Silat Sangkar Rewana

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Logo Seni Pencak Silat Sangkar Rewana yang mempamerkan identiti khas negeri Pahang.
Perguruan Seni Pencak Silat Sangkar Rewana
Tarikh penubuhan1917
Negara asalMalaysia
PengasasPendekar Ahmad bin Tok Muda Abdullah
Laman web rasmihttps://web.facebook.com/sangkarrewana

Perguruan Seni Pencak Silat Sangkar Rewana ialah sebuah Perguruan Silat yang bergerak di Pekan, Pahang. Silat ini adalah warisan Allahyarham Pendekar Ahmad yg dikembangkan di Kampung Pedah, Jerantut, Pahang. Silat ini terkenal dengan keindahan tari silatnya yang diajarkan dalam beberapa Seminar Tari Pendekar Pahang di Kuala Lumpur. Silat ini kini dikembangkan oleh Adam bin Osman yang telah mewarisinya daripada Jantan bin Adam dan Dollah bin Mat.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Nama asal perguruan Pendekar Ahmad ialah Silat Pencak dan telah ditambah Seni Pencak Silat Sangkar Rewana bagi memenuhi amanah Cikgu Jantan yang mahukan perguruan ini memakai gelaran tersebut. Nama Sangkar Rewana adalah nama pasukan Cikgu Jantan dalam permainan sukan rakyat yang disertainya sehinggalah nama itu kekal hingga kini. Walaupun nama perguruan melambangkan identiti masing-masing namun permainan pencak Pendekar Ahmad tidak sekali-kali berubah kerana permainan dahulu tidak boleh ditokok tambah, keasliannya perlu dipertahankan sampai bila-bila.

Senarai Guru[sunting | sunting sumber]

  1. 1890 : Sutan Kari
  1. 1917: Pendekar Ahmad bin Tok Muda Abdullah
  2. : Cikgu Jantan bin Adam
  3. 1960 : Guru Adam bin Osman
  4. 2022: Guru Mazlan bin Hashim

Sutan Kari[sunting | sunting sumber]

Silat ini pada asalnya dibawa oleh orang Minangkabau bernama Sutan Kari. Menjadi tradisi anak lelaki Minangkabau selepas menguasi ilmu persilatan, mereka akan merantau mencari pengalaman dan berbakti kepada masyarakat sebelum pulang ke kampung halaman. Anak muda dari Minangkabau ini merantau dan menetap di Pahang. Di sana, beliau mencari rezeki dengan berulang-alik menaiki perahu melalui Sungai Pahang dari Pekan menghulu ke Ulu Tembeling, Jerantut. Beliau akan singgah di setiap pangkalan di sepanjang Sungai Pahang untuk berjual barang dagangan. Adakalanya beliau bermalam di antara pangkalan tersebut jika tidak sempat berhilir pulang ke Pekan. Begitulah bertahun-tahun lumrah kehidupan beliau berdagang di rantau orang.

Pada tahun 1890, Sutan Kari singgah bermalam di pangkalan Tok Muda Abdullah di Kampung Pedah,Jerantut. Sudah menjadi adat ketika itu, orang luar yang singgah bermalam di kampung-kampung sepanjang Sungai Pahang perlu memaklumkan kepada ketua kampung atau imam di situ. Maka Sutan Kari tidak terkecuali. Beliau menemui Tok Muda Abdullah yang merupakan ketua kampung di situ. Hasrat Sutan Kari untuk bermalam semalam dua di situ dibenarkan oleh Tok Muda Abdullah.

Sebagai seorang ketua, Tok Muda Abdullah memiliki ilmu firasat yang tinggi dan boleh mengenali perwatakan orang yang baru dikenali. Tok Muda Abdullah mengenali Sutan Kari seorang berakhlak baik, berbudi tinggi serta mahir dalam ilmu persilatan. Tanpa membuang masa, Tok Muda Abdullah menyampaikan hasrat supaya Sutan Kari tidak meninggalkan kampung tersebut. Khidmat Sutan Kari amat diperlukan bagi mengajarkan ilmu silat kepada penduduk kampung tersebut. Ilmu silat ini penting sebagai benteng pertahanan di kampung tersebut kerana Inggeris sudah meluaskan pengaruh mereka di bumi Pahang selepas Perjanjian Inggeris-Pahang 1887.

Pada fasa awal kebangkitan pejuang Pahang menentang Inggeris, beberapa balai silat menjadi sasaran Inggeris kerana bagi Inggeris, balai silat adalah pusat gerakan melatih pejuang Pahang. Beberapa balai silat diarahkan tutup termasuk balai silat kelolaan Tok Gajah di Kampung Pulau Tawar. Oleh kerana bimbang bangsal Tok Muda Abdullah menerima nasib yang sama seperti bangsal Tok Gajah, Tok Muda sentiasa berwaspada terhadap tali barut Inggeris yang terdiri daripada penduduk tempatan yang sentiasa menjadikan bangsal silat sebagai sasaran. Bagi mengelirukan Inggeris, Tok Muda Abdullah meminta Sutan Kari memfokuskan pada tari silat sahaja sementara buah pukulan dan jurus-jurus silat ditangguhkan buat sementara waktu. Hasilnya, bangsal Tok Muda Abdullah tidak diganggu Inggeris yang menganggap bangsalnya hanya mengajar tari silat sahaja sedangkan permainan buah pukulan dan jurus-jurus keras tetap diajar apabila kawasan tersebut di luar pemantauan Inggeris.

Sutan Kari dilantik sebagai guru silat secara rasmi oleh Tok Muda Abdullah bagi mengajar silat kepada penduduk Kampung Pedah. Ramai anak buah yang belajar silat  termasuk anaknya sendiri, Ahmad. Sutan Kari dapat melihat potensi Ahmad melalui kelincahan beliau bersilat dan percaya Ahmad bakal pendekar dan pewaris ilmu silat itu kelak.

Sesudah Sutan Kari berbakti di Kampung Pedah, Jerantut, beliau pulang semula ke Minangkabau untuk menghabiskan usia tua beribadat di sana.

Pendekar Ahmad bin Tok Muda Abdullah[sunting | sunting sumber]

Pendekar Ahmad bin Tok Muda Abdullah berasal dari Kampung Tanum, Kuala Lipis, Pahang. Ibu beliau bernama Cik Nong Kiah binti Haji Muhammad yang merupakan adik kepada Dato' Jaafar bin Haji Muhammad, bekas Menteri Besar Johor pertama berketurunan Bugis dari Daik, Lingga, Kepulauan Riau. Pendekar Ahmad mencurahkan bakti pada zaman pemerintahan DYMM Sultan Abdullah al-Mu’tassim Billah, Sultan Pahang ketiga. Pada zaman tersebut, beliau dijemput ke istana Pahang bagi mengajar silat kepada kaum kerabat diraja. Antara murid Pendekar Ahmad adalah DYMM Almarhum Sultan Sir Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah, Sultan Pahang keempat, Tengku Bendahara Tengku Mahmud dan Tengku Temenggong Abdul Aziz.

Walaupun bertaraf pendekar, Pendekar Ahmad tetap mempelajari ilmu silat daripada tujuh orang pendekar yang lain antaranya Pendekar Tok Sat dan Pendekar Li Watt dari Indonesia, Pak Sutan Dollah dan Pak Salleh Melan. Pendekar Ahmad juga sempat memperturunkan ilmu silat di Burma dan Singapura. Antara sahabat Pendekar Ahmad adalah Pendekar Endol dan Sutan Maakat. Tidak hairanlah jika permainan mereka hampir sama dari segi langkah, tari dan buah.

Cikgu Jantan bin Adam[sunting | sunting sumber]

Ilmu silat Pendekar Ahmad diperturunkan kepada Cikgu Jantan bin Adam. Cikgu Jantan adalah adik ipar kepada Pendekar Ahmad apabila Pendekar Ahmad berkahwin dengan kakak beliau bernama Zauyah@Yang.

Guru Adam bin Osman (Anjang Adam)[sunting | sunting sumber]

Anjang Adam mula mempelajari silat pada tahun 1954 daripada Guru Abdullah bin Mat atau dikenali sebagai Ayah Lah di kampung halaman sendiri di Pekan. Ayah Lah telah mempelajari silat daripada lima orang guru dan mengembangkan permainan pencak, buah pukul dan lian. Setelah sembilan bulan mempelajari silat daripada Ayah Lah, Anjang Adam menuntut silat daripada Cikgu Jantan yang merupakan murid Pendekar Ahmad.

Setiap malam, Anjang Adam berulang alik ke Kampung Geylang, Pekan bagi mencari permainan sebenar silat Melayu Pahang. Selepas menguasai segala permainan yang diperturunkan, Anjang Adam ditauliahkan untuk meneruskan warisan silat Pendekar Ahmad dengan membuka bangsal pertama di kampung kelahirannya pada tahun 60-an. Semasa majlis pembukaan bangsal, Cikgu Jantan dan Ayah Lah turut hadir bagi memperkenankan ilmu persilatan tersebut disebarkan kepada orang ramai. Selepas kedua-dua guru beliau meninggal dunia, Anjang Adam meneruskan warisan silat ini untuk generasi seterusnya.

Anjang Adam meninggal dunia pada 9 Februari 2022 di Kampung Permatang Pauh, Pekan, Pahang pada usia 85 tahun.

Guru Mazlan bin Hashim[sunting | sunting sumber]

Guru Mazlan Haji Hashim

Selepas pemergian Guru Anjang Adam, Guru Mazlan Hj Hashim menggalas tugas sebagai Guru Utama bagi mengembangkan silat warisan Pendekar Ahmad kepada generasi seterusnya.

Guru Mazlan Hashim merupakan aktivis silat yang banyak mengkaji dan menyumbang artikel persilatan dan tokoh persilatan negeri Pahang dalam Majalah Seni Beladiri. Beliau juga aktif dalam Pertubuhan Pengamal dan Pengusaha Perubatan Tradisional Negeri Pahang (PETRA) dan juga Persekutuan Silat Kebangsaan (PESAKA) Negeri Pahang. Selepas menggalas tanggungjawab sebagai Guru Utama Seni Silat Sangkar Rewana, beliau meletakkan jawatan dalam PESAKA Pahang bagi memberikan fokus pada pembangunan silat ini.

Pengeras Pembuka Gelanggang[sunting | sunting sumber]

Bagi mempelajari silat ini, pengeras pembuka gelanggang perlu disediakan oleh murid. Peralatan yang perlu disediakan seperti berikut:

  1. Wang RM1.50
  2. Kain Putih 2 1/2 ela
  3. Sireh Pinang
  4. Tembakau
  5. Limau nipis
  6. Sebilah parang (berkongsi)

Sebelum memulakan pelajaran, setiap murid disyaratkan untuk mandi limau di gelanggang.

Silbus Silat[sunting | sunting sumber]

Silat mempunyai banyak tari dan buah antaranya:

Tari Silat[sunting | sunting sumber]

  • Bismillah Sembah
  • Langkah Tiga
  • Lela Sembah
  • Lenggang Mak Janda
  • Seludang Jatuh
  • Mengumpan Ayam Putih
  • Kayuh Raja Beradu
  • Melambai Anak Dara di Tingkap
  • Merbah Berlaga
  • Benang Kusut
  • Harimau Mengendap
  • Tarik Rotan Manau
  • Angkat Pulut
  • Belah Udang
  • Bersikat
  • Helang Melayang
  • Cacak Racik
  • Kelik
  • Tikam Serong

Permainan Buah[sunting | sunting sumber]

  • Jong Tenggalang
  • Kongkong Batak
  • Tangkap Kerbau Seekor
  • Buaya Menyadai
  • Sandang
  • Tembung
  • Cekak Beruang
  • Parang

Mandi Minyak[sunting | sunting sumber]

Perguruan ini akan mengadakan upacara mandi minyak apabila separuh permainan diajarkan. Majlis mandi minyak akan diadakan di gelanggang beramai-ramai dengan setiap pelajar perlu membawa buah kelapa sendiri yang dimasak menggunakan bahan bakar daripada sabut dan tempurung kelapa tersebut.

Penamat Silat[sunting | sunting sumber]

Bagi menamatkan tahap pembelajaran selamat enam bulan, acara mandi limau diadakan kembali dan murid mesti bermain berpasangan bersama guru ataupun rakan sepermainan yang lain bagi menguji tahap penguasaan masing-masing.

Gelanggang[sunting | sunting sumber]

Enam buah gelanggang telah dibuka oleh Anjang Adam setakat 9 Ogos 2021 adalah seperti berikut:

  1. Sekolah Menengah Agama Tengku Ampuan Fatimah
  2. Institut Kemahiran Mara Tan Sri Yahaya Ahmad
  3. Sekolah Kebangsaan Ahmad
  4. Sekolah Kebangsaan Peramu Jaya
  5. Peramu Jaya II
  6. Kawasan Tanah Bekas Perajurit

Pencapaian[sunting | sunting sumber]

Silat ini kerap diundang bagi mengadakan persembahan termasuk kepada kerabat istana Pahang. Antaranya:

  1. Acara Mengaruk di hadapan Almarhum Sultan Abu Bakar di Istana Kota Beram, Pahang.
  2. Persembahan Silat di hadapan Almarhum Sultan Abu Bakar di Bukit Ibam, Pekan.
  3. Perkahwinan Tengku Muhaini, puteri Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Almarhum Sultan Sir Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah di Istana Negara.
  4. Perkahwinan Tengku Aishah, puteri Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah di Istana Abu Bakar, Pekan.
  5. Akademi Silat Pendekar Muda anjuran TV AlHijrah bagi mengajar tari dan silat pulut kepada finalis, Mohd. Syamil Bin Jamal.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  • Majalah Seni Beladiri, Januari 1994, m/s 20-21.
  • Mazlan Haji Hashim kolumnis Majalah Seni Beladiri