Shichigahama, Miyagi

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Shichigahama
七ヶ浜町
Town
Lokasi Shichigahama di Miyagi
Lokasi Shichigahama di Miyagi
NegaraJepun
KawasanTōhoku
WilayahMiyagi
DaerahMiyagi
Keluasan
 • Jumlah13.27 km2 (5.12 batu persegi)
Penduduk
 (1 Januari 2011)
 • Jumlah20,396
 • Kepadatan1,500/km2 (4,000/batu persegi)
Zon waktuUTC+9 (Waktu Piawai Jepun)
Laman sesawangTown of Shichigahama
Koloni Takayama dan pantai Azukihama
Perani Kokusaimura
Rumah Plymouth di Kokusaimura


Shichigahama (Jepun: 七ヶ浜町, Hepburn: Shichigahama-machi) ialah sebuah pekan yang terletak di Daerah Miyagi, Wilayah Miyagi, Jepun.

Geografi[sunting | sunting sumber]

Pekan ini terletak di atas semenanjung di tengah Wilayah Miyagi di antara bandar Tagajo di barat dan bandar Shiogama di utara dan timur, dan di sekitar tengah jalan antara Sendai dan Matsushima. Shichigahama adalah petempatan yang paling kecil dari segi keluasan tanah di seluruh kawasan Tōhoku. Iklimnya sederhana berbanding dengan kawasan sekitarnya, dan suhunya tidak banyak berubah-ubah.

Nama Shichigahama bererti "tujuh pantai", dan adakalanya penduduk setempat memanggilnya dengan jolokan bahasa Inggeris "Seven Beach". Nama ini datangnya dari tujuh buah kampung tepi laut asal yang bergabung menjadi pekan ini. Tujuh pantai tersebut adalah: Minatohama (湊浜), Matsugahama (松ヶ浜), Shobutahama (菖蒲田浜), Hanabuchihama (花渕浜), Yoshidahama (吉田浜), Yokasakihama (代ヶ崎浜) dan Toguhama (東宮浜). Selain tujuh pantai ini, Shichigahama juga merangkumi kawasan pedalaman yang didiami sebilangan besar penduduknya. Ini terdiri daripada kawasan perumahan lama, Yogai (要害) dan Toyama (遠山) yang terletak dekat dengan Tagajo dan Shiogama, dan kawasan baru, Shiomidai (汐見台) dan Shiomidai Minami (汐見台南) yang didirikan pada lewat abad ke-20.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Shichigahama mula-mula diduduki seawal zaman Jōmon dalam prasejarah Jepun. Kawasan Shichigahama-Matsushima disangka sebagai pusat tamadun Jepun pada zaman tersebut. Salah sebuah timbunan cangkerang terbesar yang ditemui di Jepun terletak di Muzium Sejarah Jōmon Shichigahama (Daigigakoikaizuka, 大木囲貝塚).

Pada zaman Nara pada abad ke-7, kota jiran Tagajō dijadikan ibu kota Wilayah Mutsu yang menduduki sebahagian besar rantau Tōhoku masa kini. Ketika itu, Shichigahama dicatatkan menghantar sejumlah besar hasil lautan ke ibu kota.

Shichigahama masa kini terbangun apabila tujuh buah petempatan pantai yang membuahkan nama pekan ini bergabung menjadi kampung Shichigahama dirasmikan pada tahun 1889. Kampung ini mencapai taraf pekan pada 1 Januari 1959. Bilangan penduduk bertambah dengan pesat apabila dibangunkannya kejiranan Shiomidai dan Shiomidai Minami pada abad ke-20.

Bencana 2011[sunting | sunting sumber]

Pekan Shichigahama mengalami kemusnahan teruk akibat bencana gempa bumi dan tsunami Tōhoku 2011. Tsunami yang mencapai ketinggian 10 meter ini melanda pekan ini, meranapkan kebanyakan rumah di Shobutahama dan Hanabuchihama, serta menghanyutkan dan merosakkan kebanyakan rumah dan bangunan di kawasan pantai yang lain. Dianggarkan lebih 1,000 buah rumah binasa atau dirosakkan hingga tidak boleh dihuni lagi. Ombak itu mencapai sejauh 2km ke pedalaman, membanjiri padang-padang di hadapan Sekolah Menengah Rendah Koyo sambil menyerakkan runtuhan bangunan dari Shobutahama. Kira-kira 95% sawah padi di pekan ini turut dibanjiri air laut. 90 orang penduduk Shichigahama disahkan maut dalam tsunami ini, iaitu 58 di Shichigahama dan 32 di tempat lain, 6 orang penduduk masih hilang dan 7 orang luar disahkan maut di Shichigahama.[1][2][3]

Pelancongan musim panas[sunting | sunting sumber]

Pekan ini terkenal kerana pantai-pantainya, khususnya Shobutahama yang digemari ramai oleh penduduk seluruh wilayah Miyagi. Pada musim panas, gerai-gerai sementara yang dipanggil Umi no ie (海の家) atau "rumah laut" didirikan di pantai untuk menjual minuman dan mainan pantai.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ 手掛かりひたすら求め 仙台・荒浜 七ヶ浜 東松島 Kahoku Shimpo, 14 Mac 2011 (Jepun)
  2. ^ waiting to hear from Shichigahama friends eye-witness accounts on sister-town website
  3. ^ Martin, Alex, "JET post best, not 'pityfest'", Japan Times, 7 April 2011, p. 3.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

Kategori berkenaan Shichigahama, Miyagi di Wikimedia Commons