Sidek Hussain

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Sidek Hussain (19 Ogos 1951 – 28 April 2014) merupakan pelakon drama (lebih 100 drama) dan filem di Malaysia dan sering diberi watak jahat. Sidek Hussain mula dikenali pada 1980 selepas membintangi filem Toyol sebagai pelakon utama yang melayakkannya bertanding dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik (FFM), diikuti filem Potret Maria, Rasuk, drama Berteduh di Pohon Rendang, Bagai Roda Pedati dan lain-lain. Filem lain ialah Kisah Seorang Biduan, Potret Maria, Toyol, Sumpah Semerah Padi, Dendam Dari Pusara, Bintang Malam, Orang Minyak dan Karak (2011).

Sidek Hussain
Kelahiran(1951-08-19)19 Ogos 1951
Meninggal dunia28 April 2014(2014-04-28) (umur 62)
Sebab kematianSerangan jantung dan paru-paru
DikebumikanTanah Perkuburan Islam Kuang Batu 17, Kuang, Selangor
PekerjaanPelakon
Tahun aktif1972–2014
PasanganSebiah Sulaiman
Anak-anak5

Pada 2011, Sidek menerima anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat di Anugerah Festival Filem Malaysia ke-24 serta Pelakon Pembantu Terbaik Anugerah Skrin. Tahun 1972 beliau berlakon drama Hujan Batu Di Rantau, arahan Roslee Jalil.

Teater pertama lakonannya ialah Anak Cucu Tamin pada 1976. Menerusi teater tersebut dia dipilih sebagai Pelakon Lelaki Terbaik pada Pertandingan Drama Peringkat Wilayah Persekutuan. Sidek juga pernah menjadi Pelakon Lelaki Terbaik menerusi Teater Mati (1977) dan Raja Pengemis (1978). Teater terakhir lakonannya ialah Ronggeng Rokiah yang pernah dipentaskan di Istana Budaya.

Minatnya berlakon timbul apabila sering menonton filem-filem Tamil. Beliau akan pergi ke estet-estet untuk menonton filem Tamil. Filem Melayu hanya ditayang sebulan sekali di kawasan Hospital Kusta, Sungai Buloh. Dari situlah timbul minat berlakon. Beliau pernah belajar berlakon di Taman Budaya di bawah tunjuk ajar pengarah filem Othman Hafsham.

Sidek seangkatan dengan pelakon Abu Bakar Omar dan Razali Buyong. Skrip drama pertamanya, Lambaian diarah oleh Rashid Sibir.Beliau juga menulis skrip Luncai. Sidek juga pernah meminjamkan suaranya untuk alih suara siri kartun Ultraman di RTM (1972-1974). Sidek menjadi pelakon 100 buah drama dan pernah menerima anugerah Pelakon Lelaki Terbaik pada anugerah Sri Angkasa 1978 menerusi drama Menara Condong.

Sidek sibuk menguruskan perniagaan barangan antik dan terpakai di Memory Lane, Ipoh.[1]

Meninggal dunia akibat ketumbuhan[sunting | sunting sumber]

Pada 28 April 2014, beliau Pelakon Sidek Hussain meninggal dunia setelah menderita ketumbuhan di pipi kanan sejak 30 tahun lalu, yang dikenal pasti bersifat kanser tahap keempat. Sidek yang berusia 62 tahun dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur sejak 22 Mac 2014 selepas pengsan ketika membeli barangan keperluan dapur bersama cucunya. Doktor tidak dapat menjalankan rawatan kimoterapi kerana keadaannya yang terlalu lemah.

Ketulan daging mencapai berat dua kilogram itu mula muncul ketika berusia 20an lagi. Mulanya hanya sebesar bola golf sahaja. Selain itu, Sidek turut mengidap penyakit jantung dan paru-paru. Jenazah dimandikan di Masjid Kuang dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kuang, Batu 17, Selangor.[2] Sepatutnya beliau menjalani pembedahan di HUKM diketuai Prof. Datuk Dr. Ahmad Ridzuan Arshad.

Baginya, biarlah dia mengadap Tuhan dengan muka begini. Ini pemberian Tuhan dan dia tidak akan mengubahnya. Pada tahun 1979, beliau pernah menjalani pembedahan untuk membuang ketulan daging tersebut tetapi tiga tahun kemudian tumbuh semula. Jika dibuang juga akan menjejaskan penglihatannya.

Balunya bernama Sebiah Sulaiman dan mempunyai lima orang anak. Anaknya Khirul Nizam, 29, Siti Hajar, 28, Umi Kalsom, 25, Siti Mariam, 23 dan Mohd. Adam, 18.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "Sidek Hussin reda anugerah Tuhan". Utusan Malaysia. 5 September 2007.
  2. ^ "Pelakon veteran Sidek Hussain meninggal dunia". Astro Awani. 28 April 2014.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]