramai 80 orang pelajar yang berbakat dalam bidang sukan dipilih untuk memasuki sekolah khas ini. Pada peringkat ini, pengambilan bermula dengan pelajar tingkatan 1 dan pelajar sedia ada yang berpotensi dalam bidang sukan meneruskan pembelajaran masing-masing dalam aliran biasa ataupun agama.


Pada tahun 2009, secara rasminya sekolah ini telah bertukar nama sekali lagi menjadi Sekolah Sukan Negeri Sembilan (SSNS) SMK Za’ba, selepas dinaiktaraf sebagai sekolah sukan negeri. Pada tahun ini juga, bilangan seluruh pelajar sukan bertambah menjadi 100 orang dengan kemasukan pelajar tingkatan 1. Sebagai sekolah sukan, sekolah ini memberi fokus kepada dua bidang sukan yang utama iaitu sukan teras dan sukan pilihan. Sukan teras yang diceburi ialah olahraga, bola sepak, sepak takraw, memanah, bola jaring, badminton, dan kriket. Manakala bagi sukan pilihan pula ialah ragbi, bola baling dan kriket .

Pencapaian[sunting | sunting sumber]

Alamat[sunting | sunting sumber]

Sekolah Menengah Kebangsaan Zaba
Jalan Tampin
72000, Kuala Pilah
Negeri Sembilan, Malaysia
Telefon = 6064811040
Fax = 6064819232

Pautan luar[sunting | sunting sumber]