Silat Kegayungan Acheh Helang Putih

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Pengasas dan penggerak utama Silat Kegayungan (A) Helang Putih adalah Abdul Aziz Mohd Ali (Dengan gelaran: Raja Aziz Laksamana Hoja Andak) yang kini menetap di Kampung Dusun Tua, Batu 18 Hulu Langat, Selangor. Beliau mula menuntut ilmu warisan keluarganya ini sejak berumur 12 tahun. Selain daripada Silat Helang Putih, Raja Aziz juga pernah mempelajari Silat Sheikh Baginda Ali, Silat Harimau dan Silat Sendeng Kuno di Johor dan Indonesia. Di samping itu beliau juga pernah mempelajari Judo dan Tai Chi di Jalan Hicks, Kuala Lumpur.

Raja Aziz mula mengasaskan Pertubuhan Silat Kegayungan (A)Helang Putih pada tahun 1967 semasa berumur 19 tahun dengan membuka gelanggang pertama di Kampung Pandan, Kuala Lumpur.

Menurut kisah lagenda keluarga yang diturunkan dari generasi ke genarasi, Silat Helang Putih telah diajar kepada moyang Raja Aziz (Raja Sulung Tunggak Pahlawan) oleh seorang pertapa bangsa Jawa yang bernama Ratu Agung Raden Dindiar. Raja Sulung Tunggak Pahlawan menemui pertapa itu setelah beliau mengekori seekor burung Helang Putih ke dalam sebuah gua semasa berburu di hutan. Helang Putih yang diekori itu adalah seorang putera kayangan yang telah disumpah menjadi seekor burung helang putih oleh ibundanya. Asalnya Silat Helang Putih adalah satu seni untuk membunuh. Namun bentuknya pada hari ini telah disesuaikan dengan zaman sekarang yang berlandaskan lunas-lunas undang-undang. Murid silat ini dilatih pergerakan Helang termasuk dengan bunyinya sekali.

Gerak dan seni mengalir dari 44 cabang perguruan dan digerakkan oleh gerak dan langkah pesilat. Gerakan-gerakan seni yang teratur dan cantik menjadi khazanah silat ini dengan gaya dan gerak pencak yang pantas dan tangkas.

Antara permainan perguruan ini ialah Helang Buana, Megat Terawis, Seni Changkat, Permainan Puteri Terus Mata dll.

Kini Seni Silat Kegayungan Acheh Helang Putih telah dikembangkan oleh gurulatih dan jurulatih perguruan di beberapa negeri di semenanjung seperti Kuala Lumpur, Selangor, Perak, Kelantan, Kedah, Negeri Sembilan dan Pahang. Kejohanan tahunan dan acara-acara semasa sentiasa dianjurkan untuk merapatkan ukhuwah dan ikatan dalam perguruan ini.

Adalah menjadi harapan perguruan untuk mengembangkan seni silat ini sebagai satu warisan Alam Melayu.