Sekolah Menengah Sains Tuanku Munawir

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Sekolah Menengah Sains Tuanku Munawir
Moto "Berilmu, Beriman, Berbakti"
Dirasmikan 2002
Jenis Sekolah Berasrama Penuh
Pengetua Tuan Haji Sabuddin bin Haji Sani
Penolong Kanan Pentadbiran dan Akademik Encik Roslie bin Haji Ahmad
Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Encik Norazhar bin Mohd Shah
Penolong Kanan Kokurikulum Encik Mohd Nor bin Shafie
Lokasi Jalan Sikamat, Seremban, Negeri Sembilan, Malaysia
Kemasukan Pelajar Tingkatan 4 dan 5
Nama singkatan SASER
Laman web Laman SM Sains Tuanku Munawir
Telefon (+6)06-7630388
Faks (+6)06-7622885


Sekolah Menengah Sains Tuanku Munawir merupakan sebuah Sekolah Berasrama Penuh yang terletak di Jalan Sikamat, Seremban, Negeri Sembilan. Pada awal penubuhannya sekolah ini diberi nama Sekolah Menengah Sains Seremban, namun pada 8 Mac 2011 nama sekolah ini diganti dan diambil sempena nama Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-9, Tuanku Munawir ibni almarhum Tuanku Abdul Rahman iaitu bapa kepada Yang Di-Pertuan Besar sekarang, Tuanku Muhriz. [1]

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Sekolah Menengah Sains Tuanku Munawir asalnya diberi nama Sekolah Menengah Sains Seremban (SASER) mula ditubuhkan secara rasminya pada Februari 2002. Sekolah ini menggunakan tapak dan bangunan yang ditinggalkan oleh Sekolah Datuk Abdul Razak, Seremban yang mendapat premis baru di Sungai Gadut. Kerja-kerja menaiktarafkan sekolah yang ditinggalkan selama hampir tiga bulan telah dijalankan dan melibatkan kos keseluruhan sebanyak hampir RM600,000. Kerja-kerja ini bermula pada 28 Februari dan siap sepenuhnya pada 30 Mac 2002. Pada 1 Mac 2002, Tuan Haji Azam bin Md Atan telah mendaftar sebagai pengetua pertama Sekolah Menengah Sains Seremban. Kumpulan pertama guru yang mendaftar pada 18 Mac 2002 adalah seramai 11 orang dan kumpulan kedua pula pada 20 Mac 2002 seramai 2 orang.

Sekolah ini dinamakan sebagai Sekolah Menengah Sains Tuanku Munawir pada 8 Mac 2011 sempena nama Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-9, Tuanku Munawir Tuanku Abdul Rahman iaitu bapa kepada Yang Di-Pertuan Besar sekarang Tuanku Muhriz.

Misi[sunting | sunting sumber]

Membangunkan potensi individu yang seimbang dalam pelbagai bidang ilmu dan kemahiran melalui pendidikan berkualiti

Visi[sunting | sunting sumber]

SASER penjana modal insan terbilang menjelang 2020.

Matlamat[sunting | sunting sumber]

  1. Menampilkan iklim sekolah yang selamat dan memberangsangkan bagi melahirkan generasi Malaysia yang sihat, prihatin dan penyayang.
  2. Mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang kondusif dan dinamik.
  3. Melahirkan warga sekolah yang berilmu pengetahuan, beriman dengan ilmu yang diperolehi serta dapat berbakti dengan ilmu tersebut kepada diri dan orang lain.
  4. Melahirkan warga sekolah yang cemerlang dalam akademiknya, berkeperibadian tinggi dalam sahsiahnya, hebat dalam kokurikulumnya, unggul dalam semangat patriotismenya yang dibina berteraskan keagamaan.
  5. Melahirkan warga sekolah yang kreatif, inovatif, kritis serta mempunyai daya saing dan daya tahan yang tinggi.

Infrastruktur[sunting | sunting sumber]

Sekolah ini mempunyai 4 blok bangunan utama di samping sebuah blok bangunan makmal sains, sebuah dewan besar (Dewan Putera), kantin sekolah, 4 blok bangunan asrama serta sebuah dewan makan.

Pada awal penubuhan, hanya terdapat 6 buah kelas diwujudkan (Beta, Delta, Epsilon, Gamma, Omega, Sigma) untuk Tingkatan 4 2002 dan Tingkatan 5 2003 memandangkan bilangan pelajar-pelajar sulung yang agak sedikit. Pengambilan pelajar-pelajar batch ke-2 dan seterusnya yang semakin ramai menyebabkan 4 lagi kelas diwujudkan (Alfa, Iota, Theta, Zeta). Kelas-kelas elit telah diwujudkan pada tahun 2002 dan pernah melibatkan pelajar-pelajar ambilan 2002 dan 2003 namun dibubarkan selepas itu.

4 blok bangunan asrama 3 tingkat mengasaskan 4 kediaman dan juga menjadi rumah sukan iaitu Merah, Kuning, Biru dan Hijau bagi pelajar-pelajar SASER. Namun nama-nama tersebut telah diubah kepada Tuah, Kasturi, Lekir dan Jebat menjelang 2004.

Pada tahun 2010, sebuah surau baru telah siap dibina. Surau ini cukup untuk menampung bilangan warga saser. Surau lama yang terletak di blok tuah telah dijadikan bilik bacaan.

Pelajar-pelajar terawal[sunting | sunting sumber]

Kumpulan pertama pelajar yang mendaftar tahun 2002 ialah seramai 122 orang pada melalui 2 ambilan. Kumpulan kedua pula yang mendaftar pada tahun 2003 ialah seramai lebih 300 orang melalui 4 ambilan namun sehingga akhir 2004 hanya 284 orang yang kekal.

Pencapaian[sunting | sunting sumber]

  • 2013 - Kedua : Pertandingan Muzik Gamelan Melayu & Caklempong SBP Ke-2 Peringkat Kebangsaan
  • Ketiga : Pertandingan Kawad Kaki KRS Peringkat Negeri
  • Kadet Terbaik Perkhemahan Kadet Remaja Sekolah Peringkat Negeri
  • Johan - Pertandingan Menembak PKBM (LAUT ) peringkat zon Selatan
  • 2012
    • Johan - Pertandingan Muzik Gamelan Melayu & Caklempong SBP Ke-2 Peringkat Kebangsaan
    • Johan - Festival Kesenian & Kebudayaan Sekolah-Sekolah Negeri Sembilan Peringkat Negeri (Randai Kreatif & Caklempong)
    • Johan - Pertandingan Kawad Kaki Kadet Remaja Sekolah (KRS) Peringkat Daerah
    • Johan - Pertandingan Kemahiran Kadet Pertahanan Awam Malaysia (KAPA) Peringkat Daerah
    • Tempat Ke-3 - Pertandingan Kawad Kaki Kadet Remaja Sekolah (KRS) Peringkat Negeri
    • Tempat Ke-5 - Pertandingan Drama Bahasa Inggeris Peringkat Daerah
  • 2011
    • Johan - Pertandingan Muzik Gamelan Melayu & Caklempong SBP Kali Pertama Peringkat Kebangsaan


Pencapaian peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2003 oleh pelajar-pelajar sulung begitu membanggakan kerana berjaya memperoleh Gred Purata Keseluruhan (GPK) 2.3 dengan 19 orang mendapat semua A dalam semua subjek.

Manakala pelajar-pelajar kumpulan ke-2 telah mencapai Gred Purata Keseluruhan 1.93 dan muncul buat pertama kalinya sebagai sekolah paling cemerlang di Negeri Sembilan. Di samping itu, SASER juga mencapai tempat keempat terbaik antara Sekolah Berasrama Penuh.

Kumpulan ketiga pula berjaya memecahkan rekod pencapaian SPM apabila berjaya mencapai GPK 1.74, jauh lebih baik daripada kumpulan kedua. Di kalangan semua Sekolah Berasrama Penuh pula SASER berjaya menempatkan diri di tempat kedua kesuluruhan di belakang KISAS yang juga memperoleh GPK 1.74. Di samping pencapaian keseluruhan yang berjaya menempatkan SASER sebagai sekolah terbaik di Negeri Sembilan, Kumpulan ketiga SASER juga berjaya mencapai tempat pertama di kalangan semua Sekolah Berasrama Penuh melalui pencapaian dalam matapelajaran Matematik Moden dan Matematik Tambahan apabila memperoleh gred purata 1.00 dan 1.67 bagi kedua-dua subjek tersebut.

Putera-putera Saser batch yang keempat telah berjaya melonjakkan nama Saser di tempat teratas di kalangan SBP pada SPM tahun 2006 dengan GPK 1.62.

Tidak terhenti di situ, SASER meneruskan kecemerlangan akademiknya apabila sekali lagi muncul menempatkan diri ditangga pertama dalam kalangan sekolah berasrama penuh dengan GPK 1.56 pada tahun 2007 dan tangga kedua bagi keseluruhan sekolah se-Malaysia hanya dibelakang MRSM Langkawi. Para pelajar dari generasi ke-5 telah membuka mata pihak-pihak yang selama ini meragui keupayaan mereka dengan 78 orang pelajar dari generasi itu memperoleh keputusan yang membanggakan apabila mendapat semua A dalam matapelajaran yang diambil dan 5 orang daripada mereka telah dipilih sebagai pelajar cemerlang SPM peringkat kebangsaan.

Pada SPM tahun 2008, SASER sekali lagi mengungguli kedudukan teratas dalam senarai sekolah berasrama penuh apabila 98 orang pelajar batch yang ke-6 berjaya memperoleh semua A dalam semua matapelajaran dengan GPK 1.612 dan sekali lagi mengangkat nama SASER dipentas pendidikan kebangsaan.

Sudah menjadi tradisi kejayaan sekolah ini apabila SASER telah dinobatkan sebagai Sekolah Terbaik peringkat kebangsaan pada SPM tahun 2009 dengan seramai 132 putera SASER berjaya mendapat semua A dengan PNG sekolah 0.97.Batch ke-7 SASER telah mengekalkan status no 1 SASER di peringkat SBP dan telah menjadi sekolah terbaik peringkat kebangsaan bagi SPM 2009. Dua orang pelajar batch ke-7 telah berjaya mendapat semua A+ dalam semua matapelajaran yang diduduki.

Kecemerlangan SASER bukan saja pada akademiknya malah dari segi kokurikulumnya. Hal ini terbukti dengan beberapa kejayaan cemerlang walaupun usia SASER baru setahun jagung. Pasukan bahas bahasa inggeris yang menyertai piala perdana menteri nyata tidak menghampakan apabila berjaya menjadi johan pada tahun 2006. Pada HKSBP tahun 2007 pula, pasukan bola keranjang SASER berjaya mendapat tempat kedua dalam kalangan seluruh SBP yang menyertai pertandingan tersebut walaupun terpaksa akur dengan pasukan MCKK di peringkat akhir. Antara kejayaan lain yang dikecapi SASER ialah menjadi naib johan pertandingan bola sepak peringkat Negeri Sembilan tahun 2008 meskipun tewas kepada sekolah projek bola sepak negeri sembilan yang juga jiran SASER iaitu Sekolah Tunku Ampuan Durah pada perlawanan akhir.

Senarai pengetua[sunting | sunting sumber]

  • Tuan Haji Azam bin Mohd Atan (Mac 2002 - Dis 2003)
  • Encik Baharuddin bin Burhan (Jan 2004 - Dis 2004)
  • Tuan Haji Mohamad Kamaludin bin Taib (Jan 2005 - Mac 2008)
  • Encik Sabuddin bin Haji Sani (Mac 2008 - sekarang)

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

  1. DYMM Yang Di-Pertuan Besar rasmikan Sekolah Menengah Sains Tuanku Munawir, March 8, 2011