Semangat Padi

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Semangat padi ialah satu kepercayaan bahawa padi itu dijaga oleh satu semangat atau roh. Secara amnya kepercayaan semangat padi adalah sebahagian daripada animisme iaitu kepercayaan bahawa setiap benda mempunyai semangat(roh). Pada konteks ini, penanaman padi merupakan suatu kerja yang melibatkan pelayanan dengan semangat padi. Perhubungan dengan semangat padi dilakukan dengan melalui bermacam-macam upacara dan dengan menggunakan bahasa jampi.

Kepercayaan semangat padi ini merupakan satu kepercayaan kuno yang diwarisi dari zaman animisme, kepercayaan bahawa setiap benda mempunyai semangat yang mengawalnya. Kepercayaan ini terdapat meluas di kalangan kebudayaan yang menanam padi secara turun temurun dan tidak terhad kepada orang-orang Melayu sahaja. Kepercayaan ini kian terhakis di kalangan orang Melayu akibat daripada pendalaman akidah Islam dan juga perkembangan sains dan teknologi. Pada masa kini, kepercayaan terhadap semangat padi semakin pudar dan hanya diamalkan oleh golongan tua sahaja.[1]

Sifat-sifat Semangat Padi[sunting | sunting sumber]

Sesuai dengan sifatnya sebagai semangat, jasmaniah semangat padi adalah samar-samar.Terdapat pelbagai pendapat mengenai bentuk semangat padi, diantaranya adalah seperti berikut:

  1. Berbentuk Perempuan
  2. Ada yang berbentuk perempuan dan ada juga yang berbentuk lelaki
  3. Seperti belalang atau serangga lain
  4. Seperti burung
  5. Seperti pusingan angin

Daripada pendapat-pendapat ini,bolehlah disimpulkan bahawa semangat padi tidak mempunyai suatu bentuk yang identik.Daripada pendapat-pendapat ini, bentuk yang dipunyai oleh semangat padi adalah dalam bentuk “jelmaan” selain daripada bentuk “maya” yang disepertikan sebagai “pusingan angin”.

Nama Semangat Padi[sunting | sunting sumber]

Semangat padi bukan sahaja diberi pendapat yang bermacam-macam mengenai bentuknya bahkan nama yang diberi kepadanya juga bermacam-macam. Nama yang diberi kepada semangat padi bergantung kepada keadaan, tempat dan juga orang yang memanggilnya. Nama-nama yang dipanggil untuk semangat padi adalah seperti berikut:

  1. Anak Sembilan Bulan
  2. Anak Maharaja Cahaya
  3. Si Dang Sari
  4. Si Dang Rupa Seri
  5. Si Dang Seri Tongkat
  6. Si Dang Tatap
  7. Si Dang Yas
  8. Seri Gading
  9. Gemala Dading

Nama-nama yang diberikan kepada semangat padi adalah nama-nama yang berhormat. Gelaran “sidang” atau “tuk sidang” adalah panggilan hormat kepada ketua. Manakala “Seri” merupakan panggilan yang memuliakan raja. “Dang” pula merupakan gelaran kepada wanita yang tinggi kedudukannya. “Gemala” juga membawa maksud yang mulia, ia bermaksud “batu yang bercahaya dan mempunyai hikmat”. Dengan itu,boleh disimpulkan bahawa semangat merupakan kuasa yang dihormati oleh petani Melayu.

Semangat mempunyai perangai seperti manusia.Semangat padi ini mudah tersinggung, terganggu atau terperanjat.Tegasnya ia sangat peka terhadap segala kejadian yang berlaku di sekelilingnya.Secara amnya semangat padi mempunyai sifat lemah-lembut. Dengan itu kekunci dalam kejayaan penanaman padi terletak pada perasaan semangat itu sendiri.Oleh itu terdapat pelbagai upacara yang dilakukan untuk menjaga perasaan semangat padi

Upacara yang berkaitan dengan Semangat Padi[sunting | sunting sumber]

Terdapat pelbagai jenis upacara yang dilakukan oleh petani Melayu dalam penanaman padi.Tetapi upacara yang melibatkan semangat padi yang turut menjadi subjek bagi tugasan ini hanyalah “Istiadat Mengambil Semangat Padi” yang juga disebut sebagai “Upacara Menuai Padi Sulung”.

Upacara ini dilakukan semasa padi memasak dan sebelum kerja menuai diadakan. Amalan upacara ini berbeza-beza mengikut tempat-tempat yang berlainan. Tetapi diantaranya mempunyai pola umum yang sama.

Secara amnya,upacara ini dilakukan oleh pawang dengan menuai sejumlah tangkai padi yang terpilih berdasarkan sifatnya yang istimewa yakni sifatnya yang “tertutup”, tinggi dan subur. Padi ini dikira padat dengan semangat. Bacaan jampi diadakan sempena padi ini dituai. Salah satu contoh bagi bacaan jampi ini berbunyi demikian:

Ni,bapa (ibu atau emak), mari nak beritahu, dua(tiga atau esaok) hari lagi bapa nak datang ambil bawa balik ke rumah,jangan terkejut tergempar apa-apa.”

Daripada bacaan jampi di atas, jelasnya semangat padi itu dilayan dengan penuh hormat lagi sayang. Seterusnya padi ini akan dibawa balik ke rumah dengan berpayung. Apabila padi ini telah sampai ke rumah tuan punya sawah ia akan disambut oleh tuan punya sawah dengan penuh hormat. Selepas itu padi ini simpan dalam bekas yang khas. Pantang menuai selama tiga hari diadakan selepas upacara ini dan kerja menuai mula dilakukan selepas genap tiga hari ini.

Upacara ini dilakuakan sesuai dengan perangai semangat padi yang mudah tersinggung. Bagi menjaga semangat padi, upacara ini dilakukan dengan penuh takzim sebagaimana ia dibawa dengan berpayung dan “dijaga” dalam bekas yang dikhaskan untuknya.

Pantang Larang yang berkaitan dengan Semangat Padi[sunting | sunting sumber]

Bagi mengelakkan semangat padi merajuk, perbuatan yang boleh mengejutkan semangat padi perlu dihindari di kawasan sawah. Dengan itu perbuatan yang boleh mengejutkan semangat padi adalah pantang di kawasan sawah. Di bawah menunjukkan beberapa contoh pantang larang yang tujuan perlaksanaannya adalah demi kesukaan semangat padi:

  1. Pantang menyeberangkan mayat di kawasan sawah.
  2. Pantang melakukan perbuatan keji di kawasan sawah.
  3. Pantang menggunakan sabit semasa menuai padi.
  4. Pantang membuat bising di kawasan sawah.

Kononnya semangat padi akan terkejut dengan mayat. Akibatnya hasil padi berkurang atau tidak menjadi langsung. Bagi mengelakkan apa-apa bencana daripada keadaan ini, mayat dielakan diusung melalui kawasan sawah. Sekiranya ia tidak dapat dielakan, upacara “pemulihan tanah dan tempat dilalui” perlu dilakukan bagi memulihkan semangat padi. Dengan itu keluarga si mati dikenakan “wang pengeras”.

Semangat padi boleh lari ke tempat lain sekiraannya perbuatan keji dilakukan di kawasan sawah. Akibatnya padi menjadi lemah dan terdedah kepada serangan penyakit. Pantang larang ini memenuhi salah satu pola umum dalam alam pemikiran primitif iaitu kepercayaan masyarakat primitif terhadap alam semula jadi sebagai sesuatu yang bersifat peribadi dari segi alam semester itu menekankan keteraturan sosial dan turut memeliharanya. Ini bermaksud alam semula jadi boleh bereaksi ke atas perlakuan moral dalam masyarakat.Kejadian lari semangat yang disebabkan perbuatan keji di kawasan sawah merupakan satu contoh alam semula jadi mencampuri hal-ehwal moral manusia.

Bagi memulihkan semangat padi yang hilang atas sebab perbuatan keji, upacara “bersemah” perlu dilakukan. Upacara bersemah ini bermaksud untuk memanggil balik semangat padi.

Pantang menggunakan sabit semasa menuai padi berasaskan kepercayaan bahawa semangat padi perlu dilayan dengan lemah-lembut. Alat penuai adalah yang paling elok kerana cara ini tidak “menyakitkan” semangat padi.

Buat bising di kawasan sawah juga pantang, terutamanya semasa upacara-upacara dijalankan. Ini adalah kerana semangat padi dipecayai takut kepada bunyi bising.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Senarai Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. Amat Huhari Moain. 1990.Kepercayaan Orang Melayu Berhubung Dengan Pertanian.Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
  • Mohd. Taib Osman.1989.Agama dan Kepercayaan Orang Melayu. Dlm.Masyarakat Melayu, Struktur, Organisasi Dan Manifestasi.Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.Hlm 146-204
  • Ismail Hamid.1988.Masyarakat Dan Budaya Melayu.Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
  • M.Douglas.1966.Alam Pemikiran Primitif. Dlm.Agama Dalam Analisis Dan Interpretasi Sosiologi.Roland Robertson(pnyt). Terj.Fadilah Ali.Hlm 75-102. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
  • Ensiklopedia Sejarah Dan Kebudayaan Melayu.1999.Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
  • Kamus Dewan. 1994. Ed ke-3.Kuala Lumpur.Dewan Bahasa Dan Pustaka.