Shih tzu

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Shih Tzu)
Shih tzu
Seekor shih tzu dengan lapis bulu pertunjukan lengkap
Nama lainShih-tzu
Anjing kekwa
Negara asalChina
Trait
Berat 4–7.5 kilogram (8.8–16.5 lb)
Tinggi Jantan 20–28 sentimeter (7.9–11.0 in)
Betina 20–28 sentimeter (7.9–11.0 in)
Bulu Lihat seksyen bulu di bawah
Warna
  • Semua warna diizinkan
  • Kerap lapis bulu berbilang warna
  • Keemasan
  • Perang gelap/cerah
  • Hitam
  • Kelabu
  • Hati/putih
Saiz perinduk 2–9 ekor
Anjing (Canis lupus familiaris)

Templat:Infobox Tibetan-Chinese Shih tzu atau shih-tzu[a] ialah satu baka anjing mainan atau anjing peliharaan yang berasal dari Tibet dan percayai dibiakbakakan daripada anjing Peking dan Lhasa apso.

Ia dapat menyesuaikan diri dengan baik terhadap situasi berlainan. Oleh sebab sifat amat berdikarinya, ia tidak dianggap sebagai baka sangat patuh.[1]

Perihal[sunting | sunting sumber]

Seekor shih tzu triwarna (hitam, putih, perang) dengan gaya bulu pertunjukan

Shih tzu ialah anjing kecil tegap dengan muncung kecil dan biasanya mempunyai mata perang gelap besar. Orang Cina telah menggambarkan rupa bentuk kepalanya sebagai "kepala burung hantu" dan "kepala singa" dan mulutnya sebagai "mulut katak".[2] Ia mempunyai lapis bulu ganda lembut dan panjang yang mengusut semudahnya jika tidak diberus sekurang-kurangnya setiap 2 atau 3 hari. Shih tzu patut berdiri tidak lebih tinggi daripada 26.7 cm (10.5 in) pada paras kelasa dan dengan berat unggul 4–7.5 kg (8.8–16.5 lb). Telinga terkelepainya dilitupi dengan bulu panjang dan ekor berbulu lebatnya terangkat secara melingkar ke atas belakangnya. Lapis bulunya mungkin mempunyai sebarang warna, walaupun putih dan dengan takik kelabu kerap terlihat. Salah satu ciri sangat ketara ialah rahang pendek yang diwajibkan dalam piawaian baka.[3]

Etimologi[sunting | sunting sumber]

Namanya berasal daripada perkataan bahasa Cina untuk "singa" kerana jenis anjing ini dibiakbakakan untuk menyerupai "singa, seperti dalam seni oriental tradisional".[4] Baka anjing Peking juga dipanggil 獅子狗, "anjing singa", dalam bahasa Cina. Nama shih tzu ialah perumian Wade-Giles bagi aksara Cina 獅子 ("singa").

Seekor shih tzu betina pada usia sekitar 18 bulan
Seekor shih tzu betina dengan mata berlainan warna

Dalam bahasa Mandarin kontemporari, shih tzu pada umumnya dikenali sebagai "anjing Xi Shi"; Xi Shi dianggap sebagai salah seorang wanita tercantik di China purba. Shih tzu digelar sebagai "anjing kekwa" di England pada tahun 1930-an.[5] Anjing ini juga boleh dipanggil anjing singa Tibet, tetapi keputusan sama ada baka ini patut dirujuk sebagai "[...] Tibet" atau "[...] China" ialah sumber perbalahan sejarah dan politik. Sebuah buku tentang baka ini menyatakan bahawa "sejarawan anjing cenderung untuk mempunyai pendapat sangat kuat" mengenai subjek berkenaan.[6]

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Salah satu teori ialah bahawa shih tzu diturunkan daripada silangan antara anjing Peking dengan Lhasa apso.[7] Anjing-anjing itu merupakan kegemaran kerabat diraja China dan begitu berharga sehingga, selama bertahun-tahun, orang China enggan menjual, memperdagangkan, atau memberikan seekor pun. Anjing pertama baka ini diimport ke Eropah (England dan Norway) pada tahun 1930 dan dikelaskan oleh The Kennel Club sebagai "Apsos".[7] Piawaian Eropah pertama untuk baka ini telah ditulis di England pada tahun 1935 oleh Shih Tzu Club[8] dan anjing ini dikategorikan lagi sebagai Shih Tzu. Baka ini tersebar ke seluruh Eropah dan dibawa ke Amerika Syarikat selepas Perang Dunia Kedua, apabila anggota tentera Amerika Syarikat yang pulang membawa pulang anjing dari Eropah dan Asia, pada pertengahan tahun 1950-an. Shih tzu diiktiraf oleh American Kennel Club pada tahun 1969 dalam Kumpulan Mainan.[7] Terdapat empat belas jumlah lelaran shih tzu dalam takungan gen baka ini kini.[9] Pada tahun 1934, Shih Tzu Club of England diasaskan[10] dan baka ini diiktiraf secara rasmi oleh The Kennel Club (United Kingdom) pada 7 Mei 1940. Apabila ia layak untuk Sijil Cabaran, tiada satu pun yang dianugerahkan sehingga tahun 1949. Baka ini kini diiktiraf oleh semua kelab kenel utama di dunia berbahasa Inggeris.[3] Ia juga diiktiraf oleh Persekutuan Kinologi Antarabangsa untuk pertandingan antarabangsa dalam Kumpulan Anjing Teman dan Mainan, Seksyen 5, baka Tibet.[3] Di Amerika Syarikat, shih tzu diperingkatkan sebagai baka ke-15 paling popular pada tahun 2013, setelah jatuh sedikit dari segi kepopularan sejak tahun 2012 semasa ia ditempatkan di kedudukan ke-11.[11] Di Israel, shih tzu diperingkatkan sebagai baka paling popular pada tahun 2019.[12]

Sebuah patung singa penjaga Cina (atau anjing "Fu") di bandar raya Groninger di Veendam, Veenkoloniën. Patung sebegini diniatkan untuk menjaga bangunan ini, dengan patung kiri yang memegang sebiji bola dan patung kanan yang dengan anak anjingnya.

Shih tzu dan mitologi Buddha[sunting | sunting sumber]

Shih tzu sebahagian besarnya dikaitkan dengan agama Buddha dan mitologi Buddha. Nama "shih tzu" dalam bahasa Mandarin secara langsung diterjemahkan kepada "singa kecil", haiwan yang dianggap suci dalam agama Buddha. Singa melambangkan kerajaan, kekuatan, dan keberanian – "tidak takut apa-apa dan bertindak tanpa berlengah-lengah."[13] Sepasang singa batu atau anjing singa yang terletak di luar pintu istana pengawal, makam, tokong, dan bangunan awam dianggap melindungi bangunan-bangunan ini daripada individu berbahaya dan pengaruh rohani.[13] Patung-patung batu ini kerap dipanggil anjing fu dan terdapat cadangan bahawa ini merupakan bentuk singa bagi shih tzu.[14] "Fu" secara kasar diterjemahkan kepada "kebahagiaan" dalam bahasa Manchu, dengan legenda yang menyatakan bahawa anjing fu merupakan shih tzu gembira yang selama-lamanya menjaga tokong Buddha.[14] Patung anjing fu biasanya mewakili shih tzu jantan dan betina yang diukir daripada batu, jed, jati, gading, sinabar, gangsa, atau seramik.[15] Anjing jantan kerap terlihat memegang sebiji bola dengan kaki kirinya dan anjing betina pula memegang anaknya. Sumber menyatakan bahawa ini memegang maksud simbolik dengan anjing jantan yang mewakili kuasa ke atas alam semula jadi, tenaga, kebijaksanaan, dan batu permata dan anjing betina yang melambangkan perlindungan, permainan, dan sikap disiplin.[15]

Seekor shih tzu jantan berusia 10 tahun yang ditunjukkan dengan bintang Buddha di kepalanya, ditandai dengan tompok bulu putih

Penganut agama Buddha menganggap bahawa shih Tzu diberkati oleh Buddha dan merupakan binatang suci Buddha. Legenda menyatakan bahawa Buddha menunggang ke bumi dengan menaiki seekor singa dan membawa bersama dengannya seekor anjing singa kecil yang menemaninya ke mana-mana dia pergi.[14] Legenda berbeza-beza mengikut sumber berlainan, namun ramai mengutip bahawa shih tzu menemani Buddha kebijaksanaan, Manjushri.[15] Anjing singa ini mempunyai keupayaan untuk mengubah dirinya menjadi singa untuk membawa Manjushri di atas belakangnya. Ciri-ciri fizikal shih tzu berfungsi sebagai bukti hubungan abadi antara Buddha dengan baka ini. Menurut legenda, beberapa orang perompak mengepung Buddha dengan niat untuk merompak dan membunuhnya apabila shih tzu itu berubah menjadi singa ganas yang begitu besar sehingga para perompak itu takut dan melarikan diri dari tempat kejadian.[14] Semasa shih tzu kembali kepada bentuk anjingnya, Buddha memberkatinya kerana keberaniannya.[14] Banyak shih tzu mencerminkan keberkatan ini dalam bentuk "Bintang Buddha", yang juga dapat dipanggil "ciuman Buddha", yang diwakili sebagai tompok bulu putih di bahagian atas kepala anjing. Tanda-tanda pada belakang anjing dikatakan sebagai pelana Buddha yang digunakan untuk menunggang anjing itu dalam bentuk singanya.[16] Legenda berbeza-beza mengikut sumber, sebahagian besarnya kerana legenda secara sejarah diwarisi dari mulut ke mulut. Sesetengah orang menyebut tanda ini di kepala sebagai tempat Buddha mencium anjing itu, lalu memberinya keberkatan.[16] Sumber lain pula menyatakan Buddha meletakkan jarinya pada dahi anjing itu sebagai berkat, lalu memberinya kilatan bulu putih pada dahinya.[14]

Warna bulu[sunting | sunting sumber]

Shih tzu terdapat dengan banyak warna. Warna-warna berikut diiktiraf oleh The Kennel Club:

  • hitam dan putih
  • brindle
  • brindle dan putih
  • emas dan putih
  • brindle emas
  • bridle emas dan putih
  • emas dengan topeng hitam
  • kelabu dan putih
  • hitam padu
  • emas padu
  • hati
  • hati dan putih

Selain itu, warna-warna berikut diiktiraf sebagai warna yang wujud dalam baka ini tetapi tidak menjadi sebahagian daripada piawaian, iaitu: biru, krim, ungu lembut, ungu lembut dan putih, putih, berwarna-warni.[17]

Variasi berwarna hitam dan putih bagi shih tzu
Warna lapis bulu hitam dan putih pada shih tzu
Seekor shih tzu berwarna krim

Kesihatan[sunting | sunting sumber]

Sebilangan isu kesihatan, sebahagian daripadanya turun-temurun, telah ditemukan pada individu shih tzu, dan disenaraikan di bawah. Kepopularan baka ini telah membolehkan pembiakbakaan sangat buruk pada umumnya, lalu membawa kepada penyakit umum dan seumur hidup, kerap dari usia agak awal.[perlu rujukan]

Penyakit jantung[sunting | sunting sumber]

Penyakit injap mitral ialah penyakit jantung paling umum pada anjing dan dapat menyebabkan kegagalan jantung kongestif (CHF). Keadaan ini lebih umum pada anjing lebih kecil termasuk shih tzu.[18]

Brakisefali[sunting | sunting sumber]

Seekor shih tzu dalam pertunjukan anjing

Hidung pendek shih tzu menyebabkan kesukaran pernafasan dan isu kesihatan lain pada anjing ini. Sindrom obstruksi salur udara brakisefalik (BAOS) ialah keadaan yang disebabkan oleh brakisefali. Isu utama yang timbul daripada muncung pendek ialah lubang hidung stenotik, iaitu apabila lubang hidung rapat sehingga menyebabkan kesukaran pernafasan melalui hidung; lelangit lembut memanjang; dan hipoplasia tenggorokan, salur udara sempit. Ini menyebabkan kesukaran pernafasan yang membawa kepada peningkatan usaha pernafasan yang menyempitkan lagi tenggorokan yang dapat menyebabkan keruntuhan larinks. Anjing yang menderitai BAOS bergelut dengan senaman, terdedah kepada strok haba kerana keupayaan penyejatan tidak berkesan, dan mengalami masalah untuk tidur.[19]

Isu mata[sunting | sunting sumber]

Shih tzu sangat lazim menghidap masalah mata pada usia bila-bila dan lebih-lebih lagi apabila lebih tua. Kebanyakan doktor haiwan mengesyorkan ubat titis mata untuk membantu dengan sebarang kerengsaan mata. Sesetengah anjing mempunyai alahan yang menyebabkan lelehan berlebihan di sekeliling mata. Shih tzu lebih tua diketahui menghidap katarak yang dapat dibetulkan dengan pembedahan. Sekiranya tidak terawat, anjing berkenaan mungkin menjadi buta pada mata yang mempunyai katarak itu. Mata besar distingtif mudah tercalar yang mungkin menyebabkan ulser. Anjing berkenaan biasanya menutup mata tercedera sepenuhnya atau separuhnya dan mungkin mempunyai air mata berlebihan. Masalah paling umum bagi shih tzu mengenai keadaan mata ialah pembentukan epifora yang disebabkan oleh bulu pada kelopak mata yang mencalarkan konjunktiva dan kornea. Walau bagaimanapun, ini dapat diubati dengan penggunaan ubat titis mata yang ditetapkan daripada doktor haiwan bertauliah seperti eyevita.[20] Shih tzu juga terdedah kepada pengeluaran air mata berlebihan yang kemudian menyebabkan kesan bekas air mata di sekeliling mata.[21] Sebuah kajian dari Jepun yang menyemak kes anjing yang dibentangkan untuk pemeriksaan oftalmologi mendapati bahawa shih tzu membentuk 16% daripada semua kes glaukoma walaupun hanya membentuk 8.2% daripada jumlah populasi yang digunakan dalam kajian itu.[22]

Shih tzu dengan bulu yang menutupi mata. Bulu yang tidak dipendekkan dapat menjadi isu. Ini diatasi dengan toncet atau gaya potongan pendek anak anjing.

Isu telinga[sunting | sunting sumber]

Isu sangat lazim untuk shih tzu ialah perkembangan jangkitan telinga, kerana ia mempunyai lapis bulu panjang dan bulu tumbuh di dalam telinganya. Jika bulu telinga tidak dicabut dan telinga tidak dibersihkan dengan kerap, jangkitan telinga akan berulang dan menyebabkan masalah kesihatan lebih serius.[2]

Kepekaan kulit[sunting | sunting sumber]

Kulit shih tzu khususnya sensitif dan terdedah kepada alahan. Ia patut sebaik-baiknya dimandikan setiap dua hingga enam hari untuk mengekalkan kebersihan dan mengelakkan kerengsaan kulit.[perlu rujukan]

Jangka hayat[sunting | sunting sumber]

Sebuah kajian di United Kingdom mendapati bahawa jangka hayatshih tzu ialah 11 tahun, beberapa bulan di bawah purata kelanjutan usia bagi semua anjing.[23] Sebuah kajian Jepun pula mendapati bahawa shih tzu mempunyai kelanjutan usia selama 15 tahun, melebihi purata 14 tahun untuk semua anjing.[24][b]

Ubahan[sunting | sunting sumber]

Perbezaan kelab kenel[sunting | sunting sumber]

Terdapat perbezaan antara shih tzu menurut American Kennel Club dengan shih tzu menurut The Kennel Club (United Kingdom):

Shih tzu AKC (American Kennel Club)[sunting | sunting sumber]

  • Tungkai hadapan (sukuan hadapan) adalah lurus. Sukuan belakang adalah berotot. Tiada sukuan yang patut terlalu pendek atau tidak terlalu panjang.
  • Kepala piawai adalah besar dan bulat dan terletak tinggi-tinggi dengan muka yang menghadap ke hadapan atau ke atas.
  • Leher dan tubuh merupakan yang paling penting dan tidak patut dibesar-besarkan.
  • Matanya besar dan menghadap ke hadapan.
  • Bahu pada jenis Amerika bagi shih tzu adalah frontal.[25]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Catatan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Jawi: شي تسو, Sebutan bahasa Melayu: [ʃi tsu]; Cina: 西施犬; pinyin: xīshīquǎn; bahasa Inggeris: shih tzu, shih-tzu, UK: /ˌʃˈts/, A.S.: /ˈʃts/
  2. ^ Kajian Jepun menyemak data perkuburan yang tidak berkemungkinan mempunyai sebarang catatan bagi lahir mati dan kematian altrisial walaupun klinik veterinar berkemungkinan mempunyai data tentang ini.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "Shih Tzu". www.petmd.com (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 22 Januari 2024.
  2. ^ a b Juliette., Cunliffe (2007). Shih tzu (dalam bahasa Inggeris). Kennel Club Books. ISBN 978-1-59378-216-0. OCLC 232358683. Diarkibkan daripada yang asal pada 1 Mei 2021. Dicapai pada 7 Februari 2024.
  3. ^ a b c "FCI-Standard N° 208 SHIH TZU" [Piawaian FCI No. 208 Shih Tzu] (pdf). Persekutuan Kinologi Antarabangsa (dalam bahasa Inggeris). 9 Oktober 2017. Dicapai pada 7 Februari 2024.
  4. ^ Shih Tzu (Inggeris), oleh Jaime J. Sucher, hlm. 5, Barron's Educational Series, 2000, ISBN 0-7641-1043-8
  5. ^ Shih Tzu For Dummies (Inggeris), oleh Eve Adamson, hlm. 257, For Dummies, Publisher, 2007, ISBN 0-470-08945-8 petikan: "Lady Brownrigg, who brought the first Shih Tzu into England, coined the phrase Chrysanthemum Dog."
  6. ^ Shih Tzu For Dummies (Inggeris), oleh Eve Adamson, hlm. 27, For Dummies, Publisher, 2007, ISBN 0-470-08945-8 petikan: "...dogs related to the modern-day Shih Tzu probably came from Tibet, but how long they were there and how much influence they had on the present day Shih Tzu may never be known." Pengarang kemudian berkata, "Dog historians tend to have very strong opinions." Shih tzu kerap salah dikatakan sebagai kerabat diraja China.
  7. ^ a b c Clark, Anne Rogers; Andrew H. Brace (1995). The International Encyclopedia of Dogs (dalam bahasa Inggeris). Howell Book House. m/s. 416–417. ISBN 0-87605-624-9.
  8. ^ The Shih Tzu, oleh Audrey Dadds, hlm. 29, Howell Book House, 1975, ISBN 0-87605-309-6
  9. ^ "Shih Tzu", Definitions (dalam bahasa Inggeris), Qeios, 7 Februari 2020, doi:10.32388/bookqq, S2CID 241657460 Check |s2cid= value (bantuan)
  10. ^ "The Kennel Club" (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 27 November 2016. Dicapai pada 7 Februari 2024.
  11. ^ American Kennel Club 2013 Dog Registration Statistics Historical Comparisons & Notable Trends (Inggeris) Diarkibkan 17 Januari 2017 di Wayback Machine, American Kennel Club, Dicapai pada 7 Februari 2024
  12. ^ "dog ownership data in Israel, government data" (dalam bahasa Inggeris).
  13. ^ a b "History of the Shih Tzu Dog Breed". Everything Shih Tzu (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 7 Februari 2024.
  14. ^ a b c d e f "Shih Tzu Legends". nationalpurebreddogday.com (dalam bahasa Inggeris). National Purebred Dog Day. 26 April 2019. Dicapai pada 7 Februari 2024.
  15. ^ a b c Jorgensen, Anthony. "Shih Tzu – History and Legends | HealthGuidance.org". HealthGuidance.org | (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 7 Februari 2024.
  16. ^ a b "14 Insane (but true!) Facts About Shih Tzus - Shih Tzu Daily". shihtzudaily.com (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 7 Februari 2024.
  17. ^ "Shih Tzu". The Royal Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 7 Februari 2024.
  18. ^ "Heart Diseases - Dogs". Cummings School of Veterinary Medicine (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 7 Februari 2024.
  19. ^ "Genetic Welfare Problems of Companion Animals". Universities Federation for Animal Welfare (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 7 Februari 2024.
  20. ^ Christmas, Richard E. (Jun 1992). "Common ocular problems of Shih Tzu dogs". Canadian Veterinary Journal (dalam bahasa Inggeris). 33 (6): 390–393. PMC 1481255. PMID 17424020.
  21. ^ Johnstone, Gemma (24 Oktober 2022). "Why Is My Dog's Fur Pink or Brown?". American Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 7 Februari 2024.
  22. ^ KATO, Kumiko; SASAKI, Nobuo; MATSUNAGA, Satoru; NISHIMURA, Ryohei; OGAWA, Hiroyuki (2006). "Incidence of Canine Glaucoma with Goniodysplasia in Japan: A Retrospective Study". Journal of Veterinary Medical Science (dalam bahasa Inggeris). Persatuan Sains Veterinar Jepun. 68 (8): 853–858. doi:10.1292/jvms.68.853. ISSN 0916-7250. PMID 16953087.
  23. ^ Tzu-yun Teng, Kendy; Brodbelt, Dave C.; Pegram, Camilla; Church, David; O'Neill, Dan G. (28 April 2022). "Life tables of annual life expectancy and mortality for companion dogs in the United Kingdom". Scientific Reports (dalam bahasa Inggeris). 12 (1): 6415. Bibcode:2022NatSR..12.6415T. doi:10.1038/s41598-022-10341-6. PMC 9050668 Check |pmc= value (bantuan).
  24. ^ Inoue M, Kwan NCL, Sugiura K (2018). "Estimating the life expectancy of companion dogs in Japan using pet cemetery data". J Vet Med Sci (dalam bahasa Inggeris). 80 (7): 1153–1158. doi:10.1292/jvms.17-0384. PMC 6068313. PMID 29798968.CS1 maint: multiple names: authors list (link)
  25. ^ "Shih Tzu Dog Breed Information". Akc.org (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 11 Disember 2017. Dicapai pada 7 Februari 2024.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]